Adriana Iliescu (lahir 31 Mei 1938, Craiova) ialah seorang wanita yang telah melahirkan anak pada umur 66 tahun sekaligus menjadi wanita tertua untuk membuat sedemikian. Beliau melahirkan Eliza Maria pada 16 Januari 2005, di Hospital Keibuan Giuleşti di Bucharest, Romania. Iliescu merupakan seorang bekas pensyarah universiti dan juga pengarang buku kanak-kanak.

Kehamilan sunting

Iliescu pada mulanya diberikan rawatan hormon untuk melambatkan proses putus haid (menopause) pada 1995. Pada tahun 2004, beliau menjalani rawatan penyuburan in vitro dengan air mani dari penderma yang tidak diketahui dan menjadi hamil dengan anak kembar perempuan. Janin-janin tersebut seberat 1.45 kilogram (3.19 paun) dan 0.69 kilogram (1.54 paun) setelah hamil selama 33 minggu tetapi satu daripada bayi tersebut mati akibat komplikasi dalam rahim. Para doktor pada mulanya berhasrat untuk melakukan pembedahan caesarian pada minggu ke 34 tetapi mereka bercadang untuk melakukannya satu minggu lebih awal akibat kematian tersebut. Bayi yang masih hidup dianggarkan akan berada di hospital selama enam minggu.

Perhatian antarabangsa sunting

Undang-undang di Romania kini sedang disemak supaya ia selari dengan undang-undang negara Eropah yang lain. Akibat rombakan ini, rawatan penyuburan mungkin diharamkan selepas usia 50 tahun.

Kisah kehamilan wanita tua ini menjadi berita hangat di merata dunia, seterusnya mencetuskan perdebatan tentang rawatan kesuburan setelah mencecah usia tertentu dari segi nilai etika. Penyiaran berita tentang kehamilan dan kelahiran anak telah dikritik apabila maklumat berlainan dilaporkan oleh ejen berita berlainan. Wawancara Realitatea TV dengan Iliescu yang dilakukan sebulan sebelum kelahiran anaknya menjadi sumber utama bagi isu ini. Beberapa sumber berita telah melaporkan umur Iliescu sebagai 67 tahun dan maklumat terperinci tentang janin kedua dan ketiga yang disiarkan antara sumber-sumber tersebut amat berbeza. Contohnya, satu rencana [1] laman berita CNN telah diperbaharui selepas sehari untuk mengubah umurnya daripada 67 tahun kepada 66 tahun. Gheorghe Borcean, ketua jawatankuasa etika profesyen perubatan Romania mengulas:

"Kes terulung seperti ini sepatutnya memerlukan perbahasan akademik, bukan hanya sekadar satu laporan televisyen" [2]

Undian pada televisyen dan surat khabar serta perbincangan di seluruh dunia mencungkil pendapat orang ramai tentang keputusan etika tersebut.

Rujukan sunting

Pautan luar sunting