Kapal tempur Jerman Bismarck

kapal
(Dilencongkan dari Kapal Perang Bismarck)
KerjayaKriegsmarine Jack
Mula dibina:16 November 1935
Dilancarkan:14 Februari 1939
Ditauliahkan:24 Ogos 1940
Nasib:kapal ditenggelamkan sendiri
Ciri-ciri umum
Sesaran:41,700 tan
Panjang:251 m
Lebar rasuk:36.0 m
Kelajuan:16knot
Ahli kapal:2,200 pegawai dan anak kapal

Kapal Perang Bismarck adalah kapal tempur yang dibina dan digunakan oleh Tentera Laut Jerman semasa Perang Dunia II. Nama kapal ini berasal dari nama Canselor Jerman abad ke-19 yang bertanggungjawab menyatukan empayar Jerman, Otto von Bismarck.

Bismarck menjadi masyhur dalam Pertempuran Selat Denmark pada tahun 1941 setelah mengalahkan pasukan Tentera Laut Diraja British yang dihantar untuk memusnahkannya, dan sebaliknya menenggelamkan HMS Hood, kapal perang yang menjadi kebanggaan Tentera Laut Diraja British.

Sejarah Awal sunting

Empayar Jerman, yang tewas dalam Perang Dunia I dipaksa menerima pakai Perjanjian Versailles. Antara lain, perjanjian itu juga membataskan pembangunan angkatan bersenjata Jerman. Kapal terbang tentera dan kapal tentera laut dikenakan had pembuatan dan bilangan yang boleh digunakan. Tentera Laut Jerman dibenarkan menggunakan Kapal perang jenis pre-dreadnought sahaja dan hanya terdiri daripada kapal perang yang menggunakan teknologi dan seni pembuatan yang ada sebelum Perang Dunia I.

Hanya kapal-kapal yang sudah melebihi umur 20 tahun sahaja boleh digantikan dengan pembinaan kapal-kapal baru, tetapi dihadkan saiznya supaya tidak melebihi 10,000 ton dan meriam utamanya dihadkan supaya tidak melebihi 11 inci. Kruiser pula tidak boleh melebihi 6,000 ton dan meriam utamanya dihadkan supaya tidak melebihi 6 inci.

Reka bentuk kapal Bismarck dimulakan pada awal tahun 1930-an dan berdasarkan kepada reka bentuk kapal perang jelajah dari kelas Deutschland dan dari kelas Kapal tempur Gneisenau. Apabila Perancis membina kapal perang Dunkerque yang mempunyai spesifikasi jauh lebih baik daripada Bismarck, Hitler mengarahkan supaya Bismarck dinaik taraf kepada 42,600 ton, walaupun diisytiharkan sebagai 35,000 ton sahaja supaya dilihat masih dalam litupan had berat yang ditetapkan dalam Perjanjian Versailles. Dengan muatan penuh, Bismarck dan Tirpitz, kapal sekelas dengannya, mempunyai sesaran. berat melebihi 50,000 ton.

Bismarck adalah kapal prototaip kelas kapal perang jelajah di bawah Plan Z Tentera Laut Jerman. Pembinaan asas (keel laying) Bismarck dimulakan di limbungan kapal Blohm + Voss di Hamburg pada 1 Julai 1936. Bismarc dilancarkan pada 14 Februari 1939 dan ditauliahkan pada 24 Ogos 1940 di bawah perintah Kapten Ernst Lindemann.

Kapal Bismarck dibina untuk memerangi kapal-kapal komersil. Bismarck mempunyai alur yang lebar untuk memberikan kestabilan semasa laut bergelora di Atlantik Utara. Bismarck juga mempunyai ruang simpanan bahan api yang besar seperti mana kapal perang jelajah yang dibina untuk beroperasi di Lautan Pasifik.

Bismarck dilengkapkan dengan 8 laras meriam 15 inci dipasangkan dalam 4 turet dan mempunyai pertahanan besi waja dikimpal dan mempunyai kelajuan 29 knot. Semasa pelayaran ujian, Bismarck mencapai kelajuan 30.1 knot di Laut Baltik. Bismarck boleh bersaing dengan mana-mana kapal perang jelajah hak milik Tentera Laut Diraja British ataupun Tentera Laut Perancis. Jarak senjata utamanya akan membolehkan Bismarck memusnahkan perkapalan komersil yang dijumpai. Jikalau Bismarck berjaya menyusup masuk ke Lautan Atlantik, kesan kerosakan yang dibawa akan memudaratkan Britain dan Perancis. Konvoi pasukan Berikat dalam keadaan bahaya selagi mana Bismarck berleluasa di Atlantik.

