Koordinat: 52°31′07″N 13°22′34″E / 52.51861°N 13.37611°E / 52.51861; 13.37611

Bundestag (Melayu: Diet Persekutuan) ialah parlimen negara Jerman yang bersidang di Berlin. Institusi ini telah ditubuhkan berlandaskan Perlembagaan Republik Persekutuan Jerman yang ditulis pada tahun 1949 (Grundgesetz atau Hukum Asas) dan merupakan institusi yang mengambil alih peranan Reichstag. Dewan ini merupakan satu-satunya organ di dalam perlembagaan persekutuan Jerman yang dipilih dan disahkan secara terus oleh rakyat kebanyakan.

Diet Persekutuan Jerman
Deutscher Bundestag
Logo Bundestag Jerman
Sejarah
Diasaskan1949
Kepimpinan
Bärbel Bas, SPD
sejak 26 Oktober 2021
Timbalan Presiden Bundestag
Aydan Özoğuz, SPD
sejak 26 Oktober 2021
Yvonne Magwas, CDU
sejak 26 Oktober 2021
Wolfgang Kubicki, FDP
sejak 24 Oktober 2017
Petra Pau, Parti Kiri
sejak 7 April 2006
Katrin Göring-Eckardt, Parti Hijau
sejak 9 Disember 2021
jawatan kosong, AfD
sejak -
Struktur
Ahli736
Komposisi Bundestag Jerman selepas pilihan raya pada 2021
Kumpulan politik
Pemerintah (416)

Pembangkang (320)

Pilihan raya
Sistem pengundian
Pilihan raya terakhir
26 September 2021
Tempat persidangan
Bangunan Reichstag
Mitte, Berlin, Jerman
Laman sesawang
www.bundestag.de
sunting
Lihat pendokumenan templat ini
Lihat pendokumenan templat ini

Bilangan keahliannya menurut peruntukan undang-undang ialah sebanyak 598. Tetapi bilangan sebenarnya adalah lebih banyak kerana wujudnya kerusi tambahan, satu ciri unik hasil sistem pemilihan bernisbah anggota bercampur (Inggeris: Mixed member proportional system). Satu penggal perkhidmatan Bundestag berlangsung selama empat tahun. Ahli-ahli Bundestag (MdB, Jerman: Mitglied der Bundestag) boleh duduk mengikut Fraktion atau Gruppe (Melayu: kumpulan besar atau kecil) bagi menikmati status khas dalam aturan dan organisasi mesyuarat.

Institusi ini dipengerusikan oleh seorang presiden (setaraf dengan Yang di-Pertua Dewan Rakyat) dan jawatan itu kini disandang oleh Bärbel Bas dari SPD. Selain itu, beliau turut dibantu oleh Naib Presiden dan wakil-wakilnya yang kini disandang oleh Aydan Özoğuz (SPD), Yvonne Magwas (CDU), Wolfgang Kubicki (FDP), Petra Pau (Kiri) dan Katrin Göring-Eckardt (Hijau). Mereka ini semuanya membentuk sebuah Majlis Presiden (Inggeris: Presidium).

Bundestag mempunyai banyak fungsi terutamanya menggubal undang-undang; iaitu menguruskan hak-hak persekutuan dan meminda perlembagaan. Dalam hal ini, selalunya kerjasama daripada Bundesrat (atau Majlis Persekutuan) adalah diperlukan, namun dewan itu bukanlah dewan kedua (atau dewan atasan) seperti di dalam sistem parlimen dwidewan. Parlimen turut bertanggungjawab meluluskan perjanjian-perjanjian antarabangsa dengan negara-negara asing atau pertubuhan-pertubuhan selain meluluskan belanjawan kerajaan persekutuan. Di dalam rangka penubuhannya, dewan itu turut berkuasa melantik canselor (melalui majoriti mutlak), Presiden Persekutuan melalui keanggotaannya dalam Bundesversammlung (atau Majlis Perhimpunan Persekutuan), hakim-hakim persekutuan dan organ-organ persekutuan yang lain. Parlimen turut menjalankan tugasnya mengawal kerajaan dan badan eksekutif persekutuan selain meluluskan kerahan ke atas Angkatan Tentera Persekutuan.

Peranan penting politiknya juga ialah menegaskan kehendak-kehendak rakyat dan sebaliknya menyampaikan maklumat kepada rakyat.

Dewan Persidangan sunting

Dewan Persidangan ialah tempat perhimpunan terpenting dan terbesar di dalam bangunan Reichstag. Parlimen bersidang pada kebanyakan masa di dalamnya. Di tengah-tengah dewan ini diletakkan tempat berucap pembahas. Di hadapan pembahas duduk ahli-ahli stenograf (selari dengan tugas Kerani Dewan Rakyat Malaysia) manakala di belakangnya duduk presiden parlimen atau wakil-wakilnya dan di sebelah presiden pula ialah pencatat parlimen. Presiden dewan duduk menghadap dewan bersidang. Dari sebelah kanannya dalam bentuk separa bulatan duduklah ahli-ahli FDP, diikuti ke kiri mereka CDU/CSU. Di tengah-tengah pula ialah kumpulan Hijau dan di sebelah kiri bulatan itu ditempatkan anggota-anggota SPD. Walaupun kumpulan Hijau mengamalkan politik sayap kiri sebagaimana SPD, mengikut tradisi dari tahun 1983 tiada kumpulan lain berhak duduk di sebelah kiri SPD. Pembahagian ini kekal sehinggalah selepas penyatuan semula. Sejak dari itu, duduk di bahagian terkiri sekali ialah wakil-wakil dari Parti Kiri, berikutan kemasukan perwakilan dari PDS (yang kini telah bergabung membentuk Parti Kiri). Di atas dewan bersidang itu ialah tempat duduk untuk pengunjung-pengunjung ke Bundestag. Mereka tidak dibenarkan berkelakuan yang boleh mengganggu persidangan atau mereka akan diarahkan keluar meninggalkan bangunan parlimen.

Di sebelah kiri dan di sebelah kanan tempat duduk majlis presiden duduklah masing-masing ahli-ahli kerajaan persekutuan dan wakil-wakil Bundesrat. Kerusi-kerusi lain berdekatan dengan presiden parlimen pula ditempatkan khas untuk canselor dan juga Presiden persekutuan.

Di belakang tempat presiden dewan diletakkan bendera-bendera persekutuan dan Kesatuan Eropah di bawah jata besar Bundestag.

Di belakang tempat duduk kerjaan dan majlis persekutuan dipasang sebuah papan tanda elektronik yang memaparkan undian semasa mesyuarat. Selain itu, tanda besar F akan dinyalakan bagi memberi isyarat bahawa siaran langsung televisyen sedang dijalankan. (Huruf F untuk Fernsehen atau televisyen dalam bahasa Jerman).

