Armenia (Bahasa Armenia: Հայաստան Hayastan), atau nama rasminya Republik Armenia (Bahasa Armenia: Հայաստանի Հանրապետություն, Hayastani Hanrapetut'yun) ialah sebuah negara yang terletak di selatan Pergunungan Kaukasus antara Laut Hitam dan Laut Kaspia di Asia Barat.[5][6] Keseluruhannya dikelilingi daratan. Negara ini bersempadan dengan negara-negara Asia lain iaitu Turki di barat, Georgia di utara, Artsakh dan Azerbaijian di timur, serta Iran dan Nakhichevan di selatan.[7] Namun begitu, negara ini bercita-cita untuk menyertai Kesatuan Eropah.

Republik Armenia
‏ريڤوبليك ارمينيا‎‎
Հայաստանի Հանրապետություն
Hayastani Hanrapetutyun
Bendera Armenia
Jata Armenia
Bendera Jata
Cogan kata
Մեկ Ազգ , Մեկ Մշակույթ
Mek Azg, Mek Mshakowyt
"Satu Negara, Satu Budaya"
Lagu kebangsaanMer Hayrenik
("Tanah Bapaku")
Lokasi Armenia
Ibu negara Yerevan1
Bandar terbesaribu kota
Bahasa rasmiBahasa Armenia
KerajaanRepublik berparlimen
• Presiden
Vahagn Khachaturyan (Վահագն Խաչատուրյան)
Nikol Pashinyan (Նիկոլ Փաշինյան)
Kemerdekaan 
• Diisytihar
23 Ogos 1990
• Diiktiraf
21 September 1991
• Dirasmikan
25 Disember 1991
• Penubuhan tradisional
dari Negara Armenia
11 Ogos 2492 SM
• Kerajaan Urartu ditubuhkan
1000 SM
• Kerajaan Armenia ditubuhkan
600 SM
• Agama Kristian diterima secara rasmi
301 M
28 Mei 1918
• Perairan (%)
4.71
Populasi
• Perkiraan 2022
Neutral decrease 3,000,756[1] (ke-138)
101.5/km2 (262.9/sq mi)
KDNK (PPP)2023
• Jumlah
$57.740 billion[2] (ke-115)
$19,489[2] (ke-81)
KDNK (nominal)2023
•  Jumlah
$23.725 billion[2] (ke-115)
$8,008[2] (ke-85)
Gini (2019)positive decrease 29.9[3]
rendah
HDI (2021) 0.759[4]
tinggi · ke-85
Mata wangDram
(AMD)
Zon waktuUTC+4 (UTC)
• Musim panas (DST)
UTC+5 (DST)
Kod panggilan+374
Kod ISO 3166AM
DPT internet.am
1 Kadang kala dieja sebagai "Erevan", "Jerevan", atau "Erivan".
2 Kedudukan berdasarkan anggaran populasi PBB.

Armenia ialah sebuah negara bangsa satuan demokratik dengan sistem berbilang parti dan mempunyai warisan budaya yang mendalam. Kerajaan Urartu diasaskan pada 860 SM dan menjelang abad ke-6 SM digantikan dengan Kesatrapan Armenia. Kerajaan Armenia mencapai zaman kegemilangannya di bawah pemerintahan Tigran Agung pada abad pertama SM dan merupakan negara pertama di dunia yang memeluk agama Kristian sebagai agama rasmi, pada akhir abad ke-3 atau awal abad ke-4 TM.[8][9][10] Tarikh rasmi pemelukan Kristian ialah 301 TM.[11] Kerajaan purba Armenia terpisah di bawah Empayar Byzantium dan Sasan sekitar awal abad ke-5. Di bawah wangsa Bagratuni, Kerajaan Bagratuni Armenia dipulihkan pada abad ke-9. Apabila kerajaan tersebut merosot akibat perang menentang Empayar Byzantine, ia jatuh pada tahun 1045 dan Armenia kemudiannya dijajah Empayar Saljuk. Sebuah kerajaan kecil Armenia, dan selanjutnya kerajaan Armenia Kilikia, bertempat di persisiran Laut Mediterranean antara abad ke-11 dan ke-14.

Antara abad ke-16 dan 19, tanah air diduduki masyarakat Armenia terdiri daripada Armenia Timur dan Armenia Barat yang disatukan di bawah pemerintahan kuasa-kuasa Uthmaniyah dan Parsi, berbalik-balik antara deduanya selama berabad-abad lamanya. Setelah abad ke-19, Armenia Timur telah ditawan oleh Empayar Rusia, manakala kebanyakan bahagian barat Armenia kekal dalam tangan Uthmaniah. Semasa Perang Dunia Pertama, Lamender yang tinggal di tanah asal mereka dalam Empayar Uthmaniah dibunuh habis-habisan sehingga banyak yang melarikan diri. Pada tahun 1918, selepas peristiwa Revolusi Rusia, semua negara bukan milik Rusia mengisytiharkan kemerdekaan mereka berikutan penghapusan Empayar Rusia, sambil ini juga Republik Pertama Armenia diasaskan. Menjelang 1920, negara tersebut digabungkan ke dalam Republik Sosialis Persekutuan Soviet Transkaukasia, dan pada tahun 1922 ia menjadi salah sebuah anggota pengasas Kesatuan Republik Sosialis Soviet. Pada tahun 1936 pula, persekutuan Transkaukasia dibubarkan, mengubah negara-negaranya, termasuklah Republik Sosialis Soviet Armenia, menjadi republik Kesatuan penuh. Republik Armenia yang moden merdeka pada tahun 1991 semasa pembubaran Kesatuan Soviet.

Armenia mengiktiraf suatu aliran agama Kristian yang tersendiri iaitu Gereja Hawari Armenia, gereja kebangsaan tertua di dunia, sebagai anutan rasmi negara mereka; walau bagaimanapun, pemerintah republik mengiktiraf pemisahan di antara agama dan negara. Abjad Armenia dicipta oleh Mesrop Mashtots pada tahun 405 TM.

Armenia ialah anggota Kesatuan Ekonomi Eurasia, Majlis Eropah dan Pertubuhan Persetiaan Keselamatan Bersama (ODKB atau Pakatan Tashkent). Armenia juga menyokong Artsakh yang diisytiharkan bebas pada 1991.

