Eric Arthur Blair atau lebih dikenali dengan nama pena George Orwell (25 Jun 1903[1][2] – 21 Januari 1950) ialah seorang penulis novel, wartawan, pengkritik, serta pengulas politik dan budaya dari England, United Kingdom. Beliau juga merupakan salah satu penulis esei bahasa Inggeris yang dikagumi ramai pada abad ke-20. Beliau ternama kerana dua buah novel yang ditulis dan diterbitkan pada hujung hayatnya: Animal Farm dan Nineteen Eighty-Four.

George Orwell
Gambar pengenalan kerja wartawannya
Gambar pengenalan kerja wartawannya
LahirEric Arthur Blair
(1903-06-25)25 Jun 1903
Motihari, Bihar, India British
(kini Champaran Timur, Bihar, India)
Meninggal dunia21 Januari 1950(1950-01-21) (umur 46)
University College Hospital, London, England, United Kingdom
Tempat pengebumianSutton Courtenay, Oxfordshire, England, United Kingdom
PekerjaanPenulis novel dan karangan, wartawan dan pengulas sastera
Alma materKolej Eton
GenreDistopia, roman à clef, satira
SubjekAnti-fasisme, anti-Stalinisme, sosialisme demokratik, kritikan sastera, kewartawanan, polemik
Tahun aktif1928–1950
Karya terkenalAnimal Farm
Nineteen Eighty-Four
Homage to Catalonia
Down and Out in Paris and London
The Road to Wigan Pier
PasanganEileen O'Shaughnessy (k. 2024; m. 1945)
Sonia Brownell (k. 1949)
Tandatangan
Eric Blair ("George Orwell")

Kehidupan awal sunting

Blair dilahirkan kepada sebuah keluarga Inggeris-India di Motihari, Bihar, India, sewaktu India ditaklukkan oleh Empayar British di bawah Raj British. Ayahnya, Richard Walmesley Blair, bekerja di jabatan candu untuk Perkhidmatan Awam British. Ibunya, Ida Mabel Blair, membawanya ke Britain ketika beliau berumur satu tahun. Blair tidak nampak ayahnya lagi sehingga 1907 apabila Richard melawat England selama tiga bulan sebelum kembali semula ke India. Eric mempunyai seorang kakak yang bernama Marjorie, serta seorang adik perempuan yang bernama Avril. Blair memerikan latar belakang keluarganya sebagai "kelas pertengahan atasan rendah".

Pendidikan sunting

Ketika berumur lima tahun, Blair dihantar ke sebuah sekolah kariah Gereja England di Henley-on-Thames yang pernah dihadiri oleh kakaknya. Beliau tidak pernah menulis tentang kenangannya di sekolah ini, tetapi guru-gurunya pasti tertarik kepadanya kerana dua tahun kemudian, beliau diperakukan kepada seorang guru besar di sebuah sekolah persediaan yang termasyhur di England: Sekolah St Cyprian di Eastbourne, Sussex. Blair menyertai St Cyprian melalui biasiswa yang membenarkan ibu bapanya membayar hanya setengah daripada yuran yang biasa. Banyak tahun kemudian, beliau mengenang-ngenangkan masanya di St Cyprian dengan rasa marah dan kecewa dalam eseinya "Itu, Itulah Kegembiraannya" ("Such, Such Were the Joys"). Bagaimanapun, pada masanya di St. Cyprian, Blair berjaya mendapat biasiswa-biasiswa untuk menyertai kedua-dua Kolej Wellington dan Kolej Eton.

