Bichon frisé

baka anjing dari Sepanyol dan Belgium

Bichon frisé, bichon keriting, atau bichon berbulu keriting[a] ialah satu baka anjing daripada jenis bichon.

Bichon frisé
Nama lain
  • Bichon keriting
  • Bichon berbulu keriting
  • Bichon Tenerife
Negara asal
  • Kepulauan Canaria (Sepanyol)
  • Belgium/Perancis (perkembangan lanjut)
Trait
Tinggi Jantan 25–30 cm (10–12 in)
Betina 23–29 cm (9–11 in)
Bulu sederhana panjang, bak sutera, tekstur dengan keritingan melingkar-lingkar
Warna putih
Saiz perinduk 1–6 ekor[perlu rujukan]
Jangka hayat 12.5 tahun
Anjing (Canis lupus familiaris)

Etimologi sunting

 
Bichon frisé

Perkataan bahasa Perancis bichon berasal daripada bichon bahasa Perancis Tengah ("anjing kecil"), diminutif bagi biche bahasa Perancis Kuno ("anjing betina", seasal dengan bitch bahasa Inggeris), daripada bicce bahasa Inggeris Kuno, dan berkaitan dengan perkataan lain bahasa-bahasa Jermanik dengan maksud sama, termasuk bikkja bahasa Norse Kuno, dan Betze bahasa Jerman.[1][2] Sesetengah pihak berspekulasi bahawa asal usul bichon ialah hasil daripada aferesis, atau penyingkatan, bagi perkataan barbichon ("pudel kecil"), terbitan daripada barbiche ("anjing kasar dan berjumbai"); walau bagaimanapun, ini bermungkinan mustahil, kerana perkataan bichon (ternyata pada tahin 1588) adalah lebih tua daripada barbichon (ternyata pada tahun 1694).[3][4] Nama untuk baka ini, bichon frisé, diterbitkan daripada bichon à poil frisé bahasa Perancis yang memaksudkan "anjing kecil berbulu keriting".[5]

Sejarah sunting

 
The White Duchess, dilukis oleh Francisco de Goya pada 1795, yang menampilkan Duchess Alba dan bichon beliau[6]

Bichon frisé kerap digambarkan sebagai anjing Perancis. Walaupun jenis baka bichon pada asalnya merupakan anjing Sepanyol, yang digunakan sebagai anjing pelayaran, juga sebagai anjing gembala kadang-kadang, orang Perancis mengembangkannya menjadi keragaman anjing riba lemah lembut. Jenis bichon bangkit daripada anjing air dan diturunkan daripada anjing jenis pudel dan sama ada barbet atau salah satu kelas baka spaniel air.[7]

Oleh sebab watak riangnya, leluhur bichon banyak mengembara dan kerap digunakan sebagai barter oleh pelayar Itali semasa mereka bergerak dari benua ke benua.[8] Anjing-anjing itu menemukan kejayaan awal di Sepanyol dan pelaut Sepanyol pada umumnya dipercayai memperkenalkan baka awal ke Tenerife di Kepulauan Canaria. Perkaitannya dengan kebangsawanan Eropah bermula pada abad ke-13 dengan kemasukan ke pekarangan istana diraja Sepanyol, Itali, dan Perancis.[9] Pada abad ke-14, pelayar Itali menemukan anjing-anjing itu semula dalam pelayaran mereka dan dikreditkan kerana pemulangannya ke Eropah benua.[10]

Anjing Tenerife, yang sering dipanggil bichon, mencapai kejayaan di Perancis semasa Renaisans di bawah François I (1515–1547), tetapi kepopularannya meningkat di pekarangan istana Henri III (1574–1589), apabila ia telah menjadi popular sesama kebangsawanan Perancis sebagai pendamping istana dan anjing riba.[11]

Pada 5 Mac 1933, piawaian rasmi bagi baka ini diterima pakai oleh Société Centrale Canine, kelab kenel kebangsaan untuk Perancis.[12] Pada 18 Oktober 1934, bichon frisé dimasukkan ke dalam buku pembaka Société Centrale Canine.

