Bhagavad Gita (bahasa Sanskrit: भगवद् गीता) ialah sebahagian yang terdiri daripada 700 ayat-ayat suci dalam puisi epik Mahabharata (Bhishma Parva bab 25 – 42), dan yang disanjung sebagai teks suci falsafah Hindu. Nama 'Bhagavad Gita' bermaksud "lagu tuhan".

Teks Hindu
Śruti

Smriti

Untuk kandungan Bhagavad Gita, sila lihat Kandungan Bhagavad Gita
Krishna kepada Arjuna:
Lihatlah kemewahan kebatinanku!
Kerja seni © dengan ihsan Amanah Buku Bhaktivedanta

Biasa dirujuk dengan mudah sebagai Gita, isi buku ini adalah satu dialog antara Krishna dan Arjuna yang diadakan di medan pertempuran Kurukshetra, tidak lama sebelum permulaan perang kemuncak. Dalam dialog ini, Krishna ialah pembicara utama yang menguraikan ajarannya kepada Arjuna yang menjadi pendengarnya. Dalam perbualan ini, Krishna mengisytiharkan Diri-Nya sebagai Avatara atau Jelmaan Tuhan dan atas permintaan Arjuna, menunjukkan ketuhanannya. Pendedahan itu menyebabkan Arjuna berasa kagum.

Perbualan antara Sri Krishna dan Arjuna meringkaskan falsafah Yoga dan Vedanta, serta menerangkan maksud dan tujuan kehidupan dan kewujudan. Walaupun buku ini dianggap sebagai teks Smṛiti berdasarkan alasan-alasan teknik, tidak syak lagi bahawa Bhagavad Gita telah mencapai status sebagai śruti, atau wahyu. Seperti mana Upanishad-Upanishad mengandungi intisari Veda, Bhagavad Gita mengandungi intisari Upanishad-Upanishad. Dalam kalangan semua kitab-kitab suci Hindu, Gita telah menjadi kitab yang paling popular.[1]

Terdapat beberapa pertikaian tentang tarikh Bhagavad Gita. Kebanyakan ahli sejarah, terutamanya sejarahwan Barat memberikan tarikh dalam lingkungan 1424 S.M hingga 575 S.M. Berdasarkan perbezaan dalam gaya puisi dan pengaruh luar seperti Sutra Yoga oleh Patanjali, sesetengah cendekiawan telah menyatakan bahawa Bhagavad Gita telah ditambahkan kepada Mahabharata pada masa yang amat lewat. [2] Namun, tidak boleh dipertikaikan bahawa ajaran Gita adalah sama dengan ajaran Mahabharata.[3] Orang Hindu yang menerima Bhagavad Gita sebagai suatu bahagian utama Mahabharata pula memberikan tarikh yang sama dengan epik utama itu. Menurut tradisi lisan Hindu, berdasarkan kepada sistem masa yang dihitung secara Yuga, peperangan Kurukshetra tentu telah berlaku pada tahun 3139 S.M.[4] Bagaimanapun, terdapat teori-teori lain yang menetapkan peristiwa-peristwa yang disebut dalam Mahabharata bahawa Gita ditulis pada sekitar 5561 SM, berdasarkan penghitungan astronomi.

Teks Bhagavad Gita yang popular pada masa kini ialah teks yang telah dipilih oleh Sri Sankaracharya, salah seorang pengulas tradisional yang awal. Menurut Swami Vivekananda, "Tidak ramai yang mengetahui tentang Gita sebelum Sankaracharya menulis ulasannya yang popular."[5] Teks ini mengandungi 700 sloka atau ayat-ayat suci dalam 18 bab.

Latarbelakang sunting

 
Bhagavad Gita memerihalkan fikiran sebagai sesuatu yang bergolak dan degil. 'Rata Badan': Kelima-lima kuda mewakili pancaindera (mata, telinga, hidung, lidah, dan kulit). Tali kekang melambangkan fikiran, pemandu ialah kecerdasan, sedangkan penumpang ialah roh.
Kerja seni © dengan ihsan Amanah Buku Bhaktivedanta

Bhagavad Gita diberikan di medan Peperangan Mahabharata di Kurukshetra, yang kini merupakan sebuah bandar kecil di negeri Haryana, 120 km dari New Delhi.

Bhagavad Gita bermula dengan soalan Dhritarashtra kepada Sanjaya tentang keadaan di medan Kurukshetra. Dengan kesaktiannya, Vyasa telah memberikan Sanjaya mata mistik untuk melihat semua peristiwa yang berlaku jauh di Kurukshetra. Demikian, Sanjaya dapat menceritakan kepada Dhritarashtra perkembangan di medan peperangan itu.

Sebelum permulaan perang kemuncak, Arjuna, putera Pandava meminta Sri Krishna untuk membawa kereta pedatinya ke tengah-tengah pasukan Kaurava dan Pandava. Selepas melihat kedua-dua pihak yang akan bertempur, Arjuna mula bercakap seolah-olah dia tidak sanggup untuk berperang. Beliau memberi alasan bahawa pasukan Kuru terdiri daripada saudara-mara dan kawan-kawan sendiri, serta para guru yang dihormatinya. Walaupun para Kaurava pernah berbuat jahat terhadapnya, mereka tetap saudara-saudara dan teman-temannya yang beliau kenal sejak kecil. Disebabkan keraguannya ini, Arjuna meminta nasihat daripada kawan, saudara, pemandu kereta pedati, dan pembimbingnya, Sri Krishna, salah satu avatar Maha Vishnu.

Pada mulanya, Sri Krishna memarahi Arjuna kerana berkelakuan seperti seorang pengecut. Kemudian, Sri Krishna menunjukkan bahawa Arjuna berada dalam delusi. Arjuna telah terkeliru dan tidak dapat membezakan antara emosi dan kerohanian. Sebagai seorang Aryan yang beradab, Arjuna tidak harus berkelakuan sedemikian. Tindakan Arjuna tidak sepadan dengan kedudukannya, mencemuh statusnya sebagai seorang wira dan seterusnya akan menafikan haknya untuk memasuki syurga. Sebagai seorang wira Kshatriya, Arjuna mempunyai tanggungjawab untuk berperang demi keadilan.

Seterunya, Sri Krishna mengingatkan Arjuna tentang kekuatan semulajadinya yang berasal daripada Atman atau Ketuhanan Rohnya. Roh manusia adalah abadi, Kematian hanya merupakan pelepasan tubuh, tetapi roh masih kekal. Krishna meneruskan dengan penjelasan laluan yoga terhadap pengabdian, tindakan, tafakur dan pengetahuan.

