Edgar Degas (lahir Hilaire-Germain-Edgar De Gas, 19 Julai 1834 - 27 September 1917) merupakan seorang pelukis dan pengarca dari Perancis. Beliau dianggap sebagai seorang daripada pengasas Impresionisme kendatipun beliau menolak perkataan itu, dan lebih gemar digelar seorang Realis.[1] Seorang pelukis yang hebat, beliau dikaitkan dengan tarian khususnya, dan lebih daripada separuh kerjanya menampilkan para penari. Karya-karya ini mengetengahkan penguasaannya terhadap penggambaran pergerakan, sama seperti karyanya berkaitan balapan lumba kuda dan lukisan wanita bogel. Lukisan-lukisan potretnya dikenali kerana penggambaran pemencilan manusia dan psikologi yang kompleks.[2]

Potret diri
La Classe de Danse ("Kelas tarian"), 1873–1876, minyak pada kanvas, oleh Edgar Degas

Pada awal kerjayanya, Degas berniat menjadi seorang pelukis sejarah, menceburi bidang yang sesuai dengan latihan akademik dan pengajian mendalam terhadap seni klasik yang telah beliau harungi. Beliau menukar haluan semasa berumur 30-an dan, dengan membawa kaedah-kaedah tradisional pelukis sejarah kepada kepada subjek sezaman, beliau menjadi pelukis klasik kehidupan moden.[3]


Gaya seni sunting

Degas sering dikaitkan dengan Impresionisme, satu pemerian yang difahami akan tetapi tidak mencukupi. Impresionisme diasaskan dalam tahun 1860 dan 1870-an dan berkembang dengan bantuan realisme pelukis seperti Gustave Courbet dan Jean-Baptiste-Camille Corot. Para pelukis Impresionis melukis kenyataan dunia dengan menggunakan warna cerah, dan "berkilau", dan menumpukan perhatian terhadap kesan cahaya dengan harapan memberi lukisan mereka perasaan kedekatan.

Dari sudut teknik, Degas berbeza daripada para Impresionis kerana beliau tidak "menggunakan bintik-bintik warna Impresionisme",[4] dan beliau sentiasa memperkecilkan amalan para Impresionis yang lazimnya melukis di luar (en plein air).[5] Mengikut sejarawan seni Carol Armstrong, "Beliau sering kali anti-impresionisme seiring dengan para pengkritik pameran lukisan"; seperti kata Degas, "tiada seni yang kurang spontan seperti seni saya. Apa yang saya lakukan ialah hasilan renungan dan kajian pelukis agung; saya tidak tahu-menahu tentang inspirasi, kespontanan, temperamen."[6] Walaupun demikian, beliau lebih tepat diperikan sebagai seorang Impresionis daripada ahli pergerakan seni yang lain. Lukisan beliau tentang kehidupan di Paris, uji kaji warna dan bentuk, karangan sipi pusat dan persahabatannya dengan beberapa pelukis Impresionis penting —khususnya Mary Cassatt dan Edouard Manet—kesemua ini mengukuhkan kaitan beliau dengan pergerakan Impresionisme.[7]

 
L'Absinthe ("Absinte"), 1876, minyak dan kanvas, Edgar Degas

Gaya Degas mencerminkan rasa hormatnya yang mendalam terhadap pelukis agung (beliau merupakan seorang penyalin yang amat bersunguh-sungguh sehinggalah zaman pertengahan usianya)[8] dan mengagumi Ingres dan Delacroix. Beliau seorang pengumpul cetakan Jepun, dan karyanya dipengaruhi oleh prinsip-prinsip bentuk seni cetakan-cetakan tersebut. Walaupun beliau terkenal kerana lukisan kuda dan penari, Degas bermula dengan lukisan sejarah biasa seperti lukisan The Young Spartans ("orang Sparta muda"), yang pada masa itu sudah menampakkan perkembangannya ke arah pengolahan bentuk tubuh yang kurang idealis.

Dalam zaman kerjaya awalnya, Degas juga melukis potret individu dan kumpulan; contoh ialah lukisan The Bellelli Family ("Keluarga Bellelli") (c.1858–67), sebuah potret makcik, pakcik dan sepupunya yang digambarkan secara hebat namun pilu. Di dalam lukisan ini, seperti juga The Young Spartans dan banyak lagi karya terkemudianya, Degas tertarik dengan ketegangan antara wanita dan lelaki. Lukisan-lukisan awalnya memberi petunjuk kepada karya matangnya yang melibatkan pemangkasan kekok subjek dan sudut pandangan luar biasa.

Galeri sunting

Nota sunting

  1. ^ Gordon and Forge 1988, p. 31
  2. ^ Brown 1994, p. 11
  3. ^ Turner 2000, p. 139
  4. ^ Hartt 1976, p. 365
  5. ^ Gordon and Forge 1988, p. 11
  6. ^ Armstrong 1991, p. 22
  7. ^ Roskill 1983, p.33
  8. ^ Baumann, et al. 1994, p. 151
Sumber utama