Ibrahim Hj Yaakob atau IBHY lahir pada 27 November 1910 di Tanjung Kertau, Temerloh, Pahang - meninggal pada 8 Mac 1979 di Jakarta, Indonesia Jenazah beliau disemadikan di Taman Makam Pahlawan Kalibata, Jakarta. Pada batu nisannya, tercatat nama Iskandar Kamel Agastya. (IBHY), Leftenan Kolonel purnawirawan TNI-AD, NRP 26217.

Ibrahim Yaakob adalah presiden dan pengasas Kesatuan Melayu Muda (KMM) dan tokoh politik Melayu pertama yang menentang kerajaan penjajah British. Matlamat Kesatuan Melayu Muda adalah mencapai kemerdekaan bagi Malaya melalui penyatuan bersama Republik Indonesia di bawah konsep Indonesia Raya.[1] Sebagai pengasas Kesatuan Melayu Muda, dia menyambut baik dan bekerjasama dengan pihak Jepun kerana dia percaya Jepun akan memberikan kemerdekaan pada Malaya dan secara aktif membantu Jepun melalui aktiviti gerakan kelima.[2] Ibrahim dilatih selama enam bulan dan sebelum Jun 1944 dia dilantik sebagai Komandan Giyuugun dengan pangkat Leftenan Kolonel. Dengan bantuan tentera Jepun pasukan Giyuugun telah ditubuhkan di Semenanjung Tanah Melayu dan di Sumatera. Ini menyebabkan Ibrahim Yaakob tidak dipercayai oleh pihak British dan mendorong Ibrahim Yaakob berhijrah dan menetap di Indonesia sehingga tahun 1973. Beliau merupakan tokoh terkenal di Tanah Melayu, pelbagai tempat bersejarah diletakkan bersempena nama beliau.

Keluarga sunting

Ibrahim Yaakob berasal daripada keturunan Bugis, di Sulawesi Selatan. Ibu bapanya merantau ke Riau dan seterusnya ke Temerloh, Pahang sekitar tahun 1920-an. Ayahnya Haji Yaakob merupakan guru agama dan tokoh yang dihormati. Ibunya bernama Hawa binti Hussein. Ketika berusia 2 tahun, ibu bapanya bercerai. Beliau dipelihara oleh ibunya dengan hidup sederhana.

Pada batu nisan isterinya tercatat nama Maria Kamel bin H Siraj lahir 15 Disember 1920 dan meninggal dunia pada 20 November 2002. Sejarawan Cheah Boon Keng mencatat nama isteri Ibrahim Yaakob sebagai Mariatun Haji Sirat.

Pendidikan sunting

IBHY mendapat pendidikan awal di sekolah Melayu di Tanjung Kertau pada tahun 1918 ketika berusia tujuh tahun. Pada tahun 1928, beliau telah dipilih menjadi guru pelatih di Pusat Latihan Perguruan di Kuantan, Pahang.

Guru pelatih di MPSI sunting

Di antara tahun 1928–1931, Ibrahim menerima latihan perguruan di Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) di Tanjung Malim, Perak dan menerima semangat nasionalisme daripada Pendeta Zaba dan lain-lain. Pensyarah di situ mengajar tentang gerakan nasionalisme yang berkembang di India, Mesir dan Indonesia. Pensyarah yang lain ialah Abdul Hadi Hassan, Nurdin Haji Haron, Harun Mohd Amin (Harun Aminurrashid), Buyong Adil dan Abdul Rahman Muhyidin. Harun Mohd Amin telah menulis tentang kehebatan pemuda Melayu Panglima Awang yang mengelilingi dunia bersama Ferdinand Magellan.

Surat khabar dari Indonesia seperti Pewarta Deli, Pertja Selatan, Pedoman Masyarakat, Fikiran Rakyat, Soeloeh Rakyat Indonesia, Semangat Islam, Seruan Azhar, Bintang Timur dan Bintang Hindia turut dibaca dan beredar di kalangan pelajar. 'Sumpah Pemuda' rakyat Indonesia menjadi ikrar persatuan. [3]

Tulisan dan pengaruhnya sunting

Tulisan beliau dalam surat khabar Majlis,Warta Malaya dan Utusan Melayu menyentuh tentang nasib orang Melayu dari segi ekonomi, pelajaran, cara hidup orang Melayu dan kaitannya dengan bangsa Cina dan Eropah serta dasar British di Tanah Melayu.

