Elfen Lied (Jepun: エルフェンリート, Hepburn: Erufen Rīto) merupakan sebuah siri manga Jepun yang dicipta oleh seorang penulis manga bernama Lynn Okamoto. Sebuah siri TV anime yang berlangsung selama tiga belas episod berdasarkan kisah manga Elfen Lied telah dihasilkan oleh studio ARMS dan disiarkan menerusi TV Tokyo daripada bulan Julai hingga Oktober tahun 2004; siri anime tersebut kemudiannya dilesenkan di Amerika Utara pada DVD oleh ADV Films. Siri anime Elfen Lied dimulakan sebelum siri manganya lengkap; akibatnya, plot di antara kedua-dua media ini berbeza, terutama sekali sewaktu penghujung ceritanya. Pada tahun 2005, sebuah episod OVA, di mana kisahnya berlaku di antara episod sepuluh dan sebelas daripada siri asalnya, telah dikeluarkan. Judul siri ini merupakan maksud literal daripada perkataan bahasa Jerman yang diterjemahkan sebagai "Lagu Orang Bunian", ataupun "Elves' Song", dan mendapat namanya daripada sajak Elfenlied dan perkataan bahasa Jerman iaitu lied, sebuah sajak klasik-romantik ataupun karya muzikal.

Elfen Lied
Elfen Lied logo
GenreDrama, Seram, Psikologi
Manga
PengarangLynn Okamoto
PenerbitJepun Shueisha
DemografikSeinen
Anime
PengarahMamoru Kanbe
StudioJepun Genco, VAP
Dilesenkan olehKanada United Kingdom Amerika Syarikat Jerman ADV Films
Australia New Zealand Madman Entertainment
Penyiaran AsalJepun AT-X
Dikeluarkan pada25 Julai 200417 Oktober 2004
Anime
Episod 10.5
PengarahMamoru Kanbe
StudioJepun ARMS
Dilesenkan olehAmerika Syarikat ADV Films
Portal Anime dan Manga

Elfen Lied berlatarkan elemen-elemen seperti interaksi, pandangan, emosi, dan diskriminasi di antara golongan manusia dan golongan Diclonius, sejenis spesies mutan yang mempunyai rangka yang sama dengan manusia kecuali daripada kewujudan dua buah tanduk berupa telinga kucing di kepala mereka dan "vektor-vektor" ataupun "vectors", iaitu beberapa pasang tangan lutsinar yang mampu menembusi udara dan objek pada kelajuan yang tinggi. Siri ini menceritakan kisah seorang gadis Diclonius bernama "Lucy", yang dikatakan sebagai Diclonius yang pertama, berubah menjadi seorang yang kejam dan ganas akibat daripada perasaan bencinya dan niatnya membalas dendam kepada golongan manusia yang tidak menyenanginya.

Elfen Lied mempunyai tema-tema seperti pengasingan sosial, identiti, kekejaman terhadap haiwan, dendam, penderaan kanak-kanak, cemburu dan nilai-nilai kemanusiaan.[1] Siri ini menerapkan penggunaan gambaran-gambaran grafik bogel dan kejam, terutama sekali adegan pembukaan episod pertamanya. Setakat ini, hanya siri anime dengan episod sejumlah tiga belas sahaja yang telah dilesenkan di Amerika Syarikat oleh ADV Films dan di Australia oleh Madman Entertainment. ADV Films telah mengulas bahawa siri tersebut merupakan di antara siri keluaran mereka yang paling laris dijual dan paling terkenal pada tahun 2005.[2][3]

Plot sunting

Kisah ini berlatarkan makhluk yang bergelar Diclonius, iaitu spesies manusia yang melalui perubahan evolusi, mempunyai tanduk berupa telinga kucing di kepala mereka bersama-sama vectors, iaitu beberapa pasang tangan yang dikawal secara telekinesis dan bergetar pada frekuensi atau kekerapan yang tinggi sehingga mereka menjadi lutsinar, serta kuasa untuk mengawal objek dalam ukuran keluasan yang tertentu. Kebanyakan Diclonius merupakan perempuan; Diclonius lelaki adalah jarang dilihat di dalam siri ini (Diclonius lelaki yang pertama merupakan Profesor di sekolah Kohta seperti yang dilihat dalam manga). Dalam siri anime Elfen Lied Diclonius perempuan memiliki warna rambut dan mata seperti warna merah atau merah jambu, berlainan dengan manusia biasa yang memiliki warna-warna rambut seperti coklat, hitam, perang dan merah. Dalam versi manga, warna rambut mereka boleh berwarna apa-apa sekalipun seperti manusia biasa (contohnya, Nana dan Mariko masing-masing memiliki rambut berwarna ungu dan perang, dalam manganya).

Pada permulaan siri ini, Diclonius ditempatkan di sebuah tempat penyimpanan di luar kawasan Kamakura di Kanagawa, selatan daripada bandar Yokohama, oleh seorangsaintis bernama Kurama. Seorang Diclonius pertama daripada kaumnya, seorang gadis remaja yang diberi nama oleh kakitangan di situ sebagai "Lucy," telah melarikan diri daripada fakulti tersebut dalam keadaan bogel (kecuali daripada helmet besi yang melindungi kepalanya) dan, dengan menggunakan vektor-vektornya untuk memesongkan tembakan peluru ke arahnya, dia dengan mudah telah membunuh pengawal-pengawal keselamatan dan setiausaha Kurama yang telah menghalang pergerakannya. Walaubagaimanapun, dalam perjalanannya keluar daripada makmal yang dikawal ketat itu, dia berjaya ditembak di bahagian tepi kepalanya oleh seorang penembak curi mengggunakan senapang .50 kaliber, memecahkan helmet besinya itu dan mengakibatkannya jatuh ke dalam laut.

