Abdul Razak Mohd Yusoff

(Dilencongkan dari Abd Razak bin Mohd Yusoff)

DCP (B) Abdul Razak bin Hj. Mohd Yusoff SP, BMS, PKT, BKT, DIMP (lahir 10 Februari 1963) merupakan bekas pegawai 69 Komando, Polis DiRaja Malaysia. Beliau juga merupakan satu-satunya penerima pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa (S.P) yang masih aktif berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) setakat ini dan merupakan penerima pingat keberanian yang paling bongsu dalam pasukan tersebut.

Dato’

Abdul Razak bin Hj. Mohd Yusoff

SP, BMS, PKT, BKT, DIMP
Kelahiran (1963-02-10) 10 Februari 1963 (umur 61)
WarganegaraMalaysia
Nama lainTok Ndak , Pak Ndak
PekerjaanPegawai polis, pengamal silat
Kampung asalLanggar, Alor Setar, Kedah
PasanganDatin Hjh Nazirah Bidin
Ibu bapaHaji Mohd Yusoff bin Haji Salleh (Bapa)
Hajjah Bashah binti Din (Ibu)
Kerjaya ketenteraan
Kesetiaan Malaysia
Perkhidmatan Polis Diraja Malaysia
Tahun perkhidmatan1986–2023
Pangkat Deputi Komisioner Polis (DCP)
Unit 69 Komando Pasukan Gerakan Khas
PertempuranPemberontakan Komunis (1968-1989)
Operasi 304
Anugerah Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP)
Pingat Keberanian Terbilang (PBT)

Latar belakang sunting

Dcp G/10958 Abdul Razak dilahirkan pada 10 Februari 1963 di Batu 6, Telok Mas, Melaka dan dibesarkan di Langgar, Alor Setar, Kedah dan merupakan anak kepada pasangan Haji Mohd Yusoff bin Haji Salleh (bekas anggota polis berpangkat Sarjan 26969) dan Hajjah Bashah binti Din (suri rumah). Beliau memang amat berminat dalam Ilmu Agama/Ketuhanan serta Ilmu Persilatan Melayu. Pada seawal usia 9 tahun lagi, beliau telah mempelajari Ilmu Persilatan Melayu dan berjaya menghafal sejumlah ayat-ayat Al-Quran serta hadis.

Kerajinan beliau 'menadah kitab'[[:]] dan mempelajari agama di pondok-pondok pengajian Islam sekitar Kedah serta sikap berkecualinya untuk tidak cenderung dalam mana-mana parti politik tanah air telah menjadikan beliau seorang yang disegani dan dihormati di tempat beliau dibesarkan (Langgar Limbong). Menurut Razak, orang yang banyak memberi inspirasi kepada beliau ialah guru tasawufnya sendiri iaitu Abah Anom, Pengetua Pesantrean Suryalaya, Tasek Malaya Indonesia (sila lihat pautan luar untuk maklumat lanjut). Beliau berjaya menamatkan pengajiannya hingga ke peringkat STPM di Kolej Sultan Abdul Hamid dengan pencapaian 5P dan telah melanjutkan pelajaran beliau di Universiti Pertahanan Angkatan Tentera dalam Diploma Lanjutan - Pertahanan Strategik yang tamat dalam bulan Jun 2010.

Kerjaya dalam PDRM sunting

 
DSP Razak menceritakan pengalamannya semasa tragedi di Bukit Jenalik beberapa tahun yang lalu.

Beliau telah memulakan kerjaya dalam PDRM pada 14 September 1986 sebagai Inspektor Percubaan di Pusat Latihan Polis Malaysia (PULAPOL) dan menjalani Kursus Asas Polis Hutan di Ulu Kinta, Perak. Setelah tamat latihan, beliau telah diserapkan ke Unit 69 Komando PPH (VAT 69). Berdasarkan minat kepada tugas yang lebih mencabar beliau dengan sukarelanya mengikuti pemilihan awal dan seterusnya menjalani latihan Asas Unit 69 Komando PPH, yang kini dikenali sebagai 69 Komando @ VAT 69 (Very Able Troopers). Beliau telah lulus dengan jayanya dan diiktiraf sebagai anggota Komando pada 18 Julai 1987.