Melepaskan Diri Ke Lautan Atlantik sunting

 
Bismarck Belayar di Lautan Luas.

Bismarck bersama kapal pengiringnya, kruiser berat Prinz Eugen belayar pada 18 Mei 1941. Lain-lain kapl perang utama yang sepatutnya turut serta belayar tidak turut sama kerana mengalami kerosakan mekanikal ataupun kerosakan perang. Walaupun demikian, misi Bismarck diteruskan juga di bawah pemerintahan Laksamana Günther Lütjens.

Kumpulan petugas maritim ini mempunyai beberapa objektif yang meluas :

  • memusnahkan sebeberapa banyak perkapalan pihak Berikat
  • menghentikan penghantaran bekalan dari Amerika Syarikat ke Britain menggunakan konvoi, walaupun hanya untuk sekejap,
  • untuk menggantikan kekurangan bilangan kapal selam Jerman di Lautan Atlantik,
  • untuk memesongkan unit-unit Tentera Laut DiRaja British daripada kawasan Laut Mediterranean supaya tidak mengganggu rancangan Jerman untuk menakluk Crete dan
  • untuk membolehkan Fil Marsyal Erwin Rommel dan pasukan Afrika Korps memasuki Libya.

Jabatan Admiralti British memang mengunjurkan Bismarck akan cuba meloloskan diri ke Lautan Atlantik. Pelayaran Bismarck keluar pelabuhan disahkan oleh perisikan Ultra (mesej Enigma yang dinyahkodkan) dan laporan oleh sebuah kapal kruiser Sweden yang melihat pelayaran Bismarck dan juga daripada laporan-laporan daripada pihak penentang Norway.

3 hari kemudian, Bismarck dikesan oleh sebuah pesawat peninjau Spitfire semasa berlabuh di sebuah fjord (Altenfiord) di Norway. Tentera Udara Diraja British dengan cepat mengusahakan satu misi pengeboman tetapi percubaan itu tidak berhasil kerana Bismarck sudahpun belayar apabila pesawat pengebom sampai ke Altenfiord. Tentera Laut Diraja British dengan pantas menggerakkan kapal kruiser dan pembinasa berkelajuan tinggi untuk cuba mengesan Bismarck di beberapa laluan lazim ke Lautan Atlantik.

Pasukan kapal Jerman diketuai Bismarck belayar ke arah utara dan kemudiannya ke arah barat laut, dan membuat pergerakan baik merentasi Laut Norway dan Selat Denmark. Pasukan itu sudah hampir ke ambang Lautan Atlantik. Sekiranya lolos ke Lautan Atlantik, usaha Tentera Laut Diraja British untuk mencari dan memusnahkan Bismarck akan pasti menjadi sukar. Pasukan tersebut belayar di perairan sekitar Bulatan Artik. Kapal terbang British tidak membuat rondaan di kawasan itu. Lütjens merancang untuk menyerang konvoi yang membawa barangan perang dan bahan-bahan penting lain dari Amerika Syarikat ke Britain. Beliau mengharapkan pelayaran yang mudah dengan bantuan kabut tebal pada masa itu.

Pada petang 23 Mei, pasukan kapal diketuai oleh Bismarck dikesan oleh sepasang kapal kruiser British, HMS Suffolk dan HMS Norfolk yang membuat rondaan di Selat Denmark kerana menjangkakan Bismarck akan meloloskan diri ke laut lepas melalui laluan tersebut. Kedua pasukan tersebut saling bertembak, tetapi kruiser British tersebut mengundur diri kerana tahu mereka tidak mungkin dapat mengatasi kuasa tembakan Bismarck.

