Islam di Singapura


Islam merupakan agama yang minoriti di Singapura, dengan hampir 16% sahaja penduduknya mengamalkan ajaran Islam, menurut Banci Republik Singapura 2020 yang terkini. Kebanyakan rakyat Singapura yang beragama Islam ini secara tradisinya terdiri dari masyarakat Melayu. Masyarakat Melayu/Islam tempatan tidak lagi berkelompok di sesuatu lokasi. Sebaliknya mereka diselerakkan di seluruh Singapura.[1]

Bilangan umat Islam sunting

Menurut statistik dalam Banci Republik Singapura 2020 lagi, kira-kira 15.6% penduduk Singapura beragama Islam, dengan hampir 99% (bersamaan 442,368 daripada 447,747 penduduk Melayu) kekal beristiqamah dalam mengamalkan ajaran Islam, di mana masyarakat Melayu merangkumi 82% daripada umat Islam di negara ini. Malah, daripada keseluruhan 15.6% penduduk Islam di Singapura, terdapat sebahagian besar komuniti India Muslim yang membentuk 13% daripada komposisi umat Islam tempatan. 5% selebihnya turut diamalkan sebilangan penduduk etnik-etnik lain daripada masyarakat Cina/Tionghua, Serani, Arab, Siam dan Inggeris.

Profesor Hussin Mutalib dari Universiti Nasional Singapura (NUS) menyatakan sungguhpun bilangan orang Cina yang memeluk agama Islam juga kian meningkat sejak beberapa dekad yang lampau, akan tetapi peratusannya bagaimanapun masih mengalami lonjakan yang begitu perlahan. Banci yang diadakan setiap dekad menunjukkan anggaran peningkatan sekadar 0.1% bagi setiap dekad di kalangan orang Cina yang beragama Islam biarpun populasinya kian bertambah; Banci 2020 (0.5%) berbanding 1980 (0.1%).

Populasi umat Islam berdasarkan bancian mengikut etnik sunting

Jadual-jadual berikut memaparkan populasi dan peratusan penduduk di Singapura yang mengamalkan ajaran Islam berdasarkan etnik berbanding jumlah populasi keseluruhan penduduk di Singapura berdasarkan etnik mengikut Banci yang dicatatkan setiap dekad.


Cina

Banci Populasi Orang Cina di Singapura Populasi Orang Cina di Singapura yang beragama Islam Peratus +/-
1980 1,517,660 1,122 0.07% -
1990 1,782,300 3,600 0.20% +0.13%
2000 1,969,357 5,063 0.26% +0.06%
2010 2,349,505 8,332 0.36% +0.10%
2020 2,606,881 11,953 0.46% +0.10%


Melayu

Banci Populasi Orang Melayu di Singapura Populasi Orang Melayu/Islam di Singapura Peratus +/-
1980 294,121 292,174 99.34% -
1990 298,400 297,500 99.70% +0.36%
2000 315,198 313,780 99.55% -0.15%
2010 386,968 382,017 98.72% -0.83%
2020 447,747 442,368 98.80% +0.08%


India

Banci Populasi Orang India di Singapura Populasi Orang India di Singapura yang mengamalkan ajaran Islam Peratus +/-
1980 127,781 27,423 21.46% -
1990 150,200 39,500 26.30% +4.84%
2000 179,187 45,927 25.63% -0.67%
2010 265,223 57,546 21.70% -3.93%
2020 299,056 69,964 23.39% +1.69%

Majlis Ugama Islam Singapura sunting

Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) ditubuhkan pada 1966 bagi menguruskan hal ehwal undang-undang pentadbiran Islam, mahkamah Syar'iah, pentadbiran Masjid-Masjid dan Surau-Surau serta madrasah-madrasah seluruh negara, urusan menunaikan fardhu Haji, pengurusan Zakat dan harta Wakaf. MUIS memiliki harta jutaan dolar hasil sumbangan dan potongan gaji dari pelbagai pihak membabitkan para kakitangannya, asatizah-asatizah tempatan, mahupun di kalangan umat Islam tempatan sendiri.

Azan sunting

Minoriti Islam di Singapura tidak dibenarkan azan terlalu kuat. Oleh itu umat Islam di sana mengalihkan pembesar suara menghala ke dalam premis masjid atau surau dan jauh dari premis-premis kediaman sambil mengehadkan pembesar suara. Dengan adanya siaran radio, orang Islam kini boleh mengetahui waktu solat dengan membuka siaran radio. Pada 14 Julai 2010, Menteri Kanan Goh Chok Tong menjelaskan masjid dan surau tempatan tidak lagi menggunakan pembesar suara untuk azan dan ceramah sebagai tanda menghormati sensitiviti penduduk yang majoritinya terdiri daripada orang bukan Islam. Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) pada masa yang sama telah lama menerima hakikat dan akur bahawa Singapura adalah sebuah negara pelbagai kaum dan agama dengan kewujudan ruang bersama dan sekular untuk semua.

Tokoh, sarjana dan ulama Singapura mendapat pendidik dan inspirasi agama di negara majoriti Islam. Apabila kembali ke Singapura, di mana Islam adalah minoriti - amalan agama terpaksa diubahsuai.[2]

Tidak hanya membabitkan umat Islam, penyesuaian ini juga membabitkan penganut-penganut agama yang lain. Misalnya, penganut agama Buddha dan Tao tidak lagi membakar colok semasa sambutan perayaan di tokong-tokong mahupun di tempat-tempat terbuka. Malah, jumlah dan saiz colok turut dikurangkan dan amalan membakar colok hanya di premis tokong.

Lihat juga sunting

Rujukan sunting