Hari Santo Valentine, atau lebih dikenali sebagai Hari Valentine[1][2][3] atau Hari Memperingati Kekasih, ialah satu sambutan tahunan yang diadakan pada 14 Februari untuk meraikan kasih sayang sesama kekasih.[1][3] Nama "Valentine" merupakan panggilan nama bahasa Inggeris kepada nama Latin "Valentinus" - sambutan ini dinamai sempena seorang dua martir Kristian purba yang bernama sedemikian. Keraian ini mula ditubuhkan oleh Paus Gelasius I pada tahun 496 M namun digugurkan daripada Takwim Santo Rom Am oleh Paus Paulus VI pada tahun 1969. Menurut tradisi, Hari Valentine merupakan hari bagi para kekasih untuk meluahkan rasa kasih sayang kepada satu sama lain dengan menghadiahkan bunga, menawarkan manis-manisan, dan mengirim kad ucapan. Sambutan ini mula-mula dikaitkan dengan asmara dalam lingkungan sastera Geoffrey Chaucer pada Kemuncak Zaman Pertengahan apabila mekarnya asmara istana.

Hari Valentine
هاري ۏالينتاين
Kad Valentine antik
Juga dikenali sebagai
Hari Santo Valentine
Hari Kekasih
Diraikan oleh/di
Kebanyakan negara
JenisKebudayaan, Kristian, komersil
KepentinganMeraikan cinta dan kasih sayang sesama kekasih
UpacaraMenghantar kad ucapan, bertukar hadiah, janji temu
Tarikh14 Februari (di kebanyakan negara, rujuk teks)

Antara lambang-lambang Hari Valentine moden ialah bentuk hati, burung merbuk, dan dewa Cupid yang bersayap. Semenjak abad ke-19, surat cinta Valentine yang bertulisan tangan membuka laluan kepada kad ucapan yang dikeluarkan secara besar-besaran.[4]

Santo Valentine sunting

Fakta bersejarah sunting

Terdapat ramai martir Kristian purba di mana nama mereka (sama a,[5] tetapi mereka bernama Valentine yang diperingati pada 14 Februari adalah Valentine dari Rom (Valentinus presb. m. Romae) dan Valentine dari Terni (Valentinus ep. Interamnensis m. Romae).[6] Valentine dari Rom[7] ialah seorang paderi di Rom yang mati demi agama pada tahun 269 M dan dikebumikan di Via Flaminia. Bahan-bahan peninggalannya terdapat di Gereja St. Prassede di Rom,[8] dan Gereja Karmelit Whitefriar Street di Dublin, Ireland.

Valentine dari Terni[9] pula menjadi biskop Interamna (kini Terni) sekitar tahun 197 M dan dikatakan berkorban demi agama sewaktu zaman penindasan ke atas penganut Kristian di bawah pemerintahan Maharaja Aurelian. Beliau juga dikebumikan di Via Flaminia, tetapi di tempat yang berbeza daripada Valentine dari Rom. Bahan-bahan peninggalannya berada di Basilika St. Valentine di Terni (Basilica di San Valentino).[10]

Catholic Encyclopedia juga menyebutkan seorang lagi santo bernama Valentine yang disebut di bawah tarikh 14 Februari dalam takwim-takwim martir yang purba. Beliau berkorban demi agama di Afrika bersama sebilangan sahabat handai, tetapi tidak banyak yang diketahui mengenainya.[11]

Tiada unsur-unsur asmara terdapat dalam riwayat hidup terawal bagi mana-mana martir ini. Ketika seseorang Santo Valentine dikaitkan dengan asmara pada abad ke-14, maka perbezaan antara Valentine dari Rom dan Valentine dari Terni pudar begitu sahaja.[12]

Dalam pindaan Takwim Para Yang Kudus Katolik Rom pada tahun 1969, hari perayaan Santo Valentine pada 14 Februari dipadamkan daripada Takwim Rom Am dan diturun taraf kepada takwim-takwim tertentu (peringkat tempatan atau kebangsaan) atas sebab yang berikut: "Sungguhpun peringatan Santo Valentine diamalkan sejak purbakala, namun ia diserahkan kepada takwim-takwim yang tertentu, memandangkan tiada apa yang diketahui tentang Santo Valentine selain namanya dan bahawa beliau disemadikan di Via Flaminia pada 14 Februari."[13] Hari perayaan Santo Valentine masih disambut di Balzan (Malta) di mana dikatakan terjumpa bahan-bahan tinggalan santo berkenaan, dan juga di seluruh dunia oleh penganut Katolik Tradisionalis yang mengikuti takwim pra-Majlis Vatikan Kedua yang lebih purba. 14 Februari juga disambut sebagai Hari St. Valentine dalam beberapa mazhab Kristian yang lain, misalnya: ia berpangkat 'peringatan' dalam takwim Gereja England dan beberapa lagi anggota Golongan Anglikan.[14]

Legenda sunting

 
Santo Valentine dari Terni bersama para pengikutnya.