Etimologi sunting

Nama asal Armenia dalam bahasanya ialah Հայք (Hayk’) namun ia jarang digunakan. Namanya kini ialah Հայաստան (Hayastan) dan menjadi popular semasa Zaman Pertengahan dan ditambah imbuhan Parsi -stan yang bermaksud "tempat". Akan tetapi asal-usul nama Hayastan dijejak lebih jauh lag dan ada disebut sekitar abad ke-5 dalam karya-karya oleh Agathangelos,[12][13] Faustus dari Byzantium,[14][15] Ghazar Parpetsi,[16] Koryun,[17] dan Sebeos.[18]

Nama itu pada asalnya terbit daripada Hayk (Հայկ), seorang bapa agung Lamender yang dikatakan ialah cicit Nuh, yang menurut seorang penulis dari abad ke-5 TM Movses Khorenatsi telah menewaskan raja Bel dari Kerajaan Babilon pada 2492 SM dan mentadbirkan negeri itu di Ararat.[19] Asal nama tersebut pula tidak diketahui. Ada yang mengandaikan[20][21] bahawa nama Hay itu datang daripada dua negeri perlindungan Hit gabungan - Hayasya-Azzi (1600 - 1200 SM).

Nama asing Armenia diperakui dalam Inskripsi Behistun dalam bahasa Parsi Kuno (515 SM) sebagai Armina (         ). Perkataan Yunani Kuno Ἀρμενία (Armenía) dan Ἀρμένιοι (Arménioi, "orang Armenia") pertama kalinya disebut oleh Hekataios dari Miletos (s. 550 - s. 476 SM).[22] Xenophon, seorang jeneral Yunani yang berkhidmat dalam ekspedisi Parsi, menceritakan tentang pelbagai aspek hidup perkampungan Armenia dan layanan baik mereka sekitar tahun 401 SM.[23]

Sesetengah cendekiawan mengaitkan nama Armenia dengan negeri Armani (Armanum, Armi) dari Zaman Gangsa Akhir ataupun negeri Arme (Syupria).[24] Hubungan ini tidak disepakati kerana bahasa yang digunakan dalam kerajaan-kerajaan ini tidak diketahui. Tambahan pula, walaupun Arme memang terletak di belah barat Tasik Can (makanya dalam wilayah Armenia besar), lokasi tapak lama Armani masih lagi diperbahaskan. Sesetengah pengkaji meneka ia di kawasan sama dengan Arme, kini berdekatan Samsat,[25] dan mengusulkan bahawa ia pernah diduduki, tidakpun sebahagiannya, oleh bangsa yang bertutur dalam bahasa Indo-Eropah.[26] Bumi Ermenen (terletak dalam atau berdekatan Mannai), disebut oleh raja Mesir Thutmose III pada tahun 1446 SM, juga diduga merujuk kepada Armenia.

Menurut riwayat sejarah Movses Khorenatsi dan Michael Chamchian, Armenia terbit daripada nama Aram, seorang keturunan sezuriat Hayk.[27][28] Senarai Keturunan Nuh yang merujuk Kitab Kejadian 10 mendaftarkan Aram sebagai anak lelaki Sem, di mana Kitab Yobel memperakui,

"Dan bagi Aram datang pula bahagian keempat, seluruh tanah Mesopotamia antara Sungai Dajlah dan Furat ke utara Khaldi ke sempadan pergunungan Asyur dan tanah Arara.[29][30]"

Yobel 8:21 juga membahagikan Pergunungan Ararat kepada Sem, di mana Yobel 9:5 menerangkan akan dibahagikan kepada Aram.[29][30] Sejarawan Flavius Josephus juga menulis dalam Antiquitates Iudaicae (Sejarah Kuno Orang Yahudi),

"Aram mempunyai keturunan Aram, yang orang Yunani panggil sebagai orang Suriah;... Daripada empat anak lelaki Aram, Uz mengasaskan Trakhonitis (Lajat) dan Damsyik: negeri ini terletak di antara Palestin dan Kelesuriah. Ul mengasaskan Armenia; dan Mengumpulkan orang Baktria; dan Mesa pula orang Mesanai; sekarang ia dipanggil Kharaks Spasini."[31]

Dalam bahasa Melayu, orang Armenia disebut sebagai Lamender.[32] Dalam Tata Bahasa Melayu tulisan D. Gerth van Wijk, diterbit oleh Penerbit Djambatan, ia mencatatkan asal-usul perkataan itu daripada pencemaran bunyi oleh orang Betawi, melalui bahasa Portugis:

"Dalam bahasa Portugis kata ini adalah armario; perubahan dari bunyi r menjadi l dan sebaliknya sering kali terjadi dan ... peralihan suku kata pertama al menjadi la. Misalnya kata Armeniaan di Betawi (Jakarta) menjadi Almender dan dari sini pula timbul Lamender."[33]

Sejarah sunting

Legenda menyatakan bahawa orang Armenia berasal daripada keturunan Hayk cicinda Nuh yang terdampar bersama bahteranya di Gunung Ararat selepas peristiwa banjir besar. Berikutan tradisi ini, orang Armenia memanggil nama negara mereka sebagai Hayastan. Sebaliknya, ahli sejarah menjejaki asal usul keturunan bangsa ini antara tahun 1500 dan 1200 SM apabila munculnya satu kumpulan puak yang dikenali sebagai Hayasa-Azzi. Puak tersebut telah mendiami kawasan yang pada hari ini terdapat di bahagian barat Dataran Tinggi Armenia. Disebabkan oleh kedudukan lokasi kediaman mereka berhampiran dengan Empayar Hittite, konflik antara kedua-dua pihak ini sering berlaku sehingga akhirnya Hittite berjaya mengalahkan Hayasa-Azzi pada akhir Zaman Gangsa.

Kerajaan Urartu sunting

 
Kerajaan Ararat (Urartu) pada zaman Sarduris II, 743 SM.

