Disebabkan kemasukan buruh asing sekitar 1960-an dan beberapa siri pelarian politik sejak 1970-an, Islam di Jerman kini menjadi sebuah agama yang ketara. Sehingga 2006, terdapat kira-kira 3.5 juta Muslim (4% penduduknya).[1] Selepas Gereja Roman Katolik dan Protestan, Islam merupakan agama ketiga terbesar di negara ini. Majoriti Muslim di Jerman berasal dari Turki (lebih daripada 90%), diikuti oleh kumpulan-kumpulan kecil dari negara-negara bekas Yugoslavia, Albania, negara-negara Arab, Iran dan Afghanistan. Kebanyakan Muslim tinggal di Berlin dan bandar-bandar besar bekas Jerman Barat. Walau bagaimanapun, tidak seperti kebanyakan negara-negara Eropah lain, kecuali Austria dan sebahagian daripada Switzerland, komuniti yang agak besar wujud di sesetengah kawasan perkampungan Jerman, terutamanya Baden-Württemberg, Hesse, Bavaria dan Nordrhein-Westfalen. Disebabkan jarangnya kemasukan sebelum 1989, bilangan Muslim di wilayah bekas Jerman Timur adalah sangat sedikit. Kebanyakan Muslim di Jerman adalah Sunnah Waljamaah. Terdapat juga penganut Syiah, kebanyakannya dari Lubnan. Selain itu, ramai di kalangan pendatang Turki adalah golongan Alawi.

Demografi sunting

Jerman mempunyai penduduk terbanyak selepas Perancis yang beragama Islam. Kira-kira 3.5 juta Muslim tinggal di negara ini.[1] Daripada jumlah itu, hanya sekitar 1 juta orang adalah rakyat Jerman sendiri. Lebih 15,000 orang daripadanya adalah pemeluk baru berketurunan Jerman[1] dan bilangan ini dijangka akan meningkat.[2]

Majoriti daripada penganut Islam, iaitu 70% daripada 3.5 juta orang itu pula berketurunan Turki.[2] Pendatang-pendatang Turki ini mula tiba di Jerman pada dekad 1960-an sebagai jawapan kepada kekurangan tenaga buruh di negara ini. Mereka dijangka (atau diharap) akan meninggalkan Jerman selepas tamat bekerja, tetapi hanya kurang separuh daripadanya yang benar-benar telah meninggalkan negara ini. Pada mulanya pendatang ini semuanya lelaki, tetapi mereka kemudiannya dituruti oleh isteri-isteri dan sanak keluarga mereka.[3]

Kebanyakan pendatang-pendatang Islam ini menetap di sekitar kawasan perindustrian seperti Berlin, Cologne, Frankfurt, Stuttgart, Dortmund, Essen, Duisburg, Munich, Nuremberg, Darmstadt, Goppingen dan Hamburg. Hanya sedikit sahaja yang tinggal di wilayah-wilayah bekas Republik Demokratik Jerman.

Kumpulan kedua terbesar pula berasal dari Bosnia dan Herzegovina (sekitar 167,081 orang), diikuti oleh pendatang-pendatang Iran (sekitar 81,495 orang), Maghribi (79,794 orang), Afghanistan (65,830 orang), Lubnan (46,812 orang), Pakistan (35,081 orang), Syria (29,476 orang), Tunisia (24,533 orang), Algeria (16,974 orang), Indonesia (12,660 orang) dan Jordan (10,448 orang).[4][5] Pelarian-pelarian berketerunan Palestin pula hampir kesemuanya masuk ke Jerman dari negara ketiga, tetapi bilangan mereka dianggarkan sekitar 200,000 orang.[6] Masyarakat berketurunan Afghan di Jerman, walaupun bilangan mereka semakin berkurangan selepas tumpasnya pemerintahan Taliban, merupakan yang terbesar di Eropah.[7] Berbanding dengan negara-negara lain di Eropah Barat, Jerman turut memiliki bilangan terbesar pelarian-pelarian berketurunan Kurd. Penduduk berketurunan Arab pula dianggarkan sekitar 290,00 orang.[8]