Satu Acta yang dikarang pada Awal Zaman Pertengahan tentang salah seorang Santo Valentine diterangkan secara terperinci tetapi ringkas dalam Legenda Aurea.[15] Menurut versi ini, St. Valentine ditindas kerana menganut agama Kristian lalu disoal siasat oleh Maharaja Rom Claudius II sendiri. Claudius kagum dengan Valentine lalu berbincang dengannya sebagai cubaan untuk menggesanya supaya memeluk agama pagan Rom untuk menyelamatkan nyawa dirinya. Valentine menolak dan cuba menjadikan Claudius beragama Kristian pula. Oleh sebab itu, Valentine dihukum mati. Sebelum itu, beliau dikhabarkan melakukan satu mukjizat dengan menyembuhkan anak perempuan kepada pegawai yang memenjarakannya.

Memandangkan Legenda Aurea langsung tidak mengungkit sebarang hubungan dengan cinta asmara, maka ditokok tambah peribudaya yang bersesuaian pada zaman moden untuk menggambarkan Valentine sebagai paderi yang enggan mematuhi apa yang kononnya undang-undang larangan berkahwin ke atas warga lelaki muda yang dititahkan oleh Maharaja Claudius II, kononnya untuk menambah bilangan bala tenteranya atas kepercayaan bahawa lelaki yang berkahwin tidak sesuai menjadi askar. Bagaimanapun, Valentine si paderi itu senyap-senyap menganjurkan upacara perkahwinan bagi lelaki muda. Setelah diketahui oleh Claudius, Valentine diberkas lalu dipenjarakan.

Mengikut satu lagi kisah yang tersebar luas sungguhpun langsung tiada asas dalam sejarah, pada malam sebelum Valentine menjalani hukuman mati, beliau menulis kad Valentine pertama yang bertulis "Dari Valentinemu" untuk diutuskan kepada seorang gadis yang dikatakan sebagai kekasihnya,[16] atau anak pegawai penjara yang bersahabat dengannya dan disembuh olehnya,[17] atau kedua-duanya.

Tradisi yang sahih sunting

Lupercalia sunting

Sungguhpun banyak sumber moden yang popular mengaitkan sesetengah perayaan Yunani-Rom yang disambut untuk meraikan kesuburan dan cinta pada bulan Februari dengan Hari St. Valentine, namun Profesor Jack Oruch dari Universiti Kansas berhujah bahawa sebelum Chaucer, tidak wujud sebarang kaitan antara sebarang Santo yang bernama Valentinus dan cinta asmara.[18] Hubung kait awal yang diperikan tadi tertumpu pada pengorbanan, bukan cinta asmara. Menurut takwim purba Athens, jangka masa antara pertengahan Januari dan pertengahan Februari merupakan bulan Gamelion yang memperingati perkahwinan suci dewa-dewi Zeus dan Hera.

Di Rom Purba, Lupercalia yang disambut pada 13–15 Februari ialah satu adat kuno yang dikaitkan dengan kesuburan. Sambutan Lupercalia tertumpu pada ibu kota Rom. Juga terdapat satu perayaan lebih umum yang disambut pada 13–14 Februari, iaitu Juno Februa yang bermaksud "(Dewi) Juno yang suci". Lupercalia dimansuhkan oleh Paus Gelasius I (492–496).

 
Geoffrey Chaucer oleh Thomas Occleve (1412)

Burung cinta Chaucer sunting

Catatan terulung yang mengaitkan Hari Valentine dengan cinta asmara ialah Parlement of Foules (1382) karya Geoffrey Chaucer[19] Chaucer menulis:

For this was on seynt Volantynys day
Whan euery bryd comyth there to chese his make.

["Sesungguhnya hari ini Hari Santo Valentine, apabila setiap ekor burung tiba di sana untuk memilih pasangannya."]

Puisi ini dikarang untuk memperingati ulang tahun pertama pertunangan Raja Richard II dari England dengan Anne dari Bohemia.[20] Perjanjian yang membenarkan perkahwinan mereka ditandatangani pada 2 Mei 1381.[21] (Sewaktu mereka berkahwin lapan bulan kemudian, mereka berdua hanya berusia 15 tahun).