Satu keunikan teknikal yang terdapat di dalam Bundestag ialah penggunaan kerusi khas yang lurus di bahagian hadapan tempat duduk ahli-ahli dewan yang boleh digerakkan ke depan atau ke belakang. Kerusi ini yang digunapakai kerana saiz dewan persidangan yang agak sempit turut membolehkan anggota-anggota dewan yang duduk di situ seperti bermain papan jongkang-jongkit.

Sejarah sunting

 
Bangunan Reichstag yang menempatkan parlimen Jerman di Berlin.

Bundestag juga merupakan nama panggilan sebuah badan yang mentadbir Konfederasi Jerman dari tahun 1815 hingga 1866 (secara rasmi dipanggil Bundesversammlung, Dewan Perhimpunan Persekutuan). Badan ini bertemu di Frankfurt dan diselia oleh sebuah delegasi dari Austria. Badan ini terlibat dalam usaha-usaha mengekang demokrasi dan semangat kebangsaan di Jerman pada waktu itu sekaligus menyebabkannya dibubarkan sewaktu Revolusi Liberal tahun 1848 tetapi bersidang semula pada tahun 1850. Nama badan ini kemudiannya digunakan untuk parlimen Jerman yang ada ketika ini. Berbanding dengan parlimen sekarang yang dipilih oleh rakyat, keanggotaan Bundestag sewaktu Konfederasi Jerman adalah melalui lantikan yang dibuat oleh putera-putera dan juga kerajaan bandar-bandar bebas.

Berikutan pembubaran Konfederasi Jerman pada tahun 1866 dan pembentukan Empayar Jerman (Deutsches Reich) pada tahun 1871, Reichstag (Dewan Undangan Empayar) telah ditubuhkan sebagai Parlimen Jerman dan bersidang di Berlin. Dua dekad berikutnya bangunan parlimen sekarang telah dibina. Anggota-anggota Reichstag dipilih melaui pengundian secara langsung oleh pengundi-pengundi lelaki yang memiliki kesaksamaan (dan bukannya sistem pengundian tiga kelas seperti yang diamalkan di Prussia sehingga tahun 1918). Dewan ini tidak terlibat dalam pemilihan canselor sehingga perubahan-perubahan kuasa parlimen pada bulan Oktober 1918. Setelah Revolusi pada November 1918 dan penubuhan Perlembagaan Weimar, wanita diberi hak untuk mengundi dan diundi dalam pemilihan ke Reichstag dan parlimen boleh menggunakan undi tidak percaya untuk memaksa canselor atau menteri-menteri kabinetnya yang lain meletak jawatan. Pada Mac 1933, sebulan selepas satu kebakaran di bangunan Reichstag, parlimen melepaskan kuasanya kepada kerajaan persekutuan yang dipimpin oleh Canselor Adolf Hitler. Selepas itu, parlimen bersidang sekali-sekala sahaja bagi meluluskan keputusan-keputusan yang diambil oleh kerajaan Hitler. Parlimen ini bersidang buat kali terakhir pada 26 April 1942.

 
Bundestag pernah bersidang di dalam bekas bangunan loji pembekalan air yang terletak di Bonn ini dari 1986-1992.

Melalui perlembagaan yang baru pada tahun 1949 (dan penubuhan Republik Persekutuan Jerman (atau Jerman Barat)), Bundestag telah ditubuhkan sebagai parlimen Jerman (Barat) yang baru. Oleh kerana Berlin Barat tidak terletak di bawah pentadbiran perlembagaan baru itu dan juga situasi perang dingin ketika itu, badan ini bersidang di Bonn di beberapa bangunan, termasuk di sebuah loji pembekalan air. Bangunan lama Reichstag turut pernah digunakan beberapa kali sebagai tempat bersidangnya badan ini dan juga jawatankuasanya selain persidangan Bundesversammlung, badan baru yang melantik Presiden Persekutuan Jerman. Namun, pihak Soviet membantah keras penggunaan bangunan tersebut oleh institusi-institusi dari Jerman Barat dan berusaha berulang-kali mengganggu persidangan dengan menerbangkan jet pejuang supersoniknya rapat dengan bangunan tersebut.

Sejak tahun 1999, parlimen Jerman telah bersidang semula di Berlin di bangunan asal Reichstag yang berasal dari tahun 1890-an dan menjalani kerja-kerja membaik-pulih dan pengubahsuaian yang diketuai oleh seorang arkitek dari Britain, Sir Norman Foster.

Pada tahun 2005, sebuah pesawat ringan terhempas berdekatan dengan bangunan parlimen. Insiden ini membawa kepada larangan terhadap penerbangan peribadi di ruang udara Berlin Tengah.

Tugas sunting

Bersama-sama dengan Bundesrat, Bundestag adalah badan penggubal undang-undang dalam sistem politik di Jerman.

 
Sesi Perbahasan di Bundestag di Berlin.

Walaupun kebanyakan undang-undang dibawa oleh badan eksekutif, Bundestag menganggap peranan perundangan sebagai tanggungjawabnya yang paling penting. Badan ini menumpukan banyak tenaga menilai dan meminda program perundangan yang dibawa oleh badan eksekutif. Jawatankuasa parlimen memainkan peranan utama dalam proses sebegini. Sesi perbahasan memberi peluang kepada anggota-anggota parlimen melibatkan diri dalam debat umum terhadap isu-isu perundangan di hadapan mereka, namun hanya menyaksikan kehadiran penuh ketika undang-undang penting dipertimbangkan.

Anggota-anggota badan ini merupakan satu-satunya pegawai peringkat persekutuan yang dipilih secara langsung oleh rakyat umum. Badan ini kemudiannya melantik canselor dan memainkan peranan mengawas dan menyelia tindak-tanduk badan eksekutif dalam isu-isu berkaitan dasar-dasar penting dan juga rutin pentadbiran. Kuasa mengawas eksekutif ini seringkali digunakan melalui perundangan, debat-debat awam ke atas dasar kerajaan, penyiasatan dan soalan-soalan secara langsung yang diajukan kepada canselor dan ahli-ahli kabinetnya. Sebagai contoh, Bundestag boleh melaksanakan sesi soal jawab yang menyaksikan wakil-wakil kerajaan menjawab soalan-soalan yang telah diajukan secara bertulis oleh anggota-anggota parlimen. Ahli-ahli lainnya kemudian berpeluang mengajukan soalan-soalan berkaitan secara lisan. Soalan-soalan yang ditanya adalah berkaitan dengan banyak perkara seperti yang berkaitan dengan isu dasar yang utama sehinggalah kepada masalah kawasan-kawasan tertentu. Pengunaan sesi soal jawab ini telah meningkat secara mendadak sejak akhir-akhir ini dan parti-parti pembangkang menggunakan peluang ini secara aktif untuk menyiasat tindak-tanduk kerajaan.