Beliau juga pernah menulis beberapa buah buku yang kebanyakannya diterbitkan di Indonesia.

  1. Melihat tanahair, Singapura 1941
  2. Nusa dan Bangsa Melayu, 1951
  3. Sedjarah dan perdjuangan di Malaya, Djokjakarta 1951
  4. Sekitar Malaya Merdeka, Djakarta 19 August 1957

Pelbagai Persatuan sunting

Sebelum tertubuhnya KMM, IBHY dan rakan-rakannya telah mewujudkan satu persatuan sulit yang “berhaluan sosialis” iaitu Ikatan Semenanjung Malaya/Borneo pada tahun 1929 yang memperjuangkan gagasan “Malaya Raya”. Gesaan IBHY terhadap masyarakat Melayu supaya menubuhkan Persatuan Kebangsaan Melayu bagi menyatukan orang-orang Melayu untuk menyelamatkan hak kebangsaaan telah memperlihatkan dirinya sebagai pengerak nasionalisme Melayu di Tanah Melayu. Beliau juga terlibat aktif dalam Kelab Melayu Bentung pada tahun 1931-1934, Persatuan Melayu Selangor pada tahun 1938, Persatuan Belia Melayu dan beberapa persatuan yang menjadi medan IBHY menperjuang dan memperkembangkan ideologinya.

Menubuhkan Kesatuan Melayu Muda sunting

Persatuan Belia Melayu yang pada asalnya bercorak sosial berubah kepada motif politik. Selaras dengan perubahan tersebut, nama Persatuan Belia Melayu telah ditukar kepada Kesatuan Melayu Muda (KMM) atau turut dikenali sebagai Young Malay Union.

Pada 1939 pada usia 28 tahun, beliau menubuhkan secara rasmi Kesatuan Melayu Muda yang kebanyakannya terdiri daripada golongan guru Melayu lepasan MPSI. Persatuan ini menjurus kepada persatuan pemuda Melayu yang berasaskan ‘pemuda-pemuda sedar’ atau ‘progresif’ yang dalam lingkungan usia lewat 20-an. Beliau sebagai pengasas menjadi Yang diPertua, Onan Haji Siraj sebagai Naib Yang Dipertua, Abdul Karim Rashid sebagai setiausaha, Haji Othman Abdullah sebagai bendahari, Hassan Manan, Ahmad Boestaman, Isa Muhamad, Ishak Haji Mohammed, Sultan Djenain dan lain-lain tokoh. Dr Burhanuddin Helmi menyertai KMM pada 1939. Dato Onn Jaafar yang akan mengasas Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu menyertai KMM pada April 1942. Nama KMM diberikan oleh Sultan Djenain , seorang pelarian politik Parti Komunis Indonesia yang bertindak sebagai penaung KMM.

[4]

Tahun 1940, seusia 29 tahun, Ibrahim Yaakob telah menjadi nasionalis radikal yang mengagumi idealisma dan kharisma Sukarno sebagai Pemimpin Besar Revolusi Nasional Indonesia. Ketika Perang Pasifik meletus pada 7 Disember 1941, Ibrahim Yaakob telah ditangkap oleh pihak British tetapi dibebaskan pada 1942 oleh pihak Jepun setelah Jepun mendarat di Tanah Melayu. Tentera Jepun menubuhkan tentera Pembela Tanah Air (PETA) di pulau Jawa. Tetapi menubuhkan Giyuugun di pulau Sumatera dan di Tanah Melayu. [5]Dia meninggal di Jakarta pada 8 Mac 1979.[6] Komander tentera Jepun melantik Ibrahim Yaakob sebagai Leftenan Kolonel bagi pasukan tentera Giyuugun.

KMM tidak tertakluk kepada golongan bangsawan dan sesuai untuk golongan bawahan. Sementara Persatuan Melayu Selangor yang dipimpin oleh Tengku Ismail Tengku Muhammad Yasin dikuasai oleh golongan bangsawan,slogan KMM ialah “satu untuk semua:semua untuk satu”.

