Guru disiplin adalah guru yang menjalankan tanggungjawab mendisiplinkan pelajar di sekolah. Secara teori semua guru adalah guru disiplin. Tetapi dalam banyak perkara guru disiplin tidak diberi taklimat dan kursus serta isu perundangan berhubung dengan bidang tugas sebenar.

Guru-guru di Malaysia jeran dengan tugas ini. Guru diingatkan tidak menghukum pelajar dengan tangan seperti lempang, sepak, sepak, cubit, pukul dan lain-lain. Ibu bapa yang dikatakan cendekiawan dan lebih lebih bijak daripada guru mengugut akan membawa guru ke mahkamah dan menuntut pampasan. Laporan doktor dan laporan polis akan dikemukakan sehingga akhirnya guru-guru muda ini dihantar ke pulau atau ke hulu.

Kementerian Pelajaran Malaysia pernah mencadangkan polis ditempatkan di sekolah untuk membendung kes kecurian, pergaduhan, perkauman, buli, merokok, ponteng dan sebagainya. Ada juga yang mencadangkan polis mengawasi kawasan luar sekolah. Kawasan luar sekolah yang menjadi tempat lepak dan ponteng seperti pusat beli-belah, rumah kosong, kawasan semak dan sebagainya bukan dalam bidang tugas sekolah. Malangnya ibu bapa dan masyarakat menyalahkan sekolah kerana tidak mengambil sebarang tindakan.

Perspektif guru sunting

Seseorang guru tidak minta jawatan guru disiplin. Tetapi mereka dipilih kerana jantina mereka lelaki, garang dan berani. Di bandar-bandar besar, kebanyakan guru besar dan pengetua terdiri daripada perempuan. Biasanya mereka enggan merotan dan diserahkan tugas merotan kepada guru disiplin. Sekeping surat perlantikan boleh merotan diberikan kepada guru terlibat. Ramai juga guru yang menganggap tugas guru disiplin ini hebat.Sebenarnya apalah sangat guru disiplin tanpa sebatang rotan.

Kebanyakan guru di Malaysia menganggap tugas guru disiplin berisiko tinggi. Seorang guru disiplin mestilah tahu membaca mood pelajar, mententeramkan pelajar, tahu selok-belok jenayah juvenil dan bijak bertikam lidah dengan ibu bapa. Guru yang tidak mahir berhujah seperti seorang peguam janganlah menjadi guru disiplin.

Guru disiplin mestilah cekap mengingat nama pelajar dan mengingati rentetan peristiwa lalu sehingga hukuman dijalankan dan dapat diterima. Ego ibu bapa hendaklah dijatuhkan melalui rekod-rekod lampau . Jadi tugas seorang guru disiplin ialah mencatat satu persatu kesalahan pelajar tersebut dari A hingga Z.

Kebanyakan ibu bapa dan pakar pendidikan tidak dapat menerima kehadiran guru disiplin. Tutur bahasa dan perangai anak mereka berlawanan sekali jika dibanding semasa di rumah atau di sekolah rendah.

Apa yang diperlukan ialah guru kaunseling dan sesi kaunseling mestilah diadakan. Mereka mempertikaikan peranan guru disiplin kerana tidak memberi sebarang kesan selama ini kepada sistem pendidikan negara.

Pengetua dan lembaga disiplin sendiri cuba menyembunyikan atau mengecilkan data salah laku pelajar. Setiap tahun laporan disiplin sekolah dihantar ke PPD, jabatan pendidikan dan disalurkan ke bahagian disiplin sekolah. Pihak sekolah akan dimalukan, dipersoalkan dan tidak ada peluang kenaikan pangkat jika prestasi disiplin pelajar tiada kemajuan.

Perspektif pelajar sunting

Bagi kebanyakan pelajar dan ibu bapa, bukan semua guru adalah guru disiplin. Hanya yang dilantik dalam lembaga disiplin sahaja yang diiktiraf sebagai guru disiplin. Kadang-kala hanya ketua guru disiplin sahaja yang dianggap dan diiktiraf sebagai guru disiplin. Pada awal tahun, nama guru disiplin akan diumumkan dan majlis penyerahan rotan akan diadakan. Guru-guru lain yang tidak terlibat dianggap bukan guru disiplin. Lantaran itu cakap, nasihat dan tindakan serta hukuman oleh guru lain tidak perlu didengar.

Kebanyakan pelajar yang cemerlang lebih mudah mengingati guru kaunseling mereka daripada guru disiplin. Mereka amat berterima kasih kepada kaunselor yang berjasa memberikan khidmat nasihat tentang kerjaya, motivasi dan sebagainya. Tidak pernah berlaku pelajar mengucapkan terima kasih kepada guru disiplin yang telah merotan dan memukul mereka. Malahan mereka menyanggah hukuman yang dikenakan dan berdendam akan menumbuk cikgu, memecahkan cermin kereta atau membaling rumah guru dengan batu. Kebanyakan pelajar yang berjaya ini mahu sesi kaunseling sahaja dan menentang keras penggunaan rotan.

Bagi golongan terpelajar ini, hukuman rotan disamakan dengan hukuman sebat terhadap banduan di dalam penjara. Sedangkan anak-anak mereka perlu diberi peluang, diberi kaunseling, perlu dimaafkan, perlu dibimbing dan ada rasionalnya. Ibu bapa yang bijak pandai ini menganggap hukuman rotan ini bertentangan dengan hak asasi manusia, mencederakan minda dan potensi pelajar. Kebanyakan mereka ini menjadi pegawai pendidikan di kementerian.

Pelajar yang ketakutan semasa sesi pengajaran dan pembelajaran dikatakan tidak baik untuk sistem pendidikan sekarang. Sepatutnya guru dan pelajar akrab dan intim sehingga mudah soal jawab. Namun begitu semua ini amat ideal sekali. Bayangkan nisbah guru-pelajar 1:37. Kebanyakan kelas di bandar mempunyai ratio 1:40. Di sekolah Cina ada yang mencapai 1:55.

Dalam kebanyakan seminar dan bengkel pendidikan, guru disiplin tidak pernah diberi peranan untuk memberi ceramah.Sebaliknya kaunselor sekolah dan kaunselor luar sering dibayar untuk memberi ceramah dan syarahan kepada pelajar, guru-guru dan kepada ibu bapa.

Rujukan sunting