 
Kepala Lucy yang dilindungi oleh helmet besi ini dibawanya keluar daripada fakulti tersebut.

Pada keesokan pagi, Kohta, iaitu seorang pelajar universiti, akan berpindah ke Kamakura untuk belajar di sebuah universiti di mana dia akan bertemu dengan sepupunya iaitu Yuka. Apabila sedang mengenang kembali akan adik perempuannya di sebuah pantai, yang kemudiannya dijelaskan telah mati disebabkan "sejenis penyakit," dia bertemu dengan Diclonius itu, masih dalam keadaan bogel dan tercedera di bahagian kepada daripada tembakan yang mengena bahagian sisi helmetnya itu. Dia kelihatan tidak berdaya dan, akibat daripada kecederaan di bahagian otaknya daripada peluru itu, mempunyai pemikiran, keupayaan dan kematangan seperti seorang bayi, hanya mampu menyebut perkataan "Nyu" sahaja. Kohta dan Yuka telah membuat keputusan untuk membawanya pulang bersama-sama mereka, lalu memberinya nama "Nyu"

Kohta, yang ingin berpindah masuk ke Kediaman Kaede (yang merupakan bekas restoran tradisional Jepun yang dihuni oleh generasi-generasi dahulu) di Kamakura, telah meletakkan Nyu di bawah jagaannya. Nyu, yang masih berkelakuan keanak-anakan, tidak mempunyai sebarang idea tentang lokasi dirinya, malah tidak mengetahui apa-apapun tentang dirinya sama sekali. Namun, Kohta dan Yuka percaya bahawa mereka mampu mencari asal-usul Nyu dan, pada waktu itu, menjaganya dengan baik. Namun, selepas Kohta menengking kelakuan Nyu, dia telah melarikan diri semula ke pantai di mana dirinya ditemui. Seorang kanak-kanak perempuan yang terbiar, Mayu, bersama-sama anjingnya menemui Nyu, dan Kohta menjejak semula Nyu sehingga ke pantai tersebut, pada waktu yang sama mendapat tahu bahawa Kurama telah menyusun sebuah skuad khas, diketuai oleh Bando, seorang tentera bersifat kejam, dan nana, seorang lagi Diclonius, untuk menjejak Lucy semula. Akan tetapi, Lucy dan perwatakannya yang kejam dan ganas belum lagi pupus daripada dirinya; apabila gegaran menimpa kepalanya ataupun jika dirinya dipamerkan sebarang jenis keganasan, dia berubah semula menjadi personaliti sadisnya, di mana kejadian pertukaran personaliti ini berlaku sepanjang berlangsungnya siri ini, di mana perubahan pertama berlaku sewaktu pertemuannya bersama-sama Bando, yang telah mengakibatkan dirinya kehilangan matanya, manakala Nana pula kehilangan kedua-dua belah kaki dan lengannya oleh vektor-vektor Lucy. Akhirnya, Kurama berputus untuk memanggil semula Bando dan Nana kembali ke Kamakura, di mana Bando diberi arahan untuk menjejaki Lucy dan Nana untuk mencari kehidupannya sendiri di dunia luar yang bertentangan dengan arahan yang dikeluarkan kepada Kurama untuk menumpaskan Diclonius itu. Akhirnya, Mayu dan Nana masing-masing tinggal di kediaman Kohta, di mana serpihan kehidupan zaman silam mereka bercantum menjadi satu bahagian yang lebih besar.

 
Kohta dan Lucy, masing-masing berumur sepuluh tahun. Tragedi masa lampau mereka adalah berhubung-kait dengan sesama sendiri.

Setiap watak dalam Elfen Lied mempunyai zaman silam yang bermisteri dan tragik yang berkaitan antara satu sama lain. Beberapa perkembangan dalam ceritanya ditunjukkan kepada para penonton pada akhir-akhir kisahnya, dan sewaktu kisah-kisah individual mereka diimbas kembali, mereka dilihat kembali bersama. Mayu didedahkan sebagai mangsa rogol oleh ayah tirinya sendiri, dan Kurama pula didedahkan sebagai pembawa DNA Diclonius. Profesor Kukuzawam, rakan kerja Kurama dan anak lelaki bos Kurama, didedahkan sebagai Diclonius hanya beberapa saat sebelum kepalanya dipancung Lucy. Isteri Kurama meninggal dunia disebabkan komplikasi melahirkan bayinya, dan Kurama hampir dipaksa mengambil nyawa anak Dicloniusnya sendiri, namun ayah Kakuzawa, ketua makmal pada masa itu, telah bersetuju membenarkan anak perempuan Kurama hidup, dengan satu syarat; menanam bahan letupan di dalam tubuhnya dan akan diletupkan sekiranya dia melarikan diri daripada makmal terebut atau jika dia mengakibatkan kehancuran dunia.

