Kadazan atau dikenali juga sebagai Bangsa Kadazan (atau Kadazanian) ialah kelompok etnik bumiputera bagi negeri Sabah di Malaysia dengan jumlah penetapan penduduk yang terbesar di kawasan Pantai Barat Sabah. perbezaan yang ketara diantara Kadazan dan Dusun ialah kawasan penetapan penduduk, tradisi, kegiatan ekonomi dan juga sebutan konsonannya dalam perbualan seharian.

  • Kaum Kadazan umumnya menduduki kawasan tanah rendah dengan kepadatan hutan yang rendah, manakala kaum Dusun pula menduduki kawasan bukit dengan kepadatan hutan yang tinggi.
  • Sementara kaum Kadazan mempunyai kemahiran yang tinggi dalam menanam dan menghasilkan jumlah padi yang tinggi, kaum Dusun pula mempunyai kemahiran yang tinggi dalam berburu di hutan, dan juga pertanian lereng bukit.
  • Kaum Kadazan kerap menggunakan konsonan V, Z dan L dalam pertuturan seharian, sementara kaum Dusun pula lebih kerap menggunakan konsonan W, Y dan R dalam pertuturan seharian; contohnya "ngawi"(Dusun) dan "ngavi"(Kadazan) yang bermaksud "habis", "tagayo"(Dusun) dan "tagazo"(Kadazan) yang bermaksud "besar", dan juga "karaja"(Dusun) dan "kalaja"(Kadazan) yang bermaksud "kerja".[1]
Kadazan
Bobohizan Kadazan berpakaian tradisi Kadazan Penampang
Kawasan ramai penduduk
Malaysia Malaysia:
(Sabah,Labuan)
Bahasa
Kadazan, Melayu, Inggeris
Agama
Kristian, Islam, Momolianisme
Kumpulan etnik berkaitan
Kadazan-Dusun, Dayak, Murut, Lundayeh / Lun Bawang, Rungus, Orang Dusun, Orang Sungai, Idahan

Disebabkan terdapat beberapa kesamaan struktur budaya, tradisi dan linguistik kaum Kadazan dengan kaum Dusun, dan juga atas sebab inisiatif politik, istilah baharu "Kadazan-Dusun" diwujudkan bagi menggabungkan kedua kaum ini. Kini, etnik Kadazan-Dusun merupakan kelompok etnik terbesar di Sabah dan diiktiraf sebagai etnik masyarakat orang asal Borneo Utara dengan warisan dan budaya yang didokumenkan oleh United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO) sejak tahun 2004.[2]

Ras dan segregasi ras sunting

 
Panduan klasifikasi morfologi wajah

Etnik Kadazandusun termasuk dalam kelompok ras mongoloid, kelompok segregasi malayan-mongoloid, dengan klasifikasi morfologi wajah yang dominan pada Kelas 1.[3] Manusia kelompok ras mongoloid merupakan kelompok manusia dalam klasifikasi fizikal berambut hitam dan lurus, warna pigmen kulit daripada variasi kuning langsat dan sawo matang, warna mata coklat dengan variasi tona coklat cerah ke coklat gelap, dan julat ketinggian tubuh dari 150CM ke 165CM.[4] Malayan-mongoloid pula merupakan segregasi kelompok manusia ras mongoloid yang mendiami kawasan Asia Tenggara hingga ke Asia Timur. Klasifikasi morfologi wajah pula merupakan garis panduan bidang sosiologi manusia dalam kajian klasifikasi struktur wajah manusia bagi penetapan ciri-ciri khusus wajah pada setiap ras dan juga segregasi ras manusia.[5]

Kesalinghubungan genetik melalui distribusi ras dan genetik mongoloid sunting

Satu kertas kajian tentang asal-usul Dusun Borneo Utara melalui kaedah DNA (SNP) oleh Universiti Malaysia Sabah (2018)[6] merumuskan bahawa orang Dusun Borneo Utara (Sabah) secara umumnya memiliki persamaan ciri-ciri DNA yang lebih dekat dengan warga asli Taiwan dari suku Ami dan Atayal, dan juga suku bukan-Austro-Melanesian di Filipina; seperti Visaya, Tagalog, Ilicano, Minanubu, daripada penduduk lain di Borneo. Kesemua etnik yang disebut ini jatuh dalam kumpulan ras dan segregasi ras yang sama, iaitu ras malayan-mongoloid.

