Empangan Hidro yang pertama dan tertua di Malaysia

Empangan Hidro yang pertama dibina di Malaysia ialah Empangan Hidro Sungai Sempam di Raub, Pahang. Ia telah dibina pada tahun 1900 oleh Raub Australian Gold Mining Co. Limited atau Syarikat Perlombongan Emas Australia Raub Bhd. bagi operasi perlombongan emas di Bukit Koman. Namun demikian, empangan ini tidak boleh dikira sebagai empangan hidro pertama bagi bekalan tenaga elektrik di negara Malaysia kerana ia dibina oleh syarikat perlombongan bagi kegunaan operasinya sendiri.

Maka itu, empangan hidroelektrik yang pertama di Malaysia ialah Empangan Hidro Tasik Chenderoh yang terletak 21 km ke utara bandar Kuala Kangsar. Kerja-kerja pembinaan empangan ini telah bermula pada tahun 1927, dan siap pada tahun 1930. Empangan ini menjadikan empangan yang terbesar di Asia Tenggara ketika itu. Pada tahun 1940, Stesen Elektrik Hidro Chenderoh membekalkan elektrik kepada 35 buah bandar dan tempat di Perak.

Stesen Elektrik Hidro Chenderoh masih beroperasi sehingga kini, menjadikannya yang tertua di Malaysia.