Bichon dibawa ke Amerika Syarikat pada tahun 1955.[13]

Bichon frisé menjadi layak untuk memasuki Kelas Lain-lain AKC pada 1 September 1971. Pada Oktober 1972, baka ini dimasukkan ke dalam pendaftaran dalam Buku Pembaka American Kennel Club. Pada 4 April 1973, baka ini menjadi layak untuk ditunjukkan dalam Kumpulan Bukan Sukan dalam pertunjukan anjing AKC. Pada tahun 2001, seekor bichon frisé bernama J.R. memenangi best in show dalam Pertunjukan Anjing Westminster Kennel Club. Di Amerika Syarikat, bichon frisé diperingkatkan sebagai baka ke-40 paling popular pada tahun 2013 menurut American Kennel Club.[14]

Bichon diperkenalkan ke Australia pada tahun 1970-an dan sejak pengenalannya telah terbukti berjaya sebagai anjing pertunjukan dan teman.[15] Pada tahun 1973, dua orang pembiak baka Amerika berhijrah ke United Kingdom dengan dua ekor bichon yang menghasilkan seperinduk lima ekor anak anjing, lalu memperkenalkan baka ini ke negara itu.[16]

Ciri sunting

Penampilan sunting

Bichon frisé ialah anjing kecil yang berdiri setinggi 23–30 cm (9–12 in) pada paras kelasa dan berukuran seberat hampir-hampir 5 kg (11 lb), beratnya berbeza-beza secara berperkadaran dengan ketinggian. Tengkoraknya agak rata, tetapi mungkin kelihatan membulat; muncungnya menirus hanya sedikit dan ukurannya dua perlima panjang kepala. Hidungnya hitam dan matanya gelap dan bulat.[17][18]

Lapis bulunya mempunyai keriting halus dalam bentuk pilin atau skru gabus dengan lapis bulu bawah lembut tebal. Lapis bulunya sentiasa putih metah; hanya pada anjing yang berusia kurang daripada setahun mungkin lapis bulunya mempunyai sedikit sentuhan kuning air yang mencakupi tidak lebih daripada 10% luas tubuh. Kepala dan tungkai berperkadaran dari segi saiz dengan tubuh.[17][18]

Perangai sunting

American Kennel Club merujuk bichon frisé sebagai anjing "riang" dan "ingin tahu"[13] dan piawaian baka mensyaratkan anjing yang "berbudi bahasa, sensitif, suka bermain, dan penyayang". Anjing ini pada umumnya sangat mudah bergaul dan bergaul dengan baik dengan pemilik yang membawanya bersama-sama semasa bersiar-siar serta penyayang dan cerdas. Jika bergabung dengan wilayah tertentu dan digalakkan oleh pemilik, ia dapat menjadi sangat teritorial.[19]

Jangka hayat sunting

 
Pada usia enam belas tahun

Sebuah kajian United Kingdom tahun 2024 mendapati jangka hayat sebanyak 12.5 tahun untuk baka ini berbanding dengan purata 12.7 tahun untuk baka tulen dan 12 tahun untuk baka silang.[20]

Kesihatan sunting

Bichon frisé ialah baka agak sihat. Ia mungkin menghidap katarak, kencing manis, atau alahan, yang mungkin menyebabkan keadaan kulit dan menyebabkan kegatalan yang mengakibatkan penggaruan dan pengunyahan kaki. Keadaan kesihatan lain yang dapat terlihat pada bichon frisé merupakan kehelan tempurung lutu, penyakit jantung, batu dan kanser pundi kencing, dan penyakit hati.[21]

Untuk pembiak baka bichon frisé, Orthopedic Foundation for Animals (OFA) mengesyorkan penyaringan untuk keadaan kesihatan berikut untuk menerima pensijilan CHIC: displasia pinggul, kehelan tempurung lutut, CERF (kesihatan mata), penilaian jantung, dan Legg-Calves-Perthes.[22]

Sebuah kajian Amerika yang meneliti anemia hemolisis berantarakan imun mendapati predisposisi terhadap keadaan ini pada bichon frisé, dengan 9% daripada jumlah kes yang berpunca daripada baka ini walaupun membentuk 2% daripada populasi kawalan.[23]

Catatan sunting

  1. ^ Jawi: بيشون فريزي, بيشون کريتيڠ, بيشون بربولو کريتيڠ, Sebutan bahasa Melayu: [biʃɔn frize]; Perancis: bichon à poil frisé; bichon frisé, Sebutan bahasa Perancis: [biʃɔ̃ fʁize]; /ˈbʃɒn frɪˈz/, /ˈbʃɒn ˈfrz/