Pertempuran Selat Denmark sunting

 
HMS Hood Menjadi Kebanggaan Tentera Laut Diraja British

Pada kira-kiran jam 05:30 pagi 24 Mei 1941, semasa skuadron kapal Jerman tersebut cuba melepasi Selat Denmark, kapal Prinz Eugen mengesan dengan hydrofon kehadiran dua buah kapal asing di sebelah kiri pasukan mereka. Menjelang jam 05.45 pagi, kedua-dua buah kapal tersebut dapat dilihat, walaupun pasukan Jerman pada ketika itu masih belum dapat membuat pengecaman kapal itu. Sebenarnya dua buah kapal tersebut adalah kapal perang besar HMS Prince of Wales dan kapal kruiser berat HMS Hood, di bawah perintah Laksamana Lancelot Holland. Kapal HMS Prince of Wales adalah kapal baru dibina dan masih lagi menjalani kerja-kerja melengkapkan kelengkapan perangnya. HMS Hood pula dibina sebagai sebuah kapal kruiser tetapi diberikan pertahanan perisai tambahan seumpama kapal perang besar. Namun demikian perisai geladaknya masih lemah. Lutjens menjangka akan terserempak dengan kapal British tetapi tidak menjangkakan akan bersua dengan kapal perang besar.

Pada jam 05.49, Laksamana Holland mengarahkan kedua buah kapalnya melepaskan tembakan ke arah Prinz Eugen, menyangkakan kapal itu kapal Bismarck. Mereka bernasib baik kerana Kapten kapal HMS Prince of Wales menyedari kesilapan itu dan membetulkan tenangan ke arah kapal Bismarck. Holland membetulkan arahannya dan kapal-kapal British itu mensasarkan Bismarck. HMS Hood mula menembak pada jam 05.52 pagi diikuti sejurus kemudian oleh HMS Prince of Wales. Jarak antara kapl-kapal tersebut adalah kira-kira 12.5 batu.

Laksamana Lütjens teragak-agak untuk membalas tembakan kapal British dan selama dua minit tidak mengeluarkan apa-apa arahan. Melihat keadaan ini, Kapten Lindemann (pemerintah kapal Bismarck) mengambil inisiatif dan mengarahkan meriam kapalnya membalas tembakan dan menumpukan tembakan ke atas kapal HMS Hood (kapal itu dikenalpasti semasa membuat ubahan laluan pada jam 05.05). kedua kapal British tersebut cuba menempatkan diri mereka di "zon kekebalan". (Dalam keadaan ini, kapal British akan cuba mendekati kapal Jerman di mana HMS Hood akan kurang terancam dengan tembakan peluru menjunam dan akan menidakkan kelebihan ketepatan tembakan pasukan Jerman. Sebaliknya, keputusan ini akan menyebabkan 8 daripada 18 buah meriam British tidak dapat digunakan kerana terlalu dekat).

 
Kapal HMS Hood Meletup dan Tenggelam. Lukisan dari NAVAL HISTORICAL CENTER, Tentera Laut Amerika Syarikat

Kapal Bismarck dan Prinz Eugen melepaskan tembakan ke arah HMS Hood dari jarak 11 batu. Tembakan kapal Jerman itu amat tepat dan dalam masa 2 minit sahaja, HMS Hood terkena peluru 8 inci yang ditembak oleh Prinz Eugen. Peluru itu kena di bahagian tiang utama kapal HMS Hood dan menyebabkan kebakaran besar yang cuba dikawal oleh anak kapal Hood. Dalam masa yang sama, Bismarck terkena tembakan dari Prince of Wales mengakibatkan kebocoran tangki bahan api di bahagian hadapan.

Melihatkan keadaan ini, Laksamana Lütjens mengarahkan kapal kruisernya mengalihkan sasaran ke arah Prince of Wales. Pada jam 6.00 pagi, HMS Hood yang sedang belok ke kiri untuk membolehkan kesemua meriamnya melepaskan tembakan, terkena sebutir peluru daripada meriam Bismarck yang ditembak dari jarak 9 batu. HMS Hood dijilat api yang menyemarak dan satu letupan kuat berlaku, yang membelah kapal HMS Hood. Bahagian buritan kapal Hood tenggelam dengan pantas dan dikuti dengan bahagian haluan kapal. Kapal HMS Hood tenggelam dalam masa kurang 3 minit. Laksamana Holland bersama-sama 1,415 anak kapal HMS Hood terkorban, dan hanya 3 orang nak kapal terselamat (Ted Briggs, Bob Tilburn and Bill Dundas). Mereka diselamatkan oleh kapal pembinasa HMS Electra dua jam kemudian. (Jabatan Admiralti British merumuskan letupan kuat yang memusnahkan HMS Hood hanya mungkin berpunca daripada terkena peluru meriam 15 inci di bahagian tempat simpanan pelurunya, menyebabkan simpanan peluru meletup).