Pada dasarnya, Bhagavad Gita mengusulkan bahawa kesedaran yang benar datangnya daripada pelepasan persamaan diri dengan ego, dan sesorang harus menyamakan diri dengan Roh yang abadi (Atman; ), iaitu Kesedaran Ketuhanan yang muktamad. Melalui pemisahan diri daripada Ego peribadi, seorang yogi, iaitu pengikut sesuatu laluan Yoga, dapat mengatasi kematian dan menjauhi diri daripada perapatan kepada dunia kebendaan untuk melihat Tuhan (Brahman).

Untuk menunjukkan ketakterhinggaan Brahman yang tidak dapat diketahui, Krishna memberikan Arjuna visi kosmos (walaupun hanya buat sementara sahaja), dan membenarkan putera itu melihatNya dalam semua Kemuliaan Ketuhanan. Krishna mendedahkan bahawa pada dasarnya, Beliau adalah kedua-dua intisari muktamad bagi Kewujudan di dalam alam semesta, serta jasad fizikal alam semesta ini yang dipanggil Vishvarupa/Viratrupa.

Gita merujuk kepada perang ini sebagai "Dharma Yuddha" yang hanya bermaksud "perang demi kebaikan". Bab 4, rangkap 7 menyatakan dengan jelas bahawa Tuhan menjelma untuk menegakkan semula Dharma di dunia ini.

Kandungan sunting

Dalam epik Mahabharata, Sanjaya - penasihat Raja Dhritarashtra kembali ke Hastinapura untuk mengumumkan kematian Bhisma di medan pertempuran Kurukshetra. Atas permintaan Dhritarashtra, Sanjaya menceritakan tentang peperangan Mahabharata. Pada permulaan peperangan ini, Sri Krishna memberikan ilmu kepada Arjuna. Pada saat-saat akhir sebelum perang bermula, Arjuna, wira utama pasukan Pandava menjadi lemah dan enggan untuk berperang. Dengan penuh perasaan, Arjuna berkata bahawa dia tidak dapat membunuh sanak-saudara, sahabat-handai serta guru-gurunya sendiri demi mendapatkan kerajaan. Dalam keadaan kebingungan, Arjuna berserah kepada Sri Krishna dan meminta bimbingan-Nya. Menjawab kekeliruan dan dilema Arjuna, Sri Krishna menjelaskan tugas Arjuna sebagai seorang pahlawan dan putera, dan menghuraikan pelbagai konsep falsafah. Pada akhir perbincangan ini, Arjuna dengan fikiran yang jelas dan hati yang tenang, bersedia untuk melaksanakan tanggungjawabnya sebagai seorang pahlawan.

Watak-watak sunting

  • Sri Krishna, Jelmaan Tuhan yang menjadi pemandu pedati dan guru Arjuna
  • Arjuna, putera Pandava
  • Sanjaya, penasihat Raja Dhritarashtra
  • Dhritarashtra, Raja keturunan Kuru yang memerintah Hastinapura

Rumusan sunting

Bhagavad Gita mengandungi 18 bab-bab dalam Bhishma Parva, bab ke-6 (seksyen 25 hingga 42) epik Mahabharata. Menurut versi yang popular, terdapat 700 shloka atau ayat-ayat suci dalam Bhagavad Gita. Sebahagian besar ayat-ayat suci ini menggunakan gaya meter Anustubh (dipanggil Anusthubh Chhandas) dan sebahagian kecil menggunakan gaya meter Tristubh.

Edisi Sanskrit Gita menamakan setiap babnya sebagai suatu Yoga. Namun, dalam teks Mahabharata, bab-bab ini tidak ada sebarang tajuk bab. Menurut Swami Chidbhavananda, setiap satu lapan belas bab Gita diberikan nama sebagai yoga kerana setiap bab, sama seperti Yoga, "melatih badan dan minda". Beliau menamakan bab pertama sebagai "Arjuna Vishada Yoga" atau "Yoga Kekecewaan Arjuna".[6] Sir Edwin Arnold menterjemahkan bab ini dalam bahasa Inggeris sebagai "The Distress of Arjuna".[7]

Gita Dhyanam sunting

Sembilan ayat Gita Dhyanam atau Dhyana Sloka bukanlah sebahagian daripada Gita. Namun, amnya, bab ini sering dicetak pada permulaan Gita. Ini ialah doa kepada pelbagai kitab suci, orang-orang alim, dewa-dewi, menjelaskan hubungan antara Gita dengan Upanishad, dan mengesahkan tentang rahmat Tuhan. Pada amnya, ayat-ayat ini akan dibacakan sebelum permulaan bacaan Gita.

Sinopsis Bab-Bab sunting

  • Bab 1 (Arjuna-visada-yoga, 47 ayat)

Arjuna, hero Pandava, menjadi lemah dan sedih memikirkan bahawa beliau perlu menumpaskan Bhisma, Drona, saudara-mara serta sahabat-handainya. Seterusnya, beliau menghuraikan akibat peperangan yang mengerikan dan enggan untuk melakukan perbuatan keji itu.

  • Bab 2 (Sankhya yoga, 72 ayat)

Mendengar keluhan Ajuna, pada mulanya, Sri Krishna menegurnya kerana bersikap pengecut dan memalukan diri. Namun, ini tidak memberi sebarang kesan terhadap Arjuna. Maka, Sri Krishna memulakan huraian falsafah yang panjang lebar bagi menaikan semangat Arjuna. Roh yang menduduki badan adalah abadi. Oleh itu, tidak ada sebab untuk bersedih atas kematian dan kemusnahan. Tugas Arjuna ialah untuk berperang demi menegakkan keadilan dan kebaikan dengan kejayaannya atau mati sebagai seorang wira, jika perlu. Dengan menafikan tugasnya, Arjuna tidak harus bertunduk kepada kejahatan. Kerja yang dilakukan sebagai satu tanggungjawab, dengan semangat tersisih dan demi kebaikan dunia, akhirnya akan membantu jiwa mencapai kesempurnaan. Seorang manusia yang sempurna (dipanggil 'sthitaprajna') akan sentiasa tenang dalam segala keadaan hidup.

  • Bab 3 (Karmayoga, 43 ayat)

Sri Krishna menjelaskan keraguan Arjuna mengenai konflik antara jnana (ilmu) dan karma (kerja, tindakan). Menurut Sri Krishna, jalan karma adalah lebih mudah dan baik untuk kebanyakan orang. Dengan merujuk kepada raja-raja zaman silam seperti Janaka dan dirinya sendiri, Sri Krishna mendesak Arjuna untuk melakukan tugasnya tanpa mementingkan diri.