Satu perbezaan ketara jika membandingkan Bundestag dengan Dewan Rakyat di Malaysia ialah kurangnya masa yang digunakan untuk berkhidmat di kawasan-kawasan parlimen di Jerman. Hal ini berlaku kerana 50 peratus anggota badan ini dilantik untuk mewakili kawasan-kawasan parlimen manakala separuh yang lainnya mewakili parti-parti politik. Maka, parti-parti politik memainkan peranan yang lebih penting di dalam sistem pilihan raya di Jerman dan pengundi-pengundi sering tidak memandang calon-calon yang bertanding sebagai individu tetapi sebagai agen parti. Satu kekangan praktikal terhadap pengembangan perkhidmatan di kawasan parlimen adalah kakitangan peribadi anggota-anggota parlimen yang terhad. Walaupun begitu, anggota-anggota yang dilantik secara terus selalunya berusaha keras mengekalkan hubungan dengan pengundi-pengundi di kawasannya dan turut berusaha membantu masalah mereka, terutamanya yang berkaitan dengan dasar-dasar dan agensi-agensi persekutuan.

Perkhidmatan kawasan parlimen turut dilaksanakan dalam bentuk Jawatankuasa Petisyen. Pada tahun 2004, jawatankuasa ini telah menerima lebih 18,000 aduan daripada warganegara dan telah berjaya merundingkan lebih separuh kes melalui penyelesaian yang dipersetujui oleh pihak-pihak terlibat.

Penggubalan undang-undang sunting

Kaedah penggubalan secara am sunting

Di dalam sisem perundangan di Jerman, Bundestag mempunyai hak untuk mencipta undang-undang selain daripada badan eksekutif persekutuan dan juga Bundesrat. Hak ini dinamakan sebagai Initiativrecht atau kuasa bertindak.

Rang undang-undang yang dibawakan oleh ahli-ahli parlimen (selain daripada pihak kerajaan) perlulah disokong oleh sebuah Fraktion atau sekurang-kurangnya 5 peratus daripada jumlah keahliannya. Rang undang-undang ini akan terlebih dahulu dikaji dan dibahaskan di parlimen dengan melalui 3 proses bacaan (lebih kurang sama seperti di Dewan Rakyat Malaysia). Jika mendapat sokongan ahli-ahli parlimen melalui undian pada akhir bacaan ketiga, rang undang-undang ini akan dibawa ke Bundesrat. Rang undang-undang yang dibawakan oleh badan eksekutif diproses terlebih dahulu di peringkat Bundesrat. Dengan jawapan balas daripada Bundesrat, rang undang-undang ini akan dibawakan pula ke perhatian Bundestag. Jika rang undang-undang itu pula datangnya dari Bundesrat, hanya dengan respons pihak kerajaan barulah rang undang-undang itu dicadangkan di parlimen.

Oleh itu, sesebuah rang undang-undang yang telah diluluskan hanya boleh berkuatkuasa dengan penglibatan Bundesrat. Namun begitu, tidak semua rang undang-undang perlu mendapat persetujuan Bundesrat. Sekiranya rang undang-undang itu menyentuh kepentingan negeri-negeri (Ini adalah satu lumrah kerana berkaitan dengan undang-undang peringkat persekutuan), persetujuan Bundesrat adalah diperlukan sebelum rang itu menjadi undang-undang penuh. Hal ini digariskan di dalam Perlembagaan persekutuan dengan jelas.

Dalam kes yang memerlukan persetujuan Bundesrat, bangkangan boleh terjadi sekiranya majlis tersebut tidak dapat mencapai kata sepakat. Kes ini dinamakan kuasa veto. Di dalam kes ini, rang itu akan dikembalikan dengan nota bantahan ke Bundestag. Jika pindaan dibuat ke atasnya, rang undang-undang ini dibawa semula ke Bundesrat. Jika tiada pindaan, rang undang-undang ini boleh diluluskan sekali lagi dan dikuatkuasakan tanpa dikembalikan kepada Bundesrat. Hal ini hanya boleh berlaku dengan kekuatan undian yang sama, iaitu, jika rang undang-undang pada asalnya ditolak dengan undian dua pertiga ahli Bundesrat, maka kelulusan hanya boleh berlaku dengan undian setuju daripada dua pertiga ahli-ahli parlimen.

Kadangkala Bundesrat tetap berdegil mahu meminda atau mengenakan veto ke atas sesebuah rang undang-undang yang akhirnya hanya akan diluluskan dengan persetujuan dua pertiga ahli parlimen. Bagi mengelakkan kelulusan tanpa pindaan yang dimahukannya dibuat, Bundesrat boleh menggunakan satu mekanisme khas yang melibatkan pembentukan satu suruhanjaya pengimbang tara atau berusaha berunding dengan pelbagai pihak bagi mencapai kehendak politik yang boleh mengakibatkan pindaan itu dilaksanakan.

Kadangkala beberapa rang undang-undang atau usul, yang langsung tidak berkaitan di antara satu sama lain, dicadangkan sekaligus di dalam satu pakej untuk dibahas dan diputuskan dalam hanya satu undian. Pakej ini dikenali di dalam istilah perundangan sebagai Junctim (atau Iunctim). Canselor Gerhard Schroder pernah melakukannya ketika mengusulkan satu akta yang membolehkan kerajaan melakukan kerahan ke atas tentera menyertai misi pengaman di Afghanistan bersama-sama dengan usul percaya.

Pemprosesan rang undang-undang di Parlimen sunting

Usul yang dicadangkan perlulah terlebih dahulu melalui bacaan pertama. Ketika ini, perbahasan dan pertukaran pendapat dilakukan di dewan persidangan dan bergantung dengan kepentingan dan kedudukan rang undang-undang itu. Selepas itu, rang itu akan dihantar kepada jawatankuasa-jawatankuasa parlimen yang berkaitan untuk diperhalusi termasuk jawatankuasa undang-undang dan belanjawan bagi memastikan samada rang ini mendatangkan kesan dari segi undang-undang mahupun perbelanjaan kerajaan. Rang di peringkat jawatankuasa ini biasanya akan dikaji sedalam-dalamnya dan adalah menjadi kebiasaan intipatinya diubah setelah mendapat maklum balas daripada pakar-pakar tidak kira di kalangan kakitangan awam, pentadbir-pentadbir bebas yang berkepakaran tinggi mahupun individu persendirian daripada sektor industri mahupun perniagaan.