Asal usul istilah 'Kadazan' sunting

Walaupun tidak terdapat rekod sejarah yang sahih mengenai asal usul istilah "Kadazan", namun demikian satu kajian telah dijalankan oleh Richard Francis Tunggolou, di mana beliau telah menerangkan secara terperinci mengenai teori-teori megenai asal usul istilah "Kadazan". Antara akhir tahun 1950-an dan awal 1960-an, telah tersebar satu teori masyarakat yang mengatakan bahawa istilah "Kadazan" merupakan derivatif daripada perkataan "kakadazan" yang bermaksud pekan/bandar, atau "kadai" yang bermaksud kedai. Masyarakat juga membuat spekulasi bahawa istilah derivatif ini digunakan bagi merujuk kepada masyarakat yang tinggal di kawasan pekan/bandar, atau berhampiran dengan kedai. Walau bagaimanapun, terdapat satu bukti penulisan bahawa istilah "Kadazan" telah lama digunakan sebelum tahun 1950-an. Menurut Owen Rutter (Pagan Borneo Utara, 1929, p31) dalam terjemahan ke bahasa melayu, "warga Dusun yang tinggal di kawasan Pantai Barat Utara biasanya merujuk dirinya sebagai Tulun Tindal (orang Tindal), manakala yang tinggal di kawasan jalur Pantai Barat, kususnya di Papar, merujuk diri mereka sebagai Kadazan".[7] Rutter mula tinggal dan bekerja di Sabah pada tahun 1910, dan hanya meninggalkan Sabah pada tahun 1914. Sepanjang tempoh ini, daerah Penampang dan Papar masih belum dibangunkan sebagai bandar/pekan, dengan itu menolak sama sekali teori derivatif daripada spekulasi masyarakat tempatan. Untuk carian maklumat yang lebih persis dan tepat tentang maksud sebenar istilah "Kadazan" ini, dua rahib tradisi kebudayaan Kadazandusun, yang juga disebut sebagai Bobolian(dusun) atau Bobohizan(kadazan) telah ditemuramah. Apabila bobolian yang berketurunan Dusun Lotud itu ditanya tentang makna dan definisi "Kadazan", jawapan beliau ialah "anak/rakyat negeri". Takrifan ini telah disahkan apabila bobohizan Dousia Moujing yang berketurunan Kadazan Penampang juga mengesahkan bahawa istilah "Kadazan" telah lama digunakan dalam merujuk kepada "orang asal negeri". Pengesahan ini telah membuktikan kenyataan penulisan Owen Rutter dalam bukunya.[8]

Agama sunting

Agama orang-orang Kadazan dahulu adalah "Momolian". Sekarang, kebanyakan telah bertukar agama kepada Kristian dan Islam. Majoriti orang-orang Kadazan yang beragama Kristian adalah "Katolik".

Budaya dan masyarakat sunting

Pesta menuai sunting

Pesta menuai yang juga disebut sebagai "Tadau Tagazo Kaamatan" merupakan perayaan tahunan masyarakat Kadazan di Sabah yang diadakan pada setiap 30 dan 31 Mei. Menurut budaya turun temurun, Tadau Kaamatan diadakan selepas musim menuai padi untuk memuja semangat padi yang juga disebut sebagai "magavau" dalam bahasa Kadazan. Secara detailnya, "magavau" merupakan salah satu daripada upacara terpenting dalam perayaan Tadau Kaamatan.[9]

Kini, majoriti kaum Kadazan telah menganuti agama Kristian dan juga Islam. Walaupun Kaamatan masih dirayakan mengikut amalan tradisi tahunan, namun perayaannya sudah tidak lagi dibuat bagi memenuhi tuntutan adat dan tradisi spiritual nenek moyang, tetapi lebih kepada misi untuk memperingati dan menghormati adat dan tradisi nenek moyang. Hari ini, Kaamatan lebih simbolik kepada hari reuni bersama keluarga tersayang, dan juga hari untuk berpesta bagi kaum Kadazan-dusun. Secara domestiknya, Kaamatan hari ini dirayakan selari dengan tuntutan agama anutan dan juga kemahuan individu tersendiri; dengan pilihan samada mahu atau tidak menghidangkan makanan dan minuman tidak-halal seperti masakan daging babi dan arak. Pada peringkat negeri pula, pesta Kaamatan disambut dengan pelbagai warna warni tentatif pesta seperti persembahan seni tari kebudayaan, jualan tamu, warung minuman keras dan makanan tradisi, persembahan dan jualan kraftangan di rumah-rumah tradisi, pertandingan menyanyi sugandoi dan juga pertandingan ratu cantik Unduk Ngadau.[10]