  • Bab 4 (Jnana Yoga, 42 ayat)

Sri Krishna mendedahkan bahawa pada permulaan zaman, beliau telah mengajar Karma Yoga kepada Vivasvan, dan orang-orang lain. Seterusnya, Sri Krishna memberikan rahsia penjelmaannya di bumi sebagai Jelmaan Tuhan yang datang demi mempertahankan Dharma. Tuhan menjelma di bumi atas kehendak-Nya sendiri apabila Dharma merosot dan Adharma meningkat.

  • Bab 5 (Karma Samnyasa Yoga, 29 ayat)

Arjuna menyoal sama ada Karma Samnyasa atau Karma Yoga adalah lebih baik. Sri Krishna menjawab bahawa Karma Yoga adalah lebih baik untuknya. Yang pentingnya ialah melakukan karma atau tindakan dengan tenang.

  • Bab 6 (Dhyana Yoga, 47 ayat)

Dalam bab ini, Sri Krishna menghuraikan proses Dhyana atau meditasi. Tempat dan postur yang sesuai untuk meditasi, serta kaedah-kaedah mengawal minda dihuraikan dengan terperinci.

  • Bab 7 (Jnana Vijnana Yoga, 30 ayat)

Sri Krishna sebagai Tuhan Yang Maha Esa telah mencipta alam semesta ini dengan menggunakan Prakriti. Tuhan yang melindungi dan menyokong semua dan setiap hidupan.

  • Bab 8 (Aksara Brahma Yoga, 28 ayat)

Sri Krishna menghuraikan di sini bagaimana seseorang yang mengingati Tuhan ketika saat kematian mencapai-Nya. Mengulangi Pranama atau Aum ketika saat kematian juga amat berfaedah. Sri Krishna juga menerangkan dua jalan yang terkenal - arciradimarga dan dhumadimarga, jalan cahaya dan jalan asap yang dilalui oleh Jiva selepas kematian jasadnya.

  • Bab 9 (Rajavidya Rajaguhya Yoga, 34 ayat)

Sri Krishna meneruskan dengan huraian tentang ilmu esoterik yang dapat memberikan kebebasan atau moksha. Tuhan ialah segala-galanya. Jika seseorang dapat menyembah-Nya dengan cinta, mempersembahkan kepada-Nya walaupun hanya sekuntum bunga, sehelai daun, atau air, Tuhan menerimanya dan memberkati pemuja-Nya. Pemuja-Nya tidak akan laknat.

  • Bab 10 (Vibhuti Yoga, 42 ayat)

Sri Krishna mendedahkan semua vibhuti atau penjelmaan ketuhanan-Nya dalam bab ini. Tuhan ialah intipati atau yang terbaik dalam semua hidupan dan benda. Seluruh alam ini menggambarkan cuma sedikit daripada keagungan-Nya.

  • Bab 11 (Visvarupa Darsana Yoga, 55 ayat)

Atas permintaan Arjuna, Sri Krishna memberikan penglihatan mistik kepadanya dan mendedahkan rupa agung-Nya atau dikenali sebagai Viswarupa. Kagum dengan keagungan Tuhan, Arjuna memyembah-Nya. Sri Selepas kembali kepada rupa manusia biasa-Nya, Sri Krishna berkata bahawa hanya orang yang mempunyai iman yang kuat dapat melihat rupa Viswarupa-Nya.

  • Bab 12 (Bhakti Yoga, 20 ayat)

Meskipun meditasi ke atas Avyakta atau Tuhan Yang Tak Berupa memberikan hasil yang sama seperti Bhakti kepada-Nya, jalan Bhakti adalah lebih baik. Oleh itu, Sri Krishna menasihatkan Arjuna untuk memupuk cinta untuk-Nya. Akhirnya, Sri Krishna juga menghuraikan ciri-ciri seseorang Bhakta atau pencinta Tuhan yang terbaik.

  • Bab 13 (Kshetra-Kshetrajña Yoga, 34 ayat)

Badan ialah kshetra atau sebuah padang. Diri atau Atman ialah kshetrajña atau orang yang mengetahui padang. Ini diikuti dengan huraian tentang jñana (ilmu), jñeya (Brahman, objek untuk dikenali), prakrti (alam semula jadi), dan purusa (Diri atau kshetrajña). Seseorang yang dapat membezakan antara prakrti dan purusha (Atman) akan mencapai Brahman.

  • Bab 14 (Gunatraya Vibhaga Yoga, 27 ayat)

Prakrti atau alam semulajadi mempunyau tiga sifat atau Triguṇa - Sattva, Rajas, dan Tamas. Huraian terperinci tentang tiga sifat ini dan tentang seseorang yang telah menjangkaui tiga sifat ini (guṇātīta) diberikan.

  • Bab 15 (Purusottama Yoga, 20 ayat)

Dalam bab ini, Sri Krishna menghuraikan samsara atau dunia sebagai sebatang pokok yang terbalik, akarnya berada di atas, dalam Brahman atau Purana Purusha, Dengan berserah kepada-Nya, manusia boleh menebang pokok ini dan mencapai kebebasan. Suatu deskripsi tentang jiwa yang lahir semula juga diberikan. Sri Krishna mengakui bahawa Dia ialah kuasa yang memelihara dunia dan segala kehidupan. Dia ialah Purushottama atau Makhluk yang Terbaik.

  • Bab 16 (Daivasura Sampad Vibhaga Yoga, 24 ayat)

Sri Krishna seterusnya menghuraikan sifat-sifat seorang yang mulia (daivi) dan keji (asuri). Arjuna ialah seorang mulia dan oleh itu Sri Krishna mendesaknya untuk mengelakkan tiga pintu ke neraka iaitu nafsu berahi, kemarahan dan ketamakan.

  • Bab 17 (Sraddhatraya Vibhaga Yoga, 28 ayat)

Bab ini menghuraikan tentang sraddha (kepercayaan), ahara (makanan), yajna (korban), tapas (disiplin kerohanian), dan dana (hadiah). Semua makhluk dibahagikan kepada tiga kategori berdasarkan kepada triguna. Sri Krishna juga menggunakan 'Om Tat Sat', suatu gelaran Brahman, dan mantera ini dapat bertindak sebagai mantera untuk membetulkan sebarang kecacatan atau kekurangan dalam kerja-kerja ibadat.

