Ayam kampung adalah istilah yang diberikan kepada ayam yang tidak diketahui asal usul daripada kaum atau strain tertentu yang biasanya dipelihara secara lepas atau bebas. Kebiasaanya ayam ini dipelihara di kawasan luar bandar atau di kawasan perkampungan. Nama saintifik bagi ayam kampung ini ialah Gallus domesticus adalah dari keturunan ayam hutan merah (Gallus gallus) manakala di sebelah Negara Barat mereka memanggilnya dengan gelaran ayam ternak lepas (free range chicken) atau ayam organik (organic chicken).

Seekor ayam kampung betina
Ayam kampung jantan
Ayam kampung yang dipelihara di kawasan luar bandar.
Ayam ternak lepas diberi makan

Asal-usul ayam kampung sunting

Pada asalnya ayam kampung ini telah lama diternak di Malaysia dan negara-negara dunia ketiga lain. Dengan kemasukan pedagang-pedagang luar suatu masa dahulu khususnya pedagang dari Negara China ini yang membawa baka ayam yang dinamakan Canton telah dikacukkan dengan ayam di sini maka lahirlah generasi kedua ayam kampung ini. Pada zaman penjajahan Inggeris di tanah Melayu pula mereka membawa baka dari negara Eropah maka dikacukkan dengan ayam-ayam yang terdapat di sini. Sejak itu lahirlah berbagai gelaran ayam kampung seperti ayam botak, ayam bulu balik, ayam selasih, ayam janggut, ayam laga atau ayam sabung, ayam togel, ayam katik atau ayam Jepun dan bermacam-macam lagi gelaran mengikut tempat dan loghat.

Ciri-ciri ayam kampung sunting

Ayam kampung dipelihara di kawasan perkampungan luar bandar dan ada sesetengah penternak menyediakan reban untuk ayam kampung ini tidur pada waktu malamnya. Jika penternak yang tidak menyediakan reban ayam, ayam-ayam kampung ini akan tidur di atas pokok yang renek bagi mengelak dari diserang oleh musang pada waktu malam.

Ayam kampung ini mestilah mempunyai peluang untuk bergerak aktif tanpa perlu dikurung pada waktu siang hari dan pandai mencari makanan tambahan seperti serangga kecil, ulat, belalang dan cacing serta bahan daripada tumbuhan seperti bijirin, buah dan dedaun termasuk dari spesies tumbuhan herba. Kebiasaanya penternak ayam kampung ini akan memberi makanan berupa sisa makanan, lebihan nasi, dedak, jagung, ubi dan sebagainya pada waktu sebelah pagi sebelum ayam-ayam ini berkeliaran mencari makanannya sendiri.

Ayam-ayam kampung ini begitu aktif bergerak dan pergerakan otot yang aktif serta pengambilan makanan berunsur organik menghasilkan daging yang lazat dan berkhasiat tinggi. Ciri-ciri daging yang enak dan berprotein tinggi tanpa kolesterol ini menyebabkan harga ayam kampung di pasaran adalah tinggi berbanding dengan harga ayam daging komersil. Daging ayam kampung ini juga agak liat, pejal dan manis berbanding dengan ayam daging komersil yang dijual di pasaran.

Selaian itu baka ayam kampung ini mempunyai bulu tipis, lebih berat, kaki besar dan panjang, kulit berwarna kuning atau kemerahan-merahan. Ayam kampung KH-B1 diternak secara separa bebas dengan makanan komersil dan makanan berasaskan padi sebagai makanan utama. Ekstrak bawang putih, halia dan gula merah sebagai antibiotik juga rumput napier sebagai penyedap rasa dagingnya. Semburan BIO-TEC dilakukan secara berkala untuk menghapuskan bau yang tidak menyenangkan dan menghapuskan lalat juga sebagai minuman kesihatan kepada ayam. Berat ayam KH-B1 untuk dipasarkan ialah: Betina 1.7kg - 1.9kg, Jantan 2kg - 2.5kg.

