Apple IIe ialah model ketiga dalam siri komputer peribadi Apple II yang dikeluarkan oleh syarikat Apple Computer. e dalam namanya membawa pengertian enhanced dalam bahasa Inggeris, iaitu tertingkat, dan merujuk kepada sebilangan ciri yang popular yang kini dibina ke dalam komputer. Sebelum pengenalan komputer Apple IIe, ciri-ciri tersebut hanya dibekalkan sebagai tingkatan atau tokokan. Syarikat Apple juga memperbaik kebolehkembangannya serta juga menambah sebilangan ciri yang baharu yang bersama-sama menghasilkan sebuah mesin serba guna yang amat menarik. Apple IIe ialah komputer yang paling lama hayatnya dalam sejarah Apple, selepas dikilangkan dan dijual selama hampir 11 tahun tanpa banyak perubahan.

A Apple IIe
Apple IIe
Pengilang Apple Computer
Diperkenalkan Januari 1983
Ditamatkan November 1993
Harga AS$1298
CPU 6502 / 65C02, 1.023 MHz
RAM 64 KB (sehingga 1 MB+),
OS ProDOS

Latar belakang Apple IIe sunting

Sebenarnya, syarikat Apple telah merancang untuk menamatkan siri Apple II selepas pengenalan komputer Apple III pada 1980. Malangnya, Apple III gagal dalam pasaran dan pengurusan Apple kemudian memutuskan untuk meneruskan pengeluaran Apple II atas kepentingan syarikat. Oleh itu, selepas terhenti selama tiga tahun setengah, komputer Apple IIe dilancarkan pada bulan Januari 1983 sebagai pengganti kepada Apple II Plus. Sesetengah ciri perkakasan dan perisian Apple III turut dipindahkan ke dalam reka bentuk komputer Apple IIe.

Pengenalan baharu dalam Apple IIe sunting

Perubahan-perubahan Apple IIe yang terpenting termasuk:

Komputer Apple IIe datang dengan ingatan capaian rawak (RAM) 64 KB, dan memiliki slot tambah untuk menambah lebih banyak ingatan melalui kad RAM pensuisan bank. Melalui slot itu, komputer Apple IIe juga membekalkan sokongan terbina untuk paparan teks 80-lajur pada monitor komputer. Dengan berlangsungnya masa, lebih banyak ingatan dapat ditambahkan melalui kad-kad pihak ketiga. Sebuah rutin diagnostik ROM juga dibekalkan untuk menguji dan mengesan kerosakan papan ibu serta juga untuk menguji bank utama ingatan komputer tersebut.

Reka bentuk Apple IIe menurunkan kos pengeluaran serta memperbaik kebolehpercayaannya menerusi penggabungan fungsi sebilangan litar bersepadu (IC) lambak menjadi cip-cip terlanggan yang tunggal. Dengan reka bentuk papan ibu yang lebih kemas, terdapat ruang yang mencukupi untuk menambah penyambung pin bagi pad kekunci angka luar (tidak wajib). Juga ditambahkan ialah penyambung kayu bedik DE-9 yang memudahkan para pengguna menambah dan mengeluarkan peranti permainan dan peranti input. Komputer Apple IIe mengekalkan keserasian ke belakang yang penuh dengan kedua-dua model Apple II yang dahulu, serta membenarkan kebanyakan perkakasan dan perisian sistem-sistem tersebut digunakan.

Dikeluarkan dari Januari 1983 hingga November 1993, komputer Apple IIe tidak mengalami banyak perubahan pada sepanjang hayatnya. Syarikat Apple menggantikan mesin yang asal dengan Apple Enhanced IIe pada bulan Mac 1985, akan tetapi komputer ini adalah tepat sama dengan mesin yang dahulu, melainkan perubahan empat cip papan ibunya. Pada bulan Januari 1987, Platinum IIe, versi Apple IIe yang terakhir, dilancarkan. Sebahagian besar perubahan dalam versi ini hanya merupakan pengubahsuaian kosmetik untuk memodenkan rupa mesin semata-mata. Model Apple IIe yang terakhir itu ditamatkan pada November 1993 dan dengan itu, menamatkan seluruh barisan keluarga Apple II secara rasmi.

Lihat juga sunting

Pautan luar sunting