Juan Manuel de Rosas

Juan Manuel de Rosas (1793-1877), dilahirkan dengan nama Juan Manuel José Domingo Ortiz de Rozas y López de Osornio, ialah ahli politik konservatif yang memerintah Argentina antara tahun-tahun 1829 - 1832 dan 1835 - 1851. Rosas merupakan salah satu caudillo (pemimpin politik ketenteraan) utama yang pertama di Amerika Latin

Juan Manuel de Rosas
Dalam jawatan
Disember 1829 – Disember 1832
Mac 1835 - 3 Februari 1851
Didahului olehJeneral Manuel Dorrego (1828)
Manuel Vicente Maza (1835)
Digantikan olehJuan Ramón González de (1833)
Vicente López y Planes (1852)
Butiran peribadi
Lahir30 Mac 1793
Buenos Aires
Meninggal dunia14 Mac 1877
Southampton, Hampshire, England
KerakyatanArgentina
Parti politikFederal
PasanganEncarnación de Escurra

Biografi ringkas sunting

Rosas dilahirkan dalam sebuah keluarga bangsawan. Anak sulung dengan 20 adik beradik, beliau tidak berminat dengan sekolah dan lebih gemar hidup di ladang ternak atau estancia. Disebabkan pendidikannya yang tidak tinggi beliau kemudiannya bermusuhan dengan mereka yang dianggap golongan intelektual. Namun, minatnya dalam ladang ternak telah menjadikannya seorang peladang ternak lembu yang berpengaruh dan yang menguasai pampas sempadan Argentina. Beliau memulakan kerjaya politiknya pada tahun 1820 ketika berumur 27 tahun apabila dipilih sebagai salah satu ketua pasukan gaucho (penduduk pampas) bagi parti politik konservatif. Dengan bantuan gaucho, beliau menewaskan pasukan ekspedisi British pada tahun tersebut.

Selepas pembuangan dan pembunuhan Manuel Dorrego pada tahun 1828, Rosas menjadi ketua persekutuan. Kebangkitannya untuk berkuasa melambangkan kebangkitan estancieros yang merupakan oligarki tanah yang baru yang berdasarkan penternakan komersil. Walaupun demikian, sebagai seorang ketua konservatif, Rosas memaparkan diri sebagai pejuang rakyat yang boleh memahami kelas pekerja gaucho dan orang Amerika-Afrika. Pada sepanjang pemerintahannya yang kemudian, beliau mempergunakan idaman "pejuang rakyat"-nya untuk menyatukan Argentina. Para penyokong Rosas menggelar diri sebagai "Rosistas".

Pada tahun 1829, Rosas menjadi gabenor Buenos Aires selepas menewaskan Juan Lavalle. Dibantu oleh Estanislao López dan Juan Facundo Quiroga, beliau melancarkan sebuah kempen yang banyak menumpahkan darah terhadap puak unitarian dan memusnahkan gerakan mereka, sekurang-sekurangnya buat sementara.

Pada tahun 1831, Luis Vernet, gabenor Kepulauan Falkland Argentina, merampas kapal-kapal pemburuan anjing laut Amerika Syarikat kerana kegiatan yang menyalahi undang-undang. Sebagai balasan, sebuah kapal perang Amerika Syarikat memusnahkan petempatan Argentina di Falkland, dan meninggalkan banduan-banduan dan lanun-lanun di sana. Pada bulan November 1832, seorang gabenor Argentina yang baru tiba di Falkland tetapi dibunuh dalam sebuah dahagi. Walaupun seorang komander kapal mengambil alih tanggungjawabnya, United Kingdom menuntut semula Kepulauan Falkland dan menawannya pada Januari 1833.

Antara tahun-tahun 1832 - 1835 ketika Rosas tidak dipilih sebagai gabenor, beliau melancarkan sebuah kempen ketenteraan yang berjaya untuk merampas tanah-tanah orang asli di Argentina Selatan. Rosas menjadi gabenor semula pada tahun 1835. Beliau hendak menghapuskan sebarang pengaruh Eropah di Argentina dan memupuk rasa faham kebangsaan di kalangan penduduk Argentina. Cita-citanya menyebabkan Rosas masuk campur dalam hal-ehwal Uruguay, dengan beliau menyokong Manuel Oribe. Percubaannya untuk menjadikan semula Uruguay dan Paraguay sebagai provinsi-provinsi Argentina mengakibatkan dua kepungan oleh Perancis dan Great Britain masing-masing pada tahun-tahun 1838 - 1840 dan tahun-tahun 1845 - 1850. Pengepungan-pengepungan tersebut amat menjejaskan perdagangan Argentina.

