Tan Sri Datin Paduka Seri Hajah Aishah binti Haji Ghani (15 Disember 1923 – 19 April 2013) ialah Menteri Kebajikan Masyarakat Malaysia antara 1973 dan 1984, serta Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia antara tahun 1972 sehingga 1984. Beliau meninggal dunia pada 19 April 2013 pada pukul 12.50 pagi sewaktu beliau berumur 90 tahun.[1]


Aishah Ghani

PMN; SPMS, DPMS (Selangor); JMN; ADK (Sabah)
Menteri Kebajikan Masyarakat
Dalam jawatan
11 Oktober 1983 – 14 Julai 1984
Perdana MenteriTun Dr. Mahathir Mohamad
Digantikan olehTan Sri Abu Hassan Omar
Menteri Kebajikan Am
Dalam jawatan
1 Mac 1973 – 10 Oktober 1983
Didahului olehTun Fatimah Hashim
Anggota Parlimen Malaysia
untuk Kuala Langat
Dalam jawatan
1974–1986
Didahului olehMohd Tahir Abdul Majid
Digantikan olehBasri Bajuri
Butiran peribadi
Lahir(1923-12-15)15 Disember 1923
Hulu Langat, Selangor, Negeri-negeri Melayu Bersekutu, British Malaya (kini Malaysia)
Meninggal dunia19 April 2013(2013-04-19) (umur 89)
Kuala Lumpur, Malaysia
Tempat persemadianTanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, Kuala Lumpur
Parti politikPertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO)
PasanganAbdul Aziz Abu Hassan
Anak-anakShairudin
Mariati
Datuk Astaman
Zarim
PekerjaanWartawan

Pendidikan sunting

Dilahirkan di Kampung Sungai Serai, Hulu Langat, Selangor, Aishah memperoleh pendidikan awalnya di Sekolah Melayu Bukit Raya, Cheras, Selangor dan menyertai sekolah menengah di Diniyah Puteri, Padang Panjang, Sumatera Barat, Indonesia, dari tahun 1936 hingga 1939. Pada tahun 1940 hingga 1943, beliau menyertai Maktab Perguruan Tinggi Islam di Padang, Sumatera Barat, dan kemudiannya pergi ke London pada April 1955 dan memperoleh ijazah kewartawanannya dari Politeknik Regent Street di London pada Disember 1958.

Kerjaya politik sunting

Penglibatan Aishah dalam bidang politik bermula sebaik sahaja Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) ditubuhkan pada tahun 1945, dan beliau menjadi Ahli Jawatankuasa dan sekali gus mengetuai sayap wanita yang dipanggil Angkatan Wanita Sedar (AWAS). Ketika itu, beliau juga bertugas sebagai wartawan Pelita Malaya, lidah rasmi PKMM.

Aishah keluar daripada AWAS pada tahun 1946 (AWAS kemudian diharamkan oleh kerajaan pada tahun 1948) dan menyertai perhimpunan yang menuntut kemerdekaan di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur, pada Mac tahun yang sama. Beliau menyertai UMNO Kampung Baru pada tahun 1949 dan dilantik sebagai Setiausaha.

Sekembalinya Aishah dari kursusnya di London pada tahun 1959, beliau bertugas sekali lagi sebagai wartawan, kali ini untuk Berita Harian, serta sebagai penyunting di Kumpulan Akhbar New Straits Times. Beliau meletakkan kedua-dua jawatannya pada tahun 1963 apabila beliau menjadi Ahli Majlis Tertinggi UMNO serta Naib Ketua Wanita UMNO.Pada 13 September 1962, beliau dilantik sebagai Senator dan diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong. Beliau adalah wanita yang pertama di Malaysia menjadi senator serta wakil wanita Malaysia yang pertama ke Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Dari tahun 1967 hingga 1972, Aishah menjadi wakil Malaysia ke Persidangan Suruhanjaya Taraf Wanita PBB. Beliau juga menyandang jawatan Setiausaha Pergerakan Wanita UMNO Negeri Selangor antara tahun 1960 hingga 1972.

Pada tahun 1972, Aishah dipilih menjadi Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, satu pertubuhan yang beliau mengetuai selama 12 tahun sehingga 1984. Pada 1 Mac 1973, beliau dilantik sebagai Menteri Kebajikan Masyarakat selepas persaraan Tun Tan Sri Dr. Fatimah dan memegang jawatan ini selama 11 tahun sebelum menamatkan khidmatnya pada tahun 1984. Semasa menyandang jawatan Menteri Kebajikan Masyarakat, beliau melancarkan Yayasan Kebajikan Negara, sebuah pertubuhan yang masih berfungsi pada hari ini. Aishah ialah Pengerusi Tetap Pergerakan Wanita UMNO Malaysia sejak tahun 1986 hingga meninggal dunia.

Selepas politik sunting

Selepas kerjaya politiknya, Aishah menyandang jawatan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (1985-1997), Ahli Jawatankuasa Yayasan Tun Abdul Razak, serta Pengerusi Pusat Perlindungan Wanita Darsaadah. Selain itu, beliau juga merupakan Pengerusi Koperasi Jaya Murni Wanita Berhad sejak penubuhannya pada tahun 1975.

Seakan-akan ini tidak mencukupi, Aishah juga menumpukan masanya dalam bidang perniagaan, dan merupakan pengerusi dan/atau pengarah untuk sekurang-kurang tujuh syarikat sendirian berhad.

Meninggal dunia sunting

Aishah meninggal dunia pada 19 April 2013 ketika berumur 90 tahun dan jenazahnya telah disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, Kuala Lumpur.

Anugerah sunting

  • 1966: Johan Mangku Negara (J.M.N.) oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong
  • 1971: Ahli Darjah Kinabalu (A.D.K.) oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah
  • 1978: Darjah Dato' Paduka Mahkota Selangor Kelas Kedua (D.P.M.S.) yang membawa gelaran 'Datin Paduka' oleh DYMM Sultan Selangor
  • 1985: Panglima Mangku Negara (P.M.N.) yang membawa gelaran 'Tan Sri' oleh Sri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong
  • 1986: Ijazah Kehormat Kedoktoran Undang-undang oleh Universiti Sains Malaysia (USM)
  • 1999: Darjah Seri Paduka Mahkota Selangor Kelas Pertama (S.P.M.S.) yang membawa gelaran 'Datin Paduka Seri' oleh DYMM Sultan Selangor
  • 2002: Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Sains Politik oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Rujukan sunting

  1. ^ Austin Camoens (19 April 2013). "Umno veteran Tan Sri Aishah Ghani dies, age 90 (Updated)". The Star Online. Dicapai pada 20 April 2013.

Pautan luar sunting