Kyrgyzstan (Kyrgyz: Кыргызстан, rumi: Kyrgyzstan, Rusia: Кыргызстан, rumi: Kyrgyzstan) atau secara rasminya dipanggil Republik Kyrgyz ialah sebuah negara di Asia Tengah. Dikelilingi daratan dan bergunung-ganang, negara ini bersempadan dengan Kazakhstan, Uzbekistan, Tajikistan dan Republik Rakyat China. Kyrgyzstan bermaksud "Tanah Kyrgyz". Negara ini kadangkala dipanggil "Switzerland untuk Asia Tengah" kerana kebanyakan kawasan Kyrgyzstan termasuk dalam pergunungan Tian Shan.[1]

Republik Kyrgyz
ريڤوبليك قیرغیزستن
Кыргыз Республикасы
Kyrgyz Respublikasy
Кыргызская Республика
Kyrgyzskaya Respublika
Bendera Kyrgyzstan
Jata Kyrgyzstan
Bendera Jata
Cogan katatiada
Lagu kebangsaanLagu kebangsaan Republik Kyrgyz
Lokasi Kyrgyzstan
Ibu negara
dan bandar terbesar
Bishkek
42°52′N 74°36′E / 42.867°N 74.600°E / 42.867; 74.600
Bahasa rasmiBahasa Kyrgyz, Bahasa Rusia
KerajaanRepublik
• Presiden
Sadyr Japarov (Садыр Жапаров)
Akylbek Japarov (Акылбек Жапаров)
Kemerdekaan 
• Diisytiharkan
31 Ogos 1991
• Siap
25 Disember 1991
Keluasan
• Jumlah
199,900 km2 (77,200 bt2) (86)
• Perairan (%)
3.6
Populasi
• Perkiraan Julai 2019
6,235,829 (111)
• Bancian Penduduk 1999
4,896,100
26/km2 (67.3/sq mi) (176)
KDNK (PPP)2019
• Jumlah
$31.106 billion
$4,988
KDNK (nominal)2019
•  Jumlah
$11.182 billion
$1,793
HDI (2019) 0.724
tinggi · 110
Mata wangSom
(KGS)
Zon waktuUTC+6 (KGT)
Kod panggilan+996
Kod ISO 3166KG
DPT internet.kg

Sejarah sunting

Nenek moyang terawal orang-orang Kyrgyz dipercayai berketurunan campuran orang-orang Mongolia dan Kipchak, mungkin menetap sehingga abad ke-10 di apa yang kini merupakan kawasan Tuva di Rusia. Dengan kebangkitan Empayar Mongol pada abad ke-13, orang-orang Kyrgyz berhijrah ke selatan. Mereka tidak muncul sebagai suatu kelompok etnik yang terasing sehingga abad ke-15. Berbagai-bagai orang Turki memerintah mereka sehingga 1685, apabila mereka dikuasai oleh orang-orang Kalmyk (Oirat, dan Dzungar). Islam ialah agama utama di kawasan ini, dengan kebanyakan mereka merupakan orang Islam Sunah Waljamaah daripada mazhab Hanafi.

Pada awal abad ke-19, bahagian selatan yang kini merupakan Kyrgyzstan dikuasai oleh Kekhanan Kokand. Wilayah ini yang ketika itu dikenali dalam bahasa Rusia sebagai "Kirgizia" digabungkan secara rasmi ke dalam Empayar Rusia pada tahun 1876. Ambil alih oleh Rusia telah mencetuskan banyak pemberontakan terhadap kerajaan tsar, dan ramai orang Kyrgyz memilih untuk berpindah ke Pamir dan Afghanistan. Selain itu, penindasan pemberontakan pada tahun 1916 di Asia Tengah mengakibatkan ramai orang Kyrgyz berhijrah ke Republik Rakyat China.

Zaman Soviet sunting

Kuasa Soviet pada mulanya diasaskan di kawasan ini pada tahun 1919 dan Oblast Autonomi Kara-Kyrgyz diwujudkan di dalam SFSR Rusia (istilah "Kara-Kirghiz" digunakan sehingga pertengahan 1920-an oleh Rusia untuk membezakan mereka daripada orang-orang Kazakh yang juga dirujuk sebagai orang-orang Kirghiz). Pada 5 Disember 1936, Republik Sosialis Soviet Kyrgyz diasaskan sebagai republik penuh USSR.

Semasa dekad 1920-an, Kyrgyzstan banyak mengembangkan hidup budaya, pendidikan dan sosial. Kenal huruf diperbaik dengan pesat, dan bahasa kesusasteraan piawai diperkenalkan. Perkembangan ekonomi dan sosial juga amat ketara. Banyak aspek budaya kebangsaan Kyrgyz dikekalkan walaupun terdapat penindasan kegiatan berfaham kebangsaan di bawah Stalin dan oleh itu, ketegangan-ketegangan dengan pihak berkuasa se-Kesatuan amat biasa.