Setelah selesai diproses di peringkat jawatankuasa, rang undang-undang ini akan dibawa semula ke peringkat persidangan untuk melalui bacaan kedua. Di peringkat ini segala maklumat terperinci dan pindaan-pindaan yang dibuat di peringkat jawatankuasa akan dibaca dan dibahaskan. Selain daripada itu, cadangan pindaan yang datangnya daripada kumpulan-kumpulan parlimen mahupun ahli-ahlinya secara individu akan turut diketengahkan. Namun begitu, perkara ini selalunya telah dibawa ke perhatian peringkat jawatankuasa dan diputuskan di situ. Pada akhir bacaan selalunya selepas perbahasan dijalankan, barulah undian dilakukan untuk menyudahkan bacaan kedua ini.

Bacaan ketiga, iaitu proses terakhir, selalunya dilakukan apabila berlaku bangkangan besar terutamanya dari kalangan pergerakan awam, kerajaan-kerajaan negeri melalui ancaman veto di peringkat Bundesrat, barisan pembangkang lainnya dari dalam mahupun luar dewan malah daripada kerajaan mahupun penyokong-penyokongnya. Perbahasan sekali lagi dilakukan dengan cadangan pindaan baru turut diketengahkan. Akhirnya undian sekali lagi diadakan bagi menutup proses penggubalan undang-undang.

Rang undang-undang yang telah menerima kelulusan Bundestag hanya akan boleh berkuatkuasa setelah melalui perbahasan di peringkat Bundesrat, tidak kira sebelum atau selepas Bundestag. Sekiranya rang itu datangnya daripada Bundestag, proses yang sama akan dilakukan di Bundesrat sekali lagi sebelum kata putus (jika kelulusan Bundesrat diperlukan) atau maklum balas (jika kelulusan Bundesrat tidak diperlukan) dilakukan.

Bundestag bukanlah satu badan yang kekal, kerana penggal perkhidmatannya hanya berlangsung sehingga selewat-lewatnya 4 tahun. Dengan berakhirnya penggal perundangan, maka tamatlah segala tugasnya dan segala projek dan draf dalam tempoh penggal sebelum ini dikira tamat, tanpa mengira pada tahap mana yang diduduki sekarang. Hal ini dikenal sebagai prinsip tanpa kesinambungan. Segala inisiaif politik yang belum selesai perlulah dibawa semula ke perhatian sesi parlimen yang baru kerana wujudnya kuasa politik baru di dalamnya berikutan perubahan perwakilan. Pengecualian hanya diberikan kepada petisyen kerana dibawakan oleh orang-orang awam dan kehendak-kehendak awam tidak dianggap sebagai bergantung kepada pilihan raya.

Undang-undang berkaitan dengan eksais dan cukai sunting

Penggubalan undang-undang berkaitan cukai menurut peraturan perlembagaan berhubung perbendaharaan negara bertumpu di peringkat persekutuan. Oleh itu di Jerman, hampir tidak mempunyai cukai di peringkat negeri. Namun begitu, pihak negeri masih berhak memungut dan menerima cukai tersebut dalam kadar tertentu seperti yang telah diputuskan semasa penggubalan undang-undang. Pindaan terhadap undang-undang yang menyentuh hak kerajaan negeri seperti ini perlulah terlebih dahulu mendapat kelulusan daripada parlimen negeri.

Undang-undang dan perjanjian antarabangsa sunting

Perjanjian-perjanjian antarabangsa selalunya mengandungi peraturan-peraturan tertentu yang mempengaruhi undang-undang negara. Dalam kes ini wujud dua mekanisme khas untuk menanganinya, iaitu Penggabungan dan Pindaan. Dalam kes pertama, pertukaran rangka kerja perjanjian atau undang-undang antarabangsa ke dalam sistem perundangan negara dilakukan dengan menandatanganinya (jika sah di sisi undang-undang) melalui kaedah Ratifikasi seperti yang selalu dilakukan di Great Britain.

Dalam kes kedua pula, pertukaran undang-undang negara yang sedia ada dalam bentuk pindaan bagi memenuhi tuntutan perjanjian mahupun undang-undang antarabangsa tersebut diperlukan. Hal ini bagi memastikan tidak wujud konflik di dalam sistem perundangan ketika negara berusaha untuk menggunapakai perjanjian atau undang-undang antarabangsa tersebut. Perlakuan wakil kerajaan menandatangani perjanjian tersebut dianggap sebagai "janji kerajaan", manakala pindaan terhadap undang-undang sedia ada bagi menyesuaikannya dengan perjanjian tersebut dianggap sebagai "usaha memenuhi janji tersebut".

Di Jerman, model Pindaan adalah yang paling kerap diamalkan dan selalunya memerlukan penggubalan undang-undang baru yang khas menangani perjanjian atau undang-undang antarabangsa yang dimaksudkan. Tanpanya ratifikasi daripada presiden persekutuan mewakili seluruh rakyat menurut peruntukan perlembagaan tidak boleh dijalankan. Selain itu, sekiranya perjanjian mahupun undang-undang antarabangsa yang baru itu menyentuh hubungan di antara kerajaan negeri tertentu dan kerajaan persekutuan atau kedudukannya, maka diwajibkan oleh perlembagaan untuk melibatkan parlimen negeri dalam usaha meratifikasi perjanjian tersebut. Dalam hal ini, penglibatan Bundesrat, walaupun mewakili kerajaan-kerajaan negeri, adalah masih tidak cukup kerana badan itu tetap dianggap sebagai organ persekutuan.

Belanjawan sunting

Hak pembelanjawan secara tradisinya merupakan salah satu hak penting parlimen. Menerusi hak ini, parlimen berkuasa menggariskan sektor-sektor yang harus diberi keutamaan yang perlu dipatuhi oleh kerajaan persekutuan. Namun begitu, pembelanjawan tidak dilihat sebagai serupa dengan penggubalan undang-undang dalam pengertian perundangan yang sebenar. Hal ini kerana parlimen boleh menjalankan hak pembelanjawannya ini dengan hanya meluluskan Akta Parlimen. Namun, pada kebiasaannya belanjawan kerajaan dikendalikan dalam bentuk undang-undang tanpa perlu mendapat persetujuan Bundesrat.

Hak demokratik menentukan belanjawan ini secara tradisinya tidak digunakan dengan bersungguh-sungguh oleh Bundestag, walaupun tergolong di dalam hak-hak parlimen yang dibangunkan sepanjang demokrasi diamalkan sebagaimana yang ditekankan dan dipraktikkan di Dewan Rakyat British. Sebaliknya, sewaktu pentadbiran Otto von Bismarck, kerajaan memiliki kuasa mutlak dalam menentukan belanjawan dan sekaligus menyaksikan kelemahan parlimen pada waktu itu tanpa kawalan belanjawan berbanding dengan hak dan pengaruh yang diberikan kepadanya pada masa kini.

