Banjaran Titiwangsa

Koordinat: 5°58′11″N 101°19′37″E / 5.96985121639°N 101.326904297°E / 5.96985121639; 101.326904297

Banjaran Titiwangsa (Jawi: بنجرن تيتيوڠسا), juga dikenali sebagai Banjaran Besar oleh penduduk tempatan, merupakan sebuah banjaran yang menganjur dari wilayah-wilayah Songkhla, Yala dan Narathiwat di selatan Thailand hingga ke Tampin di Negeri Sembilan, Semenanjung Malaysia. Bahagian banjaran di utara yang berdekatan dengan Thailand Selatan dikenali sebagai Banjaran Sankalakhiri (Bahasa Thai: ทิวเขาสันกาลาคีรี Thiwkhao Sankalakhiri Sebutan bahasa Thai: [tʰīw kʰǎw sǎn.kāːlāːkʰīːrīː] "Pergunungan Sang Kala" atau "Pergunungan Segara"[1]).

Banjaran Titiwangsa
Sebahagian pemandangan bukit-bukau dari sistem Banjaran Titiwangsa, dilihat dari Kawasan Rehat Ulu Bernam, Selangor (Lebuhraya Utara Selatan jajaran utara, arah selatan)
Titik tertinggi
PuncakGunung Korbu
Ketinggian2,183 m (7,162 ka)
Dimensi
Panjang480 km (300 bt) NW/SE
Lebar120 km (75 bt) NE/SW
Geografi
LokasiSemenanjung Tanah Melayu
Negara Thailand dan  Malaysia
Negeri/Wilayah
Induk banjaranPergunungan Tennaserim
Bersempadan denganBanjaran Bintang dan Banjaran Tahan
Sebahagian dari bukit-bukau dari sistem Banjaran Titiwangsa. Diambil dari Lebuhraya Utara Selatan, berdekatan Slim River, Perak.

Panjang banjaran ini kira-kira 480 km manakala tingginya 700 meter hingga 2,100 meter dari aras laut, dengan Gunung Korbu di Perak sebagai kemuncak tertinggi.

Geografi sunting

 
Peta relief Semenanjung Malaysia, yang memaparkan sistem banjaran-banjaran gunung di tengahnya. Banjaran Titiwangsa boleh dikenalpasti sebagai banjaran terpanjang yang melalui sepanjang sempadan negeri-negeri Perak, Kelantan, Selangor dan Pahang dan merentasi Negeri Sembilan.

Banjaran Titiwangsa adalah sebahagian daripada Banjaran Tenasserim yang meliputi selatan Myanmar, selatan Thailand dan Semenanjung Malaysia. Banjaran ini bertindak sebagai tulang belakang Semenanjung Malaysia yang memisahkan pantai barat dengan pantai timur Semenanjung, selain menjadi legeh bagi sungai-sungai utama di semenanjung Malaysia. Pola saliran atau cara cawangan-cawangan sungai dicantumkan dengan sungai utama ialah pola saliran reranting.

Banjaran gunung yang terpanjang di Malaysia ini menganjur dari selatan Thailand ke Negeri Sembilan, di mana Tampin merupakan titik penghujung keseluruhan jajaran utama banjaran itu secara geografi.[2][3] Singkapan batuan granit Titiwangsa berupa gugusan-gugusan inselberg (gunung atau bukit yang terpencil dari banjaran utama) seterusnya menganjur ke selatan hingga ke Pulau Besar, Melaka di perairan Selat Melaka.[4]

Gunung Korbu di Perak merupakan gunung tertinggi di Banjaran Titiwangsa. Di sebelah utara pula, Gunung Ulu Titi Basah yang terletak di sempadan Malaysia - Thailand merupakan kemuncak tertinggi, dan Gunung Besar Hantu yang terletak di sempadan Negeri Sembilan - Pahang merupakan kemuncak tertinggi di bahagian selatan banjaran ini. Kemuncak-kemuncak penting yang lain adalah Gunung Yong Belar, Gunung Gayong, Gunung Yong Yap dan Gunung Chamah di sempadan Perak - Kelantan, Gunung Semangkok, Gunung Ulu Kali dan Gunung Nuang di sempadan Selangor - Pahang. Sementara Perak dan Selangor dipisahkan dari Kelantan dan Pahang sepanjang Banjaran Titiwangsa, banjaran itu membahagikan Negeri Sembilan menjadi dua kawasan, iaitu Negeri Sembilan Barat yang merangkumi daerah-daerah Seremban, Port Dickson dan Rembau, dan Negeri Sembilan Timur yang terdiri daripada daerah-daerah Tampin, Kuala Pilah, Jempol dan Jelebu.

Kegiatan ekonomi sunting

 
Ladang teh BOH di Tanah Tinggi Cameron, Pahang.
 
Buah strawberi yang dituai segar dari Bukit Fraser, Pahang.

Pelancongan dan pertanian merupakan dua sektor ekonomi yang lazim giat dijalankan di sekitar banjaran ini, dengan tertubuhnya tiga buah pusat peranginan tanah tinggi utama iaitu Tanah Tinggi Cameron, Tanah Tinggi Genting dan Bukit Fraser. Di sini juga dijalankan penanaman tanaman hawa sederhana seperti teh, bunga-bungaan dan sayur-sayuran.

Galeri sunting

Lihat juga sunting

Rujukan sunting

  1. ^ ประพนธ์ เรืองณรงค์ (2004). "บทผนวกเกียรติยศ". Dalam สุจิตต์ วงษ์เทศ (penyunting). รัฐปัตตานีใน "ศรีวิชัย" เก่าแก่กว่ารัฐสุโขทัยในประวัติศาสตร์ (dalam bahasa Thai) (ed. 2). Bangkok: Matichon. m/s. 357.
  2. ^ "Places of Interest | Official Portal of Tampin District Council (MDT)". Mdtampin.gov.my. 1941-01-14. Dicapai pada 2023-04-04.
  3. ^ "(PDF) Vegetation of Peninsular Malaysia".
  4. ^ "Empat kawasan di Melaka berpotensi diiktiraf Geopark Kebangsaan". Astro Awani. 22 Oktober 2023.

http://tra3001.spp.moe.edu.my/file.php/1/BahanBPG/Geografi%20Form%201/Maheran%20Bt%20Baharum/BahanBantuMengajar/Peta%20Lokasi%20Tanah%20Tinggi.htm[pautan mati kekal]