Selepas setahun di Kolej Wellington, Blair berpindah ke Eton dan menjadi "Pemegang Biasiswa Raja" {King's Scholar) dari 1917 sehingga 1921. Blair kemudian menulis bahawa beliau "agak gembira" di Eton kerana kolej itu memberikan pelajarnya banyak kebebasan, tetapi beliau tidak lagi sungguh-sungguh belajar selepas ketibaannya di sana. Laporan-laporan tentang prestasi akademiknya di Eton berbeza-beza; sesetengah laporan menyatakan bahawa Blair merupakan penuntut yang lemah, manakala laporan-laporan yang lain memberi penilaian yang bertentangan. Beliau jelas tidak disukai oleh sesetengah guru yang berasa geram terhadap apa yang dianggap mereka sebagai sikap tidak hormat terhadap pihak berkuasa. Pada masa di sekolah, Blair menjalin persahabatan seumur hidup dengan sebilangan bakal cendekiawan British, termasuk Cyril Connolly, bakal penyunting kepada majalah Horizon. Banyak daripada esei-esei Blair yang paling terkenal diterbitkan buat pertama kali dalam majalah tersebut.

Burma dan novel-novel awal sunting

Selepas Blair tamat pendidikannya di Eton, keluarganya tidak mampu menanggungnya ke universiti. Dengan ketiadaan sebarang prospek untuk mendapat biasiswa, beliau menyertai Polis Empayar India di Burma pada tahun 1922. Blair semakin benci akan imperialisme dan apabila beliau pulang ke England untuk bercuti pada tahun 1927, beliau memutuskan untuk meletakkan jawatannya supaya menjadi seorang penulis. Blair kemudian mempergunakan pengalaman-pengalamannya di Burma untuk menulis novel Masa di Burma (Burmese Days) (1934) dan esei-esei seperti "Satu Penggantungan" ("A Hanging") (1931), dan "Menembak Seekor Gajah" ("Shooting an Elephant") (1936).

Pada tahun 1928, Blair berpindah ke Paris yang merupakan tempat kediaman mak ciknya kerana berharap mencari rezeki sebagai seorang penulis bebas. Bagaimanapun, kegagalannya dalam usaha ini memaksanya membuat kerja-kerja kasar. Beliau kemudian menceritakan peristiwa-peristiwa itu dalam buku sulungnya, Kegagalan di Paris dan London ("Down and Out in Paris and London") (1933), walaupun tidak terdapat sebarang tanda bahawa beliau berhasrat menulis buku ini ketika itu.

Sakit dan pokai, Blair berpindah semula ke England pada tahun 1929, dan menggunakan rumah ibu bapanya di Southwold, Suffolk sebagai pusat kegiatannya. Semasa menulis Masa di Burma, beliau sering menyelidiki kutu rayau sebagai sebahagian daripada apa yang kini menjadi sebuah projek buku mengenai penghidupan orang-orang yang termiskin dalam masyarakat. Sementara itu, beliau menjadi penyumbang tetap kepada majalah Aldelphi Baru yang dimiliki oleh John Middleton Murry.

Blair menyiapkan novel Kegagalan di Paris dan London pada tahun 1932 dan menerbitkan buku itu pada awal tahun berikutnya sementara bekerja sebagai guru di sebuah sekolah swasta di Hayes, Middlesex. Blair menggunakan nama pena "George Orwell" sebelum Kegagalan di Paris dan London diterbitkan. Tidaklah diketahui mengapa Blair memilih nama pena ini, tetapi beliau memang mengetahui dan suka akan Sungai Orwell di Suffolk serta mendapati bahawa kesederhanaan nama pertama "George" agak menarik. Beliau menolak tiga nama pena lain yang mungkin: Kenneth Miles, H Lewis Allways, dan PS Burton.

Blair menggunakan pengalamannya sebagai guru serta kehidupannya di Soutwold untuk novel Seorang Anak Perempuan Paderi ("A Clergyman's Daughter") (1935), yang dikarangnya di rumah ibu bapa pada tahun 1934 selepas keadaan tidak sihat memaksanya meletakkan jawatannya sebagai guru. Dari akhir tahun 1934 sehingga awal tahun 1936, Blair bekerja sebagai pembantu sambilan di sebuah kedai buku terpakai di Hampstead. Pengalamannya di situ digunakan dalam novel "Mengekalkan Pokok Aspidistra ("Keep the Aspidistra Flying) (1936).