Utusan menemui Sukarno sunting

Ibrahim Yaacob telah mengutus tiga wakil KMM sebagai perwakilan Tanah Malaya ke Jakarta untuk bertemu dengan Sukarno. Di Jakarta, Badan Penyelidikan Usaha Persiapan Kemerdekaan Indonesia (BPUPKI) tengah membincangkan sempadan wilayah negara Indonesia. Wilayah Indonesia Raya ianya meliputi seluruh bekas Hindia Belanda, Malaya, Borneo Utara, New Guinea, Timor Portugis. Akan tetapi Mohammad Hatta lebih condong kepada pandangan untuk mengehadkan Indonesia Raya sekadar bekas Hindia Belanda (dikurangi New Guinea) diganti dengan Malaya dan Borneo Utara sahaja. Pada mesyuarat tersebut menghasilkan seramai 39 dari 66 ahli BPUPKI bersepakat menyokong gagasan Indonesia Raya.

Pertemuan Taiping 1945 sunting

Pada 8 Ogos 1945 Sukarno, Mohammad Hatta, dan Radjiman Wediodiningrat terbang ke Saigon, Vietnam berbincang dengan Pemerintah Tentera Jepun Marshall Terauchi dan kembali ke Jakarta pada 13 Ogos 1945.

Dalam surat khabar Asia Raya, 16 Ogos 1945 Sukarno-Hatta menyatakan mereka menemui Leftenan Kolonel Ibrahim Yaakob dan beberapa pegawai Giyugun lain. Ketika pertemuan itu Ibrahim Yaakob mengatakan bahawa rakyat di Tanah Melayu ingin bersatu dalam negara Indonesia Raya.

Menjadi anggota Parlimen Indonesia sunting

Sukarno merasa terhutang budi kepada Ibrahim Yaakob di atas semangat juang dan setiakawan orang Indonesia di Tanah Melayu. Lantas Sukarno mengajak Ibrahim Yaakob berjuang sahaja di pulau Jawa kerana mereka seketurunan - Bugis Jawa Indonesia.

Pada 15 Ogos 1945 Jepun menyerah kalah secara tiba-tiba setelah bandar Hiroshima dan Nagasaki diledakkan dengan bom atom. PETA dan Giyuugun diperintah bubar oleh tentera Jepun dn senjata diserahkan.Gagasan Indonesia Raya terbatal dengan sendirinya. Pada 19 Ogos 1945, Ibrahim Yaakob meminta kapal terbang tentera Jepun untuk membawanya ke Jakarta. Ibrahim Yaakob terbang ke Jakarta bersama isterinya Mariatun Haji Siraj, iparnya Onan Haji Siraj dan Hassan Manan.

Di Indonesia, beliau menukar nama kepada Iskandar Kamel dan menjadi pengurus Gerakan Kemerdekaan Malaya. Terbit bagi pihak KMM di Jakarta . Pejabatnya terletak di nombor 4 Jalan Kebahagian, Jakarta.[7]

PKMM diharamkan sunting

Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu mengharamkan PKMM pada 1950 . Sedangkan KMM telah bergabung dengan PKMM dan sangat anti British dan anti pegawai-pegawai dalam Persekutuan Tanah Melayu.

Bertemu dengan Tunku di Jakarta sunting

Pada November 1955, Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu , Tunku Abdul Rahman bertemu dengan beliau di Jakarta ketika hendak berunding dengan Presiden Sukarno. Ketika itu, Tunku Abdul Rahman baru sahaja dilantik sebagai Ketua Menteri setelah Perikatan menang 51 daripada 52 kerusi dalam pilihan raya yang pertama pada tahun 1955. Tunku yang menerima pendidikan Inggeris di London berasa selesa jika Tanah Melayu merdeka dalam Komanwel British. Ini dilihat sebagai neo-kolonialime kerana Ibrahim Yaakob mahu Tanah Melayu bergabung dengan Indonesia dalam Indonesia Raya.

Sukarno sendiri tidak senang dengan pendirian Tunku yang dilihat sebagai 'boneka' British sahaja. Dengan pelbagai pengaruh lain termasuk Aidid dan Subandrio - komunis, Sukarno melancarkan 'Ganyang Malaysia' pada 1965.

Pengarah Bank Pertiwi sunting

Ibrahim Yaakob mengundur diri dari arena politik apabila demokrasi terpimpin semakin kuat di Indonesia akibat pengaruh komunis. Peristiwa Gestapo 1965 amat memberi kesan kepada beliau. Ibrahim Yaakob menyertai sektor swasta sebagai pengarah Bank Pertiwi.

