Haim Saban (Ibrani: חיים סבן, lahir pada 15 Oktober 1944 di Iskandariah, Mesir[1]) ialah seorang pemilik media dan televisyen berbangsa Israel-Amerika.

Haim Saban
Kelahiran (1944-10-15) 15 Oktober 1944 (umur 79)
WarganegaraAmerika Syarikat / Israel[1]
PekerjaanPemilik media
PasanganCheryl Saban (née Chackler)
Anak-anak4
Laman web rasmihttp://www.saban.com/

Kehidupan peribadi sunting

Haim Saban lahir di Iskandariah, Mesir pada tahun 1944.[1] Ekoran Perang Suez antara Mesir dan Israel pada tahun 1956, Haim sekeluarga dan kebanyakan kaum Yahudi Mesir berhijrah ke Israel.[1] Selepas hampir muflis pada tahun 1975, beliau berpindah ke Paris, Perancis.[1] Kemudian, pada tahun 1983, sekali lagi beliau berpindah, kali ini ke Los Angeles.[1] Kediamannya kini di Beverly Hills, California.

Saban beristerikan Cheryl Saban (née Chackler),[2] dan melahirkan dua orang anak bersamanya. Dengan Cheryl juga, beliau menjadi bapa tiri kepada Tifany dan Heidi Lenhart.

Kerjaya sunting

Kerjaya awal sunting

Pada tahun 1966, Saban melancarkan kerjayanya sebagai pemain dan gitar bes dan pengurus[1][3] bersama kugiran rock The Lions of Judah. Apabila ditemuramah oleh akhbar perniagaan Israel, The Marker pada tahun 2006, Saban mengulas bahawa penglibatan bersama kugiran itu bermula selepas mengunjungi sebuah tempat acara muzik terbuka di Ramat Gan (di kolam renang Galei-Gil yang kini terbinanya Sheraton City Tower) lalu memberitahu pengurusnya bahawa beliau ada sebuah kugiran yang ingin membuat persembahan di situ; meskipun sewaktu itu beliau belum mendirikan kugiran, apatah lagi belum pandai bermain muzik. Beliau dimaklumkan oleh seorang taulan akan dua orang adik-beradik (Shuki dan Haim “Chaymon” Algranati) yang pandai bermain muzik dari Tel-Aviv Utara. Saban berjaya mencari adik-beradik itu dengan bersiar-siar di sekitar kawasan perumahan mereka lalu mencari lokasi rumah mereka dengan mendengar mereka berlatih. Beliau menawarkan diri untuk menjadi promoter konsert Algranati bersaudara itu; kemudian, barulah beliau belajar bermain gitar bes dan turut menyertai kugirannya.

Pada tahun 1969, Dave Watts dari kugiran British, The Tornados, menyertai The Lions. Pada tahun yang sama, kugiran itu mengunjungi England dan bermuzik di kelab malam di London. Mereka mendapat sambutan hangat lalu dipelawa oleh Polydor Records. Detik terindah kugiran ini terpahat pada 6 Julau 1969, apabila mereka diundang untuk membuat persembahan dalam rancangan BBC TV, Colour Me Pop. Kumpulan The Lions merakamkan sebuah single bertajuk "Our Love's A Growing Thing”, tetapi single tersebut tidak pernah dikeluarkan di UK oleh Polydor Records yang berdepan dengan masalah kewangan ketika itu. Akhirnya, kugiran itu terpaksa kembali ke Israel dan Saban hanya memberikan tumpuan kepada kerja promoter muzik.[4]

Pada awal 1970-an, Saban berpindah ke Perancis ketika beliau mula-mula seorang promoter muzik (yang bekerja bersama artis-artis seperti Noam Kaniel, Mike Brant dan Shuki & Aviva); beliau juga membuka syarikat rakaman bersama rakannya, Shuki Levy.[5]