Bagi melengkapkan kemahiran, beliau telah menghadiri beberapa siri kursus dan latihan, antaranya ialah:

  1. Kursus Rappeling dan Abseiling.
  2. Kursus Asas Payung Terjun dan Para Bebas.
  3. Kursus Platun Komander, anjuran SLPPPH, Ulu Kinta
  4. Pathfinder; anjuran PULPAK, A.T.M Sg.Udang Melaka.
  5. Pengiring Keselamatan/Pengawal Peribadi.
  6. Counter-Terrorist Team (CTT).
  7. Kursus Menyelam Taktikal.
  8. Disaster Management di Maktab Polis Kuala Kubu Baru.
  9. Kursus Pemusnahan Jerangkap Samar anjuran SLPGA Ulu Kinta.
  10. Special Operations Techniques anjuran SOCPAC,U.S Army.
  11. Bengkel Penulisan Kertas Staf anjuran Maktab Pegawai Kanan PDRM.
  12. Bengkel Negotiation Skills anjuran Maktab Pegawai Kanan PDRM
  13. Hostage Negotiation Skills anjuran Anti Terrorist Assistance Program di Louisiana Police Academy, Amerika Syarikat.
  14. Kursus Critical Incident Management anjuran Anti Terrorist Assistance Program di Louisiana State Police Academy, A.S.
  15. Hostage and Crisis Negotiation Skills anjuran PDRM bersama Metropolitan Police Service New Scotland Yard di Kuala Lumpur.
  16. Kursus Counter Maritime Interdiction, anjuran Naval Special Warfare – Unit 1, US Navy SEAL.
  17. Kompeni Komander; yang merupakan kursus tertinggi anjuran Pusat Latihan Pasukan Gerakan Am.
  18. Kursus Incident Response for Crisis Management yang dianjurkan oleh Maktab Pegawai Kanan Polis, Cheras.

Selama lebih 20 tahun beliau berkhidmat dalam unit 69 Komando,beliau telah ditugaskan di pelbagai skuadron dan cawangan, :

  1. PP terup 5, B Sqn. mulai (21 September1987)
  2. PP terup 14, D Sqn. mulai (18 September 1988)
  3. PP terup 1, A Sqn. mulai (11 April1994)
  4. PP terup 11, merangkap 2nd IC C Sqn. (mulai 20 Oktober 1997)
  5. PP Cawangan Latihan Para (mulai 1 Ogos 2000)
  6. Komander B Sqn. (mulai 16 Mac 2006)
  7. Timbalan Komander 69 Komando dari Februari 2013 hingga Januari 2018
  8. Komander 69 Komando dari Januari 2018 hingga Julai 2022
  9. Timbalan Ketua Polis Negeri Pahang dari Ogos 2022 hingga Februari 2023

Sepanjang bertugas dalam Unit 69 Komando, beliau telah terlibat dengan pelbagai bentuk operasi sama ada di hutan belantara, di bandar, di sempadan dan perairan negara, antaranya:

  1. Ops Bersih IV – Menggeledah dan mematikan tidak kurang daripada 73 set jerangkap samar di Sempadan Malaysia/Thailand.
  2. Ops Ulang Zabri – Menggeledah dan mencari saki baki Pasukan Gerombolan Komunis di tengah-tengah hutan belantara antara Perak dan Kelantan.
  3. Ops Tayang – Membuat rondaan di perairan Sabah dan Filipina juga membanteras aktiviti lanun selepas pihak lanun menawan pekan Semporna.
  4. Ops Topeng – Memimpin pasukannya menumpaskan 3 orang perompak bersenjata api yang merompak sebuah kedai emas di Ipoh dan berjaya menemukan kembali barangan rompakan yang bernilai lebih kurang RM 1 juta.
  5. Ops Kerbau – Beliau sendiri telah berjaya menangkap hidup seorang perompak bersenjata api yang sangat-sangat dikehendaki oleh pihak Cawangan Khas di Padang Besar, Perlis.
  6. Ops Bubut – Memburu, membanteras lanun dan mengumpul maklumat risikan setelah pihak Abu Sayyaf menculik 23 orang pelancong dan rakyat negara ini[[:]] di Pulau Sipadan.
  7. Ops Subuh – Beliau berjaya menyusup masuk ke kubu musuh dan berbincang secara bersemuka dengan ketua kumpulan Al-Ma'unah selama lebih 2 jam hingga pihak musuh bersedia menyerah diri tanpa pertumpahan darah.
  8. Di samping tugas-tugas menentang penjenayah, beliau juga sering terlibat dalam penugasan Pengiring Rapat sama ada kepada Perdana Menteri dan pembesar-pembesar negara lain yang datang semasa persidangan G-15, APEC, SUKOM, NAM, dan lain-lain.
  9. Beliau juga banyak terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat, antaranya; mencari mayat, senjata, bahan bukti di dasar perairan, mencari pesawat terhempas di tengah hutan belantara; seperti Ops. Piper pada April, 2004; yang mana pasukan mencari yang beliau ketuai berjaya menjumpai juruterbang yang hilang di Genting Bidai, Pahang.
  10. Selain operasi-operasi rasmi pasukan, semasa menjalani latihan menyelam di Pulau Pangkor, beliau telah diminta membantu Ketua Polis Balai pulau berkenaan untuk menangkap seorang gila yang sering mengganas dan menakutkan penduduk di sana. Orang tidak siuman berkenaan bersenjatakan parang panjang. Dengan tangan kosong sahaja beliau dapat memberkas orang gila yang digeruni berkenaan tanpa sebarang kecederaan pada mana-mana pihak.