Kumpulan pertama pendatang-pendatang Muslim ke Jerman adalah sebagai buruh asing pada dekad 1960-an dan 1970-an.[9] Kebanyakannya datang dari Turki, tetapi ada juga yang datang dari Afrika Utara dan negara-negara bekas Yugoslavia. Sejak awal dekad 1980-an pula pemohon suaka dan perlindungan beragama Islam di negara ini pula semakin meningkat, terutamanya dari Turki (puak Kurd, Yazidi dan Assyiria)[10] dan Yugoslavia. Bilangan penganut Islam yang agak sekular, terutamanya penuntut-penuntut, datang dari Iran sejak dekad 1960-an. Hari ini, masyarakat Iran merupakan yang paling bersepadu kerana bilangan ahli akademik dan perniagaan di kalangan mereka adalah sangat tinggi berbanding masyarakat Islam lain. Pelarian-pelarian beragama Islam yang berketurunan Bosnia dan Kosovar pula menyebabkan pergerakan besar merentas Eropah. Kini lebih 300,000 sedang menetap di Jerman.

Hari ini, tinggal di Jerman empat generasi beragama Islam. Satu pertiga daripada penganut Islam berketurunan Turki dilahirkan di sini tetapi tidak mempunyai kerakyatan. Bagi keturunan Bosnia pula, peratusannya ialah 16.5%, Iran 8.7%, Maghribi 21% dan Afghan 12.6%.[11]

Kira-kira 65% daripada penganut-penganut Islam di sini ialah Ahli Sunah Waljamaah. Terdapat juga penduduk pendukung ajaran Alawi (12%), Yezidi (7%), Syi'ah Turki (2%).[12]

Pengamalan Islam sunting

Sekitar 68% penganut Islam di Jerman dianggarkan bergiat aktif di dalam komuniti agama, sementara 69% yang lainnya menunaikan amalan keagamaan seperti berpuasa dan meraikan perayaan keagamaan.[2]

Terdapat sekurang-kurangnya 2,500 pusat keagamaan di seluruh Jerman. Lebih kurang 160 daripadanya ialah masjid-masjid yang siap dengan kubah dan menara.[13] Proses pembinaan masjid ini walau bagaimanapun seringkali menerima tentangan daripada penduduk setempat dan juga pihak berkuasa tempatan.

Di Jerman, tiada larangan menyeluruh ke atas pemakaian tudung dikenakan, walaupun perbahasan mengenai guru-guru yang memakai tudung masih berjalan. Pada tahun 2003, Mahkamah Perlembagaan Persekutuan telah memutuskan untuk tidak menyebelahi kerajaan negeri Baden-Württemberg dalam usahanya melarang usaha seorang guru Muslim memakai tudung di sekolah.[perlu rujukan] Namun, mahkamah itu tetap memberikan peluang untuk larangan peringkat negeri. Oleh yang demikian, banyak negeri telah meluluskan perundangan berkaitan larangan pemakaian tudung untuk guru-guru. Negeri Hesse misalannya telah meluluskan larangan termasuk ke atas kakitangan awam di negeri itu. Konflik ini, walau bagaimanapun terus berjalan.

Penyembelihan haiwan secara halal telah bertahun-tahun dicabar di mahkamah. Namun, Mahkamah Perlembagaan Persekutuan pada tahun 2002 telah memutuskan untuk mengecualikan orang-orang Islam daripada perundangan berkaitan perlindungan haiwan atas alasan kepercayaan agama mereka.[perlu rujukan] Konflik ini walau bagaimanapun masih belum tamat.