Tanpa ragu-ragu, para pembaca menganggap bahawa Chaucer memaksudkan 14 Februari sebagai Hari Valentine; bagaimanapun, pada pertengahan bulan Februari tidak mungkin sesuai bagi burung-burung untuk mengawan di England. Henry Ansgar Kelly menunjukkan[22] bahawa mengikut takwim liturgi, 2 Mei ialah hari perayaan Santo Valentine dari Genoa. St. Valentine ini merupakan seorang biskop purba Genoa yang meninggal dunia sekitar tahun 307 M.[23]

Karya Parliament of Foules berlatarkan suatu konteks cereka bagi tradisi lama, tetapi sebenarnya tradisi itu belum wujud sebelum riwayat Chaucer. Penjelasan spekulatif tentang adat-adat sentimental yang menyamar sebagai fakta sejarah ini berasal daripada para purbawan abad ke-18, khususnya Alban Butler, pengarang Butler's Lives of Saints, dan juga diabadikan oleh para cendekiawan moden yang terhormat. Penting sekali, "gagasan bahawa adat-adat Hari Valentine mengabadaikan adat-adat Lupercalia Rom telah diterima secara tanpa ragu-ragu dan diulang-ulangkan dalam pelbagai bentuk sehingga masa kini".[24]

Zaman Pertengahan dan Pembaharuan Inggeris sunting

Dengan menggunakan bahasa mahkamah bagi upacara-upacara amal asmara istana, sebuah "Mahkamah Tinggi Cinta" ditubuhkan di Paris pada Hari Valentine 1400 untuk berurusan dengan kontrak cinta, kecurangan, dan keganasan terhadap wanita. Barisan hakim dipilih oleh kaum wanita berasaskan pembacaan puisi.[25][26]

Puisi Valentine terlama yang masih ada ialah serangkap rondeau abad ke-15 yang dikarang oleh Charles, Duke Orléans kepada isterinya, yang bermula dengan:

Je suis desja d'amour tanné [Kanda sudah serik dengan asmara]
Ma tres doulce Valentinée... [Wahai Valentine-ku yang berbudi bahasa]
—Charles d'Orléans, Rondeau VI, baris 1–2[27]

Ketika itu, adipati tersebut ditahan di Menara London setelah ditawan dalam Pertempuran Agincourt pada tahun 1415.[28]

Hari Valentine disebut dengan penuh rasa kesal oleh Ophelia dalam drama Hamlet (1600–1601):

To-morrow is Saint Valentine's day, [Esok Hari St. Valentine]
All in the morning betime, [Maka pada siang-siang pagi]
And I a maid at your window, [Dinda sang perawan menunggu di jendela]
To be your Valentine. [Untuk menjadi Valentine kanda]
Then up he rose, and donn'd his clothes, [Maka ia bangun dan menyalin baju]
And dupp'd the chamber-door; [Lalu membuka pintu kamar]
Let in the maid, that out a maid [Diberi sang perawan masuk, selepas keluar]
Never departed more. (Ia bukan sang perawan lagi.]
—William Shakespeare, Hamlet, Babak IV, Adegan 5

John Donne menggunakan legenda perkahwinan burung sebagai titik permulan sajak Epithalamion yang meraikan perkahwinan Elizabeth, puteri James I dari England, dengan Frederick V, Elector Palatine pada Hari Valentine:

Hayle Bishop Valentine whose day this is
All the Ayre is thy Diocese
And all the chirping Queristers
And other birds ar thy parishioners
Thou marryest every yeare
The Lyrick Lark, and the graue whispering Doue,
The Sparrow that neglects his life for loue,
The houshold bird with the redd stomacher
Thou makst the Blackbird speede as soone,
As doth the Goldfinch, or the Halcyon
The Husband Cock lookes out and soone is spedd
And meets his wife, which brings her feather-bed.
This day more cheerfully than ever shine
This day which might inflame thy selfe old Valentine.
—John Donne, Epithalamion Vpon Frederick Count Palatine and the Lady Elizabeth marryed on St. Valentines day.

Rangkap Roses are red (bunga mawar itu merah) meniru kebiasaan-kebiasaan yang boleh disusur-galur hingga seawal-awal karya agung Edmund Spenser iaitu The Faerie Queene (1590):

She bath'd with roses red, and violets blew [Bermandikannya mawar merah dan violet biru],
And all the sweetest flowres, that in the forrest grew [Dan segala bunga harum yang tumbuh di rimba].[29]

Puisi klise Hari Valentine yang moden boleh didapati dalam himpunan puisi kanak-kanak Inggeris, Gammer Gurton's Garland (1784):

The rose is red, the violet's blue [Mawar itu merah, violet itu biru]

The honey's sweet, and so are you [Madu itu manis, dikau pun begitu]
Thou are my love and I am thine [Dikau kekasihku, daku kekasihmu]
I drew thee to my Valentine [Dikau kucabut menjadi Valentineku]
The lot was cast and then I drew [Dicabutnya undi oleh daku]

And Fortune said it shou'd be you. [Dikau orangnya, takdir menentu.][30]

 
Poskad Hari Valentine sekitar tahun 1910
 
 