Jalan ke Tambangan Wigan (The Road to Wigan Pier) sunting

Pada awal 1936, Blair ditempah oleh Victor Gollancz dari Kelab Buku Sayap Kiri untuk mengarang penghidupan kelas pekerja di kawasan-kawasan sesak England utara. Buku itu diterbitkan pada 1937 sebagai Jalan ke Tambangan Wigan (The Road to Wigan Pier). Separuh pertama buku itu merupakan dokumentari sosial tentang kunjungan-kunjungan penyelidikannya di Lancashire dan Yorkshire yang bermula dengan penggambaran kerja di lombong batu arang. Separuh kedua buku itu adalah sebuah esei panjang yang menceritakan asuhan peribadi serta perkembangan suara hati politiknya. Esei itu terlalu mengutuk apa yang dilihatnya sebagai unsur-unsur sayap kiri yang tidak bertanggungjawab. Gollancz bimbang bahawa separuh kedua itu akan menyinggung perasaan para pembaca Kelab Buku Sayap Kiri, dan memasukkan prakata pujukan ke dalam buku ini semasa Orwell di Sepanyol.

Selepas menyiapkan penyelidikannya untuk buku itu, Blair berkahwin dengan Eileen O'Shaughnessy.

Perang Saudara Sepanyol dan Penghormatan kepada Catalonia sunting

Pada Disember 1936, Blair ke Sepanyol untuk menyertai pihak Republikan dalam Perang Saudara Sepanyol yang menentang pemberontakan Nasionalis Francisco Franco. Walaupun beliau ke Sepanyol hanya diiringi oleh isterinya, beliau menjadi sebahagian kontinjen Parti Buruh Bebas (ILP: Independent Labour Party), sekumpulan 25 orang British yang menyertai tentera awam militia "Parti Pekerja Penyatuan Marxis" (POUM), sebuah parti sosialis revolusi yang merupakan sekutu ILP. POUM, bersama-sama dengan sayap radikal CNT (kuasa utama sayap kiri di Catalonia) yang menyokong anarkisme, mempercayai bahawa Franco hanya dapat ditewaskan jika kelas pekerja di Republik itu dapat menggulingkan kapitalisme — satu pendirian yang bertentangan dengan Parti Komunis Sepanyol dan sekutunya yang (dengan senjata dan bantuan Soviet) menyokong sebuah parti campuran dengan parti-parti borjuis untuk menewaskan pihak Nasionalis. Pada bulan-bulan selepas Julai 1936, terdapat revolusi sosial yang besar di Catalonia, Aragon dan kubu-kubu CNT. Blair memberi pemerian yang bersimpati terhadap semangat egalitarian Barcelona revolusi ketika beliau tiba di sana dalam karyanya, Penghormatan kepada Catalonia.

Blair mengaku bahawa beliau menyertai POUM, dan bukannya Briged Antarabangsa komunis, secara kebetulan — tetapi pengalamannya, khususnya ketika beliau nyaris-nyaris nahas semasa penumpasan POUM oleh pihak komunis pada Jun 1937, menyebabkannya bersimpati dengan POUM serta menjadikan seorang penyokong anti-Stalinisme seumur hidup.

Semasa perkhidmatan tenteranya, Blair ditembak pada lehernya dan hampir gugur. Beliau menulis dalam karyanya, Penghormatan kepada Catalonia, bahawa banyak orang berkata bahawa beliau bernasib baik kerana terselamat, tetapi beliau berpendapat bahawa "nasibku akan lebih baik jika aku tidak kena tembak sama sekali".

Perang Dunia II dan Ladang Binatang sunting

Selepas kepulangannya ke Britain, Blair menyara dirinya sendiri melalui penulisan ulasan bebas, khususnya untuk Mingguan New English (sehingga beliau berpisah kerana tidak bersetuju dengan pasifisme mingguan itu pada 1940) dan kemudiannya untuk Time and Tide. Beliau menyertai Pengawal Tanah Air British (British Home Guard) tidak lama selepas peperangan bermula (dan kemudiannya dianugerahi dengan "Bintang Pertahanan Kempen British".