Sejak dekad 1960-an, kegiatan yang digelar perniagaan etnik telah ditubuhkan bagi memenuhi peningkatan permintaan terhadap barangan dan perkhidmatan daripada pendatang-pendatang Muslim ini.[perlu rujukan] Salah satu daripada pertubuhan yang paling berpengaruh ialah Persatuan Usahawan-usahawan Bebas (MÜSIAD). Kebanyakan ahli-ahlinya adalah usahawan yang kuat beragama.[perlu rujukan]

Pasaran buruh sunting

Latar belakang agama seseorang pekerja tidak direkodkan di dalam perangkaan pekerjaan Jerman. Oleh itu, anggaran hanya boleh dibuat berdasarkan negara asal. Kadar pengangguran kekal dua kali lebih tinggi untuk orang-orang bukan Jerman.[14][15] Di sesetengah negeri, kadar pengangguran dalam kalangan belia Muslim dianggarkan sekitar 30%.[16] Warganegara Turki adalah yang paling teruk keadaannya. Malah, jika dibandingkan dengan golongan yang tidak mempunyai kelayakan, lebih banyak pendatang asing (tiga suku) berbanding orang-orang Jerman (satu pertiga) yang menganggur.

Bagi golongan yang mempunyai kelayakan rendah, sistem ini tampak bergerak dengan lebih baik. Belia-belia dengan latar belakang pendatang bertumpu dalam pekerjaan kurang mahir dan separa mahir. Mereka sering menerima latihan dalam pelbagai bidang kerjaya seperti dalam industri (perlombongan, tekstil, pembuatan kereta), perdagangan, kraftangan atau bekerja sendiri, contohnya dalam bidang penyediaan makanan. Golongan ini, walau bagaimanapun, tidak banyak yang diambil bekerja dalam perkhidmatan awam. Pemudi-pemudi Muslimah, yang sering mempunyai peluang rendah berbanding pemuda-pemuda, kebanyakannya bekerja sebagai pendandan rambut, pembantu doktor gigi atau setiausaha perubatan.

Secara keseluruhannya, pendatang-pendatang Muslim menghadapi halangan-halangan yang sama dengan kumpulan pendatang lain dalam pasaran buruh Jerman. Halangan tersebut adalah diskriminasi tidak langsung dan diskriminasi secara langsung kerana taraf kediaman mereka yang tidak terjamin dan ketiadaan kerakyatan.[16] Golongan yang tidak mempunyai kerakyatan selalunya hanya layak bekerja jika tiada penganggur Jerman atau rakyat negara anggota EU lain yang boleh dicari untuk pekerjaan itu. Oleh itu, dalam konteks kadar pengangguran yang tinggi, mencari pekerjaan menjadi semakin rumit bagi pendatang Muslim. Pengambilan bekerja dalam sektor perkhidmatan awam juga dikekang oleh ketiadaan kerakyatan di kalangan pendatang. Oleh itu, hanya terdapat sedikit bilangan pegawai polis contohnya, yang mempunyai latar belakang seorang Muslim. Pemohon suaka kadangkala tidak diberi permit bekerja atau menghadapi tempoh menunggu yang panjang sebelum kebenaran diberikan. Sebelum tahun 2004, pendatang-pendatang asing yang menetap di Jerman dibenarkan bekerja selepas tempoh lima atau enam tahun dicapai. Undang-undang baru bagi mengawal imigesen (Jerman: Zuwanderungsgesetz) memberikan kebenaran ini kepada golongan pendatang asing seperti pelarian atau pemohon suaka yang diterima masuk.[11]

Orang-orang Islam di Jerman sememangnya menghadapi halangan dalam pekerjaan. Tetapi, diskriminasi lebih banyak terjadi dalam pekerjaan separa mahir berbanding yang berkelayakan tinggi. Dalam pekerjaan separa mahir, malah juga pekerjaan berkelayakan tinggi, pekerja-pekerja Muslim sering menghadapi sikap tidak toleran terhadap tanggungjawab agama mereka seperti menunaikan solat Jumaat dan solat harian selain kantin yang lazimnya tidak menyediakan makanan halal, memandangkan tiada undang-undang dalam hal sebegini.

