Bintang Tiga Beradik

Bintang Tiga Beradik adalah nama yang diberikan oleh orang Melayu lama kepada sederet tiga biji bintang terang di buruj Belantik (Inggeris: Orion the Hunter). Ahli astronomi Arab menamainya (dari kanan ke kiri) sebagai Mintaka, Alnilam, dan Alnitak sempena tali pinggang pemburu itu. Walaupun terdapat beberapa nama lain, nama inilah yang diguna pakai dalam buku astronomi hari ini.[1]

Bintang Tiga Beradik
Belantik dapat menunjukkan arah ke bintang lain

Bintang dalam gugusan sunting

Ketiga-tiga nama bintang dalam rangkaian Bintang Tiga Beradik ini berasal daripada bahasa Arab iaitu Mintaka (المنطقة al-minṭaqah) yang bermaksud tali pinggang, Alnilam (النظام al-niẓam) yang bererti untaian (mutiara) dan Alnitak (النطاق al-niṭaq) yang bermaksud bengkung.

Johann Bayer, ahli astronomi abad ke-17 dari Jerman telah menyusun katalog bintang dalam bukunya Uranometria (1603). Beliau telah menama bintang-bintang tersendiri ini dengan abjad Yunani iaitu "Delta Orionis" (δ), "Epsilon Orionis" (ε) dan "Zeta Orionis" (ζ).

Mintaka sunting

Mintaka (δ Ori) adalah bintang dedua yang magnitud kecerahannya 2.4 dan 6.8 dan warnanya putih berseri dan lembayung muda. Spektrum cahayanya menunjukkan ia bergerak sedikit sahaja[2]. Bintang lembayung muda itu adalah gergasi biru jenis B manakala bintang putih yang lebih berjisim itu jenis O. Mintaka juga adalah bintang berubah dedua gerhana yakni salah satu bintang melintasi bintang satu lagi dan menggerhanakannya, menyebabkan kecerahannya menurun seketika[3].

Alnilam sunting

Alnilam (ε Ori) berkecerahan 1.8 dan berwarna putih terang. Spektrum cahayanya bersifat "Sirian" yakni mirip spektrum bintang Sirius di buruj Anjing Besar atau Canis Major. Dari spektrumnya, Alnilam didapati berundur yakni menjauhi Bumi pada kelajuan 26.6 km/s. Alnilam mencapai puncaknya yakni berada tegak di atas kepala pada 25 Januari setiap tahun[4].

Alnilam adalah bintang supergergasi biru yang dua kali lebih jauh jaraknya dari Matahari daripada Mintaka dan Alnitak. Namun, oleh sebab kilauannya, ia kelihatan sama terang dengan bintang pengapitnya itu. Dan oleh sebab saiznya yang sangat besar itu, ia kehilangan jisim dengan cepat menerusi pembakaran gasnya[5] Usianya dijangka baru empat juta tahun[5].

Alnitak sunting

Alnitak (ζ Ori) pula adalah kembar tiga. Setiap satunya bermagnitud 2.5, 6.5, dan 9, dan warna masing-masing adalah kuning topaz, ungu muda, dan kelabu. Spektrumnya "Sirian", menunjukkan bahawa Zeta Orionis menjauhi Bumi selaju 14.5 km/s[6]. Alnitak terletak sejauh 800 tahun cahaya dari Bumi. Bintang utamanya adalah supergergasi biru. Tidak jauh dari Zeta Orionis ini ialah Nebula Kepala Kuda (IC 434) iaitu nebula gelap berbentuk kepala kuda.

Kegunaan sunting

Bintang Tiga Beradik terletak dalam khatulistiwa cakerawala dan dijadikan panduan arah dan musim. Jika disambung dalam garisan lurus ke barat (dari Alnitak ke Mintaka), ia menunjukkan arah barat atau arah kiblat. Jika disambung terus ke bintang Heka di "kepala" Orion, ia menunjukkan arah utara. Ia juga digunakan untuk mencari bintang lain di sekitarnya. Oleh sebab ia muncul di langit malam dari Disember hingga Mac setiap tahun, ia menunjukkan musim sejuk di hemisfera utara.


Galeri sunting

Rujukan sunting

  1. ^ # Allen, R.H. (1963). Star Names: Their Lore and Meaning. NY: Dover Publications ISBN 0-486-21079-0
  2. ^ # Allen, R.H. (1963). Star Names: Their Lore and Meaning. NY: Dover Publications ISBN 0-486-21079-0
  3. ^ "Mintaka". Jim Kaler's Stars. University of Illinois, Urbana-Champaign Campus. 2009. Diarkibkan daripada yang asal pada 2009-02-28. Dicapai pada 2010-01-13.
  4. ^ # Allen, R.H. (1963). Star Names: Their Lore and Meaning. NY: Dover Publications ISBN 0-486-21079-0
  5. ^ a b "Alnilam". Jim Kaler's Stars. University of Illinois, Urbana-Champaign Campus. 2009. Diarkibkan daripada yang asal pada 2009-03-09. Dicapai pada 2010-01-13.
  6. ^ # Allen, R.H. (1963). Star Names: Their Lore and Meaning. NY: Dover Publications ISBN 0-486-21079-0