  • Bab 18 (Moksha Samnyasa Yoga, 78 ayat)

Ini ialah bab akhir dan yang terpanjang. Bab ini menyentuh tentang beberapa perkara seperti tyaga (pengorbanan), samnyasa (pelepasan), jnana (ilmu), karma (tindakan), karta (pembuat) yang dikategorikan menurut triguna. Pembahagian masyarakat kepada empat varna menurut sifat semulajadi dan pekerjaan seseorang juga diberikan. Akhirnya, Sri Krishna menasihatkan Arjuna untuk berserah kepada-Nya dan berjanji untuk membebaskannya daripada segala dosa. Selepas mendengar kata-kata Sri Krishna, Arjuna mengatasi segala keraguan dan kelemahannya, dan berjanji untuk berperang demi Dharma.

Falsafah Bhagavad Gita sunting

Bhagavad Gita bukan suatu karya falsafah yang sistematik. Namun, semua subjek-subjek utama dalam falsafah India boleh dikaji dalam mahakarya ini. Biasanya, falsafah India atau Darsana, membincangkan empat subjek ini iaitu:

  • Alam dan ciptaan atau evolusi
  • Kewujudan dan sifat Tuhan atau Yang Maha Mutlak
  • Sifat semula jadi manusia
  • Matlamat hidup manusia

Pada penghujung setiap bab, Bhagavad Gita menyebut bahawa kandungannya ialah Upanishad, Brahmavidya dan Yogasastra. Sesungguhnya Bhagavad Gita ialah sebuah 'Upanishad' atau ilmu esoterik yang diberikan oleh seorang guru bagi menjawab soalan-soalan pelajarnya. Bhagavad Gita ialah Brahmavidya kerana ia membincangkan tentang Brahman. Bhagavad Gita ialah suatu 'Yogasastra' kerana ia menghuraikan yoga atau disiplin-disiplin praktikal yang membantu seseorang mencapai ilmu rohaniah atau matlamat kehidupan.

Sri Krishna dipuja dan disembah sebagai Tuhan yang telah menjelma dalam rupa manusia demi melindungi manusia dan mempertahankan Dharma. Sri Krishna sering menyamakan diri-Nya dengan Tuhan dan bercakap dengan penuh otoriti dalam Bhagavad Gita, Mahabharata dan Bhagavatam. Sepanjang dialog ini, Sri Krishna menggunakan kata nama 'Aku'. 'Aku' atau 'Saya' dalam Gita merujuk kepada Tuhan Yang Maha Esa.[8] Ketika menelaah falsafah Bhagavad Gita, perkara ini perlu diingati.

Alam dan ciptaan atau evolusi sunting

Gita membandingkan alam semesta ini dengan sebatang pokok yang songsang, akarnya berada di atas pada Tuhan (15.1-4). Hikayat popular bahawa Brahma (Pencipta bermuka empat) mencipta dunia semasa 'siang' dan menarikbaliknya ketika 'malam' juga dirujuk (8.17-19). Tuhan juga dipanggil dengan pelbagai nama seperti: Parabrahman (13.12). Paramatman (13.22, 31), Uttamapurusha atau Purushottama (15.17-19), Isvara (15.17; 18.61), Ksetrajña (13.2) dan Paramesvara (13.27).

Ciptaan dilakukan oleh Prakṛti menurut arahan Tuhan. Prakṛti dibahagikan dua kepada Para dan Apara. Apara Prakṛti atau prakṛti rendah terdiri daripada lapan perkara: lima unsur-unsur seperti air, api, manas (minda), buddhi (intelek) dan ahankara (egoisme). Paraprakṛti (prakṛti tinggi) pula terdiri daripada jiva atau roh-roh yang tidak terkira. Dengan kombinasi kedua-dua Prakṛti ini, ciptaan bermula. Alam semesta ini wujud dan musnah dalam Tuhan (7.4-6; 9.7). Sama seperti jalur yang menyokong butir-butir manik rantai, begitu juga Tuhan menyokong alam semesta ini (7.7). Sebagai Avyakta (Yang Tiada Rupa), Tuhan merangkumi seluruh alam semesta (9.4). Oleh itu, Tuhan menjadi intipati dalam ciptaan-Nya (10.41).

Kewujudan dan sifat Tuhan atau Yang Maha Mutlak sunting

Tuhan bukan sahaja menjangkaui dan merangkumi segala-galanya (18.61), tetapi Dia juga boleh menjelma sebagai seorang manusia. Apabila Dharma merosot dan adharma bermaharajalela, demi mengembalikan Dharma, Tuhan menjelma. Tuhan menjelma dengan kehendak hati-Nya sendiri. Dengan kuasa maya-Nya dan menguasai Prakṛti, Tuhan mencipta badan-Nya (4.6.8).

Manusia dapat merapati Tuhan dengan lebih mudah dalam rupa-Nya sebagai manusia (9.26). Manusia boleh mendekati Tuhan dengan apa-apa cara dan semuanya diterima oleh Tuhan (4.11; 7.21-23). Pemuja-Nya tidak akan binasa (9.31). Sesiapa yang berserah kepada-Nya akan merentasi Māya (kuasa delusi Tuhan) yang sukar direntasi dengan mudah (7.14). Tuhan akan mengambil alih tanggungjawab pemuja-Nya yang berserah sepenuhnya kepada-Nya (9.22). Itulah sebabnya Tuhan berulangkali mendesak Arjuna untuk memupuk bhakti untuk-Nya dan berserah kepada-Nya (9,34; 11.55; 18.65, 66).

Sifat semula jadi manusia sunting

Jīva atau roh individu ialah satu aspek penting dan tertinggi ciptaan atau dikenali sebagai Paraprakṛti (7.5). Jīva ialah sebahagian Tuhan (15.7). Jīva tidak lahir, tidak boleh dimusnahkan dan abadi (2.17-25). Seperti memakai pakaian, Jīva memakai badan dan kemudian membuangnya apabila badan menjadi uzur dan tua, dan mengambil badan baru (2.22). Ketika mengambil badan baru, Jīva memisahkan lima organ deria dan mindanya daripada Aparaprakṛti (7.4, 5) dan membawanya berpindah ke badan baru. Ajñana atau kejahilan mengaburi Jīva dengan menutupi jñana atau ilmu (5.15).