Anggota-anggota sesetengah pertubuhan Islam pula, walaupun sah dari segi undang-undang, dilabel sebagai "Islamis" dan diketepikan dariapada beberapa bidang kerjaya seperti kakitangan awam dalam perkhidmatan keselamatan. Dalam bidang sebegini, satu permohonan am perlu dibuat di Pejabat Persekutuan bagi Perlindungan Perlembagaan (BfV).[17] Pekerja-pekerja Muslimah pula sering menghadapi halangan lain seperti larangan memakai tudung.

Pendidikan sunting

Selain amalan diskriminasi yang menular dalam sektor pekerjaan, kadar pengangguran yang tinggi dalam kalangan pendatang Muslim juga disebabkan oleh tahap pendidikan yang rendah. Seramai 700,000 orang murid dan pelajar menuntut di institusi pengajian di negara ini.[18] Namun, perangkaan rasmi ini hanya merujuk kepada pelajar-pelajar asing.[19]

Kajian Rancangan Penilaian Murid-murid Antarabangsa (PISA) memberikan bukti bahawa golongan pendatang dan anak-anak mereka yang belajar di sekolah-sekolah Jerman tidak berjaya sebaik murid-murid berlatar belakang Jerman. Golongan ini berkemungkinan besar belajar di sekolah-sekolah paling bawah dalam sistem persekolahan Jerman, yang mempunyai tiga tahap, dan akan meninggalkan sekolah tanpa kelulusan. Tiga kali ganda kanak-kanak berketurunan asing (murid-murid di sekolah-sekolah Jerman yang tidak mempunyai kerakyatan) berbanding kanak-kanak Jerman memasuki Hauptschule (sekolah menengah paling bawah) selepas pengajian rendah. Kebanyakannya tidak akan melanjutkan pelajaran selepas itu.[perlu rujukan]

Kajian PISA juga mendapati bahawa murid-murid dari generasi kedua keluarga pendatang (anak-anak pendatang yang lahir di Jerman) memiliki keputusan yang lebih teruk berbanding murid-murid dari generasi pertama (anak-anak yang memulakan pengajian selepas datang ke Jerman). Satu sebab berlakunya keadaan ini ialah kanak-kanak golongan pendatang yang lebih bertumpu di sekolah-sekolah yang majoriti muridnya adalah dari golongan yang kurang berjaya, dari segi taraf ekonomi dan latar belakang sosial. Hal ini berlaku memandangkan keluarga mereka kebanyakannya berasal dari latar belakang luar bandar, yang tidak berjaya dan tidak memiliki pendidikan tinggi. Akhirnya, Hauptschule digelar Restschulen (sekolah untuk kategori lain-lain) atau kadangkala sebagai Türkenschulen (sekolah untuk orang Turki).[20]

Pengasingan murid-murid berdasarkan kebolehan pada peringkat seawal selepas pengajian rendah dikritik sebagai diskriminasi terhadap anak-anak golongan pendatang oleh banyak pihak, contohnya Pesuruhjaya PBB bagi Hak pendidikan, Vernor Munoz ketika lawatannya ke Jerman pada tahun 2005.[perlu rujukan] Selain itu, kanak-kanak berketurunan Turki atau Muslim berlatar belakang pelarian menghadapi kesukaran yang ketara dengan bahasa Jerman. Tambahan pula, kanak-kanak pelarian mempunyai taraf tempat tinggal yang tidak terjamin, menyebabkan peluang yang terhad untuk melanjutkan pengajian dan latihan.

Rakyat asing, termasuk ramai Musllim, mempunyai peluang yang sedikit dalam pendidikan kerjaya, Pada tahun 1998, sekurang-kurangnya satu pertiga daripada pemuda dan pemudi berketurunan asing (20-29 tahun) kekal tanpa kelulusan profesional berbanding 8% bagi orang Jerman dalam lingkungan umur yang sama.[perlu rujukan] Corak negatif ini juga boleh diperhatikan pada tahap pengajian tinggi. Bilangan penuntut Jerman pada umur 22 tahun adalah dua kali ganda berbanding penuntut berlatar belakang asing, manakala pada umur 26 tahun, bilangannya adalah tiga kali ganda lebih banyak.