Di dalam perbahasan berkenaan Belanjawan Pejabat Canselor ini, kadangkala disertai dengan perdebatan menyeluruh terhadap dasar dan halatuju kerajaan persekutuan seterusnya sewaktu bacaan pertama mahupun kedua. Pihak pembangkang menggunakan peluang ini menonjolkan kelemahan-kelemahan yang telah dilakukan oleh kerajaan untuk perhatian masyarakat umum, manakala kerajaan akan cuba membidas ataupun menyerang polisi yang cuba dibawakan oleh kumpulan pembangkang.

Kerahan tentera sunting

Kerahan ke atas angkatan tentera (Bundeswehr) ke kawasan di luar wilayah kekuasaan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dibenarkan di bawah peruntukan perlembagaan. Dalam hal ini kata putus terakhir diberikan kepada Bundestag dan prinsip ini dipanggil sebagai Prinsip Angkatan Tentera Parlimen. Namun begitu, kerajaan persekutuan dibenarkan segera mengarahkan kerahan sementara angkatan tentera dalam keadaan darurat dengan kebenaran parlimen dipohon beberapa ketika selepas kerahan dibuat. Semua arahan kerahan dikendalikan serupa dengan proses penggubalan undang-undang biasa tetapi boleh diluluskan sekurang-kurangnya selepas satu daripada dua bacaan. Kelulusan ini tidak memerlukan persetujuan Bundesrat kerana kerahan dilakukan melalui Akta Parlimen.

Peranan melantik sunting

Parlimen mempunyai fungsi penting melantik beberapa pemegang jawatan tertinggi negara. Pemegang-pemegang jawatan ini pula bertanggungjawab melantik pemegang jawatan di bawah mereka. Sebagai contoh Presiden persekutuan menamakan pegawai-pegawai persekutuan manakala canselor melantik menteri-menteri kabinet. Hal ini sekaligus mengesahkan kedudukan mereka di bawah prinsip demokrasi.

Perlantikan canselor sunting

Menurut Perkara 63 Perlembagaan Jerman, ahli-ahli Bundestag diberikan hak untuk melantik salah seorang daripada kalangan mereka untuk menjawat jawatan canselor. Perlantikan dimulakan dengan penamaan seorang calon oleh Presiden persekutuan. Calon ini mestilah seorang yang bebas dari segi undang-undang untuk bertindak sendiri dan dari segi politik mampu menerima sokongan majoriti ahli-ahli parlimen. Kebanyakan calon sudah boleh dikenalpasti pada petang selepas pilihan raya umum tamat dan selalunya datang dari parti politik yang mempunyai majoriti di Bundestag. Pemilihan dilakukan dalam satu undi rahsia tanpa sebarang sesi perbahasan. Sekiranya calon ini mendapat sekurang-kurangnya majoriti mudah, maka beliau akan diisytiharkan sebagai canselor oleh Presiden persekutuan. Jika tidak, ahli-ahli parlimen diberi tempoh selama 14 hari untuk menamakan seorang calon lain yang menerima majoriti mudah dalam pengundian rahsia yang serupa. Sekiranya di dalam pengundian itu, tiada seorang calon pun yang menerima majoriti mudah, maka satu pengundian baru diadakan semula. Pemenang dalam pengundian ini akan dinamakan oleh Bundestag sebagai calon canselor untuk dicadangkan kepada presiden persekutuan. Jika calon ini berjaya menerima majoriti mutlak, presiden persekutuan mempunyai tempoh selama 7 hari untuk mengesahkan perlantikannya. Sebaliknya, jika calon ini hanya menerima undi terbanyak, presiden persekutuan mempunyai 7 hari untuk memutuskan samada mengesahkan perlantikan ini atau membubarkan parlimen.

Undi tidak percaya dan usul percaya sunting

Sepanjang penggal perkhidmatan parlimen dan sebelum pilihan raya umum dijalankan, pihak penyokong kerajaan mahupun pembangkang berhak untuk mencadangkan satu usul tidak percaya jika wujud situasi yang menyaksikan canselor kehilangan sokongan majoriti ahli-ahli dewan. Usul tidak percaya ini hanya disasarkan terhadap canselor dan sekiranya majoriti ahli mengundi untuk menyokong usul ini, canselor dikehendaki meletakkan jawatan. Menurut Perkara 67 Perlembagaan Jerman, selepas usul tidak percaya dijalankan yang menyaksikan tewasnya canselor ketika itu, parlimen berhak menjalankan pengundian memilih penggantinya. Proses pemilihan adalah sama seperti perlantikan canselor selepas pilihan raya tetapi dilakukan tanpa menerima cadangan daripada presiden persekutuan. Calon yang berjaya akan dinamakan sebagai canselor yang baru oleh parlimen sebelum disahkan oleh presiden persekutuan. Dalam hal ini, Presiden persekutuan tidak mempunyai pilihan lain selain menerima perletakan jawatan canselor lama dan pelantikan penggantinya yang dinamakan oleh Bundestag melainkan calon baru itu tidak mendapat majoriti mutlak ahli-ahli parlimen. Sekiranya kes ini tejadi, Presiden persekutuan mempunyai pilihan samada untuk menerima perlantikan itu atau membubarkan parlimen.

Di samping itu, pihak kerajaan juga berhak mencadangkan satu usul percaya untuk dibahas dan diundi oleh ahli-ahli dewan. Jika usul ini tidak mendapat sokongan majoriti mutlak, canselor bertanggungjawab menasihatkan presiden persekutuan untuk membubarkan parlimen. Sekiranya presiden persekutuan tidak mahu berbuat demikian sebagai contoh dengan alasan pilihan raya umum baru sahaja beberapa bulan dijalankan, beliau boleh mengisytiharkan darurat ke atas cabang perundangan hanya selepas menerima persetujuan Majlis Persekutuan. Tempoh darurat ini hanya berkuatkuasa ke atas Bundestag dan membolehkan kerajaan menjalan pentadbiran negara seperti biasa selain kuasa menggubal undang-undang tanpa penglibatan parlimen tetapi dengan persetujuan Majlis Persekutuan. Darurat ini tidak sama dengan darurat yang diisytiharkan akibat peperangan mahupun bencana alam.

Pemilihan Presiden Persekutuan sunting

Ahli-ahli parlimen membentuk separuh daripada keahlian Majlis Perhimpunan Persekutuan (atau Bundesversammlung) yang bertanggungjawab memilih Presiden Persekutuan bagi negara Jerman. Keahlian yang lain pula terdiri daripada individu yang dipilih oleh parlimen-parlimen negeri berdasarkan prinsip berkadaran. Presiden Bundestag turut bertugas mempengerusikan pemilihan sewaktu Majlis Perhimpunan Persekutuan bersidang.