Kehidupan silam Lucy didedahkan dalam episod kesembilan dan kesepuluh dalam siri Elfen Lied. Sebagai seorang kanak-kanak, Lucy diasuh di rumah anak yatim sejak kecil, namun perasaan gerun dan kesunyian seringkali melandanya disebabkan oleh rakan-rakan sebayanya yang selalu membuli dan bercakap buruk ke atasnya. Lucy telah melakukan pembunuhan pertamanya ke atas rakan-rakan kelasnya apabila mereka telah memukul seekor anjing (satu-satunya rakan Lucy yang sebenar) hingga mati. Setelah menanam anjing kesayangannya itu dengan perasaan yang pilu, dia telah menemui Kohta, yang telah membawanya ke sebuah zoo tempatan dan berkawan dengannya, lalu membenarkan Lucy berasa ingin berkawan semula dengan manusia, justeru meluahkan perasaan yang dipendamnya kepada Kohta berdekatan persisiran pantai sehari sebelum Kohta meninggalkan Kamakura. Namun, apabila Lucy mendapati sepupu yang dimaksudkan Kohta sebagai lelaki sebenarnya seorang perempuan, perasaan jahat Lucy telah menghasut dan mengawal diri Lucy dalam keadaan sedih dan hampanya itu, lalu memaksa Lucy mengharungi kehidupan yang dipenuhi perasaan dendam dan benci terhadap manusia biasa.

Pada penghujung siri Elfen Lied, Kurama terpaksa merisikokan takdir kedua-dua kaum Diclonius dan manusia biasa apabila dia melepaskan Mariko, anak perempuan Dicloniusnya dan satu-satunya Diclonius yang dianggap "terkuat", untuk membunuh Lucy dan merahsiakan spesies mereka selama-lamanya. Mariko, Nana, Lucy dan Kurama telah bertemu berdekatan dengan sebuah jambatan di persisiran pantai, di mana Mariko dan Nana mendapati bahawa mereka mempercayai bahawa mereka merupakan anak kepada Kurama, dan Lucy pula hampir dibunuh oleh Mariko. Namun begitu, apabila Lucy membunuh skuad khas yang sedang mencari Mariko, termasuklah majoriti kakitangan di makmal mereka, Kurama ditinggalkan bersama-sama tiga Diclonius yang terakhir. Sebaliknya, Kurama memilih untuk meluangkan saat-saat akhirnya bersama-sama Mariko apabila bahan letupan di dalam badannya meletup. Nana kemudian telah kembali semula ke kediaman Kohta untuk hidup bersama-samanya, Yuka serta Mayu. Lucy pula bertemu dengan Kohta di anak tangga yang sama pada zaman kanak-kanak mereka, di mana mereka berbicara buat kali terakhir sebelum bertemu semula lapan tahun kemudiannya, meluahkan perasaan sebenarnya terhadap Kohta, kekesalan yang memenuhi jiwanya, dan bagaimana dirinya mencintai Kohta sepenuhnya. Lucy meninggalkan Kohta untuk berhadapan dengan skuad tentera khas yang dihantar oleh makmal tersebut; nasib serta takdirnya tidak diketahui.

Perbezaan di antara media sunting

Disebabkan manga siri Elfen Lied belum sempat dihabiskan apabila siri animenya mula disiarkan, terdapat perbezaan di antara kedua-dua versi tersebut dari segi plotnya. Apabila manga Elfen Lied disirikan sejumlah 107 buah bab, siri animenya pula dimuatkan dalam tiga belas buah episod, dan pengarahnya iaitu Mamoru Kanbe mengatakan bahawa dia ingin mempamerkan lebih kepada cerita asal siri tersebut.

Akibatnya, kebanyakan daripada latar belakang Diclonius dan watak-watak siri tersebut yang terdapat dalam versi manga, misalnya seperti kejadian yang berlaku di antara pembunuhan ayah dan adik perempuan Kohta oleh Lucy dan pertemuan mereka di pantai tersebut, tidak terdapat di dalam siri anime. Beberapa watak dalam siri manganya juga tidak muncul di dalam siri anime, contohnya seperti Aiko, yang ditemui oleh Lucy sebelum dirinya ditangkap, meskipun wataknya muncul seketika di dalam OVA. Personaliti watak-wataknya juga berbeza jika dibandingkan dengan manganya; Kohta dilihat kurang bersifat pemaaf apabila mendapat tahu bahawa Lucy merupakan pembunuh sebenar keluarganya.

Ciri-ciri Diclonius juga berubah di antara anime dan manga Elfen Lied; Lucy memiliki lebih banyak vektor di dalam versi manga, dan mempunyai variasi yang lebih menonjol di antara warna rambut dan matanya. Plot dan watak yang terperinci juga wujud; Kurama tidak mati di dalam versi manga Elfen Lied, bertentangan dengan kematiannya di dalam versi anime.

