Anjing pemburu Jerman

baka anjing dari Jerman

Anjing pemburu Jerman[a] ialah satu baka anjing yang berasal dari Westfalia, sebuah wilayah di Jerman. Anjing pemburu Jerman merupakan anjing jenis anjing pemburu bau yang digunakan untuk kedua-dua buruan besar dan kecil.

Anjing pemburu Jerman
Anjing pemburu Jerman dari tahun 1915
Nama lainAnjing pemburu Olpe
Anjing pemburu Westfalia
Negara asalJerman
Anjing (Canis lupus familiaris)

Penampilan sunting

 

Anjing pemburu Jerman ialah hound kecil yang setinggi 40–53 cm (16–21 in) pada paras kelasa dengan telinga layu panjang dan ekor panjang dan tipis. Ia dibezakan dengan kepala panjang yang agak sempit dan tubuh segi empat tepat yang disebut "elegan".[1]

Lapis bulunya keras, hampir kejur, berbulu pendek, biasanya triwarna (antara merah dengan kuning dengan mantel hitam), dengan tanda-tanda putih yang dipanggil tanda-tanda Bracken - muncung, dada, tungkai, kolar, dan hujung ekor putih, dan takik di kepala.[2][3]

Sejarah sunting

Pada tahun 1986, Deutscher Bracken Club, yang merangkumi semua jenis tempatan bagi bracke di Jerman barat laut, Ditubuhkan di Olpe. Baka-baka ini bergabung pada tahun 1900 sebagai satu baka secara rasmi dinamai deutsche Bracke.[2][3] Baka ini dahulu dipanggil dengan beragam-ragam nama rantauan lama seperti Olper Bracke ("anjing pemburu Olpe"), Sauerländer Bracke ("anjing pemburu Sauerland"), dan westfälische Bracke ("anjing pemburu Westfalia") dan jenis-jenis tempatan lain kini berbaur menjadi satu baka. Baka-baka bracke yang ada kini hanya di kawasan itu merupakan anjing pemburu Jerman dan anjing pemburu bejar Westfalia.[1] Anjing pemburu bejar Westfalia ialah anjing bertungkai pendek, mungkin silangan antara bracke dengan dachshund.[4]

Perburuan dengan bracke pada zaman awal dilakukan dengan para pemburu berkuda yang mengikuti anjing, seperti yang dikembangkan oleh Orang Celt purba yang mengejar rusa dan pemburu rubah zaman moden. Satu lagi sukan yang dikembangkan pada abad ke-16 tidak memerlukan penggunaan kuda dan kenel besar, dan menggunakan senjata api, yang dipanggil brackade. Hound yang berburu dalam cara ini bersungguh-sungguh mengikuti buruan sementara menyuarakan lolongan untuk berkomunikasi dengan pemburu tentang kedudukan anjing dan jenis buruan yang diikuti olehnya. Kini, anjing pemburu Jerman biasanya digunakan untuk memburu rusa, namun juga arnab dan rubah. Kerap juga ia berburu bersendirian sebagai anjing pemburu bercawak untuk berburu di kawasan lebih kecil.[5] Ruang yang diperlukan untuk berburu untuk sekawan 'hound, sebagaimana yang disebut oleh kelab baka, ialah kawasan minimum 1,000 ha (2471 ekar).[6] Yang berkaitan dengan perburuan dengan bracke ialah penggunaan tanduk untuk berkomunikasi dengan anjing sebagai suatu adat yang berterusan sampai kini.

 
Tanduk perburuan yang digunakan untuk berkomunikasi dengan anjing pemburu

Anjing pemburu Jerman diiktiraf oleh Verband für das Deutsche Hundewesen (Kelab Kenel Jerman) melalui Deutscher Bracken Club yang ditubuhkan pada tahun 1896 dan masih berlangsung kini, dan menyelia pembiakbakaan dan ujian perburuan, serta pemuliharaan tradisi perburuan bracke.[7] Anjing pemburu Jerman merupakan bracke pertama yang didaftarkan sebagai baka tersendiri, pada tahun 1900, dan oleh Persekutuan Kinologi Antarabangsa sebagai baka nombor 299 dalam Kumpulan 6 (Anjing Pemburu Bau), Seksyen 1.3 (Hound Bersaiz Kecil).[2][3] Antara kelab kenel besar di dunia berbahasa Inggeris, hanya United Kennel Club di Amerika Syarikat mengiktiraf anjing pemburu Jerman dalam Kumpulan Anjing Pemburu Bau-nya. Anjing pemburu Jerman mungkin juga diiktiraf oleh mana-mana pejabat pendaftaran kecil, kumpulan baka jarang, kelab perburuan, dan perniagaan pejabat pendaftaran berdasarkan Internet atas nama aslinya, nama purba yang usang, terjemahan bagi namanya, atau variasi bagi namanya. Anjing pemburu Jerman hanyalah anjing pemburu dan jarang terlihat di luar tanah airnya.[1] Di luar tanah airnya, pembeli bagi anjing yang diwakili sebagai anjing pemburu Jerman patut menyelidik latar belakang anjing berkenaan, terutamanya jika ia berdaftar dengan salah satu kelab kecil yang tidak memerlukan pendokumenan atau hanya memerlukan sedikit pendokumenan sebelum menerima anjing atau perinduk untuk pendaftaran.