Saban Entertainment sunting

Setelah berpindah ke Amerika Syarikat, Saban menjadi seorang penerbit televisyen dan menubuhkan Saban Entertainment pada tahun 1988.[6] Ketika itu, beliau bersama Shuki Levy menjadi terkenal sebagai penggubah runut bunyi bagi rancangan televisyen kanak-kanak pada 1980-an. Di samping menggubah muzik untuk harta-harta mereka sendiri (seperti Kidd Video dan Maple Town), Levy dan Saban turut menyumbang kepada keluaran syarikat penerbitan lain (seperti Inspector Gadget, The Mysterious Cities of Gold, M.A.S.K., Dinosaucers, Dragon Quest, He-Man and the Masters of the Universe, She-Ra: Princess of Power, dan Jayce and the Wheeled Warriors). Akan tetapi, pada tahun 1998, akhbar The Hollywood Reporter melaporkan bahawa Saban sebenarnya tidak pernah sesekali menggubah segala muzik yang disangka ciptaan beliau.[7]

Pada 1990-an, syarikat Saban menjadi terkenal kerana mengeluarkan Power Rangers, Masked Rider, VR Troopers dan Big Bad Beetleborgs, yang merupakan adaptasi Barat dari rancangan tokusatsu Jepun.

ABC Family sunting

Pada 23 Julai 2001, Saban mengumumkan hasrat beliau bersama News Corporation untuk menjual Fox Family Worldwide Inc kepada The Walt Disney Company pada harga $5.3 bilion.[8] Pada 24 Oktober 2001, penjualan itu disempurnakan[6] dan rangkaian berkenaan dinamakan semula sebagai ABC Family.[3] Sebagai individu, Saban untuk sebanyak $1.6 bilion hasil penjualan ini.[3] Inilah urus niaga terbesar antara syarikat dan warga individu dalam sejarah.

Pada tahun 2003, beliau mengetuai pembelian Kirch Media Group, sebuah konglomerat media Jerman yang muflis ketika itu, pada harga $5.7 bilion.[3]

Univision sunting

Pada 27 Jun 2006, Saban Capital Group mengetuai sekumpulan pelabur yang membida untuk Univision Communications, syarikat media bahasa Sepanyol yang terbesar di Amerika Syarikat.[9][10] Antara pelabur-pelabur lain dalam kumpulan pimpinan Saban ini termasuklah Texas Pacific Group dari Fort Worth, Texas, dan Thomas H. Lee Partners. Kumpulan ini berjaya memperoleh Univision dengan bida bernilai AS$13.7 bilion.[9][11]

Politik sunting

Saban mengakui dirinya mulai berminat dengan politik pada pertengahan 1990-an, apabila beliau merasai bahawa Israel semakin kurang mendapat sokongan dari Amerika Syarikat."[2]

Israel sunting

Dalam temubual bersama akhbar New York Times pada tahun 2004,[2] Saban menjelaskan bahawa minatnya terhadap politik tercetus oleh keprihatinannya terhadap Israel: "Saya hanya ada satu isu, dan isunya ialah Israel."[2] Oleh yang demikian, Saban disifatkan "mengarah-arahkan Washington dan seluruh dunia dengan duitnya dengan cuba mempengaruhi segalanya yang berkenaan dengan Israel."[2]

Saban menceritakan bahawa pandangan politiknya berkenaan Israel dan hubungan luarnya banyak beranjak ke haluan kanan:[1]

"Saya pernah menjadi penyokong haluan kiri yang sejati. Saya terkenang waktu Arik Sharon [ketua parti haluan kanan Israel, Parti Likud] menziarahi rumah saya beberapa bulan sebelum Camp David, ketika beliau masih ketua pembangkang. Beliau meyakinkan saya bahawa perjanjian tidak akan terlaksana kerana [Yassir] Arafat enggan memberikan tandatangannya. Saya ingat tiada apa yang perlu dibuat kerana golongan haluan kanan itu cuma kurang siuman. Saya tidak ragu bahawa perjanjian akan terlaksanan dan permasalahan ini akan selesai. Namun, sejarah membuktikan bahawa benar kata Sharon, dan saya pula tersilap sangka. Hal-hal berkenaan keselamatan inilah yang menganjakkan saya ke haluan kanan; jauh sekali ke kanan."
"Apabila berlakunya serangan penggana, saya menjadi [Avigdor] Lieberman. Adakalanya di sebelah kanan Lieberman. Selama dua hari saya amat mengagumi Lieberman, tetapi selepas itu saya kembali ke alam sebenar. Tengok, mana ada penyelesaiannya hari ini."[1]