Antara 1200 dan 800 SM, sebahagian besar kawasan Armenia telah disatukan di bawah satu konfederasi kerajaan yang dikenali oleh orang Assyria sebagai Nairi (Tanah Bersungai). Konfederasi ini kemudiannya diserap ke dalam Kerajaan Urartu, tamadun yang berkembang di Kaucasus dan timur Asia Kecil antara tahun 800 dan 600 SM di samping melambangkan empayar Armenia yang pertama. Kerajaan ini disatukan buat pertama kali oleh Raja Aramu. Keluasan kerajaannya menjangkau dari Laut Hitam ke Laut Kaspia termasuk sebahagian besar wilayah-wilayah yang berada di kawasan timur Turki. Kerajaan ini juga mencapai keluasan terbesar pada zaman pemerintahan Sarduri II yang telah mengembangkan sempadan kerajaannya hinnga ke wilayah-wilayah di sebelah Sungai Tigris dan Euphrates, Tasik Urmia dan Aleppo. Urartu juga sering kali disebut sebagai "Kerajaan Ararat" dalam banyak manuskrip kuno dan teks-teks suci daripada pelbagai bangsa yang silih berganti menggunakan istilah "Armenia" dan "Urartu" untuk merujuk kepada satu negara yang sama. Misalnya, pada Inskripsi Behistun yang diukir dalam tiga bahasa pada tahun 520 SM atas arahan Darius Agung dari Parsi. Negara ini dirujuk sebagai Arminia dalam Parsi Kuno, Harminuia dalam Elam dan Urartu dalam Babylon. Antara lewat kurun ke-7 dan awal kurun ke-6 SM, kerajaan Urartu telah digantikan oleh Kerajaan Armenia yang diperintah oleh wangsa Arwand.

Pemerintahan Parsi, Makaduniah dan kelahiran kerajaan Armenia sunting

 
Utusan pembawa ufti Armenia kepada Empayar Achaemenid

Selepas kejatuhan tamadun Urartu sekitar 600 SM, kerajaan Armenia diperintah oleh dinasti Orontid yang mengukuhkan kekuasannya di Armenia pada masa serangan Scythia dan Medes. Tempoh ini juga menyaksikan orang Armenia mula menerima nama dan adat resam Iran. Orontid berperanan sebagai satrap kepada Empayar Parsi dengan membayar ufti kepada Raja Parsi. Pada tahun 521 SM, apabila pertikaian meledak selepas kematian Cambyses II dari Parsi, orang Armenia bangkit melancarkan pemberontakan tetapi berjaya dipatahkan oleh Darius I dari Parsi yang telah mengalahkan pemberontak-pemberontak.

Selepas penyusunan semula struktur pemerintahan Empayar Parsi, Armenia telah dibahagikan kepada beberapa buah satrap. Satrap Armenia juga menghantar tentera-tentera untuk membantu kempen serangan Xerxes ke atas Yunani pada 480 SM. Pada 401 SM, jalinan rapat antara Armenia dan Parsi telah dileburkan oleh penaklukan Makaduniah. Serangan Alexander Agung telah memusnahkan kerajaan Parsi sekali gus memulakan perkembangan kebudayaan Yunanian yang pantas di seluruh Timur Tengah. Armenia berkongsi nasib yang sama dengan kawasan-kawasan yang lain yang sebelum ini tunduk kepada Parsi dan kini menjadi satrap kepada Empayar Makaduniah. Armenia telah dibahagikan kepada dua bahagian iaitu: Armenia Raya, Sophene (dibentuk di antara kawasan tengah Euphrates dan hulu Tigris sebelum ia dibahagikan lagi di Armenia sendiri dan di Sophene) dan Armenia Kecil atau Armenia Pontica. Takdir sejarah bagi ketiga-tiga kerajaan Armenia ini sangat berbeza. Armenia Kecil menghadapi bencana daripada Kerajaan Pontus yang lebih kuat dan lantas menjadi sebahagian daripadanya dalam jangka masa pendek pada kurun ke-2 SM manakala Sophene pula gagal untuk memperoleh kemerdekaan yang sebenar dengan hanya mampu bertahan pada tempoh masa yang singkat bersama sokongan daripada Kerajaan Cappadocia. Sejarah yang berbeza terlihat pada Armenia (Armenia Raya) yang berkembang dengan pesat dan berhasil untuk tidak bergantung kepada feudal Empayar Seleucid lalu Armenia bangkit menjadi sebuah kerajaan yang kuat dan hebat. Seleucid gagal untuk meluaskan pengaruhnya terhadap Armenia Raya kerana pertama sekali disebabkan oleh bentuk muka bumi semula jadi yang bergunung-ganang. Kelebihan ini dijadikan sebagai sistem pertahanan semula jadi untuk melawan orang-orang Yunani. Sebab kedua pula ialah orang Armenia mempunyai karakter Iran yang kukuh dan berakar umbi dalam budaya mereka. Perkara ini sangat bertentangan dengan pengaruh Yunani.

Kerajaan Armenia kedua sunting

 
Kemuncak keluasan Kerajaan Armenia Raya zaman Tigran Agung.

Pada masa itu, menurut Strabo, populasi Armenia mula berbicara dalam satu bahasa iaitu bahasa Armenia. Semasa balatentera Rom memusnahkan kerajaan Seleukos, Armenia telah mengisytiharkan kemerdekaannya. Pada kemuncak kegemilangannya antara 96 hingga 66 SM, Tigran Agung telah memerintah Armenia daripada Kaukasus hingga ke kawasan timur Turki pada hari ini, ke Syria dan Lubnan, dari Laut Hitam ke Laut Kaspia dan Mediterranean sekali gus Armenia digelar sebagai "Kerajaan Tiga Laut." Empayar Armenia kedua telah pun muncul dan ibu kota kerajaan, Tigranakert masih diselubungi misteri oleh sebab arkeologi moden gagal untuk mencari lokasi sebenar yang tepat. Pada 66 SM, legiun Rom di bawah pimpinan Pompey telah menyerang Armenia Raya sekali gus menyebabkan Tigran terpaksa untuk menyerah kalah dan baginda bersetuju menjadikan pemerintahannya dinaungi kuasa Rom.

 
Raja Tiridat III dibaptiskan oleh Santo Grigor.