Zaman moden sunting

Pada tahun 1797, sebuah syarikat penerbitan UK mengeluarkan The Young Man's Valentine Writer yang mengandungi beraneka cadangan puisi buat kekasih muda yang tidak mampu menulis puisi sendiri. Syarikat-syarikat pencetakan juga telah mulai menghasilkan sebilangan kecil kad ucapan yang dipanggil "mechanical valentines". Ini dibantu oleh pengurangan kadar pos pada abad ke-19 yang mengembangkan amalan mengirim kad Valentine, sekaligus membolehkan pertukaran kad secara rahsia yang mungkin merupakan punca meletusnya rangkap-rangkap yang agak lucah pada zaman Victoria yang serba bertatasusila.[31]

Kad Valentine yang dibuat dengan kertas secara besar-besaran di kilang menjadi laris di England pada awal abad ke-19. Kad Valentine yang serba berhias dibuat dengan renda tulen dan reben, ataupun renda kertas yang diperkenalkan pada pertengahan abad ke-19.[32]

Leigh Eric Schmidt menyifatkan bahawa Hari Valentine dicipta semula pada 1840-an di Amerika Syarikat.[33] Dalam Graham's American Monthly, beliau berhujah bahawa pada tahun 1849, "Hari Santo Valentine's Day... sedang menjadi perayaan kebangsaan."[34] Di Amerika Syarikat, terhasilnya dan dijualnya kad-kad Valentine buatan renda kertas cetak timbul pertama yang dikilang secara besar-besaran oleh Esther Howland (1828–1904) dari Worcester, Massachusetts tidak lama selepas tahun 1847.[35][36]

 
Kanak-kanak berpakaian tema Hari Valentine.

Bapanya menjaga sebuah kedai buku dan alat tulis yang besar, tetapi Howland mendapat ilham daripada sepucuk kad Valentine dari England yang diterimanya daripada seorang sekutu niaga bapanya.[37][38] Oleh sebab kagum dengan idea membuat kad Valentine sedemikian rupa, Howland memulakan perniagaan dengan mengimport hiasan renda kertas dan bunga-bungaan dari England.[38][39] Semenjak tahun 2001, Persatuan Kad Ucapan Amerika Syarikat menganjurkan penganugerahan tahunan "Esther Howland Award for a Greeting Card Visionary" (Anugerah Esther Howland untuk Tokoh Wawasan Kad Ucapan).[36]

Sejak abad ke-19, surat tulisan tangan digantikan oleh kad ucapan yang dikilang secara besar-besaran.[4] Perdagangan Hari Valentine pada pertengahan abad ke-19 merupakan pengarak semakin banyak hari perayaan yang diperdagangkan di Amerika Syarikat.[40]

Pada separuh kedua abad ke-20, amalan bertukar kad diiringi dengan beraneka jenis hadiah di masyarakat-masyarakat yang menyambutnya. Antara buah-buah tangan yang dijadikan hadiah Valentine ialah bunga mawar dan coklat yang dibungkus dalam peti satin merah yang berbentuk hati. Pada 1980-an, industri berlian mulai memupuk Hari Valentine sebagai peristiwa yang sesuai untuk menghadiahkan barang kemas.

Kebangkitan Internet pada akhir abad ke-20 dan awal abad ke-21 melahirkan pelbagai tradisi yang baru, yang mana jutaan orang menggunakan kaedah digital untuk mencipta dan menghantar pesanan ucapan Hari Valentine seperti e-kad, kupon cinta atau kad ucapan boleh cetak.[35]


Perayaan seumpamanya sunting

Rantau Barat sunting

Amerika Latin sunting

Di sesetengah negara Amerika Latin, Hari Valentine dikenali sebagai Día del Amor y la Amistad (Hari Cinta dan Persahabatan), contohnya Mexico, Costa Rica, Ecuador, Puerto Rico, dan lain-lain. Di Guatemala, ia dikenali sebagai Día del Cariño (Hari Kasih Sayang).[41]

Di Brazil, Dia dos Namorados ("Hari Kekasih", or "Boyfriends'/Girlfriends' Day") disambut pada 12 Jun, barangkali kerana ia merupakan hari sebelum Festa Junina (Hari Santo António) yang dikenali sebagai santo perkahwinan di negara berkenaan,[42] apabila ramai wanita bujang melakukan upacara simpatias untuk menemui suami atau kekasih yang secocok. Hari Valentine pada 14 Februari langsung tidak disambut atas sebab-sebab kebudayaan dan perniagaan, kerana ia jatuh terlalu dekat dengan perayaan Carnaval[43] yang mungkin jatuh sekitar awal Februari hingga awal Mac.

