Menjelang pembukaan Bandar Alor Setar pada tahun 1735 oleh Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin Mu'adzam Shah II, Sultan Kedah ke-19 (1710-1778), beberapa bangunan awal yang siap dibina termasuklah Istana Kota Setar, Balai Besar, Balai Nobat dan Masjid Negeri. Reka bentuk Balai Nobat yang asal tidak dapat dikenal pasti tetapi jelas ia diperbuat daripada kayu.

Balai Nobat

Pada Zaman Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah, Sultan Kedah ke-24 (1854-1879), Balai Nobat yang baharu setinggi lima tingkat telah dibina. Seluruh bangunan ini dibina daripada kayu dan beratapkan zink.

Pada zaman Sultan Abdul Hamid Halim Shah, Sultan Kedah ke-26 (1882-1943), bangunan baharu diperbuat daripada batu dan logam. Rekabentuknya sama seperti binaan kayu sebelumnya. Ia mempunyai tiga tingkat dan kubah yang terletak di kemuncaknya mencerminkan unsur keIslaman seperti pada binaan masjid. Bangunan baru ini siap dibina pada tahun 1906.


Pada hari ini, Balai Nobat Kedah dijadikan tempat menyimpan alat-alat muzik Nobat Diraja Kedah yang hanya dimainkan pada upacara-upacara Diraja seperti istiadat pemasyhuran, pertabalan, perkahwinan dan pemakaman Diraja. Bagi Nobat Diraja Kedah, alat-alat muzik terdiri daripada Mahaguru, Serunai, Nahara, Gendang Anak, Gendang Ibu, Nafiri dan Gong. Hanya mereka dari kalangan Orang Kalur sahaja yang boleh memainkan ataupun memegang alat-alat ini. Oleh itu, setiap alat akan diwarisi oleh anak lelaki ataupun sekurang-kurangnya saudara lelaki para pemain. Ketua Nobat Diraja Kedah diberi gelaran Penghulu, manakala penolongnya dikenali dengan gelaran Kalur Besar.


Nobat Diraja Kedah dikatakan mempunyai 24 buah lagu pada asalnya, namun 5 buah lagu telah hilang. Lagu-lagu yang masih ada adalah:

  • Arak-Arak
  • Bayat
  • Bayok
  • Belayar (Raja Berangkat)
  • Berlimau
  • Bujang Ilir
  • Dewa Raja
  • Gendang Anak
  • Genderang Perang (Raja Bertabal)
  • Lumat
  • Malawala
  • Mambang Berkayuh
  • Mambang Cina
  • Palu (Penghulu / Menjunjung Duli)
  • Raja Burung
  • Sadarona / Saduruna
  • Sepindin
  • Seratan
  • Tempoyak

Pautan luar sunting