Ali Syari'ati

(Dilencongkan dari Ali Shariati)

Koordinat: 33°26′42.13″N 36°20′28.98″E / 33.4450361°N 36.3413833°E / 33.4450361; 36.3413833

Ali Shariati (kadang dieja sebagai Ali Syari'ati dan Ali Shari'ati) (23 November 1933 – 1977) adalah warganegara Iran. Beliau adalah seorang penulis, pemikir, intelektual, guru, pensyarah, ahli sosiologi dan revolusi, cendekiawan dan pakar bidang sosiologi agama. Beliau seorang pemikir sosial yang berpengaruh abad ke-20, kerana beliau ialah ideologi penting yang secara tidak langsung mencetuskan Revolusi Iran. Sehingga hari ini nama beliau masih disebut-sebut dan dikenang-kenang sebagai seorang pemikir revolusioner Islam.

Ali Shariati

Agama: Aliran Imam 12 Syiah Islam

Salah seorang penyelidik revolusi Iran pernah mengatakan,

Tak boleh dinafikan, setelah Khomeini, Shariati adalah tokoh paling berpengaruh dalam gerakan Islam yang berakhir pada Revolusi 1979."

Biografi sunting

Ali Shariati dilahirkan pada 1933 di Mazinan pinggir kota Sabzevar, timur laut Iran. Bapanya, Mohamad-Taqi adalah seorang guru dan pemikir Islam, pengasas Pusat Dakwah Islam di wilayah Khorasan semasa fahaman Marxist berkembang di Iran.

Di sekolah rendah, Shariati telah membaca berbagai jenis buku; karya Victor Hugo, Les Miserables, Que sais-je, History of Cinema, dan buku popular yang hebat seperti Zan-e- Mast. Ketika di sekolah menengah pula, Shariati mulai mempelajari buku-buku yang berkaitan dengan masalah-masalah falsafah, mistik, dan sufisme. Dalam bidang falsafah, beliau melahap karya-karya ahli falsafah Jerman, seperti Arthur Schopenhauer, novelis Franz Kafka, dan penyair besar Jerman Anatole France. Beliau memiliki kenangan pertama terhadap karya-karya Maurice Maeterlink. Beliau mengatakan penulis dan penyair simbolik dari Belgium ini sebagai pelopor dalam merefleksikan dan merenungkan kebenaran yang ada di balik realiti.

Selain itu sastera sufi juga turut dibacanya. Antaranya adalah karya sufi besar, seperti al-Hallaj, al-Junayd, Qadi Abu Yusuf, Syabastari, Qusyairi, Abu Said Abu al-Khayr, Abu Yazid al-Bustami, Ayn al-Qudat al-Hamadani, dan Maulana Jalaluddin Rumi. Dalam masa-masa tersebut, seperti dijelaskan Rahnema, Shari’ati juga telah membaca buku-buku tafsir Al-Qur'an, sastera, puisi, sejarah Islam, dan tentu saja buku-buku politik.

Semasa di Maktab Latihan Perguruan, Shariati rapat dengan golongan miskin. Beliau terdedah kepada falsafah Barat dan pemikiran politik. Beliau cuba mengemukakan jalan penyelesaian masalah masyarakat Islam berasaskan prinsip Islam tradisional, pandangan sosiologi moden dan falsafah.

Pada tahun 1952, beliau menjadi guru sekolah tinggi dan mengasaskan Persatuan Pelajar Islam dan menyebabkannya ditangkap dalam satu demonstrasi. Pada 1953, Perdana Menteri Iran pertama, Mossadeq telah digulingkan oleh CIA. Ketika itu beliau seorang ahli Pergerakan Rintangan Kebangsaan. Beliau mendapat ijazah dari Universiti Mashhad pada 1955. Pada 1957, beliau ditangkap sekali lagi oleh polis Shah Iran bersama dengan 16 ahli Pergerakan Pembaharuan Kebangsaan.

Ali Shariati mendapatkan biasiswa kerajaan Perancis dan belajar di Universiti Paris. Di universiti ini, beliau dianggap sebagai pelajar pintar dan terbaik serta dilantik pada... Beliau menyambung kedoktoran jurusan sosiologi dan meninggalkan Paris sebelum sempat menghabiskan kajian pada 1964. Semasa beliau di Paris, Shariati mula bekerjasama dengan Barisan Pembebasan Kebangsaan Algeria (FLN) pada 1959. Pada tahun 1960, beliau mula membaca tulisan Frantz Fanon dan menerjemahkan kepada bahasa Parsi. Shariati memperkenalkan pemikiran Fanon kepada pejuang-pejuang Revolusi Iran di luar negara. Menurut Dr. Muhaimin Sulam dalam sebuah kolumnya di MalaysiaKini, semasa Shariati belajar di Perancis, beliau ada berbahas dengan Fanon.