Pendidikan Islam sunting

Amalan di Jerman ialah untuk memberikan pendidikan agama kepada semua denominasi. Pelajaran akan disediakan oleh pertubuhan atau komuniti agama di bawah penyeliaan kerajaan. Mengikut undang-undang, mana-mana komuniti yang mempunyai bilangan murid yang mencukupi boleh menyertai rancangan ini. Di pelbagai negeri, pendidikan keagamaan telah ditawarkan kepada kanak-kanak dari keluarga Muslim secara sukarela.[21] Namun begitu, adalah sukar bagi masyarakat Muslim untuk menawarkan pelajaran agama kerana kegagalan kerajaan negeri mengiktiraf komuniti keagamaan memandangkan ketiadaan pertubuhan tunggal mewakili masyarakat Islam. Walau bagaimanapun, sesetengah kerajaan negeri telah mencapai persetujuan dengan beberapa kumpulan bagi menyelesaikan isu ini. Kumpulan Alewi Turki adalah antara yang berjaya, selain kumpulan lain dari Turki yang turut diterima. Di Berlin misalnya, Persekutuan Islam, yang dikritik hebat oleh media, telah turut diiktiraf.[22]

Walaupun pendidikan agama di sekolah-sekolah awam adalah hak yang dijamin oleh perlembagaan di Jerman, jaminan ini telah dipertikaikan di dalam diskusi awam dan wujud interpreasi lain yang mengatakan bahawa jaminan tersebut hanya boleh digunapakai bagi agama Kristian sahaja, atau "agama-agama yang secara tradisinya telah bertapak di Eropah Barat, sekaligus mengecualikan Islam"[23] Hasilnya, pelajaran Islam di sekolah telah mencetuskan kontroversi.

Menurut Institut Pusat bagi Arkib Islam di Jerman (ZIAD), separuh daripada 20% murid-murid dari keluarga Islam menghadiri pengajian al-Quran.[11] Pelajaran ini ditawarkan oleh tiga pertubuhan utama, iaitu Muslimische Akademie für Religiöse und Soziale Bildung, DITIB dan Institut für Islamishe Bildung. Selain itu, terdapat juga beberapa pertubuhan kecil yang lain. Atas kebimbangan bahawa murid-murid yang tidak menghadiri pengajian agama di bawah penyeliaan kerajaan boleh terdedah kepada fahaman pelampau, terdapat usaha-usaha untuk melaksanakan pengajian Islam di sekolah-sekolah awam.

Secara keseluruhannya, terdapat kekurangan tenaga pengajar Muslim dengan kemahiran bahasa yang sesuai, yang boleh mengajar pelajaran Islam di Jerman. Namun, terdapat satu kursus pengajian Islam ditawarkan di Universiti Munster. Pada tahun 2005, universiti ini memulakan rancangan latihan perguruan bagi membantu mengatasi kekurangan tenaga pengajar yang berkemahiran di samping membawa kepada layanan sama rata terhadap murid-murid Muslim di sekolah awam. Sven Kalisch telah dilantik sebagai profesor bagi pengajian Islam di Universiti Munster. Universiti ini adalah yang pertama di Jerman yang menawarkan latihan untuk guru-guru Islam. Pada tahun 2007, Universiti Osnabruck turut memulakan program untuk tenaga pengajar melalui kursus Sarjana dalam bidang Pendidikan Islam. Namun, hanya empat pelajar telah diterima pada permulaan pengajian. 20 permohonan dari Turki ditolak kerana kegagalan memenuhi syarat kelayakan.[24] Selain itu, wujud tekanan politik bagi melatih lebih banyak imam di universiti-universiti Jerman, yang diketuai oleh pemimpin Parti Hijau.