Asia Timur sunting

Berkat usaha pemasaran yang bersungguh-sungguh, Hari Valentine turut disambut di sesetengah negara Asia, khususnya Singapura, Jepun, China dan Korea Selatan, di mana ramai warga paling banyak berbelanja untuk hadiah Valentine.[44]

Jepun sunting

Syarikat Morozoff Ltd. memperkenalkan perayaan ini di Jepun buat julung kalinya pada tahun 1936, dengan menyiarkan kempen iklan yang ditujukan kepada warganegara asing yang duduk di Jepun. Kemudian, pada tahun 1953, ia mulai mempromosikan coklat berbentuk hati; amalan ini dituruti oleh syarikat-syarikat konfeksi Jepun yang lain. Pada tahun 1958, gedung serbaneka Isetan mengadakan "jualan Valentine". Adat ini dilariskan lagi oleh kempen-kempen pemasaran pada 1960-an.[45][46]

Adat bahawa hanya wanita yang memberikan coklat kepada lelaki mungkin berasal daripada kesilapan ketika menyediakan iklan sewaktu kempen-kempen yang terdahulu.[47] Terutama sekali, office lady menghadiahkan coklat kepada rakan setugas mereka. Berbeza dengan negara barat, hadiah-hadiah seperti kad ucapan,[47] gulla-gula, bunga, atau janji temu makan[48] adalah jarang, sebaliknya penghadiahan tertumpu kepada menentukan bilangan coklat yang tepat untuk dihadiahkan kepada seseorang.[47] Syarikat coklat Jepun memperoleh separuh hasil jualan tahunan pada musim Valentine.[47] Di Jepun, adat janji temu makan yang dikaitkan dengan Hari Valentine disambut pada Malam Krismas.[49]

Ramai wanita berasa terpanggil untuk menghadiahkan coklat kepada rakan sekerja lelaki pada 14 Februari, kecuali apabila hari itu jatuh pada hari Ahad iaitu hari cuti. Ini dipanggil giri-choko (義理チョコ) yang terdiri daripada giri ("kewajipan") dan choko, ("coklat"). Rakan sekerja yang kurang mesra pula hanya menerima coklat murahan yang "teramat wajib" atau chō-giri choko, sementara yang paling dikasihi menerima honmei-choko (本命チョコ, coklat kegemaran). Kawan-kawan, khususnya perempuan, juga menukar hadiah coklat yang dipanggil tomo-choko (友チョコ); daripada tomo yang bermaksud "kawan".[50]

Pada 1980-an, Persatuan Industri Konfeksi Negara Jepun menjayakan sebuah kempen untuk menjadikan 14 Mac sebagai "hari membalas", yang mana kaum lelaki diharapkan supaya membalas budi mereka yang menghadiahi mereka dengan coklat pada Hari Valentine, dengan nama Hari Putih sempena coklat putih. Sebelum itu, pernah ada cubaan yang tidak menjadi oleh sebuah syarikat pengilang marshmallow untuk menyeru lelaki untuk membalas hadiah perempuan dengan menghadiahkan marshmallow.[45][46]

Lelaki diharapkan membalas dengan hadiah yang dua tiga kali lebih bernilai daripada yang diterima oleh mereka pada Hari Valentine. Jika tidak, lelaki itu akan dianggap sebagai meninggi diri walaupun telah membuat alasan. Membalas dengan hadiah yang sama nilai dianggap sama seperti berniat untuk memutuskan hubungan. Mula-mula, hanya coklat yang dijadikan hadiah, tetapi lama-kelamaan, barang kemas, aksesori, pakaian dan pakaian dalam turut menjadi buah tangan pilihan pada Hari Putih. Menurut tapak sesawang rasmi Hari Putih, warna putih dipilih sebagai warna ketulenan yang "pure, sweet teen love", and because it's also the color of sugar. The initial name was "Ai ni Kotaeru White Day" (Answer Love on White Day).[45][46]

Masyarakat Jepun mempunyai perayaan cinta tersendiri yang disambut berkurun-kurun lamanya, iaitu Tanabata yang jatuh pada 7 Julai setiap tahun dalam takwim Gregory.[51] Ia dianggap serupa dengan Hari Valentine,[52] tetapi kedua-duanya langsung tiada persamaan selain meraikan cinta dan berbeza sekali asal-usulnya.

China sunting

Di China, selalunya Hari Valentine disambut dengan lelaki menghadiahkan coklat, bunga atau kedua-duanya sekali kepada wanita yang tercinta. Dalam bahasa Cina, Hari Valentine dipanggil "Hari Kekasih" (Cina ringkas: 情人节Cina tradisional: 情人節pinyin: qíng rén jié). Di samping Hari Valentine yang berasal dari Barat, Masyarakat Cina juga mempunyai perayaan cinta tersendiri iaitu Qixi yang disambut pada hari ketujuh bulan ketujuh dalam takwim qamari, untuk memperingati persatuan antara seorang jejaka gembala lembu dan seorang gadis penenun.