Saban juga menjelaskan pendiriannya dalam isu-isu khusus yang dialami oleh Israel:[1]

Sanggupkah anda cuba berunding dengan Hamas?
"Yang itu saya sanggup. Sememangnya. Kita harus berunding dengan sesiapa yang sanggup berunding, asalkan pendekatannya realistik."
Sanggupkah anda meninggalkan Tanah Tinggi Golan demi membalas perjanjian dengan Syria?
"Sama ada kita mampu atau tidak, terpulanglah kepada pendapat pakar keselamatan. Dari segi emosi, ada masalahnya. Di sana tiada apa-apa pun, malah sekarang ia mekar di sana-sini. Kalau hendak menyingkirkan penduduk di sana, memang menyayat hati, tetapi saya merasa bahawa untuk mencapai penyelesaian yang mutlak bersama pihak Syria itu pasti memerlukan usaha yang amat besar, hanya asalkan ia termasuklah segalanya, yakni meneutralkan Hezbollah dan merenggangkan Syria dari Iran."
Anda kerap berjumpa dan menjalin hubungan yang agak intim bersama pembuat keputusan Israel dan Amerika. Apakah pendapat anda akan situasi mengenai Iran?
"Pihak Iran serius orangnya. Mereka tidak bermain-main. [Mahmoud] Ahmadinejad bukannya tidak siuman. [....] Apabila saya memandang Ahmadinejad, saya turut melihat Hitler dalam dirinya. Mereka sama perbahasaannya. Motivasinya juga jelas: matlamat utamanya ialah kembalinya Mahdi. Bagi seorang yang beragama dan begitu mendalam fahaman dirinya, matlamat utamanya boleh menelan nyawa lima juta setengah orang Yahudi. Itulah yang kita tidak boleh biarkan begitu sahaja. Senjata nukelar dalam tangan kepimpinan beragama yang yakin bahawa pelenyapan Israel akan menjelmakan pemerintahan khalifah Islam yang baru? Israel tidak boleh membenarkannya. Ini bukan sekadar permainan, bahkan satu ancaman sebenar terhadap kewujudan kita."[1]

Parti Demokrat sunting

Saban merupakan seorang penderma yang murah hati tanpa henti kepada Parti Demokrat AS, mengikut pemfailan mandatorinya kepada Suruhanjaya Pilihan Raya Persekutuan.

Kepresidenan Bill Clinton sunting

Dalam analisa penderma terbesar kepada kempen-kempen kitaran pilihan raya 1998, majalah Mother Jones meletakkan Saban di tangga ke-155 di kalangan penderma individu.[12] Amy Paris memperhatikan bahawa kemurahan hati Saban pada zaman Clinton "tidak pernah terlepas ganjarannya. Sewaktu pentadbiran Clinton, eksekutif hiburan ini berkhidmat di Majlis Eksport Presiden yang menasihati Rumah Putih mengenai isu-isu perdagangan."[12] Akhbar New York Times melaporkan bahawa Haim bersama isterinya pernah "sesekali bermalam di Rumah Putih sepanjang dua penggal Presiden Clinton."

Saban masih erat hubungannya dengan bekas Presiden ini. Clinton menyifatkan Saban sebagai "sahabat akrab dan penyokong setia."[2]

Haim Saban turut menghulurkan sekitar $5 juta hingga $10 juta kepada Yayasan William J. Clinton.[13]

Jawatankuasa Kebangsaan Demokratik 2001-2002 sunting

Matthew Yglesias menulis bahawa "Saban merupakan penyumbang terbesar keseluruhannya kepada Jawatankuasa Kebangsaan Demokratik (DNC) pada kitaran 2001–2002" serta mengaitkan sokongan Saban itu dengan kenyataan baahwa "kepimpinan parti menyokong Perang Iraq dan Terry McAuliffe menjadi pengerusi DNC."[14] Jumlah dermaan Saban ketika tempoh 2001–2002 itu mencecah $10 juta, iaitu dermaan terbesar yang diterima oleh DNC dari satu sumber sehingga waktu itu.