Kempen ketenteraan Parthia telah memaksa Armenia untuk tunduk di bawah kekuasaannya pada 37 M sebelum Armenia ditakluk oleh Rom sepuluh tahun kemudian. Namun, Rom kehilangan Armenia tidak lama kemudian. Di bawah pemerintahan Nero, Rom melancarkan kempen lain (55-63 M) untuk menentang Parthia yang telah menceroboh Armenia. Legiun Rom sekali lagi menakluk kawasan itu pada 60 M sebelum tumpas semula pada 62 SM. Akhirnya, Rom menakluk Armenia pada 63 M berikutan kekalahan Parthia dalam Pertempuran Rhandeia. Raja Parthia dipaksa untuk menandatangani perjanjian yang membenarkan adinda baginda, Tiridat menaiki takhta Armenia. Tiridat telah ditabalkan oleh Nero sendiri sekali gus menandakan permulaan pemerintahan wangsa Arsyak.

Pengkristianan Armenia sunting

Pengkristianan Armenia bermula pada kurun ke-4 M dan secara tradisinya bertarikh 301 M. Perkara ini memberi kesedaran kepada orang Armenia yang secara rasminya menjadi orang Kristian yang pertama bahkan sebelum agama Kristian diiktiraf sebagai agama rasmi Empayar Rom.

 
Mesrop Mashtots menerima ilham untuk mencipta huruf Armenia.

Agathangelos telah mengisahkan cerita penganutan agama Kristian ini dengan terperinci dan penuh simbolik. Kisah ini bermula dengan pertemuan dramatik antara dua karakter asas dalam peristiwa ini iaitu Grigor putera Anak dan Raja Tiridat III. Pada mulanya, Grigor telah dipinta sang raja untuk melakukan upacara korban kepada dewi Anahit tetapi dia menolak dengan tegas sambil menyatakan keimanannya kepada Tuhan Kristian. Legenda kemudian menyebut bahawa disebabkan oleh keputusannya itu, Grigor telah diseksa tetapi dengan kuasa Tuhan, ia tidak berjaya. Melihat Grigor bermati-matian mempertahankan keimanannya, raja telah melemparkannya ke dalam perigi yang dalam, gelap, tempat yang sempit dan penuh dengan ular yang mana sebelum ini tiada orang yang pernah terselamat. Namun, Grigor diberi pertolongan oleh seorang balu yang belas kasihan akan dirinya dan membolehkan beliau untuk bertahan di dalam perigi itu buat bertahun-tahun lamanya. Sementara itu, kisah ini seterusnya beralih kepada percubaan yang dibuat oleh Maharaja Diocletianus untuk menggoda Hripsime yang masih lagi dara. Hripsime cuba mencari perlindungan dengan melarikan diri dari Rom bersama sahabatnya ke Armenia. Kecantikan gadis muda itu telah membuatkan Raja Tiridat tertarik lalu membuatkan raja itu jatuh hati dan ingin mendapatkan gadis dara itu. Hripsime berkeras menolak untuk memenuhi keinginan raja itu. Maka, raja bertindak berang lalu menyeksa dan membunuh Hripsime bersama sahabatnya dengan kejam. Sebagai balasan, Tiridat telah berubah menjadi seekor babi hutan dan beliau tidak dapat kembali kepada bentuk manusia melainkan beliau membebaskan Grigor daripada perigi yang telah ditahan selama 13 tahun yang panjang. Akhirnya, raja itu kembali kepada bentuk manusia atas doa Grigor. Seterusnya, Tiridat mengambil keputusan untuk memeluk agama Kristian bersama keluarga dan tentera-tenteranya. Beliau juga bekerja keras untuk mengkristiankan seluruh rakyatnya. Jadi, orang Armenia telah dikristiankan manakala agama Kristian diangkat sebagai agama rasmi negara. Sementara itu, Grigor menjalani upacara pentahbisan keuskupan di Caesarea. Beliau kemudiannya bersama dengan Tiridat menjelajah ke seluruh negara untuk memusnahkan tempat penyembahan pagan dan membina gereja-gereja Kristian. Oleh kerana Grigor mempunyai gambaran terhadap Yesus Kristus, sebuah gereja telah dibina di kampung Vagarshapat. Tempat ini seterusnya mengambil nama Etchmiadzin iaitu tempat di mana "yang diperanakkan turun" merujuk kepada peristiwa keajaiban Yesus yang akan turun ke bumi. Paderi-paderi pagan dididik dengan agama baru dan menjadi menteri kerajaan manakala anak-anak mereka membentuk teras untuk menjadi paderi sebelum melangkah ke alam kebiaraan. Kemudian, Grigor mengundur diri menjadi seorang pertapa di kawasan terpencil. Anak bongsunya, Aristakes ditahbiskan menjadi uskup dan kemudiannya juga menjadi ketua Gereja Hawari dan mengambil bahagian dalam Majlis Nicea.

Penciptaan abjad Armenia dilakukan pada satu kurun berikutnya selepas pengkristian Armenia. Mesrop Mashtots telah memperkenalkan huruf Armenia pada 404 M dan dua peristiwa ini penting ini telah menyelamatkan identiti dan budaya Armenia selama berabad-abad lamanya meskipun menghadapi peristiwa sejarah yang pahit.

Byzantine, Arab dan Seljuk sunting

Pada tahun 591, balatentera Byzantium pimpinan Maharaja Mauricius telah menewaskan Parsi dan berjaya merebut sebahagian besar wilayah Armenia untuk digabungkan ke dalam empayar baginda. Kempen penaklukan Armenia telah disempurnakan berikutnya oleh Maharaja Heraclius pada tahun 629. Namun pada tahun 645, tentera Arab Muslim telah menyerang dan menakluk Armenia. Jadi, Armenia yang pernah berada di bawah pemerintahan Parsi dan Byzantine kini menjadi wilayah kekuasaan Khilafah. Dikenali sebagai Emiriah Armenia (Arminiya), kawasan itu diperintah oleh seorang putera yang diiktiraf oleh Byzantium. Kerajaan ini berpusat di Dvin yang tidak jauh daripada Yerevan (dalam kerajaan Bagarat). Sejak daripada itu, terdapat tekanan diterima oleh orang Armenia untuk memeluk agama Islam. Namun, satu persetujuan telah disepakati bahawa orang Armenia dibenarkan untuk meneruskan pengamalan agama Kristian mereka.

