Kansas Berdarah (bahasa Inggeris: Bleeding Kansas), kadang-kadang dirujuk dalam sejarah sebagai Perang Sempadan adalah satu siri peristiwa ganas yang melibatkan penduduk peneroka di Kansas yang anti perhambaan (dikenali dengan “Free-Staters”) dengan mereka yang menyokong perhambaan (dikenali sebagai Ruffian). Peristiwa ini berlangsung di Wilayah Kansas dan pekan di barat Missouri di antara tahun 1854 dan 1858. Konflik lebih kepada sama ada Kansas menyertai Kesatuan sebagai negeri bebas (anti-perhambaan) atau negeri hamba (pro-perhambaan). Kerana itu, Kansas Berdarah adalah perang proksi di antara penduduk utara dan penduduk selatan berkenaan isu perhambaan di Amerika Syarikat. Istilah Kansas Berdarah diperkenalkan oleh Horace Greeley dari New York Tribune; peristiwa ini membawa kepada Perang Saudara Amerika.

Amerika Syarikat sudah lama bertarung untuk mengimbangi tuntutan pemilik hamba dan mereka yang menentang perhambaan (dikenali sebagai abolisionis). Peristiwa yang kemudian dikenali sebagai Kansas Berdarah berlaku rentetan daripada Akta Kansas-Nebraska 1854 yang membatalkan Kompromi Missouri dan memperkenalkan konsep kedaulatan popular. kedaulatan popular, satu idea demokrasi, menyatakan penduduk setiap negeri hendaklah memutuskan sama ada mereka mahu negeri bebas atau negeri hamba; tetapi, ini menyebabkan penghijrahan beramai-ramai ke Kansas oleh aktivis daripada kedua-dua belah pihak. Pada satu masa, Kansas mempunyai dua kerajaan berasingan, dengan perlembagaannya tersendiri, walaupun hanya satu diiktiraf kerajaan persekutuan. Pada 29 Januari 1861, Kansas diterima masuk ke dalam Kesatuan sebagai negeri bebas, kurang dari tiga bulan sebelum Pertempuran Kota Sumter yang memulakan Perang Saudara.

Asal sunting

Templat:Peristiwa membawa kepada Perang Saudara AS

 

Isu perhambaan yang berakar dalam budaya Selatan Amerika Syarikat merupakan isu yang memecahbelahkan sejak Amerika terbentuk. Malah Perlembagaan Amerika Syarikat mungkin tidak diratifikasi jika perhambaan tidak dipelihara, dan kompromi tiga perlima bertujuan untuk mengimbangi kepentingan negeri hamba dan negeri bebas. Isu ini menimbulkan lebih banyak perbalahan apabila AS berkembang dan menghadapi kemasukan negeri baru sebagai negeri bebas atau negeri hamba, dan mengancam merubah imbangan kuasa yang rapuh ke salah satu arah. Kompromi Missouri merupakan cubaan untuk memelihara imbangan ini; diikuti dengan Kompromi 1850, tetapi negara terus berada di ambang perang saudara.

Akta Kansas-Nebraska 1854 mewujudkan wilayah Kansas dan Nebraska dan membuka tanah bagi penerokaan. Akta ini juga mewujudkan persoalan sama ada perhambaan di negeri-negeri baru Kansas dan Nebraska dibenarkan atau tidak akan diputuskan oleh penghuni negeri ini, dengan kata lain membatalkan Kompromi Missouri. Konsep membenarkan peneroka memutuskan, sekarang dikenali dengan kedaulatan popular, adalah idea yang dipopularkan oleh Senator AS Stephen A. Douglas, pengerusi Jawatankuasa Senat ke atas Wilayah. Kedaulatan popular adalah cubaan untuk menawarkan kompromi kepada negeri Selatan dengan menjadikan peluasan perhambaan satu kemungkinan di kedua-dua wilayah barat dan utara.

Pada mulanya, hanya sedikit pemilik hamba dijangkakan akan berpindah dan tinggal di Kansas kerana ia terlalu jauh ke utara bagi eksploitasi hamba yang menguntungkan. Tetapi sebahagian timur Kansas bersama dengan Sungai Missouri sesuai untuk pertanian menggunakan hamba kerana ia juga berhampiran dengan kebanyakan kawasan yang menggunakan hamba di Missouri.

Penempatan dan pembentukan zon kerajaan negeri di Kansas begitu dipolitikkan melampaui sempadan wilayahnya. Terdapat banyak sebab untuk ini. Missouri, negeri hamba, terdedah kepada negeri bebas dengan Illinois dan Iowa di sempadan timur dan utara. Kebanyakan kawasan di Missouri menempatkan hanya sedikit hamba dan pemilik hamba adalah sedikit berbanding penduduk negeri. Jika Kansas masuk ke dalam Kesatuan sebagai negeri bebas, Missouri akan dikelilingi oleh negeri bebas di tiga penjuru. Ditambah dengan aktiviti pembebasan hamba, dan kejadian biasa hamba yang melarikan diri di sempadan, kewujudan tanah bebas berdekatan menjadi ancaman kepada pemilik hamba di Missouri.

Sementara itu, di dalam Senat, setiap negeri diperuntukkan dua kerusi senat. Keseimbangan sudah wujud di antara negeri bebas dan negeri hamba, bermakna setiap kemasukan satu negeri akan mengancam merubah imbangan ini, dan mengganggu status quo.