Prince of Wales terpaksa membelok ke arah kapal Jerman untuk mengelak puing peninggalan HMS Hood. HMS Prince of Wales terkena beberapa das tembakan, tetapi beberapa tembakannya berjaya mengenai kapal Bismarck. Kapal HMS Prince of Wales mengundur diri dilindungi dengan skrin asap apabila meriam bahagian belakang tidak lagi dapat dikawal. HMS Prince of Wales terkena 7 tembakan dan kerosakan mekanikal menyebabkan semua kecuali sepucuk daripada meriamnya tidak dapat digunakan. Bismarck dan Prinz Eugen pula melarikan diri apabila mereka ingatkan mereka mengesan bunyi torpedo dengan kemunculan sebuah kapal terbang Shorts Sunderland.

Walaupun Kapten Lindemann mahu mengejar HMS Prince of Wales untuk memusnahkan kapal tersebut, cadangannya disangkal oleh Lütjens kerana takut bertembung dengan lebih banyak kapal British. (Bismarck juga mengalami kerosakan dan pertembungan dengan kapal British akan menggagalkan tugasan utama Bismarck iaitu menyerang dan memusnahkan konvoi British). Dalam masa 20 minit sahaja, Bismarck berjaya memusnahkan sebuah kapal besar British dan memaksa sebuah lagi kapal melarikan diri. Keadaan itu tidak pernah terjadi dalam sejarah Tentera Laut Diraja British dan Admiralti British mengadakan jawatankuasa penyiasatan khas melihat perkara ini.

Bismarck masih belum selamat kerana British mengetahui kedudukan mereka dan radar bahagian hadapan kapal Bismarck pula rosak terkena tembakan British. Salah satu tembakan yang mengenai kapal Bismarck menyebabkan kebocoran tangki bahan api yang mengakibatkan pencemaran bahan api yang disimpan. Bismarck terpaksa mengurangkan kelajuan kepada 20 knot untuk menjimatkan bahan api. Lütjens akhirnya membuat keputusan untuk mendapatkan pembaikan kapal di St. Nazaire dan mengarahkan kapal-kapal Jerman itu belayar menuju pelabuhan tersebut.

Pasukan British mengekori kedua-dua kapal tersebut. Kapal HMS Prince of Wales dengan bantuan HMS Suffolk dan HMS Norfolk terus membayangi kapal Jerman itu. Pada satu ketika, Bismarck membuat perubahan haluan untuk memberikan peluang kepada Prinz Eugen untuk melepaskan diri.

Kejar Mengejar sunting

 
Gambar Kapal Terbang Pengebom Torpedo Fairey Swordfish dan kapal HMS Ark Royal
 
Kapal Terbang Pengebom Torpedo Fairey Swordfish

British berazam membalas dendam berikutan kemusnahan kapal HMS Hood. Mereka mengerahkan semua unit yang boleh dilepaskan untuk memburu kapal Bismarck.

Pada awal petang 24 Mei 1941, Bismarck diserang oleh satu kumpulan kapal terbang torpedo Fairey Swordfish daripada No. 825 Skuadron Perkhdimatan Udara Tentera Laut British yang dilancarkan daripada kapal induk HMS Victorious. Salah satu torpedo yang dilepaskan berjaya mengenai sasaran, tetapi tidak menyebabkan kerosakan besar.

Bismarck diikuti oleh pihak British daripada jarak jauh. Pada jam 03.00 pagi pada 25 Mei, 1941 Bismarck mengambil peluang menggunakan pergerakan haluan sika-siku (zig-zag) kapal-kapal British dan membuat satu pusingan 270o darjah untuk melepaskan diri di belakang kapal-kapal yang mengejarnya dan belayar ke arah Timur dan kemudiannya ke arah Tenggara. Kapal-kapal British tersebut kini kehilangan Bismarck selama 4 jam, tetapi ini tidak disedari oleh Lutjens yang mengingatkan dia pasti dikesan oleh kelengkapan radar British. Sebaliknya Lutjens membuat satu penghantaran mesej ke markas Tentera Laut Jerman selama 30 minit lamanya yang membolehkan mesej itu dipintas oleh Tentera Laut British yang seterusnya dapat mengesan Bismarck menggunakan penyegitigaan menggunakan radio.