 
Sevanavank terdiri daripada Surp Arakelots (kiri) dan Surp Astvatsatsin (kanan)

Pada tahun 884, putera Armenia dapat mengembalikan kemerdekaannya dan ia bertahan sehingga tahun 1045 apabila mereka akhirnya tunduk semula kepada kekuasaan Byzantine. Pada masa itu, Armenia menghadapi pembaharuan politik, ekonomi dan kebudayaan. Ibu kota baharu telah ditubuhkan di Ani yang memiliki populasi sebanyak 200 ribu orang dan mempunyai 1001 buah gereja. Malahan pada masa itu juga, populasi penduduk di ibu kota Eropah tidak mencecah 20 ribu orang. Hasil pembinaan kota Ani, Armenia menjadi sebuah negara yang makmur dan pesat sambil mempengaruhi negara-negara jiran terutamanya dalam bidang politik. Namun, sistem feudal secara perlahan-lahan telah melemahkan negara dan menghakis kesetiaan kepada kerajaan pusat.

Pada tahun 1071, selepas kekalahan Empayar Byzantine kepada Turk Seljuk pimpinan Alp Arslan dalam Pertempuran Manzikert, kawasan Armenia Raya telah ditakluk. Untuk menyelamatkan diri daripada dibunuh dan diperhambakan, ribuan keluarga telah meninggalkan Armenia untuk menetap di bumi asing seperti di Cilicia dan Poland. Salah seorang daripadanya ialah Rupen, saudara kepada Gagik II iaitu raja terakhir Ani telah melarikan diri bersama rakyatnya melalui jurang sempit Pergunungan Taurus untuk tiba di Cilicia.

Kerajaan Cilicia sunting

 
Kerajaan Armenia Cilicia pada abad ke-13.

Rupen sampai ke Teluk Alexandretta di Laut Mediterranean dan beliau menubuhkan Kerajaan Cilicia (juga dikenali sebagai Minor Armenia atau Armenia Kecil) pada tahun 1080. Secara tidak langsung, peristiwa ini ditandakan sebagai permulaan pemerintahan Rupenid yang berkongsi keturunan sama dengan dinasti Bagratid. Sis dijadikan sebagai pusat pemerintahan kerajaan. Kerajaan Kristian ini sukar menjalani pemerintahan yang aman kerana terletak di antara banyak kerajaan Islam dan juga bermusuhan dengan Byzantine. Namun, kerajaan ini berjaya menghadapi ancaman ini walaupun menerima tekanan hingga ke kawasan sempadan kerajaan. Bahkan, Armenia Cilicia juga menjalinkan hubungan perniagaan dengan negara kota maritim Itali yang berkembang pesat selama kira-kira 300 tahun. Pisa, Genoa dan Venice telah mendirikan koloni di kawsan perairan kerajaan Cilicia. Marco Polo meneruskan jelajahnya ke China melalui Laiazzo, sebuah koloni Venice yang terletak di kerajaan Cilicia pada 1271.

Pada penghujung abad ke-14, Cilicia telah ditakluk oleh Mamluk. Ibu kota kerajaan, Sis ditawan oleh Mamluk pada tahun 1375 lalu membawa kepada kejatuhan kerajaan. Raja terakhir, Leo VI telah melarikan diri mencari perlindungan di Paris di mana beliau meninggal pada 1393 selepas gagal untuk menyeru Perang Salib berikutnya.

Kerajaan Cilicia merupakan entiti politik Armenia berdaulat yang terakhir. Semenjak itu, tiada lagi negara Armenia berdaulat yang wujud selama lebih enam kurun dengan tunduk kepada pelbagai dominasi kuasa asing.

Dominasi Uthmaniyah dan Parsi sunting

 
Taburan orang Armenia di timur Empayar Uthmaniyah (populasi lebih daripada 50 peratus di bahagian berwarna biru)

Kejatuhan kerajaan Cilicia sehingga penghujung abad ke-17 menandakan zaman kegelapan dan penghakisan budaya Armenia. Pada penghujung abad ke-14 di bahagian tengah Anatolia dan timur Eropah, Tamerlane telah mengukuhkan kekuasannya hampir di Ankara namun empayarnya akhirnya runtuh. Pada separuh kedua abad ke-15, dicatatkan kebangkitan Empayar Uthmaniyah dan dinasti baru di Iran, Safawiyah. Selama lebih 100 tahun, kedua-dua empayar ini berperang untuk merampas penguasaan di timur Anatolia dan kawasan Caucasus. Peperangan ini berakhir dengan kejayaan Uthmaniyah pada tahun 1585 yang dapat menakluk bahagian timur Armenia. Pada awal dekad abad ke-17, Shah Abbas I gagal dalam percubaannya untuk mengusir Uthmaniyah daripada wilayah Armenia. Pengunduran pemerintah Parsi itu telah memaksa penghijrahan orang Armenia dari kota Julfa yang terletak di tebing Sungai Arax. Penghijrah kemudian menetap di Esfahan dan menubuhkan kota Julfa Baru yang seterusnya berkembang maju sebagai pusat komersial dan kebudayaan pada abad ke-17. Mereka juga menjalankan aktiviti ekonomi yang meluas dari India ke Itali dan Britain. Permusuhan antara Parsi dan Uthmaniyah akhirnya menemui titik noktah pada tahun 1736 apabila Parsi menewaskan Uthmaniyah lalu menakluk seluruh kawasan selatan Transcaucasia termasuklah Armenia.

 
Mangsa pembunuhan beramai-ramai Erzurum, 1895.

