Bintang neutron merupakan salah satu daripada beberapa titik hujung evolusi najam dan dibentukkan daripada sisa-sisa runtuh bintang yang amat besar seperti supernova Jenis II atau Jenis Ib, ataupun Jenis Ic. Bintang ini meligat dan menghasilkan denyutan gelombang radio dan oleh itu, bintang neutron juga dikenali sebagai bintang pulsar. Bintang neutron akan beransur menjadi sejuk dan akhirnya tidak dapat dikesan lagi.

Bintang neutron yang tipikal mempunyai jisim antara 1.35 hingga lebih kurang 2.1 jisim suria, dengan jejari sepadan antara 20 dan 10 kilometer (bintang-bintang itu menyusut ketika jisimnya bertambah) — 30,000 hingga 70,000 kali lebih kecil daripada matahari. Oleh itu, bintang-bintang neutron mempunyai kepadatan antara 8×1013 hingga 2×1015 gram per sentimeter persegi, iaitu hampir sama dengan kepadatan nukleus atom. Bintang-bintang padat yang mempunyai kurang daripada 1.44 jisim suria, iaitu had Chandrasekhar, dikenali sebagai kerdil putih; melebihi tiga hingga lima jisim suria (had Tolman-Oppenheimer-Volkoff), runtuhan graviti terjadi dan menghasilkan lohong hitam.

Disebabkan bintang neutron mengekalkan kebanyakan momentum sudut bintang induknya, tetapi hanya mempunayi sebahagian jejari induk yang amat kecil, bintang ini mempunyai kelajuan putaran yang amat tinggi. Setiap kisaran boleh mengambil masa dari satu pertujuh ratus saat hingga tiga puluh saat. Kepadatan bintang neutron juga memberikan graviti permukaan yang amat tinggi, iaitu 2×1011 hingga 3×1012 kali lebih kuat daripada graviti permukaan Bumi. Salah satu daripada ukuran graviti ialah halaju lepas, iaitu halaju yang diperlukan oleh sesuatu objek untuk melepaskan diri daripada medan graviti untuk mencapai jarak infiniti. Halaju lepas yang biasa diperlukan oleh sebuah bintang neutron adalah antara 150,000 km/s, iaitu lebih kurang setengah daripada halaju cahaya; sebaliknya, sebuah objek yang jatuh ke permukaan bintang neutron akan melanggar bintang itu juga pada hal laju 150,000 km/s. Untuk melihat perkara ini dari perspektif yang sebenar, jika seorang bertemu dengan sebuah bintang neutron, dia akan melanggar bintang itu dengan tenaga yang hampir sama dengan letupan nuklear 100 megatan (kuasa yang sama dengan dua butir Bom Tsar yang merupakan senjata nuklear terbesar yang pernah diletupkan).