Tarian sumazau sunting

Tarian Sumazau hari ini sinonim dengan sambutan pesta Kaamatan. Lazimnya, tarian ini ditarikan oleh sepasang lelaki dan wanita yang wajib berbaju hitam, sigar bagi lelaki, dan saraung bagi wanita. Tarian ini biasanya diiringi dengan paluan tujuh atau lapan gong. Gerakan pemula bagi tarian sumazau ialah hayunan tangan kehadapan dan kebelakang sambil tubuh dienjut ke kiri dan ke kanan. Setelah gerak tari pemula ini telah bersepadu dengan paluan gong, penari lelaki akan bertempik "heeeeee!" menandakan telah tiba masa untuk menukar gerak tari. Tempikan ini akan diikuti perubahan gerak tari dengan tangan diangkat secara mendepa ke sisi tubuh, dan gerakan pergelangan tangan ke atas dan bawah menyerupai gerakan burung terbang melayang.[11]

Pakaian tradisi sunting

Lazimnya, pakaian tradisi kaum Kadazan disebut baju koubasanan, diperbuat daripada kain baldu berwarna hitam yang ditatah-rias menggunakan pelbagai hiasan seperti manik-manik, bunga-bunga, butang berwarna, renda keemasan, labuci dan juga tenunan. Pemakaian pakaian tradisi juga diikuti dengan pemakaian aksesori barangan kemas seperti gelang belilit, tali pinggang yang diperbuat daripada kepingan duit syiling besi, dan juga kerongsang. Aksesori lainnya ialah siga bagi lelaki, siung bagi wanita. Hiasan dan gaya pemakaian pakaian tradisi berbeza mengikut daerah dan boleh dirujuk di sini.[12]

Muzik tradisi sunting

 
Pemalu gong pada musim Kaamatan

Kebanyakan alat-alat muzik di Sabah diperbuat daripada bahan-bahan asli. Seperti contoh, suling (seruling), sompoton dan togunggak diperbuat daripada buluh bambu.

Alat-alat muzik di Sabah dikelaskan kepada Kordofon(tongkungon, gambus,sundatang atau gagayan), Erofon(suling, turali atau tuahi, bungkau dan sompoton), dan Idofon(togunggak, gong,kulintangan) dan membranofon (kompang,gendang atau tontog).

Alatan muzik yang lazim dimainkan di dalam upacara dan majlis Kadazan ialah gong, dan kulintangan. Paluan gong dengan iringan kulintangan biasanya berbeza mengikut daerah, dan paluan gong yang sering dimainkan di majlis kebudayaan rasmi ialah paluan gong daripada daerah Penampang.[13]

Kraftangan sunting

 
Koleksi wakid dan barait pelbagai saiz

Kaum Kadazan-dusun menggunakan bahan asli dalam menghasilkan kraftangan, termasuklah bambu, rotan, lias, labu air dan kayu. Antara hasil kraftangan yang sinonim dengan etnik kadazandusun ialah wakid, barait, sompoton, pinakol, topi siung, parang dan gayang.[14]

Sebelum hasil kraftangan ini dipromosi dan dikomersialkan sebagai ikon fesyen dan juga khazanah kebudayaan negeri Sabah bagi kaum Kadazandusun, sebahagian daripada hasil tangan ini dahulunya digunakan warga kadazandusun secara praktikal dalam kehidupan seharian. Wakid dan barait digunakan untuk mengangkat barang, khususnya hasil kutipan dari kebun. Pinakol pula digunakan dalam upacara-upacara penting, seperti upacara perkahwinan dan juga kematian bergantung kepada warna manik pada pinakol yang digunakan. Sompoton pula digunakan masyarakat kadazandusun sebagai alat muzik. Parang dan gayang pula digunakan dalam aktiviti berkebun, menebas semak dan juga sebagai senjata pada zaman perang saudara yang secara tidak langsung telah membuatkan etnik kadazandusun pada zaman itu digelar sebagai pengait, ataupun pemburu kepala.[15]