Tetapi kesilapan pemplotan di atas kapal HMS King George V meletakkan kedudukan Bismarck di tempat yang salah dan pasukan British membuat pencarian di kawasan yang terlalu jauh ke utara. Ini membolehkan Bismarck menjauhkan diri daripada pasukan British pada 25 dan 26 Mei dan semakin dekat ke kawasan yang mana Bismarck boleh mendapatkan perlindungan kapal terbang dan juga kapal-kapal pembinasa Jerman. Tetapi kedudukan bahan api menjadi kerunsingan utama kedua-dua pihak.

Nasib pihak British berubah pada 26 Mei apabila sebuah kapal terbang Consolidated PBY Catalina yang diterbangkan oleh no. 209 skuadron Tentera Udara Diraja British dalam perjalanan pulang ke markasnya di Ireland Utara selepas membuat rondaan di Lautan Atlantik mengesan Bismarck daripada limpahan minyak yang dikeluarkan. Pihak British mengarahkan “Pasukan H” terdiri daripada kapal induk HMS Ark Royal, kapal kruiser besar HMS Renown, HMS Sheffield dan beberapa kapal pengiring. Pasukan ini dilencongkan daripada Gibraltar dan diperintah oleh Laksamana James Somerville.

Pada waktu senja dan di dalam keadaan cuaca yang buruk, HMS Ark Royal melancarkan serangan menggunakan kapal terbang Fairey Swordfish. Pada jam 21.00 malam, hasil daripada serangan-serangan yang dibuat, satu torpedo yang dilancarkan terkena alat kemudi Bismarck dan mengakibatkan kemudi tersebut tersekat dan tidak boleh berfungsi. Bismarck kini tidak dapat diolah gerak ataupun manuver, dan hanya boleh belayar dalam satu bulatan besar menuju ke arah HMS King George V dan HMS Rodney. Selepas bertungkus lumus mencuba melepaskan kemudi yang tersekat itu, Lutjens akhirnya menerima hakikat dan menghantarkan kawat ke Markas Tentera Laut memaklumkan keadaan kapal Bismarck dengan janji bahawa Bismarck akan berjuang ke saat-saat terakhir.

Sepanjang malam, Bismarck menjadi sasaran serangan torpedo daripada kapal-kapal pembinasa HMS Cossack, HMS Sikh, HMS Maori and HMS Zulu, with the kapal pembinasa Poland ORP Piorun. Walaupun tiada torpedo yang mengenai sasaran, taktik British ini berjaya meletihkan dan kelesuan ini akhirnya mematahkan semangat kapal Bismarck.

Tenggelam sunting

 
Saat terakhir Bismarck

Pada pagi hari Selasa, 27 Mei HMS Rodney dan HMS King George V mendekati Bismarck dengan keadaan kapal Bismarck disinari mentari pagi dan matahari berada di belakangnya. HMS Rodney bergerak ke utara untuk membolehkan meriam-meriamnya menembak Bismarck sepanjang kapal tersebut. HMS King George V pula bergerak supaya dapat menggunakan meriam untuk membedil Bismarck daripada sisi. Bedilan bermula jam 09.00 pagi. Bismarck membalas tembakan , tetapi ketidakupayaannya mengemudi menjejaskan ketepatan tembakan dan juga keupayaan tembakannya. Kelajuannya juga berkurangan sehingga menjadi 7 knot. Bismarck kini menjadi sasaran mudah. Bismarck terkena beberapa tembakan. Pasukan British dibantu dengan ketibaan kruiser HMS Norfolk dan HMS Dorsetshire. Satu tembakan serentak (salvo) mengenai pusat kawalan Bismarck, menyebabkan ramai pegawai kanan terbunuh, dan dalam masa 30 minit sahaja, kesemua meriam Bismarck tidak lagi dapat digunakan. HMS Rodney menghampiri sehingga jarak 1.5 batu untuk memusnahkan Bismarck.

