Hati (bentuk)

simbol yang melambangkan jantung

Bentuk lekuk,[1] pangkah,[1] hati atau jantung () sekian lama digunakan sebagai lambang teras kerohanian, emosi, akhlak, dan suatu ketika dulu juga, kecerdasan manusia. Oleh sebab jantung (cor; heart) yang terletak di tengah-tengah jasad pernah dipercayai ramai sebagai tempat simpanan minda manusia, maka di merata dunia, perkataan yang memaksudkan jantung masih digunakan untuk memaksudkan jiwa; akan tetapi, dalam bahasa Melayu, perkataan hati (jecur; liver) digunakan pula kerana kedudukan yang lebih kurang sama dengan jantung. Oleh itu, lukisan bentuk hati sering digunakan sebagai lambang cinta.

Lambang hati tradisional Eropah

Sebagai kiasan sunting

Dalam mitos dan agama sunting

 
Jantung ditimbang berbanding dengan bulu kebenaran oleh dewi Ma'at, di hadapan Thoth dan Ammit, dari Papirus Ani.

Dalam naskhah-naskhah keagamaan purba, jantung dianggap banyak membawa kepentingan mistik, baik sebagai metafora mahupun anggota badan yang benar-benar dipercayai bersifat kerohanian atau ketuhanan.

Dalam mitos Mesir, bahagian jantung dalam jiwa ditimbang dengan dacing berbanding dengan bulu pelepah dewi Ma'at yang melambangkan kebenaran, ketika menilai jiwa orang yang baru meninggal dunia menurut Kitab Ajal Mesir.

Begitu juga, dalam Alkitab Kristian, gagasan ini terdapat pada rangkap-rangkap yang terdahulu sekali: Kejadian 6:5 meletakkan fikiran orang jahat dalam hatinya, sementara Keluaran 5–12 bercerita berkali-kali tentang Tuhan yang "mengeraskan hati Firaun."[2] Oleh itu, adalah dimaksudkan bahawa Tuhan membuat Firaun berazam untuk tidak membiarkan kaum Ibran meninggalkan Mesir demi menghakimi Firaun serta menunjukkan kuasa-Nya: "'Pergilah menghadap Firaun, sebab Aku telah membuat hatinya dan hati para pegawainya berkeras, supaya Aku mengadakan tanda-tanda mujizat yang Kubuat ini di antara mereka'" (Keluaran 10:1).[3] Menurut Kitab Yeremia 17:9, adalah ditulis bahawa Tuhanlah hakim yang menilai hati manusia.

Dalam sains dan falsafah kuno sunting

Sebilangan besar ahli falsafah dan ahli sainis klasik, terutamanya Aristotle, menganggap jantung sebagai pusat pemikiran, penaakulan atau emosi, dan sering tdak mengendahkan nilai otak.[4] Ajaran Stoisisme juga menegaskan bahawa jantung itu pusat jiwa.

Ahli perubatan Rom, Galen menentukan hati sebagai pusat keghairahan, otak sebagai pusat penaakulan, dan jantung pula sebagai pusat emosi. Walaupun pengaitan jantung dengan emosi oleh Galen dicadangkan dalam teori sistem pengedarannya, namun jantung tetap dianggap sebagai lambang emosi manusia biarpun setelah kepercayaan sedemikian ditolak.[5]

Tema-tema ini ditegaskan semula di Eropah pada Zaman Pertengahan.


Sebagai ikon sunting

 
Bentuk "hati" pada kad Hari Valentine (1910).
Fail:Cyrenecoin.jpg
Sebutir syiling dari Kirene yang bergambar lenggai silfium.

Menurut seni dan budaya rakyat tradisional Eropah, lambang hati atau jantung dilukis dengan olahan yang bergaya, selalunya berwarna merah sebagai lambang darah, keghairahan dan kekuatan emosi. Sejak abad ke-15, hati menjadi salah satu bentuk sama bunga dalam kebanyakan dek daun terup. Bentuk ini sering dikaitkan dengan cinta asmara; ia sering kelihatan pada kad ucapan Hari Valentine, kotak gula-gula dan sebagainya sebagai lambang cinta.

Apa yang sebenarnya digambarkan oleh "bentuk hati" ini masih dipertikaikan.[6] Ia tidak menyerupai bentuk jantung dengan begitu tepat.

Benih herba silfium yang digunakan sebagai pencegah hamil pada zaman purba,[7] diusulkan sebagai punca bentuk hati ini.[6][8]

Bentuk hati ini juga dianggap menyerupai anggota tubuh wanita, seperti punggung, bonggol pubik, atau vulva yang kembang.[9] Lambang tantra "Yoni" juga merupakan satu contoh mujarad vulva wanita yang berbentuk hati.

Lambang hati juga dipercayai berasal daripada bentuk seakan hati yang dibuat oleh leher angsa liar ketika mengawan.

Lambang hati terbalik juga digunakan dalam jata-jata bangsawan melambangkan bentuk testis (coglioni dalam bahasa Itali), misalnya pada perisai keluarga Colleoni dari Milan.[10]

Kod komputer sunting

 
Jata Bartolomeo Colleoni dengan bentuk hati terbalik

Emotikon hati yang sering digunakan ialah <3. Dalam Unicode juga terdapat pelbagai lambang hati:

Glif Keterangan Kod HTML Kod alt
U+2661 WHITE HEART SUIT &#x2661; or &#9825;
U+2665 BLACK HEART SUIT &#x2665; or &#9829; or &hearts; Alt + 3
U+2764 HEAVY BLACK HEART &#x2764;
U+2765 ROTATED HEAVY BLACK HEART BULLET &#x2765;
U+2763 HEAVY HEART EXCLAMATION MARK ORNAMENT &#x2763;

Rujukan sunting

  1. ^ a b Skeat, Walter William (1900). "Chapter 4: Magic Rites as affecting the Life of Man". Malay Magic. London: Macmillan and Co., Limited. m/s. 490.
  2. ^ KELUARAN 9 Exodus 9 Indonesian - Terjemahan Baru (TB)
  3. ^ KELUARAN 10 Exodus 10 Indonesian - Terjemahan Baru (TB)
  4. ^ Aristotle, De partibus animalium("Anggota-Anggota Haiwan"), jilid 3, bab 4
  5. ^ Galen, De usu partium corporis humani ("Kegunaan Anggota-Anggota Tubuh Manusia"), jilid 6.
  6. ^ a b The Shape of My Heart: Where did the ubiquitous Valentine's symbol come from? oleh Keelin McDonell, Slate.com.
  7. ^ Pliny yang Tua, Bab 49
  8. ^ the seeds of love, The Age, oleh Luke Benedictus, 12 Februari 2006
  9. ^ Gloria Steinem menulis dalam 1998 prakata[pautan mati kekal] Vagina Monologues: "For example, the shape we call a heart—whose symmetry resembles the vulva far more than the asymmetry of the organ that shares its name—is probably a residual female genital symbol. It was reduced from power to romance by centuries of male dominance."
  10. ^ Woodward, John and George Burnett (1969). Woodward's a treatise on heraldry, British and foreign,page 203. Originally published 1892, Edinburgh: W. & A. B. Johnson. ISBN 0715344641. Templat:LCCN

Pautan luar sunting