Dalam bidang zoologi, Hukum Bergmann ialah hukum ekogeografi mengaitkan latitud dengan jisim badan haiwan.[1] Umumnya, hukum ini menegaskan bahawa dalam suatu spesies, jisim badan meningkat bersama latitud dan iklim yang lebih sejuk, atau di kalangan spesies-spesies bersaudara dekat yang hanya berbeza dari segi saiznya, maka spesies mana yang lebih besar sewajarnya ditemui di latitud yang lebih tinggi. Hukum ini dinamakan sempena seorang ahli biologi Jerman bernama Christian Bergmann, yang julung kalinya merumuskan hukum ini pada tahun 1847. Hukum ini sering berhubungan dengan mamalia dan burung sahaja (endoterma), tetapi sesetengah penyelidik telah menemui bukti kewajaran hukum ini ketika mengkaji spesies ektoterma.[2] Hukum Bergmann menjadi titik pertikaian di kalangan para penyelidik dan kesahannya turut dipersoal,[3] maka para saintis berbelah bagi sama ada hukumini harus ditafsirkan variasi di dalam spesies atau di kalangan spesies.[1] Walaupun pernah dicadangkan beberapa mekanisme untuk menjelaskan hukum tersebut, namun tiada penjelasan yang meyakinkan untuk sebab wujudnya corak saiz haiwan dan latitud sebegini.

Penjelasan sunting

Penjelasan terawal yang diberikan oleh Bergmann ketika mula-mula merumuskan hukumnya, adalah bahawa haiwan-haiwan yang lebih besar lebih rendah nisbah luas permukaan dengan isipadunya berbanding haiwan yang lebih kecil, oleh itu kurang memancarkan haba badan seunit jisim, oleh itu kekal panas dalam iklim sejuk, sementara dalam iklim yang lebih panas, haba badan yang dijana oleh metabolisme perlu cepat dilesapkan daripada disimpan terus. Oleh itu, nisbah luas permukaan dengan isipadu haiwan yang lebih kecil di iklim panas dan kering memudahkan pemancaran haba dari badan, maka membantu menyejukkan badan.

Namun demikian, terdapat sebilangan kecil spesies yang dikecualikan daripada hukum ini, iaitu berjisim tinggi dan bernisbah luas permukaan dengan isipasu rendah tetapi tinggal dalam iklim panas, seperti gajah Afrika. Dalam hal ini, mungkin dijalankannya proses mengoptimumkan kawal atur haba seperti homeoterma jisim untuk menghindari kenaikan besar dalam suhu badan dalam iklim panas. Secara anekdot, gajah lebih kerap dijumpai dalam teduhan ketika bersama anak-anak gajah yang lebih tinggi nisbah luas permukaan dengan isipadunya, oleh itu lebih terdedah kepada perubahan dalam suhu dari sumber sinaran dalam persekitaran. (Untuk hujah-hujah seumpamanya yang disertakan petikan, rujuk [1] Diarkibkan 2009-02-11 di Wayback Machine).

Catatan sunting

  1. ^ a b Tim M. Blackburn; Kevin J. Gaston; Natasha Loder (1999) "Geographic Gradients in Body Size: A Clarification of Bergmann's Rule" Diversity and Distributions 5(4): 165-174
  2. ^ Miguel Á. Olalla-Tárraga, Miguel Á. Rodríguez, Bradford A. Hawkins (2006) "Broad-scale patterns of body size in squamate reptiles of Europe and North America" Journal of Biogeography 33 (5) , 781–793 doi:10.1111/j.1365-2699.2006.01435.x
  3. ^ Geist V. (1987) "Bergmann's rule is invalid" Canadian journal of zoology 65(4), pp. 1035-1038