Watak-watak sunting

  • Lucy (Jepun: ルーシー, Hepburn: Rūshī) - Disuarakan oleh: Sanae Kobayashi (Bahasa Jepun), Kira Vincent-Davis (Bahasa Inggeris)
Seorang gadis Diclonius remaja dalam lingkungan lapan belas tahun. Dalam jarak dua meter, Lucy mampu bertindak ganas dan berbahaya, dan akan menggunakan sebarang objek berhampiran dengannya sebagai senjata lontaran untuk membunuh mangsa yang berada jauh daripadanya. Selain itu, Lucy juga mampu menghentikan atau menangkis hampir setiap peluru senjata api umum selagi dia menumpukan perhatiannya. Lucy telah mencipta suatu perasaan benci dan dendam kesumat yang kuat terhadap manusia biasa di dalam hatinya disebabkan oleh layanan yang diberikan oleh orang di sekelilingnya sewaktu dia masih kecil lagi, mempermainkan tanduk di kepalanya, selain daripada mengejek namanya. Akibatnya, Lucy tidak mengendahkan nyawa manusia lain, menganggap mereka bukanlah manusia sebenar. Lucy kurang bersifat empati, meragut nyawa makhluk lain tanpa sebarang keresahan mahupun penyesalan, dan bertindak agak sadis. Walaubagaimanapun, pada akhir-akhir kisah Elfen Lied, Lucy mula menunjukkan tanda-tanda penyesalan di atas perbuatannya selama ini, terutama sekali terhadap Kohta.
  • Nyu (Jepun: にゅう, Hepburn: Nyū) - Disuarakan oleh: Sanae Kobayashi (Bahasa Jepun), Kira Vincent-Davis (Bahasa Inggeris)
Merupakan personaliti kedua Lucy yang terbentuk akibat impak peluru .50 BMG yang terkena di helmet besi di kepalanya. Nyu memiliki personaliti dan pengetahuan seorang kanak-kanak, kehilangan memori akan identiti sebenar dirinya (iaitu seorang Diclonius) mahupun cara menggunakan vektor-vektornya, menjadikannya sekadar manusia biasa dengan tanduk di kepala. Pada awalnya Nyu kurang berupaya untuk bertutur dalam bahasa manusia; namun, dia akhirnya mempelajari beberapa patah perkataan dan ayat, sehingga di dalam versi manga Elfen Lied, Nyu berjaya bertutur deangn baik meskipun seringkali mengeluarkan perkataan nyu dalam percakapannya. Nyu bersikap lemah, kelihatan tidak bersalah dan tidak berupaya melakukan perlakuan ganas atau bahaya, justeru itu Nyu dianggap sebagai personaliti "baik" Lucy. Apabila Nyu terhantuk kepalanya atau jika dia melihat perkara-perkara yang yang mengandungi unsur keganasan, dia akan kembali kepada bahagian saidsnya, iaitu Lucy.
  • Kohta (Jepun: コウタ, Hepburn: Kōta) - Disuarakan oleh: Chihiro Suzuki (Bahasa Jepun), Adam Conlon (Bahasa Inggeris)
Seorang remaja lelaki dalam lingkungan umur sembilan belas tahun. Kohta mula-mula muncul dalam kisah Elfen Lied apabila keluarga sepupunya memberi kebenaran kepadanya berpindah masuk ke sebuah rumah tumpangan lama yang telah ditutup. Sebagai bayaran, Kohta harus menjaga kediaman tersebut sambil dia menyambung pembelajarannya di sebuah universiti tempatan. Kohta mempunyai memori lama traumatik akan kematian ayah dan adik perempuannya semasa dia masih kecil lagi, apabila mereka dibunuh oleh Lucy. Disebabkan dirinya memendam memori tersebut, Kohta tidak mengingati Lucy semasa mereka masih kecil. Disebabkan pengalaman pahit yang dihadapinya, Kohta sangat menyanjungi dan risau terhadap gadis-gadis yang ditimpa masalah, dan seringkali ingin melindungi mereka. Kohta dilihat lebih bersifat pemaaf dalam siri anime Elfen Lied berbanding siri manga, di mana dia tidak boleh memaafkan Lucy setelah mendapati bahawa gadis Diclonius tersebut telah meragut nyawa keluarga kesayangannya.
  • Yuka (Jepun: ユカ) - Disuarakan oleh: Mamiko Noto (Bahasa Jepun), Nancy Novotny (Bahasa Inggeris)
Merupakan sepupu Kohta.[4] Yuka juga berumur dalam lingkungan sembilan belas, dan berhasrat untuk memasuki universiti yang sama dengan Kohta. Kali terakhir Yuka bertemu dengan Kohta adalah sewaktu mereka berusia sepuluh tahun, berpisah pada malam yang sama di mana Lucy membunuh keluarga Kohta. Tidak mengetahui kebenaran kejadian yang berlaku setelah mereka berpisah, Yuka bertemu kembali dengan Kohta pada awal permulaan kisah Elfen Lied, dan berpindah masuk ke kediaman Kohta yang baru untuk tinggal bersama-samanya. Yuka yang jatuh cinta kepada Kohta sejak kecil,[5] seringkali berasa tertekan dengan perasaan cemburu yang tinggi terhadap perhatian yang diberikan Kohta kepada Nyu serta gadis-gadis lain yang tinggal bersama mereka.