Ops Subuh sunting

Salah satu operasi yang menaikkan nama beliau serta imej PDRM ialah penglibatannya menumpaskan pengganas militan Al-Ma'unah pimpinan Mohammed Amin bin Razali tanpa pertumpahan darah. Beliau yang mengetuai 20 orang anggota unit Komando 69, Pasukan Gerakan Khas PDRM yang pada mulanya diarahkan untuk menembak gas pemedih mata ke kawasan kubu Al-Ma'unah, di hutan Sauk, Perak berjaya menyusup masuk ke kawasan kubu musuh dan mengadakan rundingan dengan Mohammed Amin serta menyeru beliau dan kumpulannya menyerah diri kepada kerajaan. Setelah lebih 2 jam berbincang dan memujuk (menggunakan kelebihan ilmu agama dan ilmu ketuhanan yang ada padanya), akhirnya Razak berjaya menyeru kumpulan Al-Ma'unah supaya menyerah diri tanpa sebarang pertumpahan darah.

Penganugerahan atas keberanian sunting

Atas keberaniannya dalam Ops Subuh, Razak dianugerahkan Seri Pahlawan Gagah Perkasa oleh Almarhum Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agung Tuanku Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah ibni Almarhum Sultan Hishamuddin Alam Shah Al Haj pada tahun 2001. Antara pingat-pingat lain yang diterima atas jasa dan bakti beliau ialah :

  1. Pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa yang merupakan anugerah yang tertinggi sekali dan yang paling kanan dalam senarai keutamaan Anugerah Persekutuan.
  2. Kerajaan negeri Kedah telah menganugerahkan beliau dengan Darjah Paduka Seri Setia Sultan Abdul Halim Muadzam Shah.
  3. Kerajaan Negeri Selangor telah menganugerahkan Pingat Keberanian Terbilang
  4. Beliau telah dianugerahkan Bintang Khidmat Terpuji oleh Kerajaan Negeri Melaka.
  5. Kenaikan Pangkat Secara Medan oleh Ketua Polis Negara pada 03/08/2000.
  6. Tidak kurang daripada 30 Surat Penghargaan dari pembesar-pembesar negeri, negara dan penganjur karnival serta sukan.

Keluarga sunting

Razak ialah anak ke-5 daripada lapan adik-beradik keluarga BAYU.[[:]] Abang-abang beliau iaitu Latif dan Rahim, yang merupakan Kontraktor Bumiputra Kelas A yang berpengalaman dan berjaya di Sabah dan Selangor. Kakak ketiga dalam keluarga iaitu Sabariah merupakan seorang pegawai kerajaan di Bangi Selangor. Roslah (anak ke-4 dalam keluarga BAYU) ialah guru lepasan sarjana yang kini mengajar di Kemaman, Terengganu. Adik-adik perempuan Razak iaitu Rozita (juga merupakan serorang guru lepasan Sarjana mengajar di Puncak Alam, Selangor) dan Rohayati merupakan suri rumah. Manakala adik bongsu Razak iaitu Hisham (Regional Program Manager di salah sebuah syarikat multi nasional) menetap di Kulim, Kedah.