Dari pertengahan abad ke-18, Armenia Parsi mula bertukar tangan kepada Rusia hasil Perjanjian Gulistan (1813) dan Turkmenchay (1828). Sejak daripada itu, wilayah Armenia itu mengikuti perkembangan Empayar Rusia sehingga revolusi dan menjadi sebahagian daripada Soviet. Bahagian Armenia yang berada di bawah pemerintahan Uthmaniyah pula kecewa akan harapan untuk mencapai kemerdekaan dan matlamat untuk menubuhkan negara diserahkan kepada gerakan revolusi pada hujung abad ke-19. Jawatankuasa revolusi itu bermodelkan kepada gerakan nihilis Rusia. Sultan Abdul Hamid II membalas tindakan tersebut dengan tekanan hebat. Pada bulan Ogos hingga September 1894, berlakunya pembunuhan beramai-ramai Armenia pertama diikuti oleh pembantaian pada tahun 1895 dan 1896. Antara tahun 1894 dan 1896, bilangan kira-kira 200 hingga 300 ribu orang Armenia telah dibunuh oleh tentera berkuda Hamidiye (batalion Kurdi khusus arahan sultan).

Genosid Armenia sunting

 
Konsep Armenia Raya yang dituntut oleh Dashnak.

Dengan kebangkitan Jawatankuasa Perpaduan dan Kemajuan untuk berkuasa, situasi orang Armenia di Turki menjadi bertambah buruk. Dalam pada itu, Turki Muda menyokong idea kemegahan bangsa Turki di dalam wilayah Empayar Uthmaniyah. Dilhamkan oleh dokrin sosialisme dan Marxisme yang telah dibelajar di Eropah serta perasaan kecewa terhadap kehilangan penguasaan Uthmaniyah di Eropah, parti itu menerangkan bahawa satu-satunya cara yang boleh meluaskan kuasa ialah penyatuan semula bangsa Turk yang tinggal di Asia Tengah seperti orang Tatar, Kazakh dan Uzbek. Hal ini disebabkan oleh dua acuan budaya yang membawa kepada kelahiran ideologi Pan-Turkisme. Pertama sekali ialah Marxisme yang menyemai idea kesamarataan kepada Turki Muda: semua warga Uthmaniyah mesti sama rata, jadi semua warga mesti orang Turk dan semua daripada mereka mesti Muslim. Seterusnya ialah disebabkan oleh kesukaran untuk mempertahankan dan mengembangkan kekuasaan di Eropah, jadi mereka mengalihkan perhatian kepada bangsa Turk yang tinggal di kawasan steppe Asia Tengah sekali gus menghasilkan Pan-Turkisme yang meluas dan menjangkau dari Bosphorus hingga ke China. Halangan yang mereka lalui ialah minoriti Armenia, Kristian, Indo-Eropah dan Kurdi. Namun, minoriti Kurdi bukan satu cabaran asimilasi yang mustahil untuk diatasi kerana mereka sememangnya Muslim. Sebaliknya, orang Armenia dan Kristian menganut agama yang berbeza dan mengamalkan adat resam beratus-ratus tahun lamanya. Proses asimilasi bukan sahaja menjadi sukar tetapi kehadiran mereka telah menghalang penyatuan bangsa Turk. Jadi, mereka perlu dihapuskan.

 
Orang Armenia berpindah dari Kars berikutan serangan Turki.

Pembunuhan beramai-ramai Adana telah berlaku pada tahun 1909. Namun, gerakan Turki Muda mengambil dasar penghapusan etnik ketika datangnya peluang keemasan. Semasa Perang Dunia Pertama tercetus, Turki Muda memulakan pembersihan etnik Armenia yang disebut sebagai "Metz Yeghèrn", Jenayah Besar atau lebih dikenali sebagai Genosid Armenia. Dianggarkan dari tahun 1915 hingga 1923, sekitar 1.5 juta orang telah dibunuh atau diusir dan dibiarkan mati di Gurun Syria. Peristiwa ini merupakan kejadian genosid pertama terdahsyat pada abad ke-20. Ramai mangsa mencari perlindungan ke Republik Armenia yang muncul selepas kejayaan Armenia ke atas Turki dalam Pertempuran Sardarapat. Republik itu bertahan selama dua tahun sahaja dan ramai juga orang Armenia mencari perlindungan di Mesir, Syria, Lubnan, Israel, Iran, Eropah dan Amerika Syarikat. Selepas tamatnya peperangan, Pihak Berikat telah menghukum Turki melalui pemeteraian Perjanjian Sèvres pada 1920 dengan memberi jaminan kemerdekaan kepada Armenia serta menyerahkan wilayah-wilayah Uthmaniyah kepada Armenia. Namun, perjanjian itu ditolak oleh Gerakan Kebangsaan Turki yang diketuai oleh Jeneral Mustafa Kemal. Beliau yang menggulingkan kesultanan Uthmaniyah telah mengisytiharkan penubuhan republik sekular dan menjadikan Ankara sebagai ibu negara. Pada 24 September 1920, dengan mengambil kesempatan atas peperangan Armenia dan Azerbaijan, Turki bersama sokongan Rusia telah memulakan Perang Turki-Armenia yang berakhir dengan Perjanjian Alexandropol pada 2 Disember 1920. Perjanjian itu ditandatangani di tempat yang dikenali sebagai Gyumri pada hari ini dan ia menandakan kejayaan Turki serta pembatalan penyerahan wilayah seperti yang dibuat di Sèvres. Tidak lama kemudian pada 4 Disember, Tentera Kesebelas Soviet telah memasuki Armenia dan menduduki Yerevan sekali gus menamatkan pemerintahan Republik Armenia yang merdeka di samping memulakan pemerintahan Soviet yang berlanjutan sehingga penghujung alaf yang pertama.

Pemerintahan Soviet sunting

 
Wilayah Soviet Armenia.

Armenia digabungkan ke dalam Kesatuan Soviet pada 4 Mac 1922 yang merupakan sebahagian daripada Republik Sosialis Persekutuan Soviet Transcaucasia termasuklah Georgia dan Azerbaijan. Tidak lama selepas itu, Perjanjian Alexandropol telah digantikan oleh Perjanjian Kars pada 11 September 1922 di mana Turki menyerahkan pelabuhan Batumi kepada Rusia dan sebagai balasan, Turki memperoleh kota Kars, Ardahan dan Iğdır. Armenia Soviet telah memanfaatkan sistem ekonomi komunis dengan menjalani perubahan daripada ekonomi pertanian kepada ekonomi perindustrian. Pada masa itu, banyak kampung telah berkembang menjadi bandar. Pada tahun 1936, Republik Sosialis Persekutuan Soviet Transcaucasia telah dibubarkan manakala Armenia, Azerbaijan dan Georgia menjadi republik tunggal masing-masing tetapi tetap di bawah Soviet. Pada masa itu juga, Nagorno-Karabakh telah diberikan kepada Azerbaijan oleh Joseph Stalin yang kemudiannya menjadi asas kepada peperangan yang meletus pada 1990-an.

