Koir Kebangsaan Malaysia

Koir Kebangsaan Malaysia merupakan koir bertaraf nasional. Ia telah ditubuhkan pada bulan Mei 1991 dan kini terletak di bawah naungan Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia (KEKKWA) dengan pentadbirannya diurus oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN). Pengurusan Koir Kebangsaan dilengkapi oleh seorang pengurus; Tunku Marina Tunku Dato' Zubir, jurulatih vokal; Syafinaz Selamat, konduktori; Amri Zane dan pemain piano; Fairuz Zamani.

Pada 2007

Koir Kebangsaan Malaysia kini mempunyai seramai 80 orang ahli yang terdiri daripada kanak-kanak berbakat berusia 7 tahun hingga ke ahli dewasa yang berusia 50 tahun. Latar belakang ahlinya adalah pelbagai, pelajar sekolah rendah, menengah dan universiti, ahli-ahli persatuan bukan kerajaan serta golongan professional. Dalam kata lain, di luar pentas pementasan, ahli-ahli Koir Kebangsaan terdiri daripada pelbagai latar belakang yang disatukan melalui rasa cinta kepada muzik dan nyanyian berbentuk koir. Pecahan utama Koir Kebangsaan Malaysia adalah Koir Kebangsaan Malaysia (ahli berumur 17 tahun ke atas) dan Koir Remaja Kebangsaan (ahli berumur 6 hingga 16 tahun)

Ahli-ahli Koir Kebangsaan Malaysia dipilih melalui sesi uji bakat, di mana asas dalam bidang muzik dan bakat dalam bidang seni suara menjadi keutamaan. Koir Kebangsaan Malaysia sering membuat persembahan di hadapan Pembesar-pembesar Negara khususnya sewaktu majlis-majlis sambutan Hari Kemerdekaan dan acara-acara rasmi peringkat kebangsaan yang lainnya. Koir Kebangsaan telah diberi penghormatan untuk membuat persembahan di majlis pembukaan Sukan Komanwel 1998 (SUKOM 98) pada 11 September 1998 bersama Dato' Siti Nurhaliza, Noraniza Idris, Roy dan Anuar Zain. Koir Kebangsaan turut menyanyikan lagu tema SUKOM yang bertajuk Bersatu Selamanya. Selain itu, Koir Kebangsaan juga pernah membuat persembahan di dalam dan luar negara.

Konsert Jelajah Koir Kebangsaan sunting

Untuk memberi peluang kepada rakyat Malaysia di luar Kuala Lumpur menyaksikan persembahan koir yang bertaraf profesional, siri Konsert Jelajah pertama kali telah diperkenalkan pada tahun 1995 iaitu persembahan di Ipoh dan Pulau Pinang. Pada tahun 1996 pasukan Koir Kebangsaan meneruskan konsert jelajah yang kedua melibatkan persembahan di Perlis, Langkawi, Alor Setar dan Ipoh. Antara rangkaian lagu yang dipersembahkan ialah Fugue in C Minor, Dravidian Dithyramb, Passing On The Light, Rangkaian Lagu Melayu dan Big Band Swing Thing. Pada tahun 1997 Koir Kebangsaan telah mengadakan konsert jelajah di Seremban, Johor Bahru, Melaka dan juga di Victoria Hall, Singapura. Persembahan di Singapura turut menggabungkan Koir Kebangsaan Malaysia bersama Koir Philharmonik Singapura di bawah pimpinan konduktor Tazul Izan Tajuddin. Antara lagu yang dipersembahkan ialah Organ Fugue, Pavane, Enjit-Enjit Semut, Potong Padi, Getaran Jiwa, Di Tanjung Katung, Tea For Two, Choral Suite From "The Phantom Of The Opera", Satin Doll dan Pemuda II (Ritual) karya Tazul Izan Tajuddin. Pada tahun 2005 pula ia melibatkan persembahan di Terengganu, Pahang, Kedah, Pulau Pinang, Melaka dan Perak. Pada tahun 2006, Siri Jelajah ini diperluaskan ke Sabah dan Sarawak bersama Duta Lagu Rakyat Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (Kekkwa), Zainal Abidin.

Pada tahun 2007, Koir Kebangsaan kembali bergabung tenaga bersama-sama Zainal Abidin untuk bertandang ke negeri Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Pahang. Persembahan jelajah 2007 dimulakan di Auditorium Taman Budaya Negeri Perak (Koir Remaja dan Zainal Abidin).Ia disusuli dengan persembahan di Auditorium Taman Budaya Negeri Pulau Pinang, Kedah dan Pahang (Koir Kebangsaan dan zainal Abidin). Antara lagu bagi segmen tradisional yang akan dipersembahkan ialah Wau Wau Pepeh, Puteri Santubong, Boria Pulau Pinang, Adai-Adai dan Endang. Segmen klasik pula antara lain melibatkan lagu O zittre nicht, mein lieber Sohn, Cats Duet, La Fede, Solveigs Sang, An Die Music, Brindisi. Sementara itu, segmen Popular dan Kontemporari pula melibatkan antara lain lagu What A Wonderful World, Sway, Ingin Bersamamu, Ikhlas Tapi Jauh, I Say a Little Prayer, Flashdance dan Yuan Dian.