Pemburu kepala sunting

 
Rumah Tengkorak Monsopiad

Amalan memburu kepala merupakan salah satu tradisi kuno yang pernah diamalkan oleh masyarakat Kadazandusun.[15] Pemenggal kepala ini digelar sebagai pengait atau tonggorib.[16] Kepala musuh yang dipenggal akan dibawa pulang bukan sahaja sebagai trofi kemenangan, tetapi juga sebagai objek pemujaan roh dan amalan perubatan. Pemenggalan kepala tidak dilakukan untuk tujuan perang semata-mata, tetapi juga untuk memenuhi tuntutan persepsi masyarakat pada zaman itu, dan juga memenuhi syarat ritual-ritual kuno.[17] Masyarakat kuno Kadazandusun meletakkan keperkasaan seorang lelaki pada kekuatan fizikal dan keberaniannya untuk berperang dan memenggal kepala musuh. Etnik yang terkenal dengan amalan memenggal kepala di Sabah ialah Kadazandusun, Rungus dan Murut. Pantang utama amalan memenggal kepala ialah, musuh wajib dalam keadaan masih hidup saat kepalanya dipenggal. Ini kerana kepala yang dipenggal daripada orang yang telah meninggal tidak bermakna untuk disimpan.

Terdapat lima faktor utama yang membetuk objektif pemenggalan kepala dilakukan.

  • Bagi situasi perang besar
    • Kepala pihak musuh dipenggal untuk tujuan membuktikan kekuatan pahlawan dan puak
    • Pengumpulan kepala pihak lawan sebanyak yang mungkin (lebih banyak kepala bermaksud telah banyak musuh yang telah berjaya dikalahkan)
    • Kepala akan disimpan di dalam rumah tengkorak(bangkawan) milik puak yang menang.[18][19]
  • Bagi situasi perang kecil atau perang keluarga
    • Kepala pihak musuh dan keluarga dipenggal dengan tujuan menghapuskan keluarga musuh secara total
    • Kepala musuh akan disimpan di rumah keluarga yang menang[19]
  • Bagi tujuan memperkasakan kelelakian
    • Seorang lelaki wajib memenggal kepala untuk menjadi lelaki perkasa kalau tidak mahu dianggap sebagai pengecut
    • Lelaki yang tidak berani/pernah memenggal kepala musuh tidak layak memiliki pasangan hidup kerana dikhuatiri tidak akan dapat melindungi isteri dan keluarganya[19]
  • Bagi tujuan menjadi ketua kampung
    • Lelaki wajib memperoleh sekurang-kurangnya 10 kepala musuh bagi memperoleh kehormatan daripada puaknya
    • 10 kepala ini juga penting bagi meyakinkan puaknya bahawa dia layak mengetuai perang[19]
  • Bagi tujuan memperkasakan kegagahan seorang pahlawan
    • Masyarakat dahulu percaya bahawa kekuatan dan semangat musuh akan diperoleh oleh pahlawan yang memenggal kepalanya[19]

Kepala-kepala yang dipenggal akan disimpan dan dijaga rapi dengan menggunakan amalan dan ritual kuno. Masyarakat dahulu percaya bahawa roh dan semangat seseorang individu terletak pada kepalanya yang disebut sebagai "tandahau". Oleh itu, kepala-kepala ini tidak hanya disimpan sebagai trofi kemenangan semata-mata, tetapi juga digunakan sebagai objek dalam ritual keagamaan dan juga perubatan.[16]

Antara kegunaan kepala-kepala ini ialah sebagai penjaga rumah. Masyarakat Kadazandusun kuno percaya bahawa sebuah rumah harus mempunyai penjaganya. Maka, mereka akan menggunakan semangat 'tandahau' daripada kepala ini bagi tujuan melindungi rumah dan penghuninya daripada serangan musuh dan binatang buas. Kegunaan kepala-kepala ini juga penting untuk diletakkan di bawah jambatan yang baru dibina. Masyarakat kuno Kadazandusun percaya bahawa setiap sungai ada semangat air yang juga disebut sebagai "tambaig". Kepala-kepala ini akan diletak atau digantung pada jambatan sebagai persembahan damai buat tambaig supaya jambatan yang dibina tidak dirobohkan oleh tambaig. Kepala-kepala ini juga digunakan oleh bobohizan atau bobolian sebagai tujuan perubatan, dan pemujaan roh nenek moyang.[16][17]