Diclonius sunting

Diclonius, dalam siri Elfen Lied, adalah merupakan suatu golongan evolusi manusia (menurut manga). Tubuh badan mereka adalah hampir serupa dengan manusia, di mana perbezaannya terletak pada kewujudan dua tanduk di kepala mereka, yang dikaitkan dengan kuasa telekinetik mereka (contoh terbaik yang mungkin membuktikan teori ini adalah apabila Lucy hanya mengeluarkan dua vektor sahaja apabila salah satu daripada tanduknya ditembak oleh seorang askar). Kuasa mereka membabitkan penggunaan lengan-lengan halimunan, yang dikenali sebagai "vektor" ataupun vectors dalam bahasa Inggeris. Diclonius juga memiliki kebolehan untuk mengesan lokasi di antara mereka, contohnya apabila Kurama melepaskan Nana daripada makmal di persisiran pantai untuk mencari dan seterusnya membawa Lucy pulang. Setiap satu Diclonius di dalam anime Elfen Lied adalah perempuan dan memiliki rambut kemerah-merahan, namun terdapat beberapa perbezaan di dalam versi manganya.

Secara umum, Diclonius merupakan spesies yang ganas, dikenalpasti sebagai kaum yang memiliki suatu perasaan benci terhadap manusia, dan mempunyai cita-cita untuk menghapuskan umat manusia dan meluaskan spesies mereka ke setiap penjuru dunia. DNA Diclonius akan dipindahkan ke dalam tubuh manusia biasa sekiranya vektor-vektor mereka menembusi tubuh mereka; kejadian ini berlaku ke atas diri Kurama apabila seorang kanak-kanak Diclonius terlepas daripada makmal sewaktu Kurama masih beru bekerja dan vektor-vektor Diclonius tersebut menembusi tubuhnya, mengakibatkan anaknya dilahirkan sebagai seorang Diclonius. Suatu persoalan telah timbul di atas kejadian ini, mempertikaikan penyebab yang mengakibatkan Diclonius mencipta kelakuan aneh ini, sama ada ia adalah personaliti semula jadi mereka ataupun jika ia lahir akibat daripada penderaan manusia; bukti menyokong kedua-dua pendapat ini. Dalam episod ketiga siri anime Elfen Lied, Kurama menjelaskan kepada Bando bahawa golongan Diclonius dilahirkan dengan niat ingin mengembangkan spesiesnya, dan di dalam episod terakhir pula Lucy mengatakan kepada Kohta, "Saya dilahirkan untuk menghancurkan umat manusia". Walaubagaimanapun, watak Nana pula memberi idea bahawa golongan Diclonius mampu juga memiliki sifat empati dan perkembangan watak mereka akan kian meningkat akibat daripada interaksi mereka dengan dunia manusia.

Meskipun begini, para pengkaji di makmal Diclonius percaya bahawa golongan Diclonius adalah suatu masalah besar kepada takdir yang menunggu golongan manusia. Setiap satu Diclonius ditempatkan di dalam tempat simpanan yang dikawal ketat dan mereka tidak didedahkan kepada dunia luar mahupun sekali. Lucy pernah berkata kepada Kohta tentang ancaman yang bakal melanda umat manusia dalam episod terakhir: "Dalam masa lima tahun sahaja, saya menjamin kelahiran bayi golongan kami adalah lebih ramai berbanding bayi golongan manusia biasa."

Gaya dan tema sunting

 
Tujuh minit pertama yang dapat ditonton dalam episod satu Elfen Lied dikenalpasti sebagai salah satu daripada babak yang provokatif di dalam anime, mengandungi adegan-adegan bogel dan unsur-unsur keganasan.

Dalam ulasan yang diberikan oleh pengarahnya, iaitu Mamoru Kanbe pada laman web Elfen Lied, dia inginkan siri anime tersebut untuk menyoal dan membincangkan nilai-nilai berdasarkan kaedah manusia membezakan diri mereka melalui perbezaan, serta terhadap kepercayaan di mana kekejaman seperti yang dilakukan oleh Lucy di dalam sirinya adalah dipengaruhi dengan kuat oleh cara manusia diperlakukan oleh orang-orang lain. Siri ini seringkali membincangkan kejadian-kejadian dan penjagaan yang menjelaskan perwatakan manusia dalam suatu cara tertentu, dan masalah-masalah yang timbul selaras dengan diskriminasi, serta perbezaan ketara di antara belas kasihan dan dendam di antara manusia sejagat, menerusi penggunaan keinginan Lucy untuk membalas dendam yang kuat berserta memori masa silamnya bersama Kohta. Banyak tema-tema ini disebut pada segmen teaser pada penghujung episod-episoda dalam siri tersebut.

Tema-tema seperti genosid dan percubaan untuk "membersihkan" bumi daripada satu sama lain juga muncul di dalam siri animenya di antara diclonius dan manusia. Kedua-dua spesies ini merasakan bahawa mereka perlu mengembangkan dunia dengan spesies mereka sendiri dan menghancurkan spesies masing-masing. Kanbe mengaitkan ini dengan keinginan manusia untuk menghalau diri masing-masing keluar, justeru mengasingkan diri sendiri daripada kedua-dua belah pihak.[6]

Sepanjang siri ini berlalu, terdapat adegan-adegan bogel, penggunaan darah dan keganasan, kekejaman grafik yang melampau serta kekejaman psikologi. Salah satu daripada motif siri ini yang tersebar luas adalah sifat kemanusiaan yang ditonjolkan oleh golongan diclonius, terutamanya dibandingkan dengan sifat kekejaman manusia biasa. Seorang pengluas telah menjelaskan siri ini sebagai "khas buat sesetengah faktor kecil tentang sifat semula jadi manusia yang kejam dan kurang prihatin".[7] Sepanjang siri ini terdapat beberapa kejadian yang memperlihatkan sifat sadis manusia, penderaan biasa, eksperimen-eksperiman tidak berperikemanusiaan dan pembunuhan tanpa peka.

