Kereta rasmi kerajaan

Kereta rasmi kerajaan merupakan kereta rasmi yang digunakan oleh sesebuah kerajaan untuk pengangkutan ketua negara atau negeri, serta ada kalanya turut digunakan untuk mengangkut pegawai tinggi kerajaan yang lain ataupun diplomat asing. Semasa lawatan rasmi kerajaan, kereta rasmi kerajaan berkemungkinan diangkut untuk kegunaan rasmi ketua negara atau negeri semasa ketibaannya. Ia turut berfungsi sebagai simbol automotif bagi ketua negara dan negara masing-masing, manakala sebahagian kriteria penting bagi sesebuah kereta rasmi kerajaan termasuklah ciri-ciri keselamatan yang tinggi, keupayaannya serta penampilannya yang menggambarkan tugasnya. Biasanya, kereta rasmi kerajaan dipilih dari kalangan kereta limousin, kereta eksekutif atau kenderaan utiliti sukan.

Berikutan risiko keselamatan yang tinggi bagi penumpangnya, kenderaan tersebut dilengkapi ciri-ciri perlindungan dan keselamatan yang sangat ketat. Kenderaan tersebut boleh jadi kalis peluru hasil pengubahsuaian oleh pengeluar atau pembekal luar. Biasanya, kereta rasmi kerajaan akan diiringi kenderaan polis dan / atau tentera bagi menjamin keselamatan pegawai yang menaiki kereta tersebut. Pemandu kereta rasmi kerajaan juga boeh jadi dari kalangan pegawai penguatkuasa atau tentera, contohnya pemandu kereta Presiden Amerika Syarikat adalah dari kalangan ejen Perkhidmatan Rahsia Amerika Syarikat yang berpengalaman.

Kereta rasmi kerajaan biasanya dikeluarkan oleh pengeluar kereta tempatan, membolehkan ketua negara masing-masing menunjukkan keyakinan terhadap industri automotif tempatan, serta memberikan pengeluar kenderaan masing-masing peluang untuk menunjukkan teknologi dan kemahiran masing-masing dengan menghasilkan kereta khas bagi tujuan rasmi.[1] Contohnya, Presiden Amerika Syarikat menggunakan kereta Cadillac, Maharaja Jepun menggunakan kereta Toyota, raja atau ratu British menggunakan kereta Bentley, [1] manakala Perdana Menteri Itali menggunakan kereta Maserati. Sesetengah negara bergilir-gilir menggunakan kereta keluaran beberapa syarikat automotif masing-masing, maka adalah merupakan satu penghormatan besar bagi pengeluar kereta yang dipilih untuk menyediakan kereta rasmi kerajaan masing-masing.[1]

Bagi negara yang tiada pengeluar kereta, kereta rasmi boleh dibeli daripada pengeluar kereta bersesuaian dari kalangan negara yang mempunyai ikatan ekonomi dan diplomatik yang kuat. Contohnya, Kanada menggunakan kereta rasmi yang dikeluarkan oleh Tiga Gergasi Automotif, kebanyakannya dikeluarkan oleh kilang di Kanasa, kerana Amerika Syarikat serta pengeluar kereta Amerika mempunyai hubungan yang sangat akrab dengan kerajaan Kanada sejak dahulu. Sebagai tambaha, kerajaan Kanada juga memegang saham dalam General Motors dan Chrysler hasil penstrukturan semula syarikat terbabit kesan krisis automotif 2008.

Kereta rasmi kerajaan Malaysia sunting

Raja-raja Melayu sunting

 
Rolls-Royce Phantom Series II Tuanku Abdul Halim

Yang di-Pertuan Agong sekarang biasanya dibawa dengan menggunakan kereta jenama Rolls-Royce Phantom, Bentley Arnage, Bentley Continental Flying Spur berwarna biru gelap atau kereta Mercedes-Benz S-Class biru gelap. Manakala bagi Raja Permaisuri Agong pula ialah Maybach dengan lambang diraja pada nombor plat. Kesemua raja-raja Melayu turut dibawa menggunakan kereta rasmi dengan lambang diraja masing-masing dan pilihan paling utama termasuklah Rolls Royce Phantom, Mercedes-Benz S-Class, BMW 7 Series, Range Rover, Maybach 62 dan Maserati sedan.

Kerajaan persekutuan dan negeri sunting

Di bawah garis panduan Dasar Automotif Negara Malaysia, kereta rasmi bagi kegunaan kerajaan persekutuan dan negeri mestilah dari kalangan kereta nasional[2] (terutamanya Proton). Perdana Menteri menggunakan kereta Proton Perdana (generasi kedua) berwarna hitam, sedan bersaiz Limousin. Ketika Najib Razak menjadi Perdana Menteri, nombor pendaftaran kereta rasmi beliau adalah W11N, manakala Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula menggunakan nombor pendaftaran, W9M.[3] Kereta beliau biasanya diiringi kenderaan polis trafik serta kereta keselamatan SUV Volvo XC90 dan pengawal peribadi motosikal dikeliling kenderaan beliau.

Perbezaan antara bilangan motosikal pengiring di belakang kereta rasmi Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri adalah 2 buah untuk Perdana Menteri dan 1 buah untuk Timbalan Perdana Menteri.

Pegawai kerajaan berpangkat lebih rendah biasanya menggunakan kereta Proton Perdana. Sama seperti Perdana Menteri, menteri-menteri kabinet serta kerajaan negeri diwajibkan untuk menggunakan kereta Proton Perdana Executive. Tetapi tidaklah menjadikan kewajipan sepenuhnya seperti Ketua Menteri Sarawak, Abdul Taib Mahmud, yang dibawa menaiki kereta Rolls-Royce kalis peluru dengan nombor pendaftaran Ketua Menteri Sarawak. Kereta Mercedes S-Class dan BMW 7 Series juga sering digunakan sebagai kereta pilihan bagi pengangkutan Menteri Besar dan Ketua Menteri. Begitu juga dengan Menteri Besar Selangor; Mohamed Azmin Ali yang seringkali dilihat menggunakan Toyota Camry dan Toyota Harrier.

Lihat juga sunting

Rujukan sunting

  1. ^ a b c "On Her Majesty's Service: 2002 Bentley State Limousine". Autoblog.com. Dicapai pada 2009-11-20.
  2. ^ Bernama (2008-07-21). "Perdana vs Kompressor (Melayu)". Rocky's Bru2. Dicapai pada 2008-07-22.
  3. ^ Astro Awani. "Penghormatan jenazah mangsa MH17". Astro Awani. Dicapai pada 2020-08-21.