Matlamat hidup manusia sunting

Matlamat kehidupan ialah untuk mencapai Tuhan dan dengan itu menjadi bebas daripada kitaran hidup (8.16; 5.17; 15.6). Keadaan ini dinamakan Brahma-nirvana (2.74; 5.24), Brahmīshthiti (2.72), samsiddhi (8.15; 18.45), paragati (6.45; 8.13, 21; 9.32; 13.28; 16.22) dan mencapai Sri Krishna (4.9,10; 5.29; 7.3, 18, 23, 30; 8.5, 7, 14, 15, 16; 9.28, 34; 10.10; 11.55; 12.4, 9; 18.55). Gita juga menyebut tentang idea Jīva mencapai Brahmaloka melalui arciradi-marga (jalan cahaya) yang disebut dalam Upanishad purba (8.24-26).

Kejahilan atau ajñana yang menyebabkan kelahiran semula. Oleh itu, kelahiran semula boleh dihapuskan hanya dengan jñana atau ilmu rohaniah (4.35-39; 5.16, 17).

Sebelum mendapatkan ilmu, disiplin kerohanian perlu dilakukan untuk menyucikan minda. Indriyanigraha atau kawalan pancaindera menjadi satu disiplin utama (2.58, 60, 61, 64, 68; 3.34, 41; 5.22, 23; 6.4, 24; 12.4). Tapas atau disiplin kerohanian (16.1; 17.14-16; 18.5) dan lain-lain disiplin termasuk melakukan tanggungjawab seseorang dengan sikap yang betul juga ditekankan. Namun, Bhakti dan perbuatan berserah diri kepada Tuhan disanjung tinggi (7.21; 8.10, 22; 9.14, 26, 29, 31; 11.54; 12.17, 20; 13.10; 14.26; 18.55).

Gita juga memberikan huraian yang cantik mengenai manusia yang sempurna, yang telah mencapai matlamat kehidupan: Sthitaprajña (2.55-72), Bhakta (12.13-20) dan Guṇatīta (14.22-27).

  • Sthitaprajña (orang yang tetap ilmunya) tidak mempunyai sebarang keinginan. Suka dan duka, cinta dan benci tidak menjejaskannya. Dengan mudah, dia dapat mengalihkan deria-derianya dari objek-objek keseronokan. Dia menjadi raja dirinya dan bukannya hamba kepada pancainderanya. Dia sentiasa sedar akan Dirinya atau Atman. Dia tidak ada sifat egoistik dan pemilikan, dan oleh itu, dia sentiasa tenang. Keadaan ini disebut sebagai Brahmīsthiti; iaitu keadaan bersatu dengan Brahman.
  • Bhakta atau seorang pemuja yang ideal yang sentiasa mencintai Tuhan. Dia tidak membenci sesiapa pun dan sentiasa berkawan dan bersimpati dengan semua hidupan. Dia tidak mempunyai keegoan atau ikatan. Dia sentiasa tenang dan berpuas hati. Dia telah mengawal pancaindera dan mindanya dan berserah sepenuhnya kepada Tuhan. Dia tidak menyusahkan orang lain. Tanpa sebarang keinginan, suci murni, dan pakar dalam kerjanya, dia telah melepaskan semua kerja-kerja untuk kepentingan diri sendiri. Dia menyayangi Tuhan dan tidak mengendahkan pujian mahupun celaan orang lain. Cuaca dan suasana yang kurang memuaskan tidak menjejaskannya. Tuhan amat menyayangi seorang Bhakta begini.
  • Guṇatīta (seorang yang menjangkaui triguna) tidak terjejas dengan perubahan-perubahan yang disebabkan oleh triguna, seperti ilmu, kegembiraan, atau delusi. Dia sedar bahawa guna sebagai deria-deria bertindak ke atas guna sebagai objek, dan ini tidak menjejaskan Atman. Dia melihat suka dan duka, pujian dan celaan, kekayaan dan kemiskinan dengan tenang. Dia tidak akan melakukan sesuatu tindakan atas dorongan keinginan. Dia sentiasa memuja Tuhan dengan penuh cinta.

Sumbangan Khas Bhagavad Gita sunting

Meskipun Bhagavad Gita diterima sebagai khazanah ajaran-ajaran Upanishad dan sebagai salah satu kitab asas Vedanta (prasthanatraya), tidak dapat dinafikan bahawa Bhagavad Gita telah memberikan beberapa idea baru kepada falsafah India. Mahakarya ini memberikan kita tiga doktrin asal:

i)    Doktrin niskama-karma-yoga (yoga tindakan tanpa keinginan) berserta dengan konsep svadharma dan lokasangraha

ii)    Doktrin yoga bersepadu sebagai suatu sadhana atau disiplin rohani yang komprehensif.

iii)    Doktrin Avatara (Jelmaan Tuhan)

Doktrin Niṣkāma-Karma-Yoga sunting

Pada zaman Sri Krishna terdapat dua aliran utama yang menyebabkan dua pendapat dan jalan kehidupan yang berlainan. Satu ialah falsafah Abhyudaya (kepentingan duniawi) yang menekankan pelbagai upacara korban (yajña) dan yāga yang membolehkan seseorang memperolehi segala nikmat duniawi dan syurga. Namun, yajña dan yāga memakan masa, wang dan tenaga dan hasilnya cuma remeh-temeh. Oleh itu, para Rishi mengemukakan falsalah Niśśreyasa (kepentingan tertinggi) yang dapat memberikan nikmat abadi. Menurut fahaman kedua ini, manusia harus melepaskan semua tindakan untuk kepentingan diri sendiri, hidup bertafakur, dan melakukan hanya aktiviti-aktiviti yang perlu untuk menyara hidup dengan sederhana. Dalam kata lain, jalan kedua ini ialah kehidupan Saṁnyasa.

Secara semulajadi, kedua-dua jalan kehidupan ini hanya sesuai untuk golongan Brahmin dan Kshatriya sahaja. Akibatnya, sebahagian besar masyarakat tersingkir daripada dua jalan ini. Maka, di sini doktrin Niṣkāma-Karma-Yoga yang dikemukakan oleh Sri Krishna menjadi amat penting.

Sri Krishna, menerima tradisi korban yang sedia ada. Namun, Dia mengajar untuk menggubah atau menjangkaui tradisi purba ini. Oleh kerana, Prajapati (Tuhan) mencipta sistem yajna atau korban sebagai suatu talian antara manusia dan dewa-dewi, kedua-duanya saling bergantung (3.10, 11). Namun, yajna atau korban tidak semestinya dilakukan dengan menggunakan api suci. Sebarang tindakan atau perbuatan seseorang yang melibatkan pengorbanan kepentingan diri dan dilakukan demi kebaikan umum boleh dianggap sebagai yajna (4.25-30).