Pada tahun 1941, Blair bertugas untuk Perkhidmatan Timur BBC. Kebanyakan daripada kerjanya terdiri daripada membuat rancangan untuk memperoleh sokongan India dan Asia Timur untuk usaha perang Britain. Blair sedar bahawa beliau tengah membentukkan propaganda, dan menulis bahawa beliau berasa seolah-oleh "sebuah limau yang dipijak oleh but yang amat kotor". Oleh sebab perkhidmatannya adalah di bawah Kementerian Maklumat yang berasas di Rumah Senat (Universiti London), beliau sebenarnya bertugas untuk kedua-dua jabatan — institusi itu serta bangunannya menjadi ilham untuk Kementerian Kebenaran dalam novel "Sembilan Belas Lapan Puluh Empat".

Walaupun gajinya baik, Blair meletak jawatan pada 1943 untuk menjadi penyunting sastera bagi majalah Tribune yang merupakan mingguan sayap kiri. Blair bertugas di sana sehingga awal 1945, dan menyumbang ruang tetap bertajuk "Mengikut Kesukaan Saya" ("As I Please").

Pada 1944, selepas berpindah sementara waktu dari rumah pangsa Londonnya yang telah dibom ke Greystone, sebuah desa berdekatan Carlton, Stockton-on-Tees, Blair menghabiskan alegori anti-Stalinis yang bertajuk Ladang Binatang. Novel itu diterbit pada tahun yang berikut dan menerima sambutan yang amat baik. Royalti daripada Ladang Binatang memberikan Blair pendapatan yang cukup selesa buat kali yang pertama dalam kehidupan dewasanya.

Sewaktu Ladang Binatang masih dicetak, Blair meninggal Tribune untuk menjadi koresponden Observer. Beliau adalah sahabat rapat kepada David Astor, pemilik serta penyunting Observer, dan gagasan-gagasannya mempunyai pengaruh yang sungguh kuat kepada dasar-dasar lidah pengarang Astor. (Astor, yang mati pada 2001, dikebumikan di sebelah makam Blair.) Bagaimanapun, beliau cuma bertugas dengan Observer untuk suatu tempoh yang singkat.

Laluan ke Sembilan Belas Lapan Puluh Empat sunting

Blair pulang dari Eropah pada musim bunga 1945, tidak lama selepas isterinya mati sewaktu pembedahan. (Mereka baru-baru mengambil Richard Horatio Blair, seorang bayi lelaki yang dilahirkan pada Mei 1944, sebagai anak angkat.)

Untuk tiga tahun yang berikutan, Blair mencampurkan kerja wartawan — khususnya untuk Tribune, Observer dan Manchester Evening News, walaupun beliau juga menyumbang kepada banyak majalah politik dan sastera yang kecil — dengan penulisan karyanya yang termashyur, Sembilan Belas Lapan Puluh Empat, yang diterbitkan pada 1949. Beliau mengarang kebanyakan daripada novel itu di sebuah rumah ladang yang terpencil di pulau Jura, berhampiran dengan pantai Scotland. Blair berpindah ke sana pada tahun 1946, walaupun kesihatannya semakin merosot.

