Untuk genus Crassulaceae, sila lihat Kotiledon.


Kotiledon (bahasa Greek: κοτυληδών) merupakan sebahagian embrio yang penting dalam biji benih tumbuhan. Ketika percambahan, kotiledon-kotiledon biasa menjadi daun-daun pertama untuk kecambah. Bilangan kotiledon merupakan satu ciri yang dipergunakan oleh ahli botani untuk mengelaskan tumbuhan berbunga (angiosperma). Spesies yang mempunyai satu kotiledon digelarkan monokotiledon (atau "monokot") dan dimasukkan dalam kelas Liliopsida, sedangkan tumbuhan yang mempunyai dua helai daun embrio diistilahkan sebagai dikotiledon (dikot) dan dimasukkan dalam kelas Magnoliopsida.

Kecambah ini bercambah dan menghasilkan dua kotiledon, diikuti oleh dua helai daun yang merupakan salinan kecil daun-daun dewasa.
Pembentukan kotiledon sebelum pengumpulan simpanan makanan untuk pokok Judas (Cercis siliquastrum)

Kotiledon rumput-rumput dan banyak monokotiledon yang lain telah amat diubah suai dan terdiri daripada skutelum dan koleoptil. Skutelum ialah tisu dalam biji benih yang mengkhusus dalam penerapan makanan yang disimpan dalam endosperma bersebelahan, sedangkan koleoptil merupakan pelindung yang melitupi plumul (pendahulu untuk tangkai dan daun-daun tumbuhan).

Kecambah-kecambah gimnosperma juga mempunyai kotiledon, dan biasanya amat banyak (multikotiledon) tetapi tidak tetap. Umpamanya, kecambah pinus mempunyai dari 5 hingga lebih kurang 20 kotiledon sempit yang membentukkan satu pusaran di atas hipokotil (tangkai embrio) yang mengelilingi plumul.

Kotiledon-kotiledon tidak wujud lama, kekadang selama beberapa hari sahaja sejak kemunculannya, tetapi ada juga yang dapat bertahan selama setahun atau lebih. Kotiledon mengandungi (atau dalam kes gimnosperma dan monokotiledon, dapat memperoleh) simpanan makanan untuk biji benih. Ketika simpanan ini habis, kotiledon akan menjadi hijau dan memulakan fotosintesis, atau akan layu sewaktu daun-daun benar yang pertama mengambil alih untuk menghasilkan makanan untuk kecambah.