Saṁnyasa ialah pelepasan semua kāmya-karma atau tindakan yang didorong oleh nafsu, dan tyāga ialah pengabaian sarvakarmaphala atau hasil semua tindakan (18.21). Oleh kerana, yajña (korban), dāna (pemberian hadiah), dan tapas (disiplin rohani) menyucikan minda, Sri Krishna tidak menyarankan pelepasan tindakan-tindakan ini. Sebaliknya, semua tindakan ini harus dilakukan sebagai suatu kewajipan tanpa mengharapkan hasil dan tanpa ikatan. Sebenarnya, tindakan tidak akan membelenggui seseorang melainkan ianya dilakukan demi hasilnya untuk kepentingan diri sendiri (9.20, 21). Oleh kerana, manusia tidak boleh mengelakkan sebarang tindakan, sebaik-baiknya dia bertindak dengan penuh disiplin sebagai suatu yajña atau korban (3.9) dan tanpa mengharapkan hasilnya (3.19, 12.11). Seseorang yang bekerja begini dianggap sebagai seorang saṁnyasi (rahib) dan yogi (6.1). Secara alternatif, seseorang juga boleh bertindak demi Tuhan dan menyerahkan segala hasil tindakan itu kepada-Nya (12.6, 10, 11; 11.55; 5.10-12). Seseorang juga perlu bekerja demi lokasangraha atau membimbing masyarakat ke jalan kebaikan (3.20, 25) dan inilah tugas pemimpin-pemimpin masyarakat.

Kerja yang dilakukan dengan semangat yang betul sesungguhnya akan membantu seseorang mencapai Moksha. Maka, kerja tidak boleh dipandang rendah. Ramai orang-orang alim pada zaman silam telah mencapai kemuliaan dengan mengikuti jalan tindakan seperti Janaka. Malah, Sri Krishna sendiri hidup dalam kalangan masyarakat dan bekerja demi menjadi teladan. Kesempurnaan dalam kerja juga akan membawa kepada kebaikan rohani.

Arjuna ialah seorang Sadhaka yang mencari ilmu rohaniah dengan bersungguh-sungguh. Dia tidak berminat dengan sakāma karma atau tindakan yang didorong nafsu. Namun, dia tidak layak untuk mengikuti jalan jñāna atau ilmu yang menghendaki seseorang melepaskan semua tindakan (iaitu seperti seorang rahib). Maka, Sri Krishna berkata bahawa Arjuna layak untuk bekerja, dan tidak harus menjadi seorang Saṁnyasi. Oleh itu, Sri Krishna menasihatkan Arjuna untuk bekerja tanpa mengharapkan hasilnya (2.47).

'Svadharma’ atau ‘kewajipan seseorang’ ialah dharma atau kewajipan yang seseorang harus lakukan mengikut agama dan sifatnya sendiri. Svadharma begini tidak harus diabaikan. Jika seseorang memenuhi svadharmanya, dia akan mendapat kebaikan. Jika svadharma diabaikan, ia menjadi dosa. Jika seseorang melakukan svadharmanya, sebarang dosa atau kecacatan dalam tindakan itu tidak akan menjejaskannya. Dharma sendiri adalah lebih baik berbanding paradharma atau dharma orang lain. Sekiranya svadharma dilakukan dengan semangat yang betul, ia pasti membawa kesempurnaan (18.45, 46).

Doktrin Yoga Bersepadu sunting

Gita menyebut tentang dirinya sendiri sebagai suatu ‘Yogasastra’. ‘Yoga’ ialah suatu terma teknikal yang bermaksud penyatuan dengan Tuhan dan suatu disiplin rohani yang membawa kepada penyatuan itu.

Meskipun yoga hanyalah satu, disebabkan manusia mempunyai empat kecendurungan atau sifat semulajadi berlainan – aktif, rasional, emosional dan kuasa ghaib, yoga telah bercabang empat sebagai Karma Yoga (jalan kerja); Jnana Yoga (jalan ilmu); Bhakti Yoga (jalan cinta); dan Raja Yoga (jalan kawalan kuasa ghaib). Dengan ini, setiap orang boleh memilih yoga yang sesuai dengan kecendurungannya sendiri. Setiap yoga ini membuka pintu Kebenaran untuk semua orang dan membolehkan manusia bersatu dengan Tuhan. Bhagavad Gita menghuraikan semua jalan-jalan ini.

Sri Krishna telah menggunakan perkataan ‘yoga’ dalam beberapa konteks. Misalnya, ayat-ayat 2.48, 50 dan 6.2 merujuk kepada Karma Yoga. Ayat-ayat 6.12 dan 15 pula merujuk kepada Raja Yoga. Dalam ayat 5.8, perkataan ‘yukta’ merujuk kepada jnanayogi. Dalam ayat 8.14 pula, ‘nityayukta’ merujuk kepada bhaktiyogi.

Sri Krishna telah mengajar semua yoga ini kepada seorang individu, iaitu Arjuna, dan mendesaknya untuk mengikuti semua yoga ini. Dengan mengambil kira ini, bolehlah dirumuskan bahawa yoga dalam Bhagavad Gita ialah suatu disiplin rohani yang menyeluruh, menyepadukan empat yoga ini. Namun, menurut svabhava atau sifat semulajadi Arjuna, Karmayoga adalah lebih sesuai untuknya. Maka, Sri Krishna mendesak Arjuna untuk melakukan kerjanya sebagai seorang pahlawan dengan berperang (2.18; 3.30; 11.34).

Ini bermaksud, Bhagavad Gita mendesak seseorang untuk mengikuti suatu penyatuan seimbang empat yoga ini, dan memberikan keutamaan kepada yoga yang sesuai dengan sifat semulajadinya sendiri. Semua orang mempunyai sedikit sebanyak empat sifat-sifat semulajadi yang disebut oleh Gita. Oleh itu, seseorang boleh mengamalkan empat yoga ini secara seimbang.

Doktrin Avatara sunting

Satu lagi sumbangan asal Gita ialah doktrin Avatara atau Jelmaan Tuhan. Kemungkinan konsep Avatara telah disebut dalam Rġveda (3.58.8; 6.47.18). Beberapa Avatara yang disebut dalam Purana dalam senarai Dasavatara (sepuluh Jelmaan Vishnu) juga dirujuk dalam Satapatha Brahmana (1.8.1-6; 1.2.5.1.). Namun, konsep ini julung kalinya diberikan dengan lebih jelas dan pasti dalam Bhagavad Gita.