Fanon berkata agamalah yang menyebabkan masyarakat menjadi beku. Shariati menolak pandangan tersebut dan mengemukakan idea-idea Islam yang progresif. Antaranya melalui tulisannya mengenai ibadah haji.

Shariati ditangkap di Paris semasa mengadakan demonstrasi ketika penghormatan pemimpin Patrice Lumumba, pada 17 Januari 1961.

Pada tahun yang sama juga, beliau berganding dengan Ebrahim Yazdi, Mostafa Chamran dan Sadegh Qotbzadeh dalam Pergerakan Kebebasan Iran di luar negeri. Beliau mempelopori revolusi Iran semasa ketiadaan Ayatullah Khomeini. Pada 1962, beliau belajar sosiologi dan sejarah perkembangan agama di seluruh dunia. Seterusnya mengikuti kursus pendek dengan cendekiawan Islam Louis Massignon, Jacques Berque dan ahli sosiologi Georges Gurvitch. Beliau juga terdedah dengan ahli falsafah eksistensialis Jean-Paul Sartre. Selain itu, beliau juga banyak membaca buku Jalal Al-e Ahmad berjudul Gharbzadegi (atau Occidentosis).

1964 beliau kembali ke Iran di mana beliau ditangkap dan dipenjarakan oleh kerajaan Iran Imperial melibatkan diri dalam kegiatan politik subversif semasa di Perancis. Beliau dibebaskan selepas beberapa minggu. Beliau mula mengajar di Universiti Mashhad.

Shariati pergi ke Tehran dan memberi kuliah di Hosseiniye Ershad, sebuah tempat pengajian yang didanai hartawan dan dermawan. Sesi ceramah beliau dipenuhi berkaitan ekonomi masyarakat, kelas pertengahan dan kelas atasan.

Sekali lagi beliau ditahan bersama para pelajar. Selepas tekanan rakyat dan antarabangsa, Ali Shariati dibebaskan selepas 18 bulan dalam penjara dan dibebaskan pada 20 Mac 1975.

Shariati dibenarkan pergi ke England. Tiga minggu kemudian beliau mati di Southampton, England kerana serangan jantung. Sumber-sumber lain menyatakan beliau dibunuh oleh Savak - pasukan polis rahsia Shah Iran.

Biografi Ali Syari'ati yang lebih jitu boleh dibaca pada buku Ali Rahnema yang menulis tuntas tentang beliau.

Pandangan sarjana sunting

Perjuangan Shariati sangat dipengaruhi oleh fahaman Marxist dan idea Dunia Ketiga semasa belajar di Paris. Idea tentang pertentangan kelas dan revolusi akan membawa kepada masyarakat tanpa kelas - di satu pihak, dan Ketulenan Islam (Reformasi Islam). Beliau dikatakan mengembangkan idea Gharbzadegi daripada Jalal Al-e Ahmad.

Beliau mengembangkan idea-idea berasaskan simbol-simbol kebudayaan mazhab Syiah rakyat Iran. Baginya, Syiah tidak seharusnya hanya menunggu kedatangan Imam ke-12. Katanya "setiap hari adalah Ashura, setiap tempat adalah Karbala." Beliau seorang ahli sosiologi dan aktivis yang mahir menggunakan simbol atau sosok dan mengartikulasikannya menjadi sesuatu subjek yang penting dan berkesan untuk pemahaman massa, terutama massa yang beragama.

Ali Shariati sering merujuk dirinya sebagai "mazhab Syiah merah" berbanding dengan "mazhab Syiah hitam" atau Safavid Mazhab Syiah. Idea-ideanya dibandingkan dengan pergerakan Pembebasan Teologi Katolik di Amerika Selatan oleh Gustavo Gutierrez (Peru) dan Leonardo Boff (Brazil).

Buku dan ucapan sunting

  • Haji
  • Marxisme Dan Kesilapan-kesilapan Barat : Satu Kritikan Islam
  • Di Mana Kita Bermula
  • Misi Satu Tidak Bertuhan
  • Lelaki Bebas Dan Kebebasan Lelaki
  • Pengorbanan
  • Ali
  • Satu pendekatan memahami Islam
  • Satu Wajah Nabi Muhammad
  • Sepintas Sejarah Esok
  • Pantulan Kemanusiaan
  • Satu Manifestasi Jatidiri Dan Reformasi
  • Pemilihan / Pilihan raya
  • Norouz, Perisytiharan Rezeki Orang Iran
  • Jangkaan-jangkaan Daripada Wanita Islam
  • Horr (Pertempuran Karbala)
  • Abu Dzar
  • Islamologi
  • Syiah Merah vs Shiah Hitam
  • Jihad Dan Shahadat
  • Pantulan Islam - Masyarakat ditindas
  • Satu Pesanan Untuk Para Pemikir
  • Menunggu Penyelamat
  • Fatimah
  • Falsafah Rayuan
  • Agama lawan Agama
  • Lelaki Dan Islam - "Manusia Moden Dan Penjara-penjaranya"

Pautan luar sunting