Korea Selatan sunting

Di Korea Selatan, serupa dengan Jepun, kaum wanita menghadiahkan coklat kepada kaum lelaki pada 14 Februari, sementara kaum lelaki menghadiahkan gula-gula selain coklat kepada kaum wanita pada 14 Mac (Hari Putih). Pada 14 April (Hari Hitam), sesiapa yang tidak menerima apa-apa pada 14 Februari atau 14 Mac berkunjung ke kedai makan Korea untuk memakan mi hitam (자장면 jajangmyeon) sambil "meratapi" kehidupan sebatang kara mereka.[48] Rakyat Korea juga menyambut "Hari Pepero" pada 11 November, yang mana pasangan muda saling bertukar biskut berjenama Pepero. Tarikh '11/11' dikatakan menyerupai bentuk biskut yang tirus. Hari ke-14 setiap bulan merupakan hari yang berkenaan dengan cinta di Korea, namun kebanyakannya kurang berasas. Dari Januari hingga Disember: Hari Lilin, Hari Valentine, Hari Putih, Hari Hitam, Hari Mawar, Hari Cium, Hari Perak, Hari Hijau, Hari Muzik, Hari Arak, Hari Wayang, dan Hari Peluk.[53]

Percanggahan dengan negara dan siasah Islam sunting

Malaysia sunting

Larangan menyambut hari Valentine hanya terhad kepada orang yang beragama Islam sahaja, manakala bukan Islam bebas untuk meraikannya. Pihak berkuasa agama Islam di Malaysia mengingatkan umat Islam supaya tidak menyambut Hari Valentine atas kaitannya dengan kegiatan maksiat dan terdapatnya unsur-unsur agama Kristian di dalamnya. Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perayaan cinta asmara ini "tidak sesuai" untuk umat Islam.[54] Ketua Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz menyebut bahawa pernah keluarnya satu fatwa oleh para mufti pada tahun 2005 bahawa sambutan ini "mempunyai unsur-unsur Kristian serta amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang Islam".[55] Pihak berkuasa JAKIM merancang untuk melancarkan kempen "Awas Jerat Valentine's Day" di seluruh negara dengan menghalang umat Islam daripada menyambut perayaan itu pada 14 February 2011. Antara langkah-langkah dalam kempen ini ialah menyerbu hotel untuk menghalang pasangan muda daripada berkhalwat serta mengedarkan risalah kepada mahasiswa universiti yang beragama Islam tentang pantang larang Hari Valentine.[56][57]

Pada Hari Valentine 2011, pihak berkuasa agama Malaysia memberkas lebih 100 pasangan Muslim berkenaan larangan ke atas sambutan itu. Ada di kalangan mereka yang didakwa di Mahkamah Syariah kerana mengingkari larangan JAKIM ke atas sambutan Hari Valentine.[58]

Arab Saudi sunting

Di Arab Saudi pada tahun 2002 dan 2008, penguatkuasa agama mengharamkan penjualan segala barang-barang Hari Valentine dengan menyuruh para pekedai untuk menarik keluar segala barangan yang berwarna merah, kerana sambutan itu dikira sebagai perayaan Kristian.[59][60] Larangan ini mencetuskan wujudnya pasaran gelap yang menjual bunga mawar dan kertas bungkus.[60]

Pakistan sunting

Parti Jamaat-e-Islami menyeru supaya Hari Valentine diharamkan di Pakistan.[61] Sungguhpun demikian, perayaan ini semakin diminati ramai[61] sehingga pekedai bunga menjangka dapat banyak menjual bunga.[62]

Iran sunting

Pada awal abad ke-21, sambutan Hari Valentine di Iran dikutuk sekeras-kerasnya oleh ilmuwan-ilmuwan Islam yang memandang sambutan itu sebagai bercanggah dengan budaya Islam. Pada tahun 2011, kesatuan pemilik mesin cetak Iran mengeluarkan arahan larangan mencetak dan mengedar sebarang barangan yang melariskan Hari Valentine, termasuk kad ucapan dan hadiah yang berhias bentuk hati merah, bunga mawar merah dan sebarang kegiatan berkenaan Hari Valentine..[63]