Pelantikan Hakim-hakim Persekutuan sunting

Menurut Perkara 94 Perlembagaan Jerman, Bundestag juga diberi peranan melantik sebahagian daripada hakim-hakim yang bertugas di Mahkamah Perlembagaan Persekutuan (Bundesverfassungsgericht) melalui satu suruhanjaya perlantikan khas. Keahlian suruhanjaya ini terdiri daripada dua belas anggota daripada pelbagai parti yang diwakili di Bundestag. Pelantikan seseorang hakim perlu mendapat undi daripada sekurang-kurangnya 8 ahli suruhanjaya ini. Hakim-hakim yang dilantik selalunya tidaklah memihak kepada satu-satu parti politik. Sebaliknya kedua-dua kumpulan terbesar di parlimen sering mempersetujui satu pakej yang akan melantik calon-calon mereka dalam bilangan yang sama banyak. Kadangkala, calon-calon yang dicadangkan oleh parti Hijau mahupun FDP turut dilantik. Dalam penghakiman mereka, hakim-hakim ini jarang sekali mengikut ideologi parti yang mencalonkan mereka.

Sebahagian daripada hakim-hakim di Mahkamah Perlembagaan Persekutuan pula dilantik dengan majoriti dua pertiga oleh Bundesrat.

Hakim-hakim yang bertugas di Mahkamah-mahkamah persekutuan yang lain pula dipilih oleh satu suruhanjaya perlantikan hakim yang berbeza dengan suruhanjaya yang bertanggungjawab melantik hakim-hakim ke Mahkamah Perlembagaaan Persekutuan. Anggota-anggota suruhanjaya ini terdiri daripada semua menteri-menteri kabinet kerajaan negeri dengan portfolio bersangkutan dan ahli-ahli parlimen dalam jumah yang sama banyak. Suruhanjaya ini hanya bersidang apabila menteri kabinet persekutuan yang berkaitan mencadangkan calon-calon untuk mengisi kekosongan di Mahkamah-mahkamah berikut: Mahkamah Keadilan (Bundesgerichtshof), Mahkamah Pentadbiran (Bundesverwaltungsgerichtshof), Mahkamah Kewangan (Bundesfinanzhof), Mahkamah Buruh (Bundesarbeitsgericht) dan Mahkamah Sosial (Bundessozialgericht).

Kawalan ke atas Eksekutif sunting

Tugas penting seterusnya yang dijalankan oleh Bundestag ialah mengawal badan pemerintah.

Ucapan dan kehadiran sunting

Selain daripada ahli-ahli Bundestag, ahli-ahli kerajaan dan juga Bundesrat memiliki hak untuk berucap dalam sesi persidangan Bundestag. Malah ucapan ini harus diikuti oleh ahli-ahli Bundestag. Namun, ahli-ahli kerajaan kadangkala diwakili oleh wakil-wakil mereka seperti jurucakap kementerian manakala ahli-ahli Bundesrat jarang sekali menghadiri persidangan Bundestag kecuali apabila isu-isu berkaitan negeri-negeri dibahaskan. Pada masa yang sama, Bundestag diberikan hak untuk memanggil sekurang-kurangnya wakil kerajaan (terutamanya canselor) hadir ke sesi soal jawab di peringkat persidangan mahupun jawatankuasa. Kewajipan ini membantu ahli-ahli Bundestag mengenakan kawalan ke atas kerajaan terutamanya dengan menyoal dasar-dasar kerajaan.

Soalan sunting

Salah satu alat penting dalam pekerjaan Bundestag ialah hak menyoal dan disoal. Secara umum terdapat dua jenis soalan yang boleh diajukan oleh ahli-ahli Bundetag iaitu soalan bertulis dan lisan. Soalan bertulis dipecahkan lagi kepada dua, iaitu soalan ringkas dan utama. Soalan ringkas biasanya berkaitan urusan kerajaan. Namun, lazimnya soalan bentuk ini menanyakan topik membabitkan kawasan parlimen atau setempat dan juga isu-isu kecil yang khusus. Soalan bentuk ini jarang sekali dicetak walaupun ianya wajib dijawab secara bertulis. Soalan utama pula selalunya digunakan untuk memohon perbahasan di dalam parlimen. Soalan ini yang kebasannya diajukan oleh pembangkang, menuntut kerajaan menyatakan kedudukan mereka dalam sesuatu isu persekutuan. Ia biasanya dilakukan secara bertulis dan boleh dilakukan setelah mendapat persetujuan sekurang-kurangnya 5% keahlian dewan atau sesebuah kumpulan parlimen.

Di samping itu, soalan lisan boleh diajukan ahli-ahli parlimen sewaktu sesi soal jawab kepada pihak kerajaan. Jika masa yang diperuntukkan tidak mencukupi, jawapan lisan ini harus dijawab secara bertulis pada keesokan harinya. Kadangkala soalan bertulis (mahupun soalan lisan yang tidak berjawab di parlimen) akan dibincangkan sewaktu mesyuarat kabinet dan jawapannya diberikan sewaktu sidang akhbar selepas mesyuarat tersebut.

Jawatankuasa penyiasatan sunting

Satu jawatankuasa penyiasatan peringkat parlimen boleh ditubuhkan setelah mendapat permintaan daripada sekurang-kurangnya satu perempat daripada keahlian Bundestag. Jawatankuasa ini diberi tugas menyiasat satu-satu isu yang mesti dijelaskan sewaktu permohonan dibuat. Jawatankuasa parlimen bagi pertahanan adalah sebenarnya berbentuk jawatankuasa penyiasatan.

Jawatankuasa jenis ini adalah berbeza daripada jawatankuasa parlimen yang lain kerana ia hanya ditugaskan menyiasat satu isu yang dinyatakan dalam satu tempoh yang telah dipersetujui. Peluang sebegini seringkali digunakan oleh pihak pembangkang bagi memalukan kerajaan kerana pembentukannya tidak boleh dihalang oleh majoriti. Malah kuasanya adalah sama dengan kuasa yang diperuntukkan kepada jawatankuasa parlimen terutamanya untuk memaksa kehadiran ahli-ahli kerajaan termasuk kakitangan persekutuan. Namun, hak ini hanya dilakukan apabila satu-satu insiden mencurigakan diketahui umum. Sejak 1949 hanya sebanyak 50 jawatankuasa sebegini telah ditubuhkan.

Suruhanjaya perkhidmatan ketenteraan sunting

Suruhanjaya perkhidmatan ketenteraan ialah satu organ Bundestag yang bertanggungjawab mengawal gerak kerja angkatan tentera. Tugas-tugasnya termasuk mendengar aduan ahli-ahli angkatan tentera (lazimnya di luar saluran perkhidmatan) dan memastikan hak asasi askar dijaga sebagaimana menurut peruntukan perlembagaan. Sekaligus kuasa sebegini menunjukkan bahawa hanya parlimen berkuasa ke atas angkatan tentera.

