Anjing gembala Karst

baka anjing dari Slovenia

Anjing gembala Karst[a] atau anjing Karst[b] ialah satu baka anjing daripada jenis anjing penjaga haiwan ternakan yang berasal dari Slovenia.[1][2] Baka ini diiktiraf oleh Persekutuan Kinologi Antarabangsa.

Anjing gembala Karst
Nama ringkasAnjing Karst
Negara asalSlovenia
Anjing (Canis lupus familiaris)

Penampilan sunting

Anjing gembala Karst bersaiz sederhana, berharmoni, tegap, memiliki perototan cukup berkembang, dan tubuh kuat. Ekor dan telinganya tergantung. Panjang tubuh mengikut perkadaran dengan ketinggian pada paras kelasa patut tidak kurang daripada 9:8. Tengkoraknya lebih panjang sedikit (13–14 cm atau 5.1–5.5 in) daripada muncung (11–12 cm atau 4.3–4.7 in). Lebar tengkoraknya (13 hingga 14 cm atau 5.1 hingga 5.5 in) adalah sama dengan panjangnya.

Bulunya cukup lengkap, panjang, rata, dengan lapis bulu bawah lebat. Kepala, pinggir hadapan telinga, dan bahagian hadapan tungkai dilitupi dengan rambut pendek. Pinggir belakang telinganya mempunyai bulu lebih panjang dan lebih lentur. Di bahagian atasnya, leher mempunyai bulu panjang, kaku, dan sangat lebat membentuk surai; di bahagian bawahnya, bulu lebih panjang dan lebih lentur yang membentuk lingkaran leher yang lebih lebar di set leher. Batang tubuh dan perut mempunyai bulu panjang yang menjadi kurang keras pada perut. Ekornya selalu lebat, tidak membentuk jumbai. Di sisi belakang sukuan hadapan, bulu panjang adalah sangat lentur sehingga membentuk pinggir. Di sisi belakang sukuan belakang, bulunya malah lebih panjang dan lebat sehingga membentuk kulot. Panjang lapis bulu atasnya sekurang-kurangnya 10 sentimeter (3.9 in).

Lapis bulunya berwarna kelabu besi; terutamanya di atas belakang, cahaya warna gelap lebih diutamakan; ke arah perut dan anggota tubuh, warna berubah tanpa peralihan terlihat kepada warna kelabu muda atau pasir, dengan jalur gelap pada bahagian hadapan anggota tubuh. Topeng gelap pada muncung memanjang ke tengkorak. Di bahagian belakang kepala, warnanya bersempadan dengan bulu kelabu atau pasir atau perang kekuning-kuningan pudar yang bertindih dengan hitam.

Ketinggian pada paras kelasa untuk jantan ialah 57–63 cm (22–25 in) dengan saiz unggulh 60 sentimeter (24 in) dan beratnya ialah 30–42 kg (66–93 lb). Betina adalah setinggi 54–60 cm (21–24 in) dengan saiz unggul 57 sentimeter (22 in) dan beratnya ialah 25–37 kg (55–82 lb).

Perangai sunting

Piawaian baka memerihalkan anjing ini sebagai anjing yang mempunyai perangai tajam dan keindividuan kuat, tidak meyakini orang asing. Ia merupakan anjing pengawal bagus. Seperti semua anjing besar, anjing gembala Karst perlu tersosialisasi dengan baik semasa masih muda, dengan orang jika anjing berkenaan ingin diniatkan sebagai teman, dan dengan haiwan ternakan jika anjing berkenaan diniatkan sebagai penjaga. Jika latar belakang baka ini diambil kira, dan jika anjing berkenaan tersosialisasi dan terlatih dengan baik, ia dapat menjadi anjing keluarga baik. Perangai setiap anjing mungkin berbeza-beza.

Sejarah sunting

 