Tetapi Bismarck enggan mengalah, dan panji-panjinya masih berkibar. Dengan keengganan Bismarck menyerah diri, pasukan British keberatan untuk meninggalkan Bismarck. Tetapi keadaan bahan api dan bekalan peluru yang tidak sedikit memaksa pihak British berundur dan meninggalkan Bismarck sendirian dengan pengetahuan bahawa kapal Bismarck tidak mungkin dapat belayar memasuki mana-mana pelabuhan.

Walaupun struktur luar Bismarck rosak teruk, bahagian enjin masih berfungsi dengan baik. Badan kapal juga masih baik. Kerana enggan membiarkan kapal Bismarck ditawan oleh pihak British, anak-anak kapalnya memutuskan untuk melubangtenggelamkan kapal mereka selepas mereka meninggalkan kapal mereka. Sehingga kini tidak dapat dipastikan siapa yang memberikan arahan untuk melubangtenggelamkan kapal Bismarck kerana Kapten Lindeman dan pegawai-pegawai kanannya terbunuh apabila pusat kawalan mereka terkena peluru 15 inci. Namun demikian, beberapa orang yang terselamat mendakwa melihat Kapten Lindeman sehingga saat-sat akhir apabila kapal tenggelam.

Bismarck tenggelam pada jam 10.39 pagi. HMS Dorsetshire dan HMS Maori berhenti untuk membantu mereka yang terselamat tetapi terpaksa berundur dengan hanya 110 orang diselamatkan apabila mereka mengesan kehadiran kapal selam Jerman di situ. Kapal selam U-74 dan kapal kaji cuaca Sachsenwald berjaya menyelamatkan 5 orang anak kapal yang lain. Hampir 2,100 orang pelaut Jerman yang lain terkorban.

Senarai Kapal British Yang Terlibat

  • Kruiser ringan - HMS Dorsetshire, HMS London, HMS Kenya, HMS Galatea, HMS Aurora, HMS Neptune, HMS Hermione, HMS Edinburgh, HMS Manchester, HMS Arethusa, HMS Birmingham, HMS Sheffield,
  • Kapal pembinasa - HMS Achates, HMS Antelope, HMS Anthony, HMS Echo, HMS Somal, HMS Eskimo, HMS Nestor, HMS Jupiter, HMS Electra, HMS Icarus, HMS Active, HMS Inglefield, HMS Intrepid, HMS Assiniboine, HMS Saguenay, HMS Lance, HMS Legion, HMS Columbia, HMS Punjabi, HMS Windsor, HMS Mashona, HMS Cossack, HMS Sikh, HMS Zulu, HMS Maori, ORP Piorun (Polish), HMS Tartar, HMS Faulkner, HMS Foresight, HMS Forester, HMS Foxhound, HMS Fury, HMS Hesperus,
  • Kapal selam - HMS H-44, HMS Minerve, HMS P-31, HMS Sealion, HMS Seawolf, HMS Tigris, HMS Sturgeon, HMS Pandora

Kesan sunting

 
Poster Filem Sink The Bismarck!

Dengan peredaran masa, kapal Bismarck mencapai status satu mitos. Dalam tahun 1960, kapal Bismarck menjadi bahan utama dalam filem “Sink the Bismarck!” dan lagu nyanyian Johnny Horton menjadi popular.

Bangkai kapal Bismarck dijumpai pada 8 Jun 1989 oleh Dr. Robert Ballard, ahli arkeologi, yang menemui bangkai kapal Titanic. Bangkai kapal Bismarck berada dalam keadaan menegak dalam laut sedalam 4,700 m kira-kira 650 kilometer di barat pelabuhan Brest. Robert Ballard merahsiakan kedudukan sebenar kapal Bismarck untuk mengelakkan kapal tersebut menjadi sasaran pencari harta karun.

Analisis bangkai kapal menunjukkan kerosakan teruk pada superstruktur kapal Bismarck akibat bedilan meriam tetapi hanya menunjukkan kerosakan kecil pada badan kapal akibat ledakan torpedo. Ini menguatkan tanggapan bahawa kapal Bismarck dilubangtenggelamkan oleh anak-anak kapalnya untuk mengelakkan kapal tersebut ditawan oleh pihak British. Ini tidak dapat dibuktikan oleh penyiasat marin, tetapi disahkan oleh anak-anak kapal Bismarck yang terselamat.