Penetasan telur dan pembiakkan sunting

Telur ayam kampung ini diperolehi dari ayam kampung yang menetas di dalam reban ayam atau di merata tempat yang dikira selamat dari sebarang gangguan haiwan lain. Musuh utama ketika ayam kampung ini bertelur ialah biawak, ular, dan sebagainya yang cuba memakan telur-telur ayam kampung ini. Telur ini memakan masa sehingga 21 hari untuk menetas.

Musuh utama bagi anak-anak ayam kampung yang baru menetas ini ialah pada waktu siang ianya sering diganggu oleh burung helang, kucing dan burung berilau, manakala sebelah malamnya ia sering diganggu oleh musang dan burung hantu. Kejayaan ternakan ayam kampung ini bergantung kepada baka yang berkualiti, makanan, pengurusan dan persekitaran yang baik.

Ayam kampung ini melibatkan perkahwinan secara tabie atau semulajadi iaitu 1 ekor ayam jantan untuk 10 ekor ayam betina dan kebiasaan ibu ayam kampung ini boleh mengeram sehingga 15 biji telur dalam jangkamasa 21 hari.

Jenis-jenis ayam kampung sunting

  • Ayam kampung asli - Ayam yang tidak di kahwin campur dengan mana-mana ayam komersial samaada ayam berwarna, ayam penelur atau ayam pedaging. Ini merupakan baka kahwin silang ayam turun temurun sejak berpuluhan tahun dahulu seperti ayam hutan, ayam sabung dan ayam-ayam pendatang.
  • Ayam kampung kacuk - Hasil perkahwinan silang antara ayam kampung, samaada dari baka ayam hutan atau sabung dengan ayam penelur atau berwarna untuk tujuan penternakan secara komersial. Ayam kampung kacuk lebih cepat membesar berbanding ayam kampung asli tetapi lebih lambat berbanding ayam berwarna.
  • Ayam berwarna - Ayam yang dibawa masuk dari luar negara yang mempunyai warna tertentu seperti merah, hitam atau oren. Contoh ayam berwarna seperti ayam sasso dan ayam kabir. Ayam kategori ini membesar paling cepat berbanding ayam kampung asli atau ayam kampung kacuk. Ada pendapat mengatakan Ayam berwarna tidak boleh dikategorikan sebagai ayam kampung kerana tidak mempunyai ciri-ciri seperti ayam kampung yang kebiasaannya ditemui di kampung-kampung di Malaysia.

Keistimewaan ayam kampung sunting

  • Ayam kampung mempunyai harga yang tinggi di pasaran.
  • Ayam kampung ini boleh dibiakkan atau diternak sepanjang tahun.
  • Dagingnya pejal, manis dan berprotein tinggi.
  • Ia juga boleh dipelihara secara bebas pada waktu siang tanpa perlu dikawal.
  • Sisa-sisa makanan di rumah boleh diberikan dan dijadikan makanan ayam.
  • Ibu ayam kampung ini dapat menetaskan telur dengan sendirinya.
  • Ibu ayam kampung ini boleh mengawal anak-anaknya dari cuaca sejuk, hujan dan gangguan musuh.
  • Najis ayam sangat bermanfaat untuk dijadikan baja kerana dapat meningkatkan kesuburan dan pertumbuhan tanaman. [1]

Tanda-tanda ayam berpenyakit sunting

  • Ayam yang tidak mahu makan atau berkeliaran mencari makanan sendiri.
  • Lembik, lemah dan tidak aktif.
  • Pucat serta keluar hingus atau lendir dari hidung
  • Najisnya cair atau berdarah
  • Gangguan saraf pada ototnya seperti sayap lemah, kaki lemah, kepala berputar dan sebagainya.

Rujukan sunting

Pautan luar sunting

  1. ^ Ir. Bambang, Cahyono (2008). Perusahaan Ayam Kampung Sebagai Ayam Daging. Kuala Lumpur, Malaysia: Synergy Media Divisi Penerbitan S.A.Majeed &Co. Sdn Bhd. m/s. 7. ISBN 978-967-322-088-5.