Kawalan ke atas organ perisikan persekutan sunting

Jawatankuasa kawalan parlimen ditubuhkan terdiri daripada ahli-ahli parlimen dengan tanggungjawab mengawal kerja badan perisikan persekutuan iaitu, Perkhidmatan Perisikan Persekutuan (Bundesnachrichtendienst (BND)), Perisikan Tentera (Militärische Abschirmdienst (MAD)) dan Pejabat Persekutuan bagi Perlindungan di bawah Perlembagaan (Bundesamt für Verfassungschütz (BfV)). Ahli-ahli jawatankuasa ini walaubagaimanapun dimestikan menyimpan rahsia-rahsia kerajaan yang terbabit.

Pendakwaan ke atas badan kerajaan sunting

Bersama-sama dengan Bundesrat, parlimen berhak mendakwa Presiden Persekutuan di Mahkamah Perlembagaan Persekutuan apabila beliau melanggar perlembagaan atau mana-mana undang-undang persekutuan. Pendakwaan hanya boleh dilakukan setelah mendapat sokongan sekurang-kurangnya dua pertiga daripada keahlian parlimen. Parlimen tidak boleh melucutkan jawatan presiden kerana ia bukanlah satu-satunya badan yang melantik presiden. Badan tersebut iaitu Majlis Perhimpunan Persekutuan tidak boleh dipanggil semula untuk memecat presiden. Maka urusan pendakwaan dibawa kepada mahkamah ini yang sering dianggap sebagai Senat Kedua dalam sistem politik di Jerman.

Pada masa yang sama, parlimen tidak berhak memecat ahli-ahli kabinet eksekutif kerana mereka dipilih oleh canselor dan kadangkala bukan ahli parlimen. Parlimen hanya boleh memecat canselor melalui undi percaya atau tidak percaya sekaligus memecat seluruh kabinet.

Pilihanraya sunting

Anggota-anggota parlimen berkhidmat selama empat tahun bagi satu-satu penggal. Pilihanraya dijalankan setiap empat tahun melainkan dalam keadaan tertentu yang memaksa parlimen dibubarkan sebelum tamat tempoh penggal perkhidmatannya. Pembubaran parlimen hanya boleh dilakukan oleh presiden setelah mendapat nasihat daripada canselor apabila beliau tidak lagi memperoleh undi percaya di parlimen.[1] Perkara ini pernah berlaku sebanyak tiga kali sebelum ini: pada tahun 1972 di bawah pentadbiran Canselor Willy Brandt, pada tahun 1982 sewaktu kepimpinan Canselor Helmut Kohl dan yang terakhir pada tahun 2005 ketika kerajaan diterajui oleh Canselor Gerhard Schröder.

 
Kertas undi bagi kawasan parlimen 252, Würzburg. Undi untuk wakil rakyat secara langsung di sebelah kiri, undi untuk parti di sebelah kanan.

Semua calon-calon yang hendak bertanding perlulah berusia sekurang-kurangnya 18 tahun dan tiada had penggal perkhidmatan dikenakan. Pilihanraya dijalankan di semua 299 kawasan parlimen dalam keadaan yang terbuka, bebas, adil dan saksama. Setiap pengundi akan membuang dua undi. Undi pertama bagi memilih satu wakil rakyat secara langsung mengikut kawasan parlimen manakala undi kedua bagi menentukan jumlah perwakilan tambahan yang boleh dihantar oleh satu-satu parti politik ke parlimen.

Hanya parti-parti politik yang berjaya memperoleh sekurang-kurangnya 5% daripada peratusan undi keseluruhan atau berjaya memenangi secara langsung sekurang-kurangnya tiga kerusi melalui undi pertama akan diberikan kerusi tambahan ini. Perkara ini disebut halangan 5% bagi mengelakkan kemasukan secara mudah parti-parti kecil yang akan mengganggugugat pembentukan kerajaan dengan majoriti stabil sepertimana yang berlaku ketika Perlembagaan Weimar. Sejak tahun 1961 hanya terdapat dua parti baru yang berjaya menghantar perwakilan ke parlimen iaitu Pakatan '90/Hijau dan Parti Kiri.

Pembahagian kerusi sunting

Separuh daripada anggota-anggota Bundestag dipilih secara langsung daripada 299 kawasan parlimen berdasarkan sistem majoriti seperti yang diamalkan di Malaysia, manakala separuh yang lainnya dipilih berdasarkan senarai parti mengikut negeri.[2]

Jumlah kerusi yang sepatutnya diterima oleh setiap parti akan dikira berdasarkan peratusan keseluruhan undi kedua. Daripada jumlah ini, kerusi yang dimenangi oleh satu-satu parti melalui mandat secara langsung (undi pertama) akan ditolak. Baki kerusi akan diberikan berdasarkan keadaan-keadaan berikut:

  1. Jika sesebuah parti memperoleh kerusi melalui mandat secara langsung yang lebih sedikit daripada jumlah kerusi yang patut diterimanya berdasarkan peratusan undi popular, kerusi tambahan akan diberikan.
  2. Jika parti itu memperoleh jumlah kerusi melalui undi popular yang kurang daripada kerusi yang diperoleh melalui undi pertama, parti itu tidak akan diberi kerusi tambahan, tetapi boleh mengekalkan kerusi yang dimenanginya melalui undi secara langsung.
  3. Jika sesebuah parti memperoleh jumlah kerusi melalui undi popular yang sama dengan jumlah kerusi yang dimenanginya melalui undi pertama, parti itu tidak akan menerima kerusi tambahan.

Jika keadaan kedua berlaku, parlimen akan mempunyai kerusi berlebihan daripada yang ditetapkan oleh undang-undang pilihanraya iaitu sebanyak 598 kerusi. Jika anggota parlimen daripada parti yang mendapat kerusi berlebihan ini terpaksa meletak jawatan atau meninggal dunia, kerusinya tidak akan diberikan kepada calon lain.

Parlimen dikehendaki bersidang dengan kehadiran penuh ahli-ahlinya selewat-lewatnya 30 hari selepas pilihanraya diadakan.[3]

Keputusan pilihan raya dan taburan kerusi sunting

Keputusan pilihan raya 2013 sunting

Templat:Pilihan raya persekutuan Jerman 2013

Taburan kerusi mengikut parti dalam Bundestag ke-17 sunting

 
Taburan awal kerusi dalam Bundestag ke-17.
Taburan terkini kerusi dalam Bundestag:
+ CDU dan CSU: 237 (38.1%) termasuk 22 kerusi overhang
+ SPD: 146 (23.5%)
+ FDP: 93 (15%)
+ Parti Kiri: 76 (12.2%)
+ Pakatan '90/Parti Hijau: 68 (10.9%)

Lihat senarai ahli Bundestag untuk melihat perubahan dan senarai ahli-ahli parlimen semasa.