Rujukan sunting

  1. ^ Auguste Scheler, Dictionnaire d'étymologie française d'après les résultats de la science moderne (Perancis), "bichon".
  2. ^ Donkin, Diez, An etymological dictionary of the Romance languages (Inggeris), "biche".
  3. ^ Centre National de Ressources Textuelles et Lexicales, "bichon" (Perancis).
  4. ^ "French etymology of barbiche" (dalam bahasa Inggeris). myEtymology.com. Diarkibkan daripada yang asal pada 14 Julai 2011. Dicapai pada 8 Februari 2024.CS1 maint: unfit URL (link)
  5. ^ "Bichon Frise Dog Breed Information". American Kennel Club (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 8 Februari 2024.
  6. ^ "María Cayetana de Silva, 13th Duchess of Alba", Art Hive (dalam bahasa Inggeris), 2 Disember 2020, dicapai pada 8 Februari 2024
  7. ^ Stregowski, Jenny. "Bichon Frise: Dog Breed Profile". sprucepets.com (dalam bahasa Inggeris).
  8. ^ "11 Fluffy Facts About the Bichon Frise". mentalfloss.com (dalam bahasa Inggeris). 3 Ogos 2015.
  9. ^ "Bichon Frise History: Time's Sociable Survivor". American Kennel Club (dalam bahasa Inggeris). 14 Jun 2021. Dicapai pada 8 Februari 2024.
  10. ^ "History of the Bichon Frise". bichon.org (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 13 April 2021. Dicapai pada 8 Februari 2024.
  11. ^ "Bichon Frise Breed Information - All You Need To Know" (dalam bahasa Inggeris).
  12. ^ "Bichon Frise Page". AKC.org (dalam bahasa Inggeris). American Kennel Club. 2012. Dicapai pada 8 Februari 2024.
  13. ^ a b "Get to Know the Bichon Frise" (Inggeris), American Kennel Club, dicapai pada 8 Februari 2024
  14. ^ "2013 Dog Registration Statistics Historical Comparisons & Notable Trends". AKC.org (dalam bahasa Inggeris). American Kennel Club. 2014. Dicapai pada 8 Februari 2024.
  15. ^ "Bichon Frise". pedigree.com (dalam bahasa Inggeris).
  16. ^ James, Elizabeth (2015). Bichon Frisé: Dog Expert (dalam bahasa Inggeris). Pet Book Publishing Company Ltd. m/s. 22. ISBN 978-1-906305-74-1.
  17. ^ a b "Standard FCI N° 215 BICHON A POIL FRISE" [Piawaian FCI No. 215 Bichon Berbulu Keriting] (pdf). Persekutuan Kinologi Antarabangsa (dalam bahasa Perancis). Disemak dan dikemaskinikan oleh Dr. C. Guintard. 2 September 2016. Dicapai pada 8 Februari 2024.CS1 maint: others (link)
  18. ^ a b "FCI-Standard N° 215 BICHON FRISE" [Piawaian FCI No. 215 Bichon Frisé] (pdf). Persekutuan Kinologi Antarabangsa (dalam bahasa Inggeris). Diterjemahkan oleh Ian Nicholson. Disemak dan dikemaskinikan oleh Dr. C. Guintard. 2 September 2016. Dicapai pada 8 Februari 2024.CS1 maint: others (link)
  19. ^ "Meet the Breeds: Bichon Frise". AKC.org (dalam bahasa Inggeris). American Kennel Club. 2012. Dicapai pada 8 Februari 2024.
  20. ^ McMillan, Kirsten M.; Bielby, Jon; Williams, Carys L.; Upjohn, Melissa M.; Casey, Rachel A.; Christley, Robert M. (1 Februari 2024). "Longevity of companion dog breeds: those at risk from early death". Scientific Reports (dalam bahasa Inggeris). Springer Science and Business Media LLC. 14 (1). doi:10.1038/s41598-023-50458-w. ISSN 2045-2322. PMC 10834484 Check |pmc= value (bantuan).
  21. ^ "Bichon Frisé" (dalam bahasa Inggeris). www.petmd.com. Dicapai pada 8 Februari 2024.
  22. ^ "Orthopedic Foundation For Animals" (dalam bahasa Inggeris).
  23. ^ Miller, Sybille A.; Hohenhaus, Ann E.; Hale, Anne S. (1 Januari 2004). "Case-control study of blood type, breed, sex, and bacteremia in dogs with immune-mediated hemolytic anemia". Journal of the American Veterinary Medical Association (dalam bahasa Inggeris). 224 (2): 232–235. doi:10.2460/javma.2004.224.232. ISSN 0003-1488.