Kampung Tamu Darat

Kampung Tamu Darat atau dikenali sebagai Kampung Pinasang Tamu Darat ialah sebuah kampung yang terletak di daerah Kota Belud, Sabah. Kampung ini terletak kira-kira 11km dari pekan Kota Belud. Majoriti penduduk kampung ini berbangsa Dusun dan beragama Kristian. Tetapi ada beberapa buah keluarga yang beragama Islam yang menetap di kampung itu.

Pinasang Tamu Darat
Nama samaran: 'Batu 7'
Kepadatan
 - Jumlah 600 orang(anggaran)
Zon masa MST (UTC+8)
Laman web: http://telecentre.my/kampungtamudarat/index.php/ms/sejarah.html

Kampung Pinasang Tamu Darat telah mula didiami sejak zaman British lagi. Beberapa penduduk dari Kampung Pinasang iaitu kampung yang dipercayai wujud sejak kurun ke-18 telah mulai menerokai kawasan sekitar Kampung Pinasang Tamu Darat iaitu perkampungan baru dengan tujuan penanaman padi. Pada masa itu, kawasan perkampungan baru iaitu Kampung Pinasang Tamu Darat hanya dikenali sebagai Kampung Lipantai sahaja oleh penduduk Kampung Pinasang.

Dipercayai bahawa Kampung Lipantai mula diduduki oleh mereka lebih kurang 15 tahun sebelum kedatangan Jepun dalam Perang Dunia Kedua (1941-1945). Apabila tentera Jepun menyerang Borneo Utara, penduduk Kampung Lipantai kembali semula ke Kampung Pinasang untuk mengelak kezaliman tentera Jepun.

Asal-usul nama sunting

Tamu Darat mendapat namanya adalah disebabkan oleh kewujudan kawasan tamu di tepi Sungai Kadamaian sewaktu zaman British lagi iaitu sebelum pendudukan tentera Jepun. Satu-satunya tamu yang wujud pada ketika itu ialah penduduk di sekitar Kota Belud menamakannya sebagai Tamu Darat yang bermaksud tamu di sebelah hulu.

Namun, apabila tentera Jepun datang ke kawasan ini, tamu tersebut tidak beroperasi lagi. Sejak itu, kawasan tersebut tidak digunakan lagi sehingga menjadi kawasan hutan belukar. Kawasan tamu tersebut tidak wujud lagi, namun namanya diambil sebagai nama kampung yang ada sekarang ini. Bekas tapak tamu tersebut kini dijadikan sebagai tapak rumah, sawah dan Pejabat Pertanian bagi tujuan penyelidikan.

Memandangkan sebahagian besar penduduk Kampung Tamu Darat berasal dari Kampung Pinasang, maka pada tahun 1984, satu usul telah dibuat oleh Pengerusi JKKK Kampung Tamu Darat pada ketika itu iaitu OKK Haji Razalee Goroh agar nama Pinasang digabungkan dengan nama Tamu Darat. Usul ini telah diterima dengan sebulat suara oleh penduduk Kampung Tamu Darat dan disokong sepenuhnya oleh bahagian pentabiran luar bandar Pejabat Daerah Kota Belud. Kini, Kampung Tamu Darat dikenali sebagai Kampung Pinasang Tamu Darat. Keturunan yang terdapat di Kampung tersebut adalah keturunan yang ke-10 dari nenek moyang yang mendiami Kampung Pinasang sejak kurun ke-18 lagi.

Penduduk sunting

Kampung Pinasang Tamu Darat dihuni oleh 101 keluarga yang merangkumi jumlah keseluruhan penduduk seramai 587 orang. Penduduk dewasa adalah golongan yang paling ramai mendiami kampung ini iaitu seramai 243 orang, diikuti kanak-kanak 182 orang, remaja 89 dan warga emas 73 orang. Kampung ini menempatkan sebanyak 92 buah rumah.

