Arthur Stewart King Scarf

Squadron Leader Arthur Stewart King Scarf VC (14 Jun 1913 - 9 Disember 1941), adalah seorang Juruterbang Tentera Udara Diraja British yang menjadi penerima anugerah pingat Victoria Cross, anugerah keberanian paling tinggi yang diberikan kepada anggota perkhidmatan bersenjata British dan Komanwel. Ketiak diberikan anugerah itu, dia berumur 28 tahun dan menjadi seorang ketua skuadron (Squadron Leader) dan memimpin No. 62 Skuadron Tentera Udara Diraja British.

Bristol Blenheim seperti yang diterbangkan oleh Squadron Leader Scarf pada 9 Disember 1941

Pada 9 Disember 1941, di pangkalan udara Butterworth semua pesawat pengebom Bristol Blenheim yang boleh disiapkan dikerahkan membuat serangan waktu siang ke atas kedudukan askar Jepun yang mendarat di Songkhla. Squadron Leader Scarf, selaku ketua yang memimpin serangan yang dirancangkan baru sahaja berlepas daripada pangkalan udara Butterworth apabila pesawat Tentera Jepun menyerang pangkalan tersebut menyebabkan kesemua pesawat pengebom yang hendak berlepas musnah ataupun mengalami kerosakan.

Walaupun hanya pesawatnya sahaja yang tinggal untuk membuat serangan, Scarf membuat keputusan untuk meneruskan serangan atas kedudukan di Songkhla itu cara berseorangan. Walaupun diserang pesawat musuh, Scarf berjaya membuat serangan pengeboman dan pulang ke pangkalan udara Butterworth dengan kapal terbang yang mengalami kerosakan, dan dia sendiri mengalami kecederaan serius. Scarf tidak yakin dia boleh bertahan hingga ke pangkalan udara Butterworth dan membuat keputusan membuat pendaratan cemas di Alor Setar. Dia berjaya mendaratkan pesawatnya dan membolehkan anak kapal terselamat, tetapi Scarf sendiri meninggal dunia beberapa jam selepas dimasukkan ke Hospital Alor Setar.

Disebabkan kecelaruan dan keadaan kelam kabut semasa Pertempuran Malaya, Victoria Cross yang dianugerahkan kepada Scarf tidak digazetkan sehingga bualan Jun 1946 kerana keterangan dan fakta keberanian Scarf tidak diketahui sepenuhnya sehingga tamat perang.

Victoria Cross milik Scarf kini dipamerkan di Museum Tentera Udara Diraja di Hendon, United Kingdom.

Pautan Luar sunting