Sri Krishna berkata bahawa yoga yang diajar-Nya kepada Vivasvan (Dewa Suria), dan Vivasvan ajar kepada Manu telah hilang dengan peredaran masa. Arjuna tidak dapat percaya bagaimana Sri Krishna boleh mengajar kepada Vivasvan yang hidup pada zaman purba. Sri Krishna mendedahkan rahsia kelahiran-Nya dan kelahiran Arjuna. Kedua-dua mereka telah melalui beberapa kelahiran. Arjuna telah lahir semula disebabkan prarabdha karma yang dia tidak dapat elakkan dan dia tidak mengingatinya. Namun, Sri Krishna ialah Tuhan Maha Esa. Dengan kehendak-Nya sendiri dan secara sukarela Sri Krishna telah lahir beberapa kali demi kebaikan dunia.

Dharma atau kebaikan ialah prinsip yang memastikan bahawa dunia ini berjalan dengan teratur. Dunia adalah hasil ciptaan triguna – sattva, rajas dan tamas. Oleh itu, dunia sentiasa berubah dan setiap sifat ini menjadi kuat pada sesuatu masa. Apabila sattva berkurang, dan rajas dan tamas bertambah, Dharma akan merosot dan adharma (kejahatan) akan meningkat. Dalam zaman yang kritikal begini, Tuhan Maha Esa menjelma dalam rupa manusia untuk mengembalikan Dharma. Meskipun, Tuhan Maha Berkuasa, abadi, dan Raja segala ciptaan, Dia boleh dan dapat ‘turun’ ke bumi (‘Avatara’ = turun ke bawah) dengan menggunakan kuasa Maya-Nya (juga dikenali sebagai Prakrti) (4.6.7). Matlamat utama seorang Avatara ialah Dharma Samsthapana (mengukuhkan kedudukan Dharma). Dalam proses ini, jika perlu, Dia juga menghapuskan kejahatan dan melindungi orang baik (4.8).

Kedatangan Tuhan dalam rupa manusia boleh berlaku pada bila-bila masa di mana-mana tempat. Satu-satunya syarat untuk kedatangan-Nya ialah kemerosotan Dharma dan peningkatan adharma (4.7) sehingga menjadikan orang-orang baik tidak ada sebarang tempat berteduh dan terpaksa bergantung kepada orang-orang jahat.

Sri Krishna juga memberikan kepastian bahawa sesiapa sahaja yang dapat memahami kepentingan kelahiran dan tugas-Nya sebagai Avatara, akan mencapai kebebasan (4.9).

Dalam beberapa keadaan, Sri Krishna mendesak Arjuna untuk memupuk iman kepada-Nya, untuk bermeditasi keatas-Nya dan untuk bekerja untuk-Nya (9.34; 11.55; 18.65), dan akhirnya mengarahkan Arjuna untuk berserah penuh kepada-Nya, dengan berjanji untuk membebaskannya daripada semua dosa (18.66).

Ulasan-Ulasan sunting

Ulasan tertua yang masih wujud ditulis oleh Sankaracharyae(788-820 Masihi)tapi beliau menyebut nama pengulas-pengulas yang mendahuluinya. Beliau diikuti oleh pengulas-pengulas klasik seperti Anandagiri, Shridhara Swami, Madhusūdana Sarasvatī, Ramanujacharya, Madhvacharya, Nimbarka, Vallabha dan Dnyaneshwar. Sedangkan teks tradisi yang diulaskan oleh banyak cendekiawan, termasuk Sankaracharya dan Ramanujacharya, terdiri daripada 700 rangkap, terdapat resensi teks dari Kashmir yang mempunyai 15 rangkap tambahan. Abhinavagupta (abad ke-10-11), seorang ahli falsafah yang termasyhur, telah menulis sebuah ulasan mengenai resensi ini yang dipanggil "Gitartha-Samgraha". Cendekiawan-cendekiawan purba dan zaman pertengahan (seperti Vedanta Desika dalam Tatparya-Chandrika) kelihatan sedar akan rangkap tambahan ini tetapi mengutamakan 700 rangkap yang popular. Antara orang-orang bijaksana dan ahli-ahli falsafah yang terutama yang memperoleh ilham daripada Bhagavad Gita ialah Sri Chaitanya Mahaprabhu yang memulakan nyanyian mantera "Hare Krishna" di khalayak ramai.

Pengaruh Bhagavad Gita sunting

Teks Hindu
 
Śruti

Smriti

Beberapa faktor telah menyumbang kepada kehebatan dan kepopularan Gita. Gita ialah sebahagian daripada epik Mahabharata yang juga disanjung tinggi sebagai Veda kelima (Pañchama Veda). Sri Krishna ialah Guru Gita yang dipuja sebagai Avatara atau Jelmaan Tuhan. Sri Krishna ialah seorang kawan baik, negarawan hebat, pahlawan yang tiada tandingnya, guru yang mulia, yogi yang hebat yang mengimbangi hidupnya dengan pelbagai aspek berlainan. Dengan ini Sri Krishna layak menjadi guru untuk mengajar suatu klasik agama-rohani.

Arjuna ialah seorang pahlawan dan wira yang hebat. Arjuna merupakan wakil manusia biasa yang menjadi lemah dan meragui tugasnya dalam masa-masa kritikal. Maka, cabaran yang dihadapi oleh Arjuna menggambarkan cabaran hidup yang dialami oleh semua orang. Oleh itu, soalan-soalan yang ditujukan oleh Arjuna dan jawapan-jawapn yang diberikan oleh Sri Krishna adalah masih relevan hari ini.

Bhagavad Gita merupakan sebuah teks klasik yang sering digunakan oleh sami Hindu dan yogi. Walaupun buku ini sebenarnya tidak mematuhi 'peraturan' penulisan Veda, hampir semua mazhab Hindu merujuk kepada Bhagavad Gita sebagai kitab yang berwibawa. Sesetengah orang mendakwa bahawa teks ini dimasukkan dalam Mahabharata pada tarikh yang lebih lewat, tetapi pendapat ini hanya disebabkan oleh Bhagavad Gita yang kelihatan seakan-akan suatu Upanishad (yang merupakan ulasan yang menyusul Veda) dari segi pemikiran berbanding suatu Purana (sejarah), iaitu tradisi yang mana Mahabharata merupakan sebahagian. Namun, tidak boleh dipertikaikan bahawa ajaran Gita adalah sama dengan ajaran Mahabharata.[9]

Dari segi keagamaan yang mendalam, falsafah Upanishad dan Yoga, serta keindahan puisi, Bhagavad Gita merupakan salah satu teks yang mendorong dan penting dalam tradisi Hindu. Buku ini adalah salah satu kitab agama dan rohaniah yang terutama di dunia. Bagi aliran-aliran fikiran Veda dalam falsafah Hindu, buku ini ialah salah satu daripada tiga teks asas (bahasa Sanskrit: Prasthana Trayi yang membawa maksud harfiah sebagai "tiga penyimpangan"). Kedua-dua teks yang lain ialah Upanishad dan Brahma Sutra. Setiap aliran fikiran India mempunyai ulasan mengenai ketiga-tiga teks ini.