 
Lukisan pada pembukaan Elfen Lied adalah merupakan penghormatan kepada karya-karya lukisan Gustav Klimt seperti The Kiss.

Berbeza daripada mana-mana judul anime lain yang dapat diletakkan dalam salah satu sub-kategori, Elfen Lied tidak dapat dikategorikan dalam mana-mana genre tertentu, kerana ia mengandungi elemen-elemen seram, komedi, drama, cinta, aksi, fiksyen sains serta suspen. Majoriti episod-episodnya mengandungi kekejaman grafik dan kematian mengerikan. Terdapat juga adegan-adegan yang menonjolkan tubuh badan wanita dan bahan-bahan tematik seperti adegan merogol kanak-kanak dan penderaan. Siri ini juga kadang-kala menggunakan bahasa kasar; perkataan "fuck" digunakan beberapa kali di dalam pengalihan bahasa Inggerisnya. Jika hendak dibandingkan kepada zaman produksi sirinya, Elfen Lied adalah sangat radikal dan berani dari segi plot dan kandungannya. Siri ini mengaturkan nada serta genre berbeza dan pernah dikomen oleh seorang pengulas sebagai "mencampur-adukkan adegan-adegan keganasan yang melampau dengan kadaran dos ultra-cuteness."[8] Siri ini mengimbangi tema-tema yang lebih gelap bersama-sama sub-plot romantiknya, serta beberapa adegan lucu. Elfen Lied telah digambarkan serupa kepada, atau meminjam elemen-elemen daripada Chobits, 3x3 Eyes[9] dan Gunslinger Girl.[8]

Rujukan kebudayaan sunting

Adegan pembuka dan penutup siri ini mempamerkan lukisan artistik yang merupakan rujukan kepada gaya lukisan pelukis Gustav Klimt, meniru gaya postur, warna, serta corak lukisannya.[9] Lagu Jerman berjudul Elfenlied ("Lagu Orang Bunian") pula, yang juga merupakan inpirasi nama kepada siri ini, telah muncul di dalam siri manga Elfen Lied[10] dan penghargaan diberikan kepada komposer bernama Hugo Wolf. Sebuah puisi oleh Eduard Mörike merupakan sumber ciptaan versi Hugo Wolf. Lagu tersebut tidak muncul di dalam versi anime kerana ia diajar kepada Nyu oleh seorang watak yang hanya muncul di dalam manga Elfen Lied, iaitu Nozomi. Setiap tajuk episod dalam Elfen Lied mempunyai dua tajuk dalam bahasa Jerman.

Penerbitan sunting

Apabila kerja-kerja dalam mengadaptasi siri manga Elfen Lied sebagai sebuah siri anime sedang berlangsung, pengarahnya, Mamoru Kanbe, telah dicadangkan bekerja untuk siri ini oleh komposer siri tersebut iaitu Takao Yoshioka. Takao percaya bahawa gaya dan kandungan lukisan moe Kanbe adalah ideal sekali untuk mengadaptasi siri manga siri Elfen Lied yang, pada waktu itu, masih diterbitkan. Kanbe sendiri berasa teragak-agak untuk menyertai, namun mula berminat setelah membaca manganya.

Meskipun siri manga Elfen Lied mengandungi 107 buah bab. Kanbe dan kumpulan penerbitan terpaksa memampatkan lagi plot siri itu kepada tiga belas buah episod, meskipun mereka berasa kurang puas hati kerana beberapa pendedahan plot terperinci yang penting tidak dapat dicipta dan mereka berasa ini akan mengurangkan tahap emosi kisahnya.[11]

Kanbe asalnya menganggap bahawa "ini merupakan kisah cinta, dan saya boleh mereka sebuah cerita sedih untuk para penonton."[12] Justeru, dia telah melakukan beberapa percubaan di dalam siri tersebut untuk memberi kontras kepada luahan emosi, memberi komennya bahawa dia dapat menimbulkan perasaan ini menerusi visual yang ganas sepanjang sirinya berlangsung. Kumpulan penerbitan awalnya berasa agak terpegun dengan pilihan Okamoto memilih Kamaura sebagai latar belakang siri tersebut; namun, selepas beberapa kali menziarahi lokasi tersebut, Kanbe berpendapat bahawa tempatnya adalah cukup ideal untuk drama yang mengharukan, seperti Elfen Lied, di mana keindahan kawasan geografinya serta keamanan di sekeliling menjadikannya lokasi yang sesuai untuk latar yang mengerikan, tetapi mempunyai maksud yang dalam.[13] Ini dapat dilihat dalam beberapa contih, misalnya di puncak anak tangga yang bertentangan dengan persisiran pantai, di mana berlakunya banyak interaksi di antara watak-watak di dalam siri ini. Ini digunakan sebagai suatu alat yang penting dalam luahan idea-idea memori dan hubungan emosi, seperti sifat kontras di antara perbualan Kohta dan Lucy semasa mereka berusia sepuluh tahun berbanding dengan perbualan mereka dalam episod yang terakhir.