Rujukan sunting

  1. ^ a b The History of Valentine's DayHistory.com, A&E Television Networks. Diambil pada 2 Februari 2010.
  2. ^ History of Valentine's DayChristianity Today International. Diambil pada 2 Februari 2010;"Then Again Maybe Don't Be My Valentine", Ted Olsen, 2000-01-02
  3. ^ a b HowStuffWorks "How Valentine's Day works"HowStuffWorks. Diambil pada 2 Februari 2010.
  4. ^ a b Leigh Eric Schmidt, "The Fashioning of a Modern Holiday: St. Valentine's Day, 1840–1870" Winterthur Portfolio 28.4 (Winter 1993), pp. 209–245.
  5. ^ Henry Ansgar Kelly, in Chaucer and the Cult of Saint Valentine (Leiden: Brill) 1986, accounts for these and further local Saints Valentine (Ch. 6 "The Genoese Saint Valentine and the observances of May") in arguing that Chaucer had an established tradition in mind, and (pp 79ff) linking the Valentine in question to Valentine, first bishop of Genoa, the only Saint Valentine honoured with a feast in springtime, the season indicated by Chaucer. Valentine of Genoa was treated byJacobus of Verazze in his Chronicle of Genoa (Kelly p. 85).
  6. ^ Oxford Dictionary of Saints, s.v. "Valentine": "The Acts of both are unreliable, and the Bollandists assert that these two Valentines were in fact one and the same."
  7. ^ "Valentine of Rome". Diarkibkan daripada yang asal pada 2010-04-01. Dicapai pada 2011-12-30., catholic-forum.com
  8. ^ "Saint Valentine's Day: Legend of the Saint". novareinna.com.
  9. ^ "Valentine of Terni". catholic-forum.com. Diarkibkan daripada yang asal pada 2013-01-16. Dicapai pada 2011-12-30.
  10. ^ "Basilica of Saint Valentine in Terni". virtualmuseum.ca. Diarkibkan daripada yang asal pada 2007-02-16. Dicapai pada 2011-12-30.
  11. ^ "Catholic Encyclopedia: St. Valentine". newadvent.org.
  12. ^ The present Roman Martyrology records, at February 14, "In Rome, on the Via Flaminia near the Milvian Bridge: St. Valentine, martyr."
  13. ^ Calendarium Romanum ex Decreto Sacrosancti Œcumenici Concilii Vaticani II Instauratum Auctoritate Pauli PP. VI Promulgatum (Typis Polyglottis Vaticanis, MCMLXIX), p. 117
  14. ^ See February calendar listed here[1] Diarkibkan 2011-02-06 di Wayback Machine on the Church of England website.
  15. ^ Legenda Aurea, "Saint Valentine" Diarkibkan 2012-01-12 di Wayback Machine, catholic-forum.com.
  16. ^ "The History of Valentine's Day". History.com.
  17. ^ History of Valentine's day, TheHolidaySpot.com
  18. ^ Jack B. Oruch, "St. Valentine, Chaucer, and Spring in February" Speculum 56.3 (July 1981:534–565)
  19. ^ Oruch, Jack B., "St. Valentine, Chaucer, and Spring in February", Speculum, 56 (1981): 534–65. Oruch's survey of the literature finds no association between Valentine and romance prior to Chaucer. He concludes that Chaucer is likely to be "the original mythmaker in this instance."Colfa.utsa.edu
  20. ^ "Henry Ansgar Kelly, Valentine's Day / UCLA Spotlight".
  21. ^ "Chaucer: The Parliament of Fowls"., wsu.edu
  22. ^ Kelly, Henry Ansgar, Chaucer and the Cult of Saint Valentine (Brill Academic Publishers, 1997), ISBN 90-04-07849-5. Kelly gives the saint's day of the Genoese Valentine as May 3 and also claims that Richard's engagement was announced on this day.Iol.co.za Diarkibkan 2009-02-05 di Wayback Machine
  23. ^ of the Saints: 2 May[pautan mati kekal], catholic-forum.com.
  24. ^ Oruch 1981:539.
  25. ^ "Domestic Violence, Discourses of Romantic Love, and Complex Personhood in the Law". Melbourne University Law Review 211. Austlii.edu.au. 1999. Dicapai pada 2011-08-06.
  26. ^ "Court of Love: Valentine's Day, 1400". Diarkibkan daripada yang asal pada 2009-01-02. Dicapai pada 2011-12-30., virtualmuseum.ca
  27. ^ Selamat Tinggal kepada Cinta dalam wikisource
  28. ^ History Channel Diarkibkan 2006-08-28 di Wayback Machine, historychannel.com.
  29. ^ Spenser, The Faery Queene iii, Canto 6, Stanza 6:teks online
  30. ^ Gammer Gurton's Garland (London, 1784) in I. Opie and P. Opie, The Oxford Dictionary of Nursery Rhymes (Oxford University Press, 1951, edisi ke-2, 1997), ms. 375.