Melalui komplot dan persediaan dengan beberapa ketua provinsi, Rosas kemudian menjadi diktator terhadap kebanyakan kawasan Argentina. Secara praktik, politiknya adalah anti fahaman persekutuan walaupun kesetiaan rasminya. Rosas kemudian melambangkan hegemoni Buenos Aires dan kerajaannya menjadi sebuah pemerintahan yang zalim. Beliau membunuh penentang-penentangnya serta juga sesiapa yang tidak menyokongnya. Dibantu oleh para perisik, ahli propaganda, dan kelab Mazorca (polis rahsia yang kemudian merosot menjadi segerombolan pembunuh), Rosas memulakan sebuah rejim terorisme.

Walaupun Rosas dipuji-puji di khalayak ramai, pemberontakan-pemberontakan yang berterusan dirancang terhadap pemerintahannya. Kumpulan-kumpulan pemberontak rahsia, khususnya Asociación de Mayo yang diasaskan oleh Esteban Echeverría, dibentuk. Secara ironi melalui pengusiran banyak tokoh Argentina yang hidup dalam buangan di negara-negara seperti Uruguay dan Chile — umpamanya ahli-ahli puak liberal seperti Juan Bautista Alberdi, Bartolomé Mitre, dan khususnya Domingo Faustino Sarmiento — Rosas dengan tidak sengaja telah menyumbangkan kepada penciptaan banyak buku klasik tentang kesusasteraan dan analisis sosial Amerika Selatan.

Kezaliman rejim serta penjajarannya dengan Gereja Roman Katolik ditonjolkan dalam hukuman mati Ladislao Gutiérrez, paderi Jesuit, dan Camila O'Gorman yang ketika itu berumur 20 tahun dan lapan bulan dalam kehamilan. O'Gorman dan Gutiérrez melarikan diri ke Buenos Aires untuk meneruskan hubungan cinta mereka dan kekal dalam penyembunyian berhampiran dengan sempadan Brazil. Walaupun demikian, mereka akhirnya dijumpai dan ditangkap. Rosas mengeluarkan dekrinya untuk melaksanakan hukuman tersebut dan dengan itu, kedua-dua mereka menghadapi pasukan penembak pada 18 Ogos 1848 di Santos Lugares, berhampiran dengan Buenos Aires. Cerita mereka merupakan tajuk filem Camila yang diterbitkan oleh María Luisa Bemberg pada tahun 1984.

Sebagaimana yang dihuraikan oleh Charles Darwin dalam bukunya, Pelayaran Beagle, beliau bertemu dengan Rosas yang ketika itu sedang menghapuskan orang Indian. Darwin memerihalkan Rosas sebagai seorang penunggang kuda yang sempurna serta juga seorang yang mempunyai peribadi yang luar biasa yang mematuhi gaya pakaian dan tabiat orang gaucho dan oleh itu, "memperoleh suatu kepopularan yang tidak terbatas di negaranya serta juga kuasa kuku besi". Darwin memasukkan sebuah cerita tentang bagaimana Rosas menghukum diri dengan mengenakan pasung apabila beliau tidak sengaja mencabuli peraturan sendiri kerana mempersenjatai diri dengan pisau pada hari Ahad. Ini menarik hati Darwin tentang rasa egalitarianisme dan keadilan Rosas.

Pada 20 September 1851, Rosas menjadi Ketua Agung Gabungan Argentina, sebuah jawatan baru yang menyebabkannya menjadi diktator negara secara berkesan. Walaupun demikian, pada tahun 1852, beliau digulingkan oleh Justo José de Urquiza yang disokong oleh Uruguay dan Brazil. Tenteranya ditewaskan di Monte Caseros pada 1852 dan Rosas melarikan diri ke England dan mengakhiri hayatnya dalam buangan sebagai seorang petani di Southampton.

Sila lihat sunting

Rujukan sunting

  • Argentine Caudillo: Juan Manuel de Rosas, oleh John Lynch (1981, 2001).