Tan Sri Dato' Haji Hassan bin Haji Azhari[1] (18 Ogos 1928 – 6 Oktober 2018) merupakan seorang Qari dan pakar Tajwid Al-Quran dari Malaysia yang berketurunan Melayu suku Banjar. Beliau menjadi seorang pendidik terkenal melalui rancangan Muqaddam pada awal 1970-an di saluran RTM. Beliau merupakan insan yang dipilih untuk melaungkan azan semasa hari kemerdekaan negara Malaysia pada 31 Ogos 1957.

Yang Berbahagia Tan Sri Dato' Haji

Hassan Azhari

PSM, DSSA, JMN, KMN
Laungan azan oleh Tan Sri Hassan Azhari (kiri) semasa upacara sambutan kemerdekaan Malaysia 1957 (Utusan)
Kelahiran(1928-08-18)18 Ogos 1928
Kampung Syiab Amir, Mekah, Arab Saudi
Meninggal dunia6 Oktober 2018(2018-10-06) (umur 90)
Sebab kematianKanser limfoma
DikebumikanMakam Diraja Shah Alam, Selangor
Terkenal keranaHakim Tilawah Al-Quran paling lama dan pendidik dalam rancangan Muqaddam Radio Televisyen Malaysia
PasanganPuan Sri Sahara Abdul Samad
Maimunah Abdul Ghani
Khadijah Yusuf
Anak-anak22 orang termasuk
Musa Hassan
Fuad Hassan
Jalaluddin Hassan
Ibu bapaHaji Azhari Abdul Khaliq (bapa)
Hajah Fatmah Abdul Hakim (ibu)

Kehidupan peribadi sunting

Beliau dilahirkan di kampung Syu’ib Amir di Mekah, Arab Saudi pada 18 Ogos 1928. Bapanya bernama Azhari Abdul Khaliq, tokoh agama terkenal di Selangor manakala ibunya ialah Fatmah Abdul Hakim, berketurunan Arab Mesir al-Shanani.

Keluarga sunting

Beliau mempunyai keluarga besar iaitu 22 orang anak dari tiga orang isteri. 13 orang anak yang pertama hasil perkahwinan beliau dengan isteri pertama, Sahara Abdul Samad, yang meninggal pada April 2004, Tiga orang anak lelaki yang pertama amat dikenali ramai iaitu Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, bekas ADUN Hulu Klang, Dato' Fuad Hassan kini Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Khas atau JASA Kementerian Penerangan., dan pelakon terkenal Dato' Jalaluddin Hassan. Anak ke-11 adalah Dato' Mohd Zain Hassan, CEO Alam Flora. Anak beliau yang mengikut jejak beliau sebagai ahli agama adalah Prof. Madya Dr. Abd Rauf Hassan dan Ustaz Mohd. Taha Hassan yang kedua-duanya berkelulusan dari Universiti Al-Azhar. Seorang lagi anaknya dengan isterinya Maimunah Abd. Ghani, Inspektor Mohammad Izzat Hassan megikuti jejak langkah abangnya Musa di dalam bidang kepolisan.[2]

Beliau dikhabarkan sangat tegas dalam bab agama tetapi masih seorang bapa yang penyayang. [3]

Pendidikan sunting

Beliau dibesarkan dalam persekitaran keluarga dan masyarakat yang berilmu dan beragama. Beliau mempelajari al-Quran sejak kecil di Mekah. Di peringkat rendah, mempelajari secara formal di Madrasah Dar al-Ulum, Mekah.

Antara guru beliau di sini ialah Sheikh Yasin al-Fadani dan di Masjidil Haram, gurunya ialah Sheikh Ismail Tamim (salah seorang imam masjid di Mekah)

Ketika berusia lapan tahun, berhijrah ke Malaya (Malaysia) bersama abangnya, Abdul Hakim dengan menaiki kapal laut selama beberapa bulan. Di Malaya, beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran ke Sekolah Marta al-‘Ulum al-Diniyah di Kuala Langat, Selangor seterusnya ke Sekolah Arab al-Hayat al-Mardiyyah di Kampung Jawa, Selangor. Beliau menyambung pelajaran ke Sekolah al-Junaid, Singapura selama dua tahun untuk meningkatkan penguasaan bahasa Arab. Antara gurunya ialah Sayyid Abu Bakar al-Saqqaf dan Sheikh Abdullah al-Faqih.[4]

Kemudian, beliau menyambung pengajian ke Maahad al-Ulum (kini Sekolah Agama Menengah Hishamuddin, Kelang) dan memperoleh sijil Rabi’ Thanawi. Bagi mendalami pengajian al-Quran, beliau kembali ke Mekah dan menyambung pengajian dengan Sheikh Ismail Tamim.