Media sunting

Manga sunting

Hasil karya Lynn Okamoto, Elfen Lied dijual di Jepun melalui majalah Weekly Young Jump pada Jun 2002. Beberapa bab baru mula muncul di dalam majalah tersebut sehingga Ogos 2005, di mana bab terakhir telah diterbitkan.[14] Siri ini yang mempunyai sejumlah 107 buah bab telah juga diterbitkan di dalam dua belas buah jilid-jilid berkumpul oleh Shueisha daripada Oktober 2002 hinggalah November 2005.

Anime sunting

Siri televisyen Elfen Lied, diarah oleh Mamoru Kanbe, animasi oleh ARMS dan diterbitkan oleh GENCO dan VAP, telah berlangsung dalam 13 buah episod dan telah menceritakan lebih kurang 60 daripada 107 buah bab daripada manga asalnya. Episod satu hingga episod sebelas siri anime Elfen Lied telah mengikut rentak sambungan penceritaan manganya untuk jilid satu hingga enam, dengan menerapkan kejadian-kejadian penting dalam media asalnya itu. Dua episod TV yang terakhir telah menerapkan jalan cerita yang berbeza daripada manga Elfen Lied yang meyambung kisahnya dengan lebih mendalam, mencipta babak penamat dalam kisahnya. Pencipta dan pelukis manga tersebut, iaitu Lynn Okamoto, telah melakukan kemunculan kameo sebagai tetamu khas dalam episod dua belas.

Elfen Lied mula-mula disiarkan menerusi saluran AT-X Satellite TV Tokyo daripada 25 Julai 2004 hingga 17 Oktober 2004 dan disiarkan semula pada tahun 2005. Siri animenya telah dilesenkan oleh ADV Films di Amerika Syarikat pada tahun 2004 dan dikeluarkan pada DVD pada tahun 2005. Sebuah episod animasi video asal selama dua puluh empat minit juga telah dikeluarkan oleh VAP pada 21 April 2005. Episod ini mengambil masa di antara episod kesepuluh dan kesebelas daripada siri TV asalnya, justeru ia seringkali dirujuk sebagai episod 10.5, OVA khas, juga sebagai episod empat belas. Episod khas tersebut tidak menggerakkan kisahnya, sealiknya memberi jawapan kepada soalan-soalan yang tidak diselesaikan dalam episod-episod sebelumnya. Sewaktu konvensi Anime Boston 2006[15] (26-28 Mei), ADV Films telah mendapat hak pengedaran untuk keluaran episod OVA di Amerika Syarikat. Namun, episod OVA tersebut tidak pernah dikeluarkan di televisyen dan tidak pernah disertakan di dalam set kotak yang dikeluarkan oleh ADV Films.

Siri ini disiarkan di United Kingdom menerusi Propeller TV (Sky Digital), iaitu sebahagian daripada persediaan singkat Anime Network di UK. Siri tersebut disiarkan tanpa sebarang suntingan kecuali dalam salah satu babak imbasan kembali Mayu dalam episod lima, di mana ia berkaitan dengan penderaan seksual kanak-kanak di tangan seorang bapa angkat. Meskipun siri anime Elfen Lied belum lagi muncul di televisyen AS selain daripada saluran "On Demand" Anime Network, set kotak DVD siri tersebut telah mengesahkan bahawa kadaran yang diberikan adalah TV-MAVSL; kadaran di Kanada pula ialah 18A. Episod OVA Elfen Lied tidak disertakan bersama-sama set kotak yang dipasarkan pada bulan November, 2006.

Di paparan mesej pada laman rasmi Adult Swim, pengarah pengaturcara Adult Swim iaitu Kim Manning mendedahkan bahawa Adult Swim mungkin dapat menyiarkan siri tersebut, disebabkan dirinya juga merupakan peminat setia yang telah menonton seluruh siri Elfen Lied sekaligus. Akan tetapi, lembaga penapis telah mendedahlan bahawa siri tersebut terpaksa disunting dengan dahsyat sekali ("it would have been cut to shreds") untuk diberikan kebenaran untuk disiarkan sehinggakan ia tidak mungkin dapat difahami, justeru sirinya mungkin sekali tidak dapat ditonton pada saluran tersebut di masa yang akan datang.[16]

Sambutan sunting

Siri anime Elfen Lied telah menerima pujian dari segi plot dan persembahan teknikal yang terpuji dalam kualiti, animasi serta warna dan lakaran penerbitannya.[9][17][18][19] Disebabkan babak-babak yang mengandungi unsur-unsur bogel serta keganasan, kritikan diberikan sebagai "terlalu jelas"[20] atau "sedih dan dipaksa"[21] Dalam tujuh minit pertama daripada mulanya siaran episod pertama siri tersebut telah menyekat segelintir penonton daripada menyaksikannya dan mencipta kontroversi terhadap keluarannya. Episod satu hingga episod empat secara meluasnya, dipenuhi dengan kekejaman dan aksi-aksi ngeri, dan fanservice, seringkali melibatkan darah dan sindiran-sindiran terhadap jantina.[perlu rujukan]