Dusun, Sino-Dusun dan lain-lain adalah antara urutan kaum yang mendiami Kampung Pinasang Tamu Darat ini. Penduduk kampung yang majoritinya berbangsa Dusun hidup dalam keadaan harmoni di antara satu sama lain. Kehidupan yang didasarkan kepada kerohanian sedikit sebanyak banyak membantu mereka mengekalkan kesejahteraan di dalam kampung tersebut. 95 peratus penduduk beragama Kristian manakala selebihnya beragama Islam.

Keadaan rumah-rumah di kampung ini berhampiran antara satu sama lain. Walau bagaimanapun, terdapat juga rumah-rumah yang didirikan secara terpisah-pisah. Ini kerana mereka telah mula membina rumah-rumah mereka di atas tapak tanah mereka sendiri yang berkeluasan sekitar 0.4 hektar. Situasi ini menyebabkan corak penempatan mereka di situ adalah secara berkelompok dan berselerak.

Terdapat beberapa tokoh yang pernah lahir di Kampung Pinasang Tamu Darat ini pada suatu ketika dahulu. Salah satunya ialah mendiang N.C. Goroh Tahiron yang pernah berkhidmat sebagai Ketua Kampung dan Ketua Anak Negeri Kota Belud. Antara jasanya yang tetap menjadi ingatan penduduk kampung tersebut hingga ke hari ini ialah daya usahanya di dalam memimpin demi kebaikan serta peningkatan taraf ekonomi di kalangan masyarakatnya.

Tokoh kedua yang pernah lahir di dalam Kampung Pinasang Tamu Darat ini ialah mendiang Datuk Baggai Basirun. Nama Datuk Baggai Basirun juga tetap menjadi kenangan di dalam kotak fikiran masyarakat kampung ini atas jasanya demi memajukan masyarakatnya. Sumbangan kedua-dua tokoh di atas tetap diteruskan oleh generasi yang seterusnya demi mengangkat martabat masyarakat di Kampung Pinasang Tamu Darat dan di kampung-kampung sekitarnya.

Sosioekonomi sunting

Lebih kurang 50 peratus penduduk di Kampung Pinasang Tamu Darat bekerja sebagai penoreh getah. Mereka mengusahakan projek tanaman getah secara berkelompok yang dibiayai sepenuhnya oleh pihak kerajaan. Projek tersebut adalah di bawah seliaan Lembaga Tabung Getah Sabah selama lebih kurang lima tahun pertama pada awal penanamannya. Kemudian, pada tahun-tahun yang seterusnya, para pemilik getah kelompok itu sendiri yakni penduduk Kampung Pinasang Tamu Darat yang akan melakukan usaha-usaha penjagaan sehingga mereka meraih hasil torehan getah mereka masing-masing.

Penduduk juga turut berkhidmat di sektor kerajaan dan yang selebihnya bekerja di sektor swasta, berniaga dan bekerja sendiri. Kebanyakan penduduk yang berkhidmat dengan kerajaan bekerja sebagai guru, pegawai kerajaan, jururawat dan pelbagai lagi jawatan sama ada tinggi mahupun rendah di dalam pelbagai jawatan.

Antara aktiviti ekonomi yang giat dijalankan di Kampung Pinasang Tamu Darat ialah mengusahakan bengkel membaiki dan membersihkan kenderaan, mini stesen minyak, mini pengisar padi, kedai makan, kedai runcit dan sebagainya. Purata pendapatan penduduk yang bekerja sendiri dalam sebulan yang terdiri daripada golongan petani, peniaga dan lain-lain di kampung ini ialah lebih kurang RM250 hingga RM1,000. Manakala, bagi mereka yang bekerja di sektor kerajaan dan swasta dengan bergaji tetap mampu memperoleh pendapatan dari RM750 hingga RM1,200 sebulan.

Sumber sunting

http://telecentre.my/kampungtamudarat/index.php/ms/sejarah.html[pautan mati kekal]