Kempen kepresidenan Hillary Clinton sunting

Hillary Clinton juga sekian lama berhubungan akrab dengan Saban sejak Saban memberikan sokongan kepada usaha politik suaminya pada 1990-an. Puan Clinton memberitahu seorang wartawan New York Times pada September 2004 bahawa "Haim Saban seorang sahabat baik, penyokong dan penasihat kepada saya. Saay berbesar hati atas komitmennya kepada Israel, demi keamanan yang saksama dan berpanjangan di Timur Tengah, serta usaha yayasan saya, khususnya tentang isu perdamaian."[2]

Pada Mei 2007, Saban mengumumkan sokongannya kepada Hillary Clinton untuk bertanding dalam pilihan raya presiden pada tahun 2008.[10]

Matthew Yglesias mengaitkan sokongan Saban terhadap kempen kepresidenan Hillary Clinton pada 2008 dengan tindakan Saban menderma kepada DNC yang ketika itu menyokong perang Iraq pada tahun 2001-2002, dengan hujah bahawa "seandainya Clinton menjadi presiden, mereka akan kembali kepada kedudukan berpengaruh yang dinikmati mereka ketika itu. Saya meragui semua ini menandakan bahawa Hillary Clinton senyap-senyap ingin sangat berperang dengan Iran, tetapi inilah satu lagi gambaran kenyataan bahawa pandangannya terhadap dasar keselamatan negara terlalu keneokonservatifan bagi saya."[14]

Pada Jun 2007, Haim bersama Steven Spielberg mengacarakan acara mengutip dana Hillary Clinton di rumah Peter Chernin, Presiden News Corporation.[15] Menurut laporan Los Angeles Times,[15] acara itu meraih lebih $850,000.

Pada Mac 2008, Saban menganggotai sekumpulan besar penderma Yahudi yang menandatangani surat amaran kepada Ketua Dewan Parti Demokrat, Nancy Pelosi, supaya "mengundurkan diri daripada primari kepresidenan Demokrat."[16] Para penderma yang merupakan "penyokong besar kempen kepresidenan Sen. Hillary Rodham Clinton", "dimarahkan oleh temuramah pada 16 Mac apabila Pelosi berkata bahawa 'wakil super' parti mesti mengendahkan kehendak majoriti apabila memilih calon."[16] Surat kepada Pelosi itu menyatakan bahawa para penderma "sentiasa menyokong padu DCCC" dan membayangkan bahawa Pelosi mungkin kehilangan sokongan kewangan mereka bagi pilihan raya kongres penting yang akan datang, menurut Agensi Telegraf Yahudi[16].

Pada 19 Mei 2008, dilaporkan bahawa Haim Saban "menawarkan $1 juta kepada Young Democrats of America dalam perbualan telefon apabila beliau juga menggesa dua wakil yang belum komited dalam pertubuhan tersebut supaya menyokong ahli Demokrat dari New York itu."[17]

Parti Republikan sunting

Saban turut menghulurkan dermaan secara berpilih kepada beberapa ahli Parti Republikan, termasuklah sumbangan pada tahun 2003 kepada kempen George W. Bush untuk dilantik semula pada tahun berikutnya. Berkenaan sokongan Saban terhadap ahli Republikan terpilih ini, The New York Times menyatakan: "En. Saban terang-terangan membangkang Presiden Bush ---- 'Saya rasa Bush hanya makin hari makin kucar-kacir perbuatannya' ---- tetapi beliau menyokong sesetengah dasar En. Bush. 'Mengenai isu keselamatan dan pengganasan, saya sokong sepenuhnya.'"[2]