Pada 1949, Blair ditemui oleh seorang kawan, Celia Kirwan, yang baru sahaja bertugas untuk Jabatan Penyelidikan Maklumat (IRD), sebuah unit Pejabat Luar Negeri yang ditubuhkan oleh kerajaan Parti Buruh untuk menerbitkan propaganda pro-demokrasi dan anti-komunis. Blair memberikan kepada Celia sebuah senarai yang terdiri daripada 37 penulis dan artis yang dianggapnya tidak sesuai untuk menjadi pengarang IRD kerana kecenderungan mereka yang pro-komunis. Senarai itu yang tidak pernah diterbitkan sehingga 2003, bukan sahaja mengandungi nama wartawan (termasuknya Kingsley Martin, penyunting untuk New Statesman) tetapi juga mengandungi nama pelakon Michael Redgrave dan Charlie Chaplin. Senarai Blair amat tepat: kesemua orang dalam senarai itu pernah membuat pengumuman awam yang pro-Soviet ataupun pro-komunis. Bagaimanapun, niat Blair untuk memberikan senarai itu tidak jelas, tetapi alasan yang paling mudah ialah kerana beliau cuma hendak membantu seorang kawan dalam perjuangan anti-Stalinisme yang kedua-dua mereka mendukung. Tiadanya tanda-tanda bahawa Blair pernah meninggalkan sosialisme demokrasi yang dipromosi dengan tekad dalam penulisan-penulisannya yang akhir.

Pada Oktober 1959, tidak lama sebelum beliau mati, Blair berkahwin dengan Sonia Brownell, seorang wanita yang cantik. Blair mati di London pada umur 46 disebabkan batuk kering yang mungkin dihidapinya pada tempoh yang diceritakan dalam "Kegagalan di Paris dan London. Beliau berulang alik dari sebuah hospital ke sebuah hospital pada tiga tahun terakhirnya. Setelah memintai pengebumian mengikut adat resam Gereja England, Blair dikebumikan di kawasan gereja All Saints, Sutton Courtenay, Oxfordshire dengan epitafi yang mudah: Di sini terbujur Eric Arthur Blair, lahir 25 Jun 1903, mati 21 Januari 1950.

Anak angkat, Richard Horatio Blair, dibesarkan oleh seorang mak saudara selepas kematian Blair. Richard memeliharakan profil awam yang rendah, walaupun dia kekadang memberi temu bual mengenai ingatan ayahandanya. Dia bertugas sebagai agen pertanian untuk kerajaan British selama banyak tahun, tetapi tiada minat terhadap penulisan.

Pandangan politik sunting

Pandangan politik Blair bertukar semakin beliau bertambah tua. Bagaimanapun, beliau tetap cenderung ke kiri sepanjang hayatnya sebagai penulis. Masanya di Burma menjadikannya seorang pembangkang imperialisme yang kuat, dan penglibatannya dengan kemiskinan sewaktu menyelidiki untuk Kegagalan di Paris dan London serta Jalan ke Tambangan Wigan menjadikannya seorang sosialis. "Setiap baris karya serius yang saya menulis sejak 1936 telah ditulis, secara langsung atau tidak, untuk menentang totalitarianisme dan untuk menyokong Sosialisme demokratik, sebagaimana yang saya memahami," beliau menulis pada 1946.

Bagaimanapun, Sepanyol adalah yang bermain peranan yang terutama dalam pentakrifan sosialismenya. Setelah menyaksikan penumpasan sayap kiri revolusi oleh pihak Komunis, Blair berpulang dari Catalonia sebagai seorang anti-Stalinis yang kuat dan kemudian menyertai Parti Buruh Bebas (ILP).

Sebagaimana dengan kebanyakan ahli sayap kiri di Britain pada waktu itu, Blair masih menentangkan persenjataan semula Jerman Hitler — tetapi selepas pakatan Molotov-Ribbentrop dan pencetusan Perang Dunia II, beliau mengubah fikirannya. Blair meninggalkan ILP disebabkan oleh pasifisme mereka dan mengamalkan "kesetianegaraan revolusi". Beliau menyokong usaha perang tetapi salah menganggapi bahawa suasana pada waktu itu akan menuju ke pergerakan sosialisme revolusi di kalangan orang British. "Kami berada dalam satu tempoh yang pelik dalam sejarah yang mana seorang ahli revolusi harus menjadi setia negarawan dan seorang setia negarawan harus menjadi ahli revolusi," beliau menulis dalam Tribute yang merupakan mingguan sayap kiri Parti Buruh pada Disember 1940.