Senjata yang lazim digunakan pahlawan kuno masyarakat Kadazandusun untuk memburu kepala adalah Ilang sakuit/mandau, gayang dan juga tandus/adus. Peralatan lain yang wajib ada ketika memburu kepala adalah taming kayu yang digunakan sebagai perisai.[19][16]

Lihat juga sunting

Catatan sunting


Rujukan sunting

  1. ^ White, Tessie (5 Mac 2012). "Berbezakah Etnik Kadazan dan Dusun ?". Blogspot. Dicapai pada 27 Januari 2018.
  2. ^ United Nations, Discovery Channel (1 Januari 2004). "Kadazandusun, Malaysia". UNESCO. Dicapai pada 1 Januari 2004.
  3. ^ Atmadja, Hengki (10 November 2016). "BAB 3METODOLOGI PENELITIAN". Docplayer.
  4. ^ Maryati, Kun (10 November 2016). "Sosiologi untuk SMA". Amazon.com.
  5. ^ Singha Roy, Abishek (9 September 2012). "Jaw Morphology and Vertical Facial Types" (PDF). semanticscholar. Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 2019-02-27. Dicapai pada 2020-03-21.
  6. ^ Genetic relatedness of indigenous ethnic groups in northern Borneo to neighboring populations from Southeast Asia, as inferred from genome-wide SNP data https://www.researchgate.net/publication/323665511
  7. ^ Rutter, Owen (1 Januari 1929). "The Pagans of North Borneo". Universiti Oxford. Dicapai pada 18 Mac 2018.
  8. ^ Essays, UK (16 Mei 2017). "Origins Of The Kadazan People". UK Essays. Dicapai pada 30 November 2019.
  9. ^ Admin, Dbp. "PESTA MENUAI". Dewan Bahasa dan Pustaka. Dicapai pada 6 September 2018.
  10. ^ Unnip Abdullah, Mohn Izham (29 Mei 2019). "Kemuncak sambutan Kaamatan: Ribuan pengunjung banjiri Hongkod Koisaan". Berita Harian. Dicapai pada 27 Disember 2019.
  11. ^ A. Majik, Suheimi (20 Mei 2019). "Tarian Sumazau, lambang falsafah etnik Kadazandusun di masa silam". The Patriots Asia. Dicapai pada 26 November 2019.
  12. ^ Edu, Sabah. "Pakaian Tradisi". Sabah Edu. Dicapai pada 6 September 2018.
  13. ^ Edu, Sabah. "Muzik Tradisional". Sabah Edu. Dicapai pada 6 September 2018.
  14. ^ Jabatan, Penerangan (9 April 2018). "Kraftangan Tradisi Imbau Memori Zaman Kanak-kanak". Utusan Borneo. Dicapai pada 6 September 2018.
  15. ^ a b Unnip Abdullah, Mohn Izham (13 Oktober 2018). "Kisah pengait, pemburu kepala perlu dikaji, dibukukan". Berita Harian. Dicapai pada 27 September 2018.
  16. ^ a b c d Bujang, Haslina (21 Mac 2019). "Pengait @ Tonggorib: Pemburu Kepala di Sabah". The Patriots Asia. Dicapai pada 24 Disember 2019.
  17. ^ a b Sintian, Minah (20 Januari 2014). "Amalan Memotong Kepala dalam Masyarakat Primitif Kadazandusun: Survival atau Budaya?". ResearchGate. Dicapai pada 21 Disember 2019.
  18. ^ Unnip Abdullah, Mohn Izham (18 Jun 2015). "Tengkorak musuh bukti kegagahan Pahlawan Monsopiad". Berita Harian. Dicapai pada 23 Disember 2019.
  19. ^ a b c d e f Madkauw, Faridah. "ADAT MEMENGGAL KEPALA DI SABAH". Berita Harian. Dicapai pada 23 Disember 2019.