  31. ^ Charles Panati (1987). Extraordinary origins of everyday things. p.57. Perennial Library, 1987
  32. ^ Vivian Krug Hotchkiss, Emotions Greeting Cards, VH Productions, mailbag@emotionscards.com (1910-02-14). "Emotionscards.com". Emotionscards.com. Dicapai pada 2011-08-06.CS1 maint: multiple names: authors list (link)
  33. ^ Schmidt 1993:209–245.
  34. ^ Dipetik dalam Schmidt 1993:209.
  35. ^ a b Ralat petik: Tag <ref> tidak sah; teks bagi rujukan american tidak disediakan
  36. ^ a b Eve Devereux (2006). Love & Romance Facts, Figures & Fun (ed. illustrated). AAPPL. m/s. 28. ISBN 1904332331.
  37. ^ Hobbies, Volume 52, Issues 7–12 p.18. Lightner Pub. Co., 1947
  38. ^ a b Vivian Krug Hotchkiss, Emotions Greeting Cards, VH Productions, mailbag@emotionscards.com. "Esther Howland". Emotionscards.com. Dicapai pada 2011-08-06.CS1 maint: multiple names: authors list (link)
  39. ^ Dean, Dorothy (1990) On the Collectible Trail p.90. Discovery Publications, 1990
  40. ^ Leigh Eric Schmidt, "The Commercialization of the calendar: American holidays and the culture of consumption, 1870–1930" Journal of American History 78.3 (December 1991) pp 890–98.
  41. ^ "Para quererte". El Periódico de Guatemala. 2010-02-10.
  42. ^ do Dia dos Namorados no Brasil e no mundo, São Valentim, data 12 de junho, tradição suapesquisa.com -Datas Comemorativas
  43. ^ The Psychology of Carnaval Diarkibkan 2013-08-24 di Wayback Machine,TIME Magazine, 14 Februari 1969
  44. ^ Domingo, Ronnel.Asians, Filipinos dig Valentine's Day the most[pautan mati kekal]. Philippine Daily Inquirer, 14 Februari 2008. Diterima pada 21 Februari 2008.
  45. ^ a b c Gordenker, A. "So, what the heck is that? White Day". inJapan Times. (21 Mac 2006). Retrieved June 30, 2007.
  46. ^ a b c Katherine Rupp (2003). Gift-giving in Japan: cash, connections, cosmologies (ed. illustrated). Stanford University Press. m/s. 149–151. ISBN 0804747040.
  47. ^ a b c d Chris Yeager (2009-02-13). "Valentine's Day in Japan". Japan America Society of Greater Philadelphia (JASGP). Cite journal requires |journal= (bantuan)
  48. ^ a b Ralat petik: Tag <ref> tidak sah; teks bagi rujukan yoshimura tidak disediakan
  49. ^ Ron Huza (he was an ESL in Japan for 11 years) (2007-02-14). "Lost in translation: The cultural divide over Valentine's Day". The Gazette.
  50. ^ Yuko Ogasawara (1998). University of California Press (penyunting). Office Ladies and Salaried Men: Power, Gender, and Work in Japanese Companies (ed. illustrated). Berkeley: University of California Press. m/s. 98–113, 142–154, 156, 163. ISBN 0520210441.
  51. ^ Caprice [2] AuthorHouse, 2007
  52. ^ E.I.S. (1925-02-15). "Japan has a Valentine Day based on a tender legend". New York Times.
  53. ^ [ http://journals.worldnomads.com/traveling_raccoon/story/55616/South-Korea/White-Day-(and-the-14th-of-every-month) White Day (and the 14th of every month), WorldNomads.com, 14 Februari 2010. Dicapai pada 1 Januari 2012.
  54. ^ Hari Valentine: Nasihat Jakim hanya umat Islam- TPM Diarkibkan 2012-03-01 di Wayback Machine, Utusan Online, 12 Februari 2011. Dicapai pada 31 Disember 2011.
  55. ^ Menepis Panahan Cupid Diarkibkan 2011-02-18 di Wayback Machine, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia. Dicapai pada 31 Disember 2011.
  56. ^ "Malaysian Muslims warned against Valentine's Day". The Straits Times. 2011-02-13.
  57. ^ "Malaysia Warns Muslims of Valentine's Day Trap". BBC News. 2011-02-13.
  58. ^ "Malaysia Arrests 100 Muslim Couples for Celebrating Lovers' Day". The Jakarta Globe. Dicapai pada 2011-08-06.
  59. ^ "Cooling the ardour of Valentine's Day". BBC News. 3 February 2002.
  60. ^ a b "Saudis clamp down on valentines". BBC News. 11 February 2008.
  61. ^ a b Ralat petik: Tag <ref> tidak sah; teks bagi rujukan bbcanger tidak disediakan
  62. ^ "Flower sellers await Valentine's Day". The Nation. 2010-02-08. Cite journal requires |journal= (bantuan)
  63. ^ Iran shops banned from selling Valentine gifts, AFP 02-01-2010

Pautan luar sunting