Abu Hanifah

pengasas Mazhab Hanafi


Abu Hanifah (ابو حنيفه) atau nama sebenar beliau Nukman bin Thabit (نعمان ن ثابت) dilahirkan pada 80 Hijrah bersamaan 699 Masihi dalam sebuah kampung bernama Anbar di Kufah, Iraq ketika zaman pemerintahan Khalifah Abdul Malik bin Marwan. Beliau berasal dari keturunan Parsi dan merupakan ulama terkenal Islam yang mengasaskan Mazhab Hanafi. Gelaran beliau sebagai “Abu Hanifah” diambil kerana beliau sentiasa membawa dakwat ke mana sahaja beliau pergi untuk mencatat ilmu yang dicari. Beliau juga mendapat gelaran Abu Hanifah kerana mempunyai seorang anak bernama Hanifah dan Hanifah juga bermaksud cenderung agama. Beliau terkenal dengan sifatnya yang suka menghulurkan bantuan kepada sesiapa sahaja yang memerlukan bantuannya dan rajin berusaha serta mempunyai cita-cita yang tinggi dalam hidupnya. Beliau juga sangat menghormati guru-gurunya sehinggakan sering memberi hadiah kepada guru-gurunya dan guru-guru yang mengajar anaknya. Beliau pernah dipujuk oleh khalifah untuk memegang jawatan dalam kerajaan tetapi ditolaknya kerana bimbang dirinya dipergunakan oleh khalifah. Beliau meninggal dunia pada 150 Hijrah bersamaan 767 Masihi di penjara ketika berusia 70 tahun dan dikebumikan di Baghdad. Mazhab beliau tersebar di negara-negara Islam dan berpengaruh di Iraq. Selain itu, mazhab ini juga merupakan mazhab rasmi kerajaan Uthmaniyah serta jajahan takluknya seperti Mesir, Lubnan, dan Syria.

Cendekiawan Islam
Zaman Kegemilangan Islam
Ilustrasi
Nama: Muhammad Nukman bin Thabit
Gelaran: Imam segala Imam
Lahir: 699
Wafat: 767
Etnik: Parsi
Rantau: Iraq
Bidang: Fiqah, Hadis
Idea utama: Mazhab Hanafi
Karya: Kitab al-Athar, Fiqah al-Akbar
Pengaruh: Imam Syafie, Abu Yusuf
Diilhami: Jaafar al-Saddiq, Alqama ibni Qays, Qatada ibni al-Nu'man

Pendidikan sunting

Beliau sempat belajar dengan beberapa orang sahabat Nabi Muhammad s.a.w. termasuklah Anas bin Malik, Abdullah bin Abi Aufa, Sahal bin Abi Saad, Abdullah bin Al-Harith dan Abdullah bin Anas. Kecintaan beliau terhadap ilmu telah membawa beliau untuk menuntut ilmu dengan 200 orang ulama termasuk para sahabat dan tabiin. Ilmu yang dipelajari beliau termasuklah ilmu tauhid, ilmu al-Quran, dan ilmu hadis selain mahir dalam bidang sastera. Beliau pernah berguru dengan Hamad bin Sulaiman selama 20 tahun sebelum mengambil alih tempat gurunya itu setelah gurunya itu meninggal dunia.

Sumbangan sunting

Beliau banyak menghabiskan masa di masjid untuk menyampaikan ilmu pengetahuan tertutama berkenaan bidang agama kepada orang ramai. Beliau juga terkenal dengan kebijaksanaan beliau dalam membezakan hadis sahih dan juga sebaliknya kerana beliau sangat berhati-hati dalam menentukan sesuatu hukum mengikut martabat hadis. Imam Abu Hanifah terkenal sebagai ahli fikir dalam Islam kerana menggunakan akal fikirannya dalam memutuskan sesuatu hukum apabila sesuatu hukum tidak terdapat di dalam al-Quran. Berbekalkan kebolehan yang dimiliki beliau, beliau berjaya menyusun ilmu-ilmu berkenaan hukum fikah sehingga menjadi bab-bab seperti yang terdapat pada masa kini dan beliau merupakan ulama pertama yang menyusun kitab fikah secara tersusun mengikut bab dan fasal. Beliau juga menyusun kitab “Al-Faraid” (harta pusaka) dengan lengkap. Cara pemikiran beliau mempengaruhi anak-anak muridnya yang menyebarkan ilmu mengikut aliran pendapat melalui kuliah dan penulisan. Beliau acapkali menegah murid-muridnya bertaklid tetapi menggalakkan menggunakan akal fikiran mengenai sesuatu hukum dan menegah umat Islam beramal dengan perkara-perkara bidaah dalam ibadat.

Karya-karya sunting

  1. Fikah Akbar
  2. Al-Alim Wal-Muta’allim
  3. Masnad Fikah Akbar
  4. Masail An-Nawadir
  5. Masail Usul
  6. Fatwa Al-Waqiah
  7. Al-Kisanayat