Pada 24 April 1965, ribuan orang Armenia melancarkan protes di Yerevan semasa ulang tahun ke-50 memperingati peristiwa Genosid Armenia. Mereka meminta pengiktirafan peristiwa itu daripada kerajaan tetapi tentera Soviet bertindak memasuki kota itu dan menjelaskan arahan. Untuk mengelakkan protes yang berpanjangan, Kremlin telah bersetuju untuk membina sebuah monumen bagi mengenang mangsa-mangsa terkorban akibat kekejaman ini. Pada tahun 1967, sebuah memorial telah dibina di Yerevan yang direka oleh arkitek Sashur Kalashyan. Memorial itu terdiri daripada tugu peringatan setinggi 44 meter yang melambangkan kelahiran semula semangat kebangsaan Armenia dan sebanyak 12 buah monolit disusun dalam satu bulatan melambangkan 12 wilayah hilang yang kini berada di Turki. Di pusat bulatan itu, terdapat api menyala yang kekal sebagai simbol kepada memori bagi mereka yang terkorban. Di samping itu, terdapat laluan menuju ke monumen bersama dinding memorial sepanjang 100 meter yang memaparkan nama-nama kampung di mana pembunuhan tragis berlaku.

Kemerdekaan sunting

Pada 23 Ogos 1990, satu tahun sebelum keruntuhan Kesatuan Soviet, Armenia telah mengisytiharkan kemerdekaannya. Walau bagaimanapun, ia tidak diiktiraf sepenuhnya sehingga 21 September 1991 iaitu hari pengisytiharan Republik Armenia. Namun, pertikaian antara Armenia dan Azerbaijan terus menjadi tegang kerana perebutan wilayah Nagorno-Karabakh. Pertikaian ini telah mencetuskan peperangan antara kedua-dua negara itu. Walaupun gencatan senjata telah dipersetujui pada 1994, namun ia masih belum menyelesaikan konflik ini sepenuhnya.

Armenia mengalami kemajuan pembangunan negara yang luar biasa sejak kemerdekaannya biarpun menghadapi sekatan sempadan oleh Turki dan Azerbaijan. Sejak daripada itu, Armenia digelar "Harimau Caucasus" bersama kadar pertumbuhan digit berganda. Pembangunan negara ditaja oleh rangkaian antarabangsa diaspora Armenia yang membayar 1.5 bilion dolar Amerika pada setiap tahun dan menyumbang kepada kira-kira 20% daripada KDNK negara. Kerajaan berusaha melawan kadar kemiskinan yang masih lagi tinggi. Pihak kerajaan menggalakkan eksport negara berfokuskan kepada teknologi tinggi dan modal insan. Walaupun dalam jangka lima tahun terakhir ledakan ekonomi telah berubah ukurannya, Armenia masih lagi sebuah negara yang mengalami pertumbuhan yang kukuh hasil hubungan kerjasama yang dipelihara dengan negara-negara jiran seperti Georgia, Rusia dan Iran.

Politik sunting

Pembahagian pentadbiran sunting

Armenia dibahagikan kepada 10 buah wilayah, dengan ibu kota Yerevan mendapat status khas. Senarai wilayah di Armenia adalah seperti di bawah:

 
Peta pembahagian wilayah-wilayah Armenia
  1. Aragatsotn
  2. Provinsi Ararat
  3. Provinsi Armavir
  4. Geghark'unik'
  5. Kotayk'
  6. Lorri
  7. Shirak
  8. Syunik'
  9. Tavush
  10. Vayots' Dzor
  11. Yerevan

Demografi sunting

Armenia memiliki anggaran jumlah penduduk sebanyak 2,951,745 pada 2018. Kelangsungan jumlah penduduk Armenia memiliki masalah, yakni pengurangan penduduk akibat peningkatan emigrasi selepas pembubaran Kesatuan Soviet. Sejak kebelakangan ini, kadar emigrasi telah menurun dan pertambahan penduduk mula jelas.

Bahasa sunting

Bahasa Armenia ialah satu-satunya bahasa rasmi negara, dengan bahasa-bahasa utama lain ialah bahasa Rusia dan Inggeris. Bahasa Rusia masih diajar di sekolah sebagai bahasa kedua.[34]