Menjelang 1943, fikirannya telah bertukar. Blair menjadi penyunting sastera Tribute, dan dari masa itu sehingga kematiannya, beliau merupakan penyokong sosialisme demokratik sayap kiri (walaupun beliau tidak ortodoks). Beliau melobi untuk Parti Buruh dalam pilihan raya umum 1945 dan, secara umumnya, menyokong tindakannya sebagai kerajaan. Bagaimanapun, Blair amat kritis terhadap perasaan takut Parti Buruh tentang berbagai persoalan utama serta dengan pendirian ramai ahli sayap kiri Parti Buruh yang pro-Soviet.

Walaupun Blair tidak pernah menjadi Trotskyis ataupun penganut faham anarki, beliau amat dipengaruhi oleh kritik-kritik mereka terhadap rejim Soviet dan oleh penekanan penganut faham anarki terhadap kebebasan. Ini merupakan kebenaran utama mengenai Blair. Ramai daripada sahabat yang rapatnya adalah penganut faham anarki yang merupakan segolongan kecil di London.

Pada tahun-tahun akhirnya, Blair membangkang penubuhan negara Israel dengan amat hebat, berbeza ramai rakan-rakannya di Tribune. Beliau juga merupakan penyokong awal untuk Persekutan Eropah.

Pusaka sunting

Hasil karya sunting

Untuk kebanyakan tempoh kerjayanya, Blair termasyhur kerana kewartawanannya dalam esei, ulasan, dan ruang surat khabar dan majalah serta dalam buku pelaporannya: Kegagalan di Paris dan London (yang memerikan kemiskinan di kedua-dua bandar raya itu), Jalan ke Tambangan Wigan (yang memerikan keadaan hidup pelombong miskin di England utara) dan Penghormatan kepada Catalonia (yang memerikan pengalamannya sewaktu Perang Saudara Sepanyol). Menurut Newsweek, Blair merupakan arkitek esei bahasa Inggeris yang terbaik dan terpenting sejak Hazlitt."

Pada hari ini, Blair lebih diperkenalkan kepada pembaca sebagai penulis novel, khususnya melalui Ladang Binatang dan Sembilan Belas Lapan Puluh Empat yang amat berjaya. Ladang Binatang merupakan alegori untuk pencemaran idaman sosialis Revolusi Rusia oleh Stalinisme, manakala Sembilan Belas Lapan Puluh Empat merupakan wawasan berupa ramalan tentang akibat totalitarianisme.

Pengaruh terhadap bahasa Inggeris sunting

Sembilan Belas Lapan Puluh Empat telah memberikan bahasa Inggeris sepatah rangkai kata 'Abang Besar' ('Big Brother'), atau 'Abang besar sedang mengawasi anda' ('Big Brother is watching you'). Rangkai kata ini digunakan untuk merujuk kepada rejim yang bersifat menindas, khususnya dalam konteks gangguan privasi.

Kata sifat Orwellian datangnya daripada sistem yang digambarkan dalam Sembilan Belas Lapan Puluh Empat. Ia boleh merujuk kepada mana-mana satu bentuk penindasan kerajaan, tetapi ia lebih digunakan untuk merujuk kepada bahasa badan-badan kerajaan yang eufemistis dan yang menipu semata-mata untuk tujuan politik, umpamanya 'tembakan yang peramah ('friendly fire'), 'kerosakan sampingan' ('collateral damage') dan 'pendamaian' ('pacification').

Kelainan cogan kata "semua binatang adalah sama, tetapi sebahagian adalah lebih sama berbanding yang lain", dari Ladang Binatang", kekadang digunakan untuk mempersendakan keadaan di mana kesamaan wujud dalam teori dan retorik sahaja dan bukannya dalam amalannya. Umpamanya, tuduhan bahawa hakim bersikap lebih lembut terhadap orang yang kaya walaupun terdapatnya kesamaan dalam undang-undang boleh diringkaskan sebagai "semua penjenayah adalah sama, tetapi sebahagiannya adalah lebih sama berbanding yang lain".