Pertubuhan sunting

Hanya sebilangan kecil Muslim yang menetap di Jerman menjadi ahli pertubuhan-pertubuhan agama. Yang mempunyai bilangan tertinggi adalah:

  • Diyanet İşleri Türk İslam Birliği (DİTİB): Cabang Jerman Pengerusian Turki untuk Hal Ehwal Agama, Cologne
  • Islamische Gemeinschaft Milli Görüş: berdekatan dengan Islamist Saadet Partisi di Turkey, Kerpen near Cologne
  • Islamische Gemeinschaft Jamaat un-Nur: Cabang Jerman Masyarakat Risale-i Nur (Said Nursi)
  • Verband der islamischen Kulturzentren: Cabang Jerman mahzab konservatif Süleymancı di Turki, Cologne
  • Islamische Gemeinschaft in Deutschland pertubuhan Muslim Arab berdekatan dengan Persaudaraan Muslim, Frankfurt
  • Verband der Islamischen Gemeinden der Bosniaken: Muslim Bosnia, Kamp-Lintfort dekat Duisburg

Tambahan lagi terdapat pertubuhan-pertubuhan payung berikut:

  • Zentralrat der Muslime in Deutschland, didominasikan oleh "Islamische Gemeinschaft in Deutschland" dan "Islamisches Zentrum Aachen"
  • Islamrat in Deutschland, didominasikan oleh Islamische Gemeinschaft Milli Görüş dan sub-pertubuhannya.

Selain itu terdapat pelbagai pertubuhan setempat yang tidak berkait dengan mana-mana pertubuhan di atas. Dua pertubuhan telah dilarang pada 2002 kerana rancangan mereka dianggap melanggar perlembagan: "Hizbut Tahrir" dan juga "Caliphate State (Negara Khalifah)" yang diasaskan Cemalettin Kaplan.

Lihat juga sunting

Nota sunting

  1. ^ a b c "Religionen in Deutschland: Mitgliederzahlen (Agama di Jerman: Jumlah Penganut)". Religionswissenschaftlicher Median- und Informationsdienst e.V. (REMID). Dicapai pada 2008-09-21.
  2. ^ a b c Frühjahrsumfrage: Neue Daten und Fakten über den Islam in Deutschland (Kajian pendapat awal tahun: Data dan Fakta baru berkaitan Islam di Jerman) (PDF) (dalam bahasa Jerman). Zentralinstitut Islam-Archiv-Deutschland e.V. (ZIAD). 1 November 2006. Unknown parameter |acessdate= ignored (|access-date= suggested) (bantuan)[pautan mati kekal]
  3. ^ Wolbert, 1984.
  4. ^ Mühe, 2007;
  5. ^ "Dresdner Bank kündigt Konten von Iranern (Bank Dresdner menutup akaun-akaun milik orang-orang Iran)" (dalam bahasa Jerman). Majalah Stern. 29 November 2007. Dicapai pada 2008-09-21.
  6. ^ Süleyman Artiisik (4 April 2002). "Palästinenser in Deutschland (Orang Palestin di Jerman)". Spiegel Online. Dicapai pada 2008-09-21.
  7. ^ Blaschke; 2004. ms. 88
  8. ^ Blaschke; 2004. ms. 91
  9. ^ Kemuncak kemasukan buruh Muslim adalah pada tahun 1968. (Schiffauer, 2005) Pada bulan November 1973, pengambilan dihentikan secara rasmi.
  10. ^ Schiffauer; 2005. ms. 1131
  11. ^ a b c Bericht über die Lage der Ausländerinnen und Ausländer in Deutschland (Laporan mengenai keadaan pendatang asing di Jerman) (PDF) (dalam bahasa Jerman). Pesuruhjaya bagi Migrasi. 2005. Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 2006-05-11. Dicapai pada 2008-09-21. Text "location:Berlin" ignored (bantuan); Unknown parameter |month= ignored (bantuan)
  12. ^ Mühe; 2007. ms. 6-7, lihat juga Blaschke; 2004. ms. 123
  13. ^ Franz Solms-Lautbach (30 Mei 2007). "In Deutschland gibt es bereits 159 Moscheen (Di Jerman terdapat 159 Masjid)". Welt Online. Dicapai pada 2008-09-21.
  14. ^ Blaschke; 2004. ms. 122
  15. ^ Vollmer; 2004. ms. 131-200
  16. ^ a b Blaschke; 2004. ms. 123
  17. ^ Schiffauer; 2006
  18. ^ Havva Engin menganggarkan sebanyak, (Engin, 2001). Jumlah keseluruhan murid-murid berlatar belakang pendatang dianggarkan sehingga 22%. (PISA Konsortium, 2003). Anggaran lain ialah, purata 10% di kebanyakan negeri bekas Jerman Timur dan 36% di negeri bekas Jerman Barat, (Kumpulan Krisis Eropah, 2007)
  19. ^ Ausländische Schüler/innen nach Staatsangehörigkeit (Murid-murid asing menurut Kerakyatan), Pejabat Perangkaan Persekutuan (Destasis). Dicapai pada: 2008-09-24.
  20. ^ Radtke, (Berlin 2001) ms. 4; & Radtke, (Kandem 2001) ms. 19-33.
  21. ^ Sen & Haydin, 2002; ms. 95
  22. ^ "Die schleichende Islamisierung: Schulalltag in Berlin (Penyusupan Islamisasi: Hari sekolah di Berlin)" (dalam bahasa Jerman). 27 Jun 2005. Diarkibkan daripada yang asal (cetakan semula) pada 2008-01-19. Dicapai pada 2008-09-24. Unknown parameter |publsher= ignored (|publisher= suggested) (bantuan)
  23. ^ Robbers; 2001, ms. 148.
  24. ^ "Nur vier Studierende im Fach Islam (Hanya 4 pelajar bagi Pengajian Islam)" (langganan) (dalam bahasa Jerman). Neue Osnabräcker Zeitung. 18 Oktober 2007. Dicapai pada 2008-09-24.[pautan mati kekal]

