Piawaian British BS 1363 menetapkan jenis plag dan soket AC domestik yang digunakan di United Kingdom, Cyprus, Ireland, Malta, Malaysia, Singapura serta negara-negara bekas jajahan British. Ireland, Malaysia dan Singapura masing-masing mempunyai piawaian yang setara - IS 401 & 411, MS 589 dan SS 145. Di negara-negara tersebut, sistem ini turut dikenali sebagai soket/plag 13 amp. Di Malaysia, ia digunakan pada peralatan elektrik berkuasa sederhana dengan kadaran arus sehingga maksimum 13 ampere; walau bagaimanapun, bagi peralatan berkuasa rendah terutamanya peralatan audio visual seperti televisyen dan radio, plag 2 pin 2.5 ampere Jenis C (dikenali sebagai Europlug) lazimnya digunakan.

Plag BS 1363.
Soket elektrik BS 1363. Perhatikan penutup lubang soket yang tertutup (berwarna merah) bagi menghalang kemasukan objek asing.

Sebuah plag BS 1363 mempunyai dua pin segiempat sama yang melintang bagi penyambung fasa (selalunya dipanggil 'wayar hidup') serta neutral, dan di atas kedua-dua pin pula adalah pin segiempat tepat menegak untuk sambungan bumi. Tidak seperti kebanyakan soket lain, pin bumi adalah sangat penting pada plag BS 1363, memandangkan ia diperlukan bagi menolak penutup lubang soket untuk membolehkan pin hidup dan neutral dimasukkan. Ia juga turut memastikan plag berkenaan sentiasa dalam kekutuban yang betul. Untuk kegunaan peralatan elektrik yang tidak dibumikan, terdapat juga plag dengan pin bumi plastik bagi membolehkan penutup soket dibuka.

Oleh kerana litar soket (terutamanya jenis litar gelang seperti yang sering digunakan di United Kingdom) mampu membawa arus tinggi sehingga melebihi keperluan peralatan elektrik, setiap plag dimestikan mempunyai fius (Piawaian BS 1362) dengan nilai sehingga 13 ampere. Plag dan soket BS 1363 direka untuk membawa voltan AC 240 V 50 Hz, dengan nilai maksimum arus elektrik 13 ampere.

Rajah pendawaian dalaman plag BS 1363.

Asal-usul sunting

Plag gaya sebegini mula muncul pada tahun 1946, sebaik sahaja tamat Perang Dunia Kedua. Britain sebelum ini menggunakan kombinasi soket 5 dan 15 ampere di mana pendawaian bagi setiap soket disambung pada fius tersendiri. Akibat permintaan tinggi semasa zaman perang, Britain mengalami masalah kekurangan bekalan kuprum yang kronik. Tambahan pula, pihak musuh telah banyak memusnahkan gudang simpanan kuprum. Selepas perang, Britain perlu membina semula rumah-rumah bagi para penduduknya serta memasang sistem pendawaian dengan meminimumkan penggunaan kuprum sebaik mungkin.

Penyelesaiannya ialah sistem litar gelang di mana wayar dari unit pengagihan pengguna (fius / pemutus litar) disambung ke sebilangan soket dan disambung lagi ke fius atau pemutus litar yang sama. Ia memberikan penjimatan kuprum yang diperlukan untuk pendawaian. Oleh kerana fius atau pemutus litar biasanya memerlukan kadaran arus maksimum yang boleh diangkut (misalnya 26A, 30A atau 32A bagi pemutus litar), maka setiap plag diwajibkan untuk mempunyai fiusnya sendiri berkadaran dengan penggunaan arus peralatan elektrik berkenaan. Pada mulanya terdapat beberapa rekaan plag yang bersaing, tetapi akhirnya rekaan BS 1363 diterima mengatasi semua rekaan lain.

Walaupun keperluan untuk menjimatkan penggunaan kuprum sudah lama berlalu, sistem litar gelang terbukti berjaya sehinggakan Britain mengekalkan sistem ini sehinggalah sekarang.

Asalnya terdapat fius berkadaran 1, 2, 3, 5, 7, 10 dan 13 ampere tetapi menjelang tahun 1960an ia dikurangkan kepada pilihan 2, 5, 10 dan 13 ampere. Plag yang dibekalkan lazimnya dipasang dengan fius 13A, dan kebanyakan pengguna rumah cenderung untuk tidak menukarkannya dengan nilai yang sepatutnya. Kemudiannya barisan pilihan dikurangkan kepada hanya 3 dan 13 ampere sahaja. Walau bagaimanapun, di Malaysia hanya nilai fius 13A sahaja yang boleh didapati.