Walaupun keasalan istilah-istilah itu telah diperdebatkan, Blair mungkin merupakan pengguna pertama untuk istilah 'perang sejuk' ('cold war'). Belia menggunakannya dalam sebuah esei bertajuk "Anda dan Bom Atom" pada 19 Oktober 1945 dalam Tribune seperti berikut:

"Kami mungkin menuju bukannya ke keruntuhan umum, tetapi ke suatu zaman yang serupa stabil dan mengerikan dengan empayar-empayar hamba pada zaman kuno. Teori James Burnham amat diperdebatkan, tetapi tidak ramai orang pernah mempertimbangkan implikasi ideologinya — ini adalah pandangan dunia, kepercayaan, dan struktur sosial yang mungkin diamalkan oleh sebuah kerajaan yang pada suatu masa tidak dapat ditewas dan kini di dalam keadaan 'perang sejuk' yang kekal dengan jiran-jirannya."

Pengaruh kesusasteraan sunting

Blair mendakwa bahawa gaya penulisannya lebih serupa dengan Somerset Maugham. Dalam esei-esei sasteranya, beliau amat memuji karya Jack London, khususnya buku "Jalan" ("The Road"). Penglibatan Blair dalam penghidupan orang miskin di "Jalan ke Tambangan Wigan", amat serupa dengan novel "Orang Dalam Jurang Yang Amat Dalam" oleh Jack London, yang mana pengarang itu menyamar sebagai kelasi Amerika yang miskin untuk menyelidiki penghidupan orang miskin di London.

Dalam esei-esei sasteranya, Blair juga memuji Charles Dickens, Henry Miller (pengarang "Garisan Sartan" ("Tropic of Cancer") dan Herman Melville (pengarang novel Moby Dick. Lagi satu daripada pengarang kesayangannya ialah Jonathan Swift, khususnya novel "Perjalanan Gulliver" (Gulliver's Travels) yang beliau menganggap sebagai salah satu daripada enam buku yang teragung. Novel George Gissing, New Grub Street dengan huraian penumbuhan komersilasi masyarakat pada hujung abad ke-19 merupakan lagi satu daripada pengaruhnya.

Bibliografi sunting

Buku sunting

Esei sunting

Huraian utama: Esei-esei oleh George Orwell

Puisi sunting

Perkara yang remeh-temeh sunting

  • Aldous Huxley adalah guru bahasa Perancis untuk Blairselama satu penggal akademik pada awal kerjayanya di Eton.
  • Isterinya, Eileen, adalah murid J.R.R. Tolkien pada suatu masa.
  • Walaupun Blair diingati kerana penyiaran radionya untuk BBC semasa peperangan, tidak adanya rakaman yang diketahui sehingga 2002. Bahagian filem yang tunggal ialah daripada Blair sendiri dan berkenaan dengan beliau bermain Eton Wall Game di Eton.
  • Orwell had an NKVD file — partly due to his anti-Stalinist Animal Farm.
  • Sebelum memilih nama pena "George Orwell", Blair mempertimbangkan nama samaran "P.S. Burton," "Kenneth Miles," dan "H. Lewis Allways".

Sila lihat juga sunting

  • Nineteen Eighty-Four, pemadanan novel Blair untuk siri televisyen BBC (1954) yang termasyhur.
  • James Burnham, yang menulis buku "Revolusi Pengurusan" ("The Managerial Revolution"). Buku ini merupakan pengaruh utama dalam perkembangan "Sembilan Belas Lapan Puluh Empat".
  • Yevgeny Zamyatin, yang mengarang novel "Kami" ("We"). Novel ini yang diulaskan oleh Balir, membekalkan model untuk "Sembilan Belas Lapan Puluh Empat".

Buku mengenai George Orwell sunting

Pautan luar sunting