Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia

Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) (Inggeris: Malaysian Agricultural Research and Development Institute (MARDI)) ialah sebuah badan berkanun yang diamanah untuk menjalankan penyelidikan dalam bidang makanan dan pertanian dan industri asas tani di Malaysia. Ia ditubuhkan di bawah Akta MARDI (1969). Usaha penyelidikan MARDI selama hampir 40 tahun telah menghasilkan pelbagai varieti dan klon tanaman baru, baka ternakan baru dan kaedah pengurusannya. Teknologi terkini telah juga dihasilkan dalam bidang pemprosesan makanan dan pengendalian lepas tuai bagi produk hortikultur dan ternakan. Teknologi ICT dimanfaatkan dalam pengurusan dan pengendalian ladang seperti teknologi pertanian tepat bagi tanaman padi serta penganggaran hasil tanaman menerusi teknik pengimejan. Teknik-teknik baru juga dimajukan untuk pengurusan alam sekitar dan sumber pertanian terutamanya air, tanah dan sumber genetik dengan lebih cekap.

Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia
Malaysian Agricultural Research and Development Institute
(MARDI)
Intisari agensi
Dibentuk28 Oktober 1969; 54 tahun yang lalu (1969-10-28)
Bidang kuasa
Kerajaan Persekutuan Malaysia
Ibu pejabatIbu Pejabat MARDI, Persiaran MARDI-UPM, 43400 Serdang, Selangor, Malaysia.
Menteri bertanggungjawab
Eksekutif Agensi
  • YBhg. Datuk Dr. Mohamad Roff b. Mohd Noor, Ketua Setiausaha
  • Dr. Azman Ismail, Pengerusi
Agensi anak
  • MARDI Corporation Sdn. Bhd
Dokumen penting
Laman sesawang
www.mardi.gov.my
Nota kaki
Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia di Facebook

Selain melaksanakan projek Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) secara kontrak, Institut juga menyediakan khidmat teknikal dan pembangunan usahawan dalam bidang makanan, pertanian dan khidmat lain dalam industri berkenaan. Khidmat teknikal adalah dalam bentuk khidmat nasihat, perundingan, latihan teknikal, khidmat makmal dan pengesahan mutu, pembangunan produk dan proses serta peningkatan teknologi.

Petani dan usahawan yang menerima pakai teknologi MARDI telah berjaya menyumbangkan kepada kemajuan sektor makanan, pertanian dan industri asas tani negara. Ini telah membantu memampankan sektor pertanian sebagai penyumbang kepada ekonomi Malaysia.

Sebagai sebuah organisasi yang menjalankan urusan teras penyelidikan dalam bidang sains dan teknologi, MARDI menyediakan kumpulan pakar dalam bidang-bidang yang dikenalpasti diperlukan, serta memberi sumbangan berkesan terhadap korpus ilmu secara global.

Segala maklumat, penemuan saintifik dan ilmu pertanian yang diperolehi dari aktiviti R&D disalurkan melalui bahan penerbitan serta persidangan dan pameran peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Bagi memastikan MARDI tidak ketinggalan dalam perkembangan teknologi dalam bidang makanan dan pertanian di peringkat global, perhubungan rapat dengan beberapa institut penyelidikan, universiti dan kumpulan jaringan di peringkat nasional dan antarabangsa sentiasa diperkembangkan.

Sejarah sunting

MARDI ditubuhkan melalui Akta Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia 1969.

Senarai Ketua Pengarah MARDI sunting

Datuk Dr. Mohamad Roff B. Mohd Noor

Penerbitan sunting

Salah satu matlamat utama MARDI menjadi pusat pengumpulan dan penyebaran maklumat melalui penerbitan. Untuk itu MARDI telah menerbitkan pelbagai jenis penerbitan yang dikelaskan kepada: Penerbitan bersiri:

Manual teknologi— Ia terkandung maklumat yang boleh dijadikan asas untuk petani menanam atau pengusaha mengeluarkan produk mengikut spesifikasi, kos dan kuantiti yang ditetapkan.

Buku/Monograf/Laporan— Ini termasuklah buku panduan pertanian dan ternakan, prosiding persidangan dan laporan kaji selidik yang menyeluruh.

Siri khidmat perunding— Terdapat dua siri dalam kumpulan ini iaitu Siri Panduan Usahawan dan Model Perusahaan Makanan yang memberi penerangan terperinci tentang pemprosesan pelbagai produk makanan serta maklumat termasuk bahan mentah yang digunakan, kos pengeluaran, aspek pemasaran dan pengurusan makanan. Penerangan tentang pemprosesan dilengkapkan dengan carta alir dan pelan bagi menubuhkan sesuatu industri makanan.

Penerbitan am— Ia lebih kepada edaran brosur.

Lihat Buku terbitan Penerbitan MARDI

Alamat sunting

Ibu Pejabat MARDI
Persiaran MARDI-UPM
43400 Serdang
Selangor, Malaysia
Telefon: 603-8953 6000

Pautan luar sunting