Harga dalam konsep ekonomi adalah nilai sesuatu barang atau perkhidmatan dengan kiraan wang. Harga merupakan satu pemboleh ubah penting dalam teori pembahagian sumber (juga dipanggil teori harga). Ia juga penting dalam pemasaran di mana harga merupakan satu daripada empat pemboleh ubah yang digunakan untuk merangka pelan pemasaran.

Secara umum harga terhasil daripada suatu pertukaran atau transaksi yang terjadi antara dua pihak dan ia merujuk kepada apa yang sanggup diberikan oleh satu pihak iaitu pembeli untuk memperoleh sesuatu yang ditawarkan oleh pihak lain iaitu penjual.