Lihat juga sunting

Rujukan sunting

  1. ^ Templat:Cite CIA World Factbook
  2. ^ a b c d "World Economic Outlook Database, April 2023" (dalam bahasa Inggeris). Washington, D.C.: Tabung Kewangan Antarabangsa. 7 April 2023. Dicapai pada 17 April 2023.
  3. ^ "GINI index (World Bank estimate) - Armenia". Bank Dunia. Diarkibkan daripada yang asal pada 21 November 2018. Dicapai pada 17 Jun 2021.
  4. ^ "Human Development Report 2021/2022" (PDF) (dalam bahasa Inggeris). Rancangan Pembangunan PBB. 8 September 2022. Dicapai pada 8 September 2022.
  5. ^ Central Intelligence Agency (2014). The CIA World Factbook 2015. Skyhorse Publishing. m/s. 5241. ISBN 978-1-62914-903-5.
  6. ^ The UN classification of world regions Diarkibkan 25 Jun 2002 di Wayback Machine places Armenia in Western Asia; the CIA World Factbook "Armenia". The World Factbook. CIA. Diarkibkan daripada yang asal pada 10 October 2010. Dicapai pada 2 September 2010. "Armenia". National Geographic. Diarkibkan daripada yang asal pada 8 August 2007. Dicapai pada 16 April 2009., "Armenia". Encyclopædia Britannica. Diarkibkan daripada yang asal pada 1 April 2009. Dicapai pada 16 April 2009., Calendario Atlante De Agostini (dalam bahasa Italian) (ed. 111). Novara: Istituto Geografico De Agostini. 2015. m/s. sub voce. ISBN 9788851124908.CS1 maint: unrecognized language (link) and Oxford Reference Online "Oxford Reference". Oxford Reference Online. 2004. doi:10.1093/acref/9780199546091.001.0001. ISBN 9780199546091. Cite journal requires |journal= (bantuan) also place Armenia in Asia.
  7. ^ The Oxford Encyclopedia of Economic History. Oxford University Press. 2003. m/s. 156. ISBN 978-0-19-510507-0.
  8. ^ (Garsoïan, Nina (1997). R.G. Hovannisian (penyunting). Armenian People from Ancient to Modern Times. 1. Palgrave Macmillan. m/s. 81.)
  9. ^ Stringer, Martin D. (2005). A Sociological History of Christian Worship. Cambridge: Cambridge University Press. m/s. 92. ISBN 978-0-521-81955-8.
  10. ^ Smaller nations that have claimed a prior official adoption of Christianity include Osroene, the Silures, and San Marino. See Timeline of official adoptions of Christianity.
  11. ^ Grousset, René (1947). Histoire de l'Arménie (ed. 1984). Payot. m/s. 122.. Estimated dates vary from 284 to 314. Garsoïan (op.cit. p. 82), following the research of Ananian, favours the latter.
  12. ^ Ագաթանգեղոս §§ 13 (ի Հայաստան աշխարհէս), 16 (Հայաստան աշխարհիս 2x, ի Հայաստան աշխարհիս), 35 (Հայաստան աշխարհին), 160 (Հայաստան աշխարհիս), 249 (Հայաստան աշխարհիս), 715 (Հայաստան աշխարհիս), 776 (Հայաստան աշխարհին), 784 (Հայաստան աշխարհին), 796 (ի մէջ Հայաստան աշխարհի), 808 (հասանէին ի Հայաստան աշխարհն)։
  13. ^ Ագաթանգեղոս § 885 (ի Հայաստան երկրին)
  14. ^ Փաւստոս Բուզանդ 1883=1984, էջ 1 (Հայաստան աշխարհին)
  15. ^ Փաւստոս Բուզանդ 1883=1984, 4.բ, էջ 56 (Հայաստան երկրին)
  16. ^ 904=1985, էջ 2 (Հայաստան աշխարհիս), 110 (կանայս ի Հայաստան աշխարհիս)
  17. ^ Կորիւն 1994, էջ 83 (Հայաստան աշխարհի), 93 (Հայաստան աշխարհին), 103 (ի Հայաստան աշխարհին), 120 (ի Հայաստան աշխարհէս)
  18. ^ ժը (սեռ. Հայաստանեայց, բացառ. ի Հայաստանեայց), տես Աբգարյան 1979, էջ 66, 90
  19. ^ Razmik Panossian, The Armenians: From Kings And Priests to Merchants And Commissars, Columbia University Press (2006), ISBN 978-0-231-13926-7, p. 106.
  20. ^ Rafael Ishkhanyan, "Illustrated History of Armenia," Yerevan, 1989
  21. ^ Elisabeth Bauer. Armenia: Past and Present (1981), p. 49
  22. ^ "Χαλύβοισι πρὸς νότον Ἀρμένιοι ὁμουρέουσι (The Armenians border on the Chalybes to the south)". Chahin, Mark (2001). The Kingdom of Armenia. London: Routledge. m/s. fr. 203. ISBN 978-0-7007-1452-0.
  23. ^ Xenophon. Anabasis. m/s. IV.v.2–9.
  24. ^ Ibp Inc (2013-09-01). Armenia Country Study Guide Volume 1 Strategic Information and Developments. m/s. 42. ISBN 9781438773827.
  25. ^ Archi, Alfonso (2016). "Egypt or Iran in the Ebla Texts?". Orientalia. 85: 3.
  26. ^ Kroonen, Guus; Gojko Barjamovic; Michaël Peyrot (9 May 2018). "Linguistic supplement to Damgaard et al. 2018: Early Indo-European languages, Anatolian, Tocharian and Indo-Iranian": 3. Cite journal requires |journal= (bantuan)
  27. ^ Moses of Chorene,The History of Armenia Diarkibkan 19 April 2003 di Wayback Machine, Book 1, Ch. 12 (dalam bahasa Rusia)
  28. ^ History of Armenia by Father Michael Chamich from B.C. 2247 to the Year of Christ 1780, or 1229 of the Armenian era, Bishop's College Press, Calcutta, 1827, p. 19: "[Aram] was the first to raise the Armenian name to any degree of renown; so that contemporary nations... called them the Aramians, or followers of Aram, a name which has been corrupted into Armenians; and the country they inhabited, by universal consent, took the name of Armenia."
  29. ^ a b "Charles, R.H. (1913). The Book of Jubilees 9:5 from The Apocrypha and Pseudepigrapha of the Old Testament. Clarendon Press". www.pseudepigrapha.com. Diarkibkan daripada yang asal pada 14 Jun 2018. Dicapai pada 13 Jun 2018.
  30. ^ a b "Charles, R.H. (1913). The Book of Jubilees 8:21 from The Apocrypha and Pseudepigrapha of the Old Testament. Clarendon Press". digitalcommons.andrews.edu. Diarkibkan daripada yang asal pada 13 Jun 2018. Dicapai pada 13 Jun 2018.
  31. ^ Josephus, Flavius. Antiquities of the Jews. m/s. Book 1, section 143. Diarkibkan daripada yang asal pada 14 Oktober 2017. Dicapai pada 13 Oktober 2017.
  32. ^ http://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=lamender
  33. ^ D. Gerth van Wijk (1985) "Pendahuluan". Tata Bahasa Melayu, terjemahan Spraakleer der Maleische Taal. T.W. Kamil (Penterjemah). Jakarta: Penerbit Djambatan.
  34. ^ Suny, Glenn E. "Education" (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 12 September 2009. |first2= missing |last2= (bantuan)

Pautan luar sunting