Beliau telah menamatkan zaman bujang beliau dengan mencatatkan nama sebagai pengantin pertama yang terjun dari pesawat menggunakan payung terjun ke majlis perkahwinannya lalu menghadiahkan jambangan bunga yang dibawa turun kepada isterinya, seorang guru pada 19 November 1994.

Bidang lain yang diceburi sunting

Dalam bidang pentadbiran, beliau telah menyusun semula stor Cawangan Latihan Para, mengendalikan tidak kurang daripada 8 kursus sama ada payung terjun, menakik turun, pengendalian bot dan menyelam setiap tahun, menghantar pegawai dan anggota berkursus ke Thailand Police Airborne School di Hua Hin, membuat kertas kerja pembelian barangan payung terjun, menyelam dan pengendalian bot yang bernilai berjuta-juta ringgit. Beliau turut menyumbangkan kreativiti beliau mencipta Gayung Perang[[:]] sebagai identiti unit 69 Komando.

Dalam bidang sukan pula, beliau terlibat :

  1. Mewakili Briged Utara dalam sukan ragbi pada tahun 1990 hingga 1996.
  2. Mewakili Briged Utara dalam sukan Seni Silat Polis, pengurus dan jurulatih dari tahun 1993 hingga 1999. Muncul juara PDRM pada tahun 1999.
  3. Mewakili 69 Komando dalam Kejohanan Tae Kwan Do (ITF) terbuka Perak. Muncul juara keseluruhan 3 kali berturut-turut pada tahun 1991 hingga 1993.
  4. Dilantik sebagai Pengurus Ragbi 69 Komando dari tahun 1993 sehingga sekarang.
  5. Dilantik sebagai Naib Presiden Persatuan Karate negeri Perak pada tahun 1994 hingga 1996.
  6. Merupakan pengadil yang diiktiraf oleh Federal Aeronautic Internationale dalam sukan Payung Terjun.
  7. Merupakan seorang jurulatih, wasit dan juri yang diiktiraf oleh Persekutuan Silat Kebangsaan (PESAKA).
  8. Sebagai Pegawai Penjaga Cawangan Latihan Para, beliau telah berjaya membimbing pasukan PDRM menjadi juara kebangsaan dalam sukan payung terjun sama ada dalam acara Accuracy, Skydiving Formation dan Canopy Formation.
  9. Banyak terlibat dengan demonstrasi sebagai peserta dan pegawai teknikal seni mempertahankan diri dan payung terjun di seluruh negara mahupun luar negara, iaitu ke Bali, Jakarta, Arab Saudi, China dan Emiriah Arab Bersatu.
  10. Salah seorang penerjun negara di ekspedisi payung terjun di Kutub Selatan.
  11. Mewakili skdn/cawangan dalam sukan bola sepak dan sepak takraw.

Tanggungjawab sosial sunting

Dalam bidang sosial pula, beliau pernah terlibat sebagai:

  1. Pengerusi Hal Ehwal Agama Islam 69 Komando dari tahun 1993 hingga 1999.
  2. Penasihat Jatidiri Sekolah Menengah Dr.Burharuddin, Taiping Perak pada tahun 1992 dan 1993.
  3. Wakil Rancangan Khairat Kematian Briged Utara pada tahun 1994.
  4. Penasihat Wajadiri Maktab Perguruan Ipoh dari 1992 hingga 1999.
  5. Penasihat Jatidari/Wajadiri RELA Rancangan Perumahan Awam, Ulu Kinta pada tahun 2000/2001.
  6. Pengerusi Badan Keluarga Taman Asuhan Kanak-Kanak Islam Asy-Syakirin pada tahun 2002/2005.

Pasca Persaraan sunting

Dato Abdul Razak Yusoff menamatkan kerjaya pasukan polis pada 10 Februari 2023 dengan jawatan terakhir sebagai Timbalan Ketua Polis Pahang, beliau kini menghabiskan usia persaraan dengan melibatkan diri dalam dunia Silat melalui Pertubuhan Silat Budi Utama Malaysia (PSBUM) serta melakukan kerja dakwah di samping masih menerima jemputan kisah Operasi Subuh di semua platform.

Pautan luar sunting