Rujukan sunting

  • Blaschke, Jochen, (2004). Tolerated but Marginalised - Muslims in Germany (Diterima tetapi ditindas - Muslim di Jerman), dalam: Parabolis Verlagsabteilung im Europäischen Migrationszentrum (stg), State Policies towards Muslim Minorities. Sweden, Great Britain and Germany (Dasar-dasar Kerajaan terhadap Minoriti Muslim. Sweden, Britain dan Jerman). Kempten.
  • Koenig, Matthias, (2003). Staatsbürgerschaft und religiöse Pluralität in post-nationalen Konstellationen. Zum institutionellen Wandel europäischer Religionspolitik am Beispiel der Inkorporation muslimischer Immigranten in Großbritannien, Frankreich und Deutschland (Kerakyatan dan Kepelbagaian Agama dalam Pasca-Tatasusun Nasionalisme. Berkenaan Perubahan Institusi Politk Keagamaan Eropah - Contoh Penerimaan Pendatang Muslim di Britain, Perancis dan Jerman). Marburg: PhD, Universiti Marburg.
  • Schiffauer, Werner, (2005). Turks in Germany (Orang Turki di Jerman), dalam: Melvin Ember (stg), Communities: Encyclopedia of Diasporas (Masyarakat: Ensiklopedia Diaspora), Jilid 2. New York.
  • Schiffauer, Werner, (2006). Der unheimliche Muslim. Staatsbürgerschaft und zivilgesellschaftliche Ängste (Muslim yang pelik. Kerakyatan dan Kebimbangan Masyarakat Awam), dalam: Tezcan, Levent/Wohlrab-Sahr, Monika (stg), Konfliktfeld Islam in Europa (Islam di Eropah sebagai Lapangan Konflik). Munich.
  • Vollmer, Bastian, (2004). German Employment Strategies towards Immigrants and Ethnic Minorities (Strategi Pekerjaan Jerman terhadap Kumpulan Pendatang dan Minoriti Etnik), dalam: Blaschke, Jochen/ Vollmer, Bastian (stg), Employment Strategies for Immigrants in the European Union (Strategi Pekerjaan bagi Pendatang di Kesatuan Eropah). Berlin.
  • Wolbert, Barbara (1984). Migrationsbewältigung: Orientierungen und Strategien (Menguruskan Penghijrahan: Panduan dan Strategi). Göttingen: Edition Herodot.