Beliau kemudiannya mempelajari bidang tarannum dengan beberapa ulama terkenal antaranya Syed Mahmud Lutfi Amir. Guru-guru al-Quran yang lain ialah Sheikh Mahmud al-Bukhari (riwayat Hafs), Sheikh Muhammad Abdul Samad, Dr. Ahmad Nuaina dan Syed Mahmud Amin Tantawi (riwayat Warsy Imam Nafi’).

Pencapaian sunting

Beliau telah memberi sumbangan besar kepada negara dengan melaungkan azan semasa menyambut kemerdekaan negara di Stadium Merdeka pada 31 Ogos 1957. Beliau turut melaungkan azan pada perasmian Masjid Negara pada tahun 1967, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Masjid Kapitan Keling, Pulau Pinang dan Masjid Sultan Omar Ali Saifuddin, Bandar Seri Begawan, Brunei.

Beliau juga merupakan penerima Tokoh Ma’al Hijrah 2002, yang merupakan penghormatan tertinggi bagi individu yang memberikan banyak sumbangan terhadap kemajuan Islam di dalam negara.

Beliau juga telah mengajar al-Quran dalam Radio Malaya dari 1960 hinggalah 2000. Beliau juga turut mengacarakan rancangan agama selama lapan tahun di TV1 yang bertajuk Muqaddam pada 1970-an. Rancangan ini memberi pendedahan yang mudah untuk membaca al-Quran daripada permulaan.

Pada 1997, beliau mendapat Anugerah Khas Seri Angkasa kerana penglibatannya selama 40 tahun bersama RTM.

Hassan juga merupakan hakim Pertandingan Tilawah al-Quran yang paling lama berkhidmat dalam negara. Hampir 46 tahun berkhidmat sebagai hakim, beliau juga menjadi hakim di Arab Saudi, Mesir, Iran, Dubai, Singapura, Brunei dan Thailand.

Hassan juga pemenang tempat pertama Pertandingan Tilawah al-Quran yang diadakan di Malaya pada 1947, anjuran UMNO (Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu) ketika itu.

Meninggal dunia sunting

Beliau telah meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 6 Oktober 2018 akibat penyakit kanser limfoma tahap empat pada usia 90 tahun.[5] Beliau sebelum itu dibawa ke hospital sama pada 30 September untuk menerima rawatan.[6]

Menurut salah seorang anak Allahyarham, Mohd Zain Hassan, bapanya sempat membuat permintaan terakhir iaitu sujud sebelum keadaan kesihatannya kembali merosot.[7]

Jenazah beliau telah dikebumikan di Makam Diraja Shah Alam pada 7 Oktober 2018 atas titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Rujukan sunting

  1. ^ Musa Hassan: 'Saya tidak terlibat politik' OLEH: MOHAMMAD FAIR.
  2. ^ ""Adik KPN jadi Inspektor Percubaan, Utusan Online. 12 Julai 2009". Diarkibkan daripada yang asal pada 2009-07-17. Dicapai pada 2010-03-13.
  3. ^ "Ustaz Hassan Azhari & Mutiaranya!", Tasik Pauh Blogspot. Januari 2007.
  4. ^ "Utusan Malaysia: Biodata Datuk Hassan Azhari", Utusan Online. 8 September 2008.
  5. ^ Hassan Azhari meninggal dunia
  6. ^ "Pengajar rancangan Muqaddam, Hassan Azhari meninggal dunia". Diarkibkan daripada yang asal pada 2018-10-07. Dicapai pada 2018-10-07.
  7. ^ Sujud, permintaan terakhir Hassan Azhari

Pautan luar sunting