Ciri keselamatan sunting

 
Fius BS 1362
(untuk plag BS 1363)

Setiap plag piawai BS 1363 dilengkapi beberapa ciri keselamatan seperti berikut:-

  • Fius - Setiap plag BS 1363 mempunyai fius sebagai tambahan kepada fius atau pemutus litar yang sedia ada pada unit pengguna, memandangkan setiap litar soket dipasang dengan fius / pemutus litar berkadaran 26A atau 30A, maka adalah tidak selamat untuk membenarkan peralatan elektrik disambung terus ke litar soket tanpa sebarang perlindungan tambahan. Setiap fius adalah berukuran 25.4 mm panjang, dengan dua penutup logam berdiameter 6.3 mm serta 5.5 mm panjang.
  • Penutup soket - Setiap soket BS 1363 mempunyai penutup lubang soket bagi mencegah kemasukan objek asing ke dalamnya, menjadikannya lebih selamat terutamanya dari jangkauan kanak-kanak. Penutup yang digunakan lazimnya memerlukan pin bumi pada plag BS 1363 untuk membukanya bagi membolehkan dua lagi pin dimasukkan ke dalam soket. Walau bagaimanapun, ramai pengguna di Malaysia yang sering menggunakan oljek seperti pemutar skru, penutup pen, klip kertas ataupun kunci bagi membuka penutup lubang soket semasa hendak memalamkan plag 2 pin Jenis C (Europlug) ke soket, walaupun kaedah sedemikian sangat tidak digalakkan malah boleh jadi membahayakan.
  • Penebat pin - Sesetengah plag BS 1363 mempunyai pin hidup dan neutral yang ditebat pada bahagian tapak bagi mengelakkan sentuhan terus jari ke pin serta mengelakkan kepingan logam yang terselit di celah-celah plag yang dikeluarkan separuh daripada menjadi "hidup". Walau bagaimanapun, kelemahan utamanya ialah soket yang rosak mungkin tidak berhubungan baik dengan pin.

Penggantian sunting

 
Plag BS 1636 yang boleh dipasang sendiri

Plag 3 pin yang boleh dipasang sendiri amat mudah didapati di pasaran, sesetengahnya turut disertakan kad arahan pendawaian berserta panjang wayar yang diperlukan. Ia diskrukan menggunakan skru kombinasi mata belah dan mata Phillips bagi membolehkan kedua-dua pemutar skru berkenaan digunakan.

Di Malaysia, huraian sukatan mata pelajaran Kemahiran Hidup untuk sekolah menengah turut menyertakan prosedur pendawaian plag 3 pin BS 1363 untuk pelajar.

Penyuai sunting

 
Plag penyuai untuk plag 2-pin "europlug" - kosong, plag 2 pin europlug dimasukkan dan ditutup.

Sesetengah pengeluar menggunakan sejenis plag khas bagi pertukaran bagi plag 2 pin Jenis C ("europlug") ke soket 3 pin BS 1363. Ia menyerupai plag piawai BS 1363 dengan pin bumi yang dibuat daripada plastik serta fius tetapi direka untuk dipadankan dengan plag 2 pin tersebut. Selain itu, di Malaysia terdapat juga penyuai yang terdiri daripada sekeping plastik dengan hanya pin bumi sahaja, dipasang terus pada soket bagi membolehkan plag 2 pin Jenis C dimasukkan terus ke dalam soket.

Plag lipat sunting

Berikutan saiz plag BS 1363 yang agak besar, terdapat cubaan untuk membangunkan plag boleh lipat yang serasi. Setakat Mei 2011 terdapat dua jenis yang diluluskan untuk digunakan, iaitu SlimPlug dan ThinPlug. SlimPlug hanya didapati untuk wayar kuasa lengkap yang turut menggunakan penyambung IEC 60320 C7 tidak berkutub.[1] Pada tahun 2009 ThinPlug menerima anugerah "Red Dot"[2] bagi reka bentuk produk; produk terawal yang menggunakannya[3] mula dijual pada Jun 2011. Satu lagi konsep reka bentuk, Plag Lipat, [4] menampilkan satu pangsi yang membolehkan yang membolehkan pin plag dilipat melintang, memenangi Anugerah Rekabentuk Tahunan Brit Insurance 2010,[5] tetapi sebagai mana diterangkan dalam video promosinya ia tidak memenuhi piawaian BS 1363, dan tidak diluluskan untuk dijual di UK.

Lihat juga sunting

Rujukan sunting

  1. ^ Marc Delehanty, Personal Computer World 03 Aug 2006. "Review: Ridings Slimplug power lead - Personal Computer World". Pcw.co.uk. Dicapai pada 2010-08-20.
  2. ^ [http://en.red-dot.org/2786.html?&cHash=5c1358a699ebb6476bd5455dc55368f4&detail=5304 "red dot" award
  3. ^ ThinPlug
  4. ^ The Folding Plug
  5. ^ Mark Brown, arts correspondent (2010-03-16). "Folding plug wins design of the year prize | Art and design". London: The Guardian. Dicapai pada 2010-08-20.