Anjing gembala Karst dinamai sempena Penara Karst di Slovenia dan lebih umumnya sempena landskap Karst yang memanjang ke Croatia dan sebahagiannya di Bosnia dan Herzegovina, dari Teluk Trieste ke Alp Dinara. Kebanyakannya dibiakbakakan di Slovenia dan di Istria di Croatia. Jenis leluhur bagi baka zaman moden mengembara dengan gembala melalui kawasan ini dan kemungkinan besar datang dengan pastoralis nomad purba. Pada tahun 1689, ahli etnografi Johann Weikhard von Valvasor menyebut anjing gembala di kawasan ini dalam karya beliau Die Ehre deß Hertzogthums Crain dan memerihalkan anjing-anjing ini sebagai anjing kuat dan tidak takut dari kawasan Pivka.[3] Pada abad ke-20, apabila anjing gembala baka tempatan mula didokumenkan sebagai baka moden, ia mula-mula dirujuk sebagai anjing gembala Illyria (1939). Anjing gembala Karst dan anjing Pergunungan Šar dianggap sebagai Jenis A dan B bagi anjing gembala Illyria Persekutuan Kinologi Yugoslavia untuk tempoh tertentu, yang membawa kepada beberapa kes penyilangan antara kedua-dua baka. Selepas membandingkan anjing tipikal kedua-dua "Jenis", persekutuan itu mengiktiraf anjing gembala Karst dan anjing Pergunungan Šar sebagai dua baka berbeza pada tahun 1968.[1]

Persekutuan Kinologi Antarabangsa mengiktiraf baka ini dalam Kumpulan 2, Seksyen 2.2 baka Molossoid-Jenis gunung, nombor 278.[4] Baka ini juga telah dieksport ke Amerika Syarikat dengan pengiktirafan oleh United Kennel Club dalam Kumpulan Anjing Penjaga. Baka ini juga diiktiraf oleh pelbagai kelab kenel kecil dan perniagaan pejabat pendaftaran anjing berdasarkan Internet dan dipromosikan sebagai baka jarang untuk mereka yang mencari haiwan peliharaan unik.

Semasa abad ke-20, terdapat beberapa tempoh apabila bilangan anjing gembala Karst adalah rendah. Dalam kebimbangan tentang pembiakbakaan dalam, keputusan telah dibuat untuk memperkenalkan seekor anjing Newfoundland jantan tunggal ke dalam populasi.[5] Jumlah bilangan (termasuk anak anjing, anjing yang dimandulkan, dan anjing yang tidak sesuai untuk pembiakbakaan) anjing gembala Karst pada tahun 2008 dianggarkan antara 600 ekor dengan 700 ekor.[6]

Program pembiakbakaan diterima pada tahun 2009 untuk meningkatkan bilangan anjing, meningkatkan ciri-cirinya, dan memulihara kepelbagaian genetiknya. Untuk mengelakkan kesan bapa popular, setiap bapa anjing dapat membapai 3 perinduk, bapa anjing mesti tidak berkaitan dengan ibu anjing (tiada moyang bersama), jarak genetik antara pasangan anjing mesti lebih tinggi daripada 0.45. Anjing dengan penyakit boleh waris, ciri fizikal dan tingkah laku tidak tipikal dikecualikan daripada program. Pengecualian mungkin dilakukan dengan keizinan DLVKOS.[7]

Lihat juga sunting

Catatan sunting

  1. ^ Jawi: انجيڠ ݢمبالا کرست; Slovene: kraški ovčar,  listen ; bahasa Inggeris: Karst shepherd dog; Karst shepherd
  2. ^ Jawi: انجيڠ کرست; Slovene: kraševec,  listen 

Rujukan sunting

  1. ^ a b "FCI-Standard N° 278 KARST SHEPHERD DOG (Kraski Ovčar)" [Piawaian FCI No. 278 Anjing Gembala Karst] (pdf). Persekutuan Kinologi Antarabangsa (dalam bahasa Inggeris). Diterjemahkan oleh Peggy Davis. Disemak oleh Pn. Sporre-Willes dan En. Triquet. 22 Ogos 2001. Dicapai pada 9 Januari 2024.CS1 maint: others (link)
  2. ^ Kraševec Journal (ISSN C504-9644), 2009, jilid 18/19., halaman 3–9
  3. ^ Vajkard Valvasor, Janez (1978) [1689]. "O živalih na Kranjskem, zlasti o tako imenovanem". Slava Vojvodine Kranjske (dalam bahasa Slovenia). III. Rastline, rudniki, rudnine, živali, ptiči, ribe itd. dežele Kranjske. Ljubljana: Mladinska knjiga. m/s. 80.
  4. ^ Fédération Cynologique Internationale Group 2 (Inggeris)
  5. ^ Kraševec Journal (ISSN C504-9644), 2009, jil. 18/19., halaman 3-9.
  6. ^ http://www.dlvkos.si/index.php?option=com_content&task=view&id=18&Itemid=37 Perihal baka pendek
  7. ^ Kraševec Journal (ISSN C504-9644), 2009, jilid. 18/19, Lampiran

Pautan luar sunting