Dalam tahun 2002, pengarah filem James Cameron (Titanic, the Abyss, Terminator) membuat satu dokumentari bertajuk Expedition: Bismarck di mana dia mencadangkan bahawa tiada kerosakan besar di bawah garisan air kapal Bismarck untuk mengesahkan bahawa kapal tersebut ditenggelamkan akibat bedilan meriam ataupun ledakan torpedo. Sebaliknya, pemerhatian menunjukkan bahawa tiada peluru yang menembusi lapisan kedua badan kapal Bismarck. Ini menguatkan dakwaan Jerman bahawa Bismarck tenggelam selepas anak-anak kapalnya melubangtenggelamkannya.

Kontroversi sunting

 
Gambar Hasilan Komputer bangkai Bismarck

Ekspedisi kedua mencari Bismarck dilakukan oleh kumpulan British sebagai sebahagian daripada rancangan pelancongan ke kawasan bangkai kapal HMS Hood. Kapal HMS Hood telah dijumpai dan dirakamkan dalam filem dalam tahun 2001. Penyelidikan yang dijalankan oleh kumpulan British ini adalah sama ada kapal Bismarck tenggelam disebabkan oleh bedilan kapal British ataupun dilubangtenggelamkan oleh anak-anak kapal Bismarck.

Kumpulan British itu menjalankan tinjauan sonar dari mula untuk mencari tapak bangkai kapal Bismarck, berdasarkan maklumat bahawa bangkai kapal itu berada di kaki sebuah gunung berapi bawah laut. Hanya sebuah gunung berapi bawah laut berada di kawasan tersebut. Kumpulan itu kemudiannya menggunakan pesawat kawalan jauh (ROV) untuk memfilemkan keadaan luar kapal Bismarck. Kumpulan itu memutuskan bahawa Bismarck tenggelam disebabkan oleh kerosakan daripada meriam kapal-kapal dan torpedo British.

Dr. Robert Ballard mengkritik dokumentari yang dihasilkan oleh kumpulan British ini, dan menganggapkan rumusan kumpulan itu disorong oleh semangat nasionalisme dan berpandukan pendapat yang berat sebelah.

Satu ekspedisi Amerika melawat tapak bangkai Bismarck dan dengan menggunakan ROV yang lebih kecil dan mempunyai kawalan olah gerak yang lebih baik, membuat penggambaran buat pertama kali dari bahagian dalam kapal Bismarck. Ini ditayangkan sebagai satu dokumentari 1 jam di saluran National Geographic. Tinjauan oleh kumpulan Amerika ini tidak menjumpai apa-apa penembusan di bahagian kubu kota (citadel) kapal Bismarck dan hanya mempunyai 4 lubang yang terhasil disebabkan oleh peluru meriam yang kena tepat pada kapal Bismarck, tetapi lubang ini berada d atas garisan air. Kemungkinan besar 4 peluru yang kena tepat ini menyebabkan Bismarck tenggelam.

Kesan kemik di kapal Bismarck menunjukkan peluru 14 inci yang ditembak kapal HMS King George V sebenarnya melantun di atas perisai Wotan yang dipasangkan pada Bismarck. Rumusan oleh kumpulan Amerika ini bercanggah dengan rumusan yang dibuat oleh kumpulan penyiasat British. Kumpulan Amerika merumuskan bahawa Bismarck boleh terus mengapungkan diri dan mungkin akan ditawan oleh pihak British sekiranya ia tidak dilubangtenggelamkan oleh anak-anak kapalnya.

Daripada 2,876 das peluru yang digunakan untuk menembak kapal Bismarck, hanya dua butir sahaja peluru 16 inci yang menembusi perisai Bismarck. Dua butir peluru 14 inci menembusi perisai di sebelah kiri kapal. Daripada 2,876 butir peluru yang digunakan, lebih 700 butir adalah peluru 14 inci dan 16 inci, dan daripada jumlah ini hanya 4 butir sahaja yang menembusi perisai Bismarck.

Pautan Luar sunting

Rujukan sunting