Siri ini telah menarik kritikan terhadap lakonan pengalihan suara, dalam kedua-dua versi iaitu versi Jepun dan Inggeris.[17] Kritikan lain pula mengatakan bahawa siri ini tamat secara tiba-tiba tanpa memberi sebarang pembayang mahupun penyelesaian terhadap ceritanya, yang mungkin mengakibatkan para penonton kurang berpuas hati.[22] Meskipun mempunyai kritikan negatif, para pengkritik Barat juga telah menjelaskan siri ini sebagai "sesuatu yang asli dan memuaskan",[20] "sebuah siri ngeri dengan merit yang luar biasa",[22] "semestinya tak akan dilupakan"[9] dan "sebuah kisah yang istimewa, yang baik dan buruk masing-masing diambil kira".[7]

Rujukan sunting

  1. ^ "Belakang pentas - Laman rasmi Elfen Lied" (dalam bahasa Bahasa Jepun).CS1 maint: unrecognized language (link)
  2. ^ Solomon, Charles (17 Julai 2005). "Mean Girls". New York Times. Check date values in: |date= (bantuan)
  3. ^ "Great Reason To Give Thanks With Nine New Releases November 15th" (Siaran akhbar). ADV Films. 28 September 2005. Diarkibkan daripada yang asal pada 2007-03-28. Dicapai pada 2008-05-21. Check date values in: |date= (bantuan)
  4. ^ Elfen Lied Ep. 1: Yuka menegur Kohta dan kemudiannya berkata "Yuka desu... Itoko no..."「ユカです…従姉妹の…」, yang boleh diterjemah secara kasar seperti berikut; "Saya Yuka. Sepupu awak."
  5. ^ Hubungan Yuka dengan Kohta mungkin dianggap "haram" dikalangan penonton Amerika, namun hubungan di antara sepupu dengan sepupu adalah tidak dibangkitkan sebagai isu skandal di Jepun dan merupakan topik yang seringkali dilihat dalam anime. Sila lihat: (Inggeris) Mengapakah hubungan cinta di antara sepupu adalah biasa di dalam anime? Diarkibkan 2008-06-04 di Wayback Machine
  6. ^ "Belakang pentas - Laman web rasmi Elfen Lied" (dalam bahasa Japanese). Dicapai pada 2007-12-01.CS1 maint: unrecognized language (link)
  7. ^ a b Høgset, Stig. "Elfen Lied review". THEM Anime Reviews 4.0. Dicapai pada 2006-08-21.
  8. ^ a b Dong, Bamboo (29 Jun, 2005). "Shelf Life - Sound of Bounce on Free Throw". Anime News Network. Dicapai pada 2007-01-18. Check date values in: |date= (bantuan)
  9. ^ a b c d Robinson, Tasha (August 8, 2005). "Elfen Lied". Sci Fi Weekly. Dicapai pada 2007-01-18. Text "Anime Reviews" ignored (bantuan); Check date values in: |date= (bantuan)
  10. ^ Okamoto, Lynn. Elfen Lied Volume 5 (dalam bahasa Jepun). Shueisha. m/s. 154. ISBN 4-08-876477-3. Cite has empty unknown parameter: |coauthors= (bantuan)
  11. ^ Temu ramah ekslklusif bersama-sama Mamoru Kanbe, DVD Extra - Elfen Lied DVD 1 (Vector One). Dikeluarkan oleh Madman Entertainment dan ADV Films.
  12. ^ Temu ramah eksklusif bersama-sama Mamoru Kanbe, DVD Extra - Elfen Lied DVD 1 (Vector One). Dikeluarkan oleh Madman Entertainment dan ADV Films.
  13. ^ "Production Note, Official Elfen Lied website" (dalam bahasa bahasa Jepun). VAP. Dicapai pada 2008-03-20.CS1 maint: unrecognized language (link)
  14. ^ "Elfen Lied (manga)". Anime News Network. Dicapai pada 2008-05-28.
  15. ^ "Anime Boston 2006 - A.D. Vision". Anime News Network. Dicapai pada 2006-06-05.
  16. ^ "Re: What kind of anime do you complainers want?". Adult Swim. April 27 2006). Diarkibkan daripada yang asal pada 2009-07-19. Dicapai pada 2007-09-23. Check date values in: |date= (bantuan)
  17. ^ a b Martin, Theron (16 Mei, 2005). "Elfen Lied DVD 1 Review". Anime News Network. Dicapai pada 2006-04-19. Check date values in: |date= (bantuan)
  18. ^ Martin, Theron (22 Julai, 2005). "Elfen Lied DVD 2 Review". Anime News Network. Dicapai pada 2007-01-18. Check date values in: |date= (bantuan)
  19. ^ Pierce, Travis (27 Mei, 2005). "Elfen Lied Review". Gamerz-Edge. Diarkibkan daripada yang asal pada 2006-12-15. Dicapai pada 2007-01-18. Check date values in: |date= (bantuan)
  20. ^ a b Laeno, Dominic. "Elfen Lied review - Second opinion". THEM Anime Reviews 4.0. Dicapai pada 2007-01-18.
  21. ^ "Negative First Impression Theater: Elfen Lied". Iron Circus. 12 Februari, 2005. Diarkibkan daripada yang asal pada 2011-07-18. Dicapai pada 2007-01-22. Check date values in: |date= (bantuan)
  22. ^ a b Martin, Theron (November 28 2005). "Elfen Lied DVD 4 Review". Anime News Network. Dicapai pada 2006-04-19. Check date values in: |date= (bantuan)

Pautan luar sunting