Ketika menyaksikan peletupan bom atom yang pertama di dunia pada tahun 1945, J. Robert Oppenheimer, ahli fizik Amerika Syarikat dan pengarah Projek Manhattan, dilaporkan salah memetik: "Saya telah menjadi Kematian, penghancur dunia-dunia".

Swami Vivekananda, pengikut Sri Ramakrishna, dikenali untuk ulasan-ulasan yang sangat besar pengaruhnya mengenai empat Yoga, iaitu Bhakti, Jnana, Karma, dan Raja Yoga. Beliau menggunakan pengetahuan Gitanya untuk menjelaskan yoga-yoga ini. Swami Sivananda menasihati orang-orang yang berminat menjadi Yogi untuk membaca rangkap-rangkap daripada Bhagavad Gita setiap hari. Paramahamsa Yogananda, penulis mahakarya "Autobiografi seorang Yogi", melihatkan Bhagavad Gita sebagai salah satu daripada kitab-kitab yang paling indah di dunia.

Mengenai Bhagavad Gita sunting

Sri Ramakrishna (1836-1886), seorang ahli mistik India berkata:

"Apa yang kamu dapat dengan mengulangi perkataan 'Gita' sepuluh kali adalah intisari kitab ini. Dalam kata lain, jika kamu mengulangi 'Gita' sepuluh kali, ia menjadi 'tagi', yang bermaksud pelepasan. Intisari Gita ialah: 'Wahai manusia, lepaskan segala-galanya dan amalkan disiplin kerohanian untuk menyedari Tuhan.'"

Swami Vivekananda (1863-1902), seorang rahib Hindu dan ahli falsafah Vedanta berkata:

"Ajaran Krishna dalam Gita merupakan ajaran yang terhebat yang dunia ini pernah ketahui. Orang yang menulis puisi hebat ini ialah seorang yang amat unik, hidupnya telah melandai seluruh dunia dengan arus pembangunan.”[10]

"Jika seseorang membaca satu Shloka ini - Klaibyam mā sma gamah Pārtha naitattvay upapadyate / ksudram hrdya daurbalyam tyaktvotiṣṭa Parantapa - dia mendapat semua pahala membaca seluruh Gita; kerana seluruh Ajaran Gita terkandung dalam satu Shloka ini."[11]

"Puisi hebat ini dianggap sebagai puncak keagungan semua kesusasteraan India. Gita ialah suatu ulasan Veda... Dari bab ke bab, Krishna mengajar Arjuna kebenaran tertinggi agama dan falsafah. Ajaran-ajaran inilah yang menjadikan puisi ini amat menarik; ia merangkumi hampir keseluruhan falsafah Vedanta."[12]

Sri Aurobindo (1872-1950) seorang negarawan India, cendikiawan dan mistik berkata:

“Gita merupakan gospel kerohanian yang terhebat, yang pernah diberikan kepada manusia… warisan kebangsaan utama kita, harapan kita untuk masa depan.”

Albert Einstein, ahli sains dan pemenang hadiah Nobel berkata:

“Apabila saya membaca Bhagavad Gita dan merenungkan tentang bagaimana Tuhan mencipta alam semesta ini, semua yang lain nampaknya seperti tidak perlu...”

Madan Mohan Malaviya, negarawan India dan pengasas Banaras Hindu University berkata:

"Pada pengetahuan saya, tiada kitab lain dalam semua sastera dunia yang setanding Bhagavad Gita, yang merupakan suatu khazanah Dharma bukan sahaja untuk orang Hindu tetapi untuk manusia sejagat."

Mohandas Karamchand Gandhi berkata:

"Gita ialah ibu sejagat. Aku memperoleh ketenangan jiwa daripada Bhagavad Gita yang aku juga tidak dapat memperoleh daripada Khutbah di atas Gunung (bahasa Inggeris: Sermon on the Mount). Ketika aku menghadapi kekecewaan dan berseorangan sahaja tanpa sebarang harapan, aku kembali ke Bhagavad Gita. Saya membaca beberapa rangkap dari sana sini dan dengan segera, saya tersenyum di tengah-tengah tragedi yang amat sangat — kehidupanku sentiasa penuh dengan tragedi luaran — dan jika semua ini tidak meninggalkan kesan nampak atau tidak dapat dikikis pada aku, aku berhutang kesemua ini kepada ajaran Bhagavad Gita."

Lihat juga sunting

Nota sunting

  1. ^ Swami Nirvedananda, Hinduism at a Glance (1944) Ramakrishna Mission Calcutta Students' Home, ms.31
  2. ^ Sila lihat [Bhagavad Gita], oleh C. Jinarajadasa, daripada Prosiding Persekutuan Bahagian-bahagian Eropah Persatuan Teosofi, Amsterdam 1904
  3. ^ Swami Vivekananda, Thoughts  on the Gita  ms 4
  4. ^ Swami Harshananda, A Concise Encyclopaedia of Hinduism, Vol.1 ms.256
  5. ^ Swami Vivekananda, Thoughts  on the Gita  ms 1
  6. ^ Chidbhavananda, Swami (1997), The Bhagavad Gita, Tirupparaitturai: Sri Ramakrishna Tapovanam, ISBN 978-8-180-85147-6
  7. ^ Sir Edwin Arnold (1993), Bhagavadgita (Unabridged ed.), New York, NY: Dover Publications, ISBN 0486277828
  8. ^ Swami Atmashraddhananda Bhagavad Gita for Students (2011) Sri Ramakrishna Math, Mylapore ms.xi
  9. ^ Swami Vivekananda, Thoughts on the Gita ms 4
  10. ^ Complete Works of Swami Vivekananda, Vol.VII.22
  11. ^ Complete Works of Swami Vivekananda, Vol.III. 193-94
  12. ^ Complete Works of Swami Vivekananda, Vol.VIII. 8-9

Rujukan sunting

Pautan luar sunting

Audio sunting

Lain-lain sunting