Senarai sesi Bundestag mengikut sesi sunting

Taburan kerusi dalam Bundestag Jerman (pada permulaan setiap sesi)
Bundestag Sesi Kerusi CDU/CSU SPD FDP Pakatan '90 /
Parti Hijau
1
Parti Kiri2 Parti Jerman AfD Lain-lain
Pertama 1949–1953 402 139 131 52 –   – 17 633
Ke-2 1953–1957 487 243 151 48 –   – 15 304
Ke-3 1957–1961 497 270 169 41 17
Ke-4 1961–1965 499 242 190 67
Ke-5 1965–1969 496 245 202 49
Ke-6 1969–1972 496 242 224 30
Ke-7 1972–1976 496 225 230 41
Ke-8 1976–1980 496 243 214 39
Ke-9 1980–1983 497 226 218 53
Ke-10 1983–1987 498 244 193 34 27
Ke-11 1987–1990 497 223 186 46 42
Ke-12 1990–1994 662 319 239 79 8 17
Ke-13 1994–1998 672 294 252 47 49 30
Ke-14 1998–2002 669 245 298 43 47 36
Ke-15 2002–2005 603 248 251 47 55 2
Ke-16 2005–2009 614 226 222 61 51 54
Ke-17 2009–2013 622 239 146 93 68 76
Ke-18 2013–2017 630 311 192 63 64
Ke-19 2017–2021 709 245 152 80 67 69 87 9
Ke-20 2021– 736 197 206 92 118 39 79 5
  Parti-parti dalam pihak pemerintah


1 1983-1990 Parti Hijau, 1990-1994 Pakatan '90, sejak 1994 Pakatan '90/Parti Hijau
2 1990-2005 PDS (Parti Sosialisme Demokratik), 2005-2007 Parti Kiri.PDS, sejak 2007 Parti Kiri
3 BP 17, KPD 15, WAV 12, Parti Tengah 10, DKP-DRP 5, SSW 1, Bebas 3
4 GB-BHE 27, Parti Tengah 3

Presiden Bundestag sejak 1949 sunting

Presiden Bundestag
Nama Parti Mula Tamat Tempoh
1 Erich Köhler* (18921958) CDU 7 September 1949 18 Oktober 1950 1 tahun 1 bulan 11 hari
2 Hermann Ehlers** (19041954) CDU 19 Oktober 1950 29 Oktober 1954 4 tahun 10 hari
3 Eugen Gerstenmaier*** (19061986) CDU 16 November 1954 31 Januari 1969 14 tahun 2 bulan 15 hari
4 Kai-Uwe von Hassel (19131997) CDU 5 Februari 1969 13 Disember 1972 3 tahun 10 bulan 8 hari
5 Annemarie Renger† (1919-2008) SPD 13 Disember 1972 14 Disember 1976 4 tahun 1 hari
6 Karl Carstens§ (19141992) CDU 14 Disember 1976 31 Mei 1979 2 tahun 5 bulan 17 hari
7 Richard Stücklen (19162002) CSU 31 Mei 1979 29 Mac 1983 3 tahun 9 bulan 29 hari
8 Rainer Barzel*** (19242006) CDU 29 Mac 1983 25 Oktober 1984 1 tahun 6 bulan 26 hari
9 Philipp Jenninger*** (1932-2018) CDU 5 November 1984 11 November 1988 4 tahun 6 hari
10 Rita Süssmuth (lahir 1937) CDU 25 November 1988 26 Oktober 1998 9 tahun 11 bulan 1 hari
11 Wolfgang Thierse (lahir 1943) SPD 26 Oktober 1998 18 Oktober 2005 6 tahun 11 bulan 22 hari
12 Norbert Lammert (lahir 1948) CDU 18 Oktober 2005 24 Oktober 2017 12 tahun 6 hari
13 Wolfgang Schäuble (lahir 1942) CDU 24 Oktober 2017 26 Oktober 2021 4 tahun 2 hari
14 Bärbel Bas (lahir 1968) SPD 26 Oktober 2021

* meletak jawatan atas alasan kesihatan
** meninggal dunia ketika dalam jawatan
*** meletak jawatan atas alasan politik
† wanita pertama dan presiden parlimen yang pertama dari SPD
§ meletak jawatan untuk menjadi Presiden Jerman

Lihat juga sunting

Nota kaki sunting

  1. ^ Perkara 68, Perlembagaan Jerman
  2. ^ Perkara 1, Undang-undang Pemilihan Bundestag
  3. ^ Perkara 39, Perenggan 2, Perlembagaan Jerman

Rujukan sunting

  • Wolfgang Ismayr: Der Deutsche Bundestag. Funktionen, Willensbildung, Reformansätze. Leske + Budrich, Opladen 1992, ISBN 3-8100-0828-1
  • Carl-Christian Kaiser, Wolfgang Kessel: Deutscher Bundestag 1949–1999. Olzog, München 1999, ISBN 3-7892-8015-1
  • Wolfgang Ismayr: Der Deutsche Bundestag im politischen System der Bundesrepublik Deutschland. Leske + Budrich, Opladen 2000, ISBN 3-8100-2308-6
  • Heinrich Oberreuter (Editor): Der Deutsche Bundestag im Wandel. Ergebnisse neuerer Parlamentarismusforschung. Edisi Ke-2. Westdeutscher Verlag, Wiesbaden 2002, ISBN 3-531-33684-3
  • Biographisches Handbuch der Mitglieder des Deutschen Bundestages 1949–2004. Editor v. Rudolf Vierhaus dan Ludolf Herbst dengan kerjasama von Bruno Jahn. 3 Volume, München, K. G. Saur 2002/2003, ISBN 3-598-23780-4
  • Rupert Schick, Hermann J. Schreiner: So arbeitet der Deutsche Bundestag. Organisation und Arbeitsweise, die Gesetzgebung des Bundes (15. Wahlperiode). Edisi ke-17. Neue Darmstädter Verlagsanstalt, Rheinbreitbach 2003, ISBN 3-87576-501-X
  • Kürschners Volkshandbuch Deutscher Bundestag. Neue Darmstädter Verlagsanstalt, Rheinbreitbach 2004, ISBN 3-87576-525-7 (dicetak setiap tahun sebagai edisi baru yang telah diperbaiki dan diedarkan secara percuma)
  • Klaus von Beyme: Der Gesetzgeber. Der Bundestag als Entscheidungszentrum. Westdeutscher Verlag, Opladen 1997, ISBN 3-531-12956-2
  • Thorsten Lüthke: Arbeitshandbuch Bundestag 2006. Abgeordnete, Ausschüsse, Adressen. Edisi diperbaiki Ke-3 Verlag Berlin Brandenburg, Berlin 2006, ISBN 3-86650-390-3
  • Hans-Peter Schneider dab Wolfgang Zeh (Hrsg.): Parlamentsrecht und Parlamentspraxis in der Bundesrepublik Deutschland, Berlin 1989. ISBN 3-11-011077-6

Pautan luar sunting