Nama sunting

Dahulunya, istilah Bracke digunakan dalam bahasa Jerman untuk memaksudkan anjing pemburu bau. Brack ialah kata usang bahasa Jerman Hilir untuk rawang pinggir laut yang secara berkala ditenggelami oleh pusuan ribut dengan air masin (berkaitan dengan kata Inggeris brackish, "payau").[8] Di Eropah, anjing pemburu bau biasanya terbahagi kepada anjing pemburu berlari (kawanan bebas berlari, yang sama ada menggiring buruan kembali kepada pemburu, atau pemburu ikut sekali dengan anjing yang berlari, atau pemburu menunggu sehingga lolongan anjing menyampaikan pesanan bahawa buruan telah ditemukan dan ditahan, dan kemudian menuju ke tempat berkenaan) atau anjing pemburu bercawak (yang mengikuti buruan atau menjejak buruan tercedera atau mati sementara dicawak oleh pemburu). Bracke biasanya digunakan sebagai anjing pemburu berlari, dalam kawanan, untuk memburu arnab atau rubah dalam jenis perburuan yang dipanggil Brackade.

Kesihatan dan perwatakan sunting

Tiada masalah kesihatan luar biasa atau dakwaan kesihatan luar biasa yang telah didokumenkan untuk baka ini. Menurut kelab baka asli Jermannya, walaupun ia merupakan anjing pemburu, ia penyayang dan menerima manfaat daripada kehidupan dengan keluarga berbanding dengan di kenel. Ia merupakan anjing penjejak yang sangat tekun dengan deria haluan yang bagus.[6]

Baka berkaitan sunting

Anjing pemburu Jerman (deutsche Bracke) berkaitan dengan anjing pemburu bejar Westfalia (westfälische Dachsbracke) dan drever yang juga dipanggil anjing pemburu bejar Sweden (dachsbracke Sweden). Anjing pemburu Finland (Finnenbracke) adalah dari Finland. Anjing pemburu bejar Alp (alpenländische Dachsbracke) adalah dari Tirol, di Austria, sebagaimana anjing pemburu Tirol (Tiroler Bracke) juga begitu.

Lihat juga sunting

Catatan sunting

  1. ^ Jawi: انجيڠ ڤمبورو جرمن; Jerman: deutsche Bracke; bahasa Inggeris: German hound

Rujukan sunting

  1. ^ a b c Clark, Anne Rogers; Andrew H. Brace (1995). The International Encyclopedia of Dogs (dalam bahasa Inggeris). Howell Book House. m/s. 202. ISBN 0-87605-624-9.
  2. ^ a b c "FCI - Standard Nr. 299 DEUTSCHE BRACKE" [Piawaian FCI No. 299 Anjing Pemburu Jerman] (pdf). Persekutuan Kinologi Antarabangsa (dalam bahasa Jerman). 15 September 1997. Dicapai pada 29 Disember 2023.
  3. ^ a b c "FCI-Standard N° 299 DEUTSCHE BRACKE (German Hound)" [Piawaian FCI No. 299 Anjing Pemburu Jerman] (pdf). Persekutuan Kinologi Antarabangsa (dalam bahasa Inggeris). Diterjemahkan oleh C. Seilder. Disemak oleh Dr. Paschoud. 15 September 1997. Dicapai pada 29 Disember 2023.CS1 maint: others (link)
  4. ^ "Historie, Deutscher Bracken Club" [Sejarah, Deutscher Bracken Club] (dalam bahasa Jerman). Diarkibkan daripada yang asal pada 30 Julai 2009. Dicapai pada 29 Disember 2023.
  5. ^ "Jagd mit der Bracke" [Perburuan dengan Bracke] (dalam bahasa Jerman). Diarkibkan daripada yang asal pada 26 Februari 2009. Dicapai pada 29 Disember 2023.
  6. ^ a b "Die Deutsche Bracke" [Anjing Pemburu Jerman] (dalam bahasa Jerman). Diarkibkan daripada yang asal pada 26 Februari 2009. Dicapai pada 29 Disember 2023.
  7. ^ "Verband für das Deutsche Hundewesen" (dalam bahasa Jerman). Diarkibkan daripada yang asal pada 17 Julai 2011. Dicapai pada 29 Disember 2023.
  8. ^ "Scharze Brack und der Deichbau" (dalam bahasa Jerman).