Kembali ke Malaysia sunting

Apabila Tun Abdul Razak menjadi Perdana Menteri Malaysia pada 1970, barulah Ibrahim berpeluang kembali ke Malaysia pada 1973. Ketika itu, Tunku Abdul Rahman telah 'digulingkan' selepas Peristiwa 13 Mei. Namun Ibrahim memilih bermastautin di Indonesia sambil menegaskan dirinya bukan warga Malaysia tetapi rakyat Persekutuan Tanah Melayu. Malah kesetiaannya adalah untuk negeri-negeri Melayu, bukan Malaysia dalam konteks terkini.

Kontroversi sunting

Di Indonesia, tercetus kontroversi bahawa Timbalan Presiden, Adam Malik disyaki sebagai agen CIA kerana kerap ke Malaysia dan berjaya menamatkan 'Ganyang Malaysia' 1965 dengan mudah. Begitu juga kerakyatan Ibrahim Yaakob sehingga dilantik sebagai ahli parlimen Indonesia dan menukar nama kepada Iskandar Kamel. Ketika ditemu ramah di Malaysia pada 1973, beliau mengakui bahawa dia agen kepada British dan Jepun. Buku Mustapha Hussain (2005) menuduh Ibrahim Yaakob membawa wang dua guni dan ketulan emas ke Indonesia pada tahun 1945. Bagaimana dia mendapat wang yang banyak untuk membeli surat khabar Warta Malaya.

Sebagai seorang guru, Ibrahim Yaakob ada menulis buku bertajuk 'Nusa dan Bangsa Melayu' pada 1951. Beliau menafikan perjuangan KMM tidak berhaluan kiri mahupun radikal . Sebaliknya usaha menerapkan kesedaran cintakan agama, bangsa dan negara. KMM adalah anti British dan anti feudal.

Rujukan sunting

  1. Abu Bakar Nordin et. al., Aspirasi Kebitaraan, Ibu Kandung Suluh Budiman, Tanjong Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris, 2003, hlm.115. Lihat juga gelaran Iskandar Kamel dikenali umum di Indonesia di dalam buku Bachtiar Djamily, Ibrahim Yaacob Pahlawan Nusantara, Kuala Lumpur: Pustaka Budiman Sdn Bhd, 1985, hlm.86.
  2. Ramlah Adam, Sumbanganmu Dikenang, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa & Pustaka, 2002, hlm. 41.
  3. Ramlah Adam, Pejuang-Pejuang Kemerdekaan, Melaka : Institut Kajian Sejarah & Patriotisme Malaysia, 2003, hlm. 317.
  4. Ramlah Adam, Kemelut Politik Semenanjung Tanah Melayu, Kuala Lumpur : Penerbit Universiti Malaya, 1998, hlm. 98.
  5. Ramlah Adam, Dato’Onn Ja’afar Pengasas Kemerdekaan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa & Pustaka, hlm.68.
  6. Zakiah Hanum, 'Tercabarnya Maruah Bangsa', Petaling Jaya: Lajmeidakh Sdn. Bhd, 1987, hlm. 1.
  7. Bachtiar Djamily, Ibrahim Yaacob Pahlawan Nusantara, hlm.187.
  8. William R. Roff, Nasionalisme Melayu, Terj. Ahmad Boestaman, Kuala Lumpur : Penerbit Universiti Malaya, 2004, hlm.244.
  9. Mohd Isa Othman, Pendudukan Jepun di Tanah Melayu 1942-1945 Tumpuan di Negeri Kedah, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1992, hlm. 7
  10. Zulhilmi Ramli & Dalai Abdul Ghani, Kenegaraan Malaysia Isu-isu Dalam Pembinaan Bangsa, Kuala Lumpur: PTS Publications & Distributoins, 2003, hlm. 121
  11. Abdul Karim Abdullah & Ghazali Basri, Latar Belakang & Sejarah Malaysia Moden, Petaling Jaya: Penerbitan Abadi Sdn. Bhd, 2003, hlm. 225.
  12. Abdul Rahman Haji Abdullah, Gerakan Anti Penjajahan di Malaysia 1511-1950 : Pengaruh Agama & Tarikat, Kuala Lumpur : Penerbit Kintan Sdn. Bhd, 1994, hlm. 125
  13. Cheah Boon Kheng, Red Star Over Malaya Resistance & Social Conflict During And After The Japanese Occupation, 1941-1946, Singapore: Singapore University Press, 1983, hlm. 11.