Pusat Dasar Timur Tengah Saban sunting

Pada tahun 2002, Saban menyumbangkan geran permulaan sebanyak AS$13 juta[18][19] serta menjanjikan dana tambahan[19] untuk membentuk Saban Center for Middle East Policy (Pusat Dasar Timur Tengah Saban), sebuah kumpulan pemikir dasar luar yang bertapak di Washington, D.C.. Pusat Saban ini menganggotai kumpulan pemikir Institusi Brookings,[19] dan bertujuan memberikan maklumat dan analisa mengenai dasar luar Amerika di Timur Tengah, kepada para penggubal dasar dalam kerajaan. Saban melantik Martin Indyk sebagai pengarah Saban Center.[18]

Rujukan sunting

  1. ^ a b c d e f g h i j k l m Shavit, Ari (2006-09-12). "'You made it big, you jerk!'". Israel: Haaretz. Diarkibkan daripada yang asal pada 2006-12-12. Dicapai pada 2008-05-07.
  2. ^ a b c d e f g h Sorkin, Andrew (2004-09-05). "Schlepping to Moguldom". The New York Times. Dicapai pada 2008-05-07.
  3. ^ a b c d Ackman, Dan (2003-03-17). "Mighty Morphin Haim Saban". Forbes. Dicapai pada 2008-05-07.
  4. ^ Kutner, Yoav, "The Lions Biography", Mooma -Israel's music website-, dicapai pada 2009-11-03
  5. ^ From "Dallas" to Masada - Shuki Levy's Biography, dicapai pada 2009-11-03
  6. ^ a b "Haim Saban". Saban. Diarkibkan daripada yang asal pada 2009-03-02. Dicapai pada 2009-02-19.
  7. ^ "salinan arkib". Diarkibkan daripada yang asal pada 2009-06-03. Dicapai pada 2011-01-21.
  8. ^ "News Corp. and Haim Saban Reach Agreement to Sell Fox Family Worldwide to Disney for $5.3 Billion". Saban. 23 Julai 2001. Dicapai pada 2009-02-19.
  9. ^ a b "Univision Accepts $12.3 billion Saban-led Bid". Reuters. 2006-06-27. Dicapai pada 2008-05-07.
  10. ^ a b Mehta, Stephanie (2007-05-14). "The man with the golden gut". Fortune. Dicapai pada 2008-05-07. Italic or bold markup not allowed in: |publisher= (bantuan)
  11. ^ "Univision to Be Acquired by Madison Dearborn Partners, Providence Equity Partners, Texas Pacific Group, Thomas H. Lee Partners and Saban Capital Group for $13.7 Billion". Saban. July 23, 2001. Diarkibkan daripada yang asal pada 2009-02-02. Dicapai pada 2009-02-23.
  12. ^ a b Paris, Amy (2001-03-05). "The Mother Jones 400: Haim Saban (with Cheryl)". Mother Jones. Diarkibkan daripada yang asal pada 2008-01-13. Dicapai pada 2009-02-27.
  13. ^ "New York Times, "Clinton Foundation Donors: Haim Saban and The Saban Family Foundation"". Diarkibkan daripada yang asal pada 2012-10-11. Dicapai pada 2011-01-21.
  14. ^ a b Yglesias, Matthew (2007-06-10). "Haim Saban". The Atlantic. Dicapai pada 2008-05-07.
  15. ^ a b Daunt, Tina (2007-07-07). "CAUSE CELEBRE: Was it just one of those things? A brief fling with the Obama camp appears to be fading as Sen. Clinton's Hollywood support solidifies". Los Angeles Times. Dicapai pada 2008-05-07.
  16. ^ a b c "Jewish Clinton backers warn Pelosi on meddling". Jewish Telegraphic Agency. 2008-03-28. Diarkibkan daripada yang asal pada 2008-03-31. Dicapai pada 2008-05-07.
  17. ^ Pitney, Nico (2008-05-19). "Superdelegates Turned Down $1 Million Offer From Clinton Donor". Huffington Post. Dicapai pada 2008-05-19.
  18. ^ a b "Saban Center for Middle East Policy". SourceWatch. 2006-12-07. Dicapai pada 2008-05-07.
  19. ^ a b c "About Us". Saban Center for Middle East Policy. Dicapai pada 2008-05-07.

Pautan luar sunting