Tahun-tahun awal glasnost tidak banyak mempengaruhi iklim politik di Kyrgyzstan. Bagaimanapun, akhbar Republik dibenarkan mengamalkan pendirian yang lebih liberal dan menubuhkan sebuah terbitan baru, Literaturny Kirghizstan, oleh Kesatuan Penulis. Kumpulan-kumpulan politik tak rasmi dilarang, tetapi banyak kumpulan yang muncul pada tahun 1989 untuk menangani krisis perumahan yang teruk dibenarkan berfungsi.

Pada Jun 1990, ketegangan etnik antara orang-orang Uzbek dan Kyrgyz muncul di Oblast Osh, di mana banyak orang-orang Uzbek merupakan golongan majoriti penduduk-penduduk. Pertempuran ganas menyusul, dan suatu darurat dan perintah berkurung diperkenalkan. Ketenteraman tidak dapat dipulihkan sehingga Ogos.

Kemerdekaan dan zaman moden sunting

Perubahan yang ketara di Kyrgyzstan dilihat pada awal 1990-an. Menjelang waktu itu, Gerakan Demokratik Kyrgyzstan (KDM) telah berkembang menjadi satu kuasa politik yang penting dengan sokongan Parlimen. Dalam satu kemenangan yang tidak dijangka, Askar Akayev, Presiden liberal Akademi Sains Kyrgyz, dipilih sebagai Presiden pada Oktober 1990. Pada bulan Januari yang berikut, Akayev memperkenalkan struktur-struktur kerajaan baru dan melantik sebuah kerajaan baru yang terdiri terutamanya daripada ahli-ahli politik muda yang berkecenderungan reformasi.

Pada Disember 1990, Soviet Agung mengundi untuk menukarkan nama republik menjadi Republik Kyrgyzstan. (Pada tahun 1993, ia menjadi Republik Kyrgyz.) Pada Februari 1991, nama ibu kota, Frunze, dikembalikan ke nama sebelum pemberontakan, iaitu Bishkek. Bahasa Kyrgyz menggantikan bahasa Rusia sebagai bahasa rasmi pada September 1991. (Bahasa Kyrgyz ialah salah satu ahli kumpulan bahasa Turki Selatan dan ditulis dalam abjad Arab sehingga abad ke-20. Skrip Latin diperkenalkan dan digunakan pada tahun 1928, dan kemudian digantikan oleh Cyrillic pada tahun 1941.) Walaupun langkah-langkah estetik diambil menuju kemerdekaan, kenyataan ekonomi nampaknya masih menentang pemisahan daripada Kesatuan Soviet. Dalam sebuah pungutan suara untuk pengekalan Kesatuan Soviet pada Mac 1991, 88.7% daripada pengundi-pengundi menyokong cadangan untuk mengekalkan Kesatuan Soviet sebagai sebuah "persekutuan yang dibaharui".

Pada 19 Ogos 1991, apabila Jawatan Darurat Negara mengambil alih kuasa di Moscow, terdapat percubaan untuk menggulingkan Akayev di Kyrgyzstan. Selepas rampasan kuasa jatuh pada minggu yang berikutnya, Akayev dan Naib Presiden, German Kuznetsov, mengumumkan peletakan jawatan mereka daripada Parti Komunis Kesatuan Soviet (CPSU), dan semua ahli biro dan sekretariat meletakkan jawatan. Ini diikuti oleh undi Soviet Agung yang mengisytiharkan kemerdekaan daripada Kesatuan Soviet pada 31 Ogos 1991.

Pada Oktober 1991, Akayev bertanding untuk presiden Republik merdeka yang baru dan menang tanpa tentangan dengan 95% undi melalui pembuangan undi langsung. Bersama-sama dengan wakil-wakil tujuh Republik yang lain pada bulan yang sama, dia menandatangani Perjanjian Komuniti Ekonomi Baru. Akhirnya, pada 21 Disember 1991, Kyrgyzstan memasuki secara rasmi Komanwel Negara Merdeka bersama-sama dengan empat Republik Asia Tengah yang lain. Pada tahun 1992, Kyrgyzstan menyertai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan CSCE.

Revolusi Tulip selepas pilihan raya parlimen pada Mac 2005 memaksa Presiden Akayev meletakkan jawatannya pada 4 April 2005. Pemimpin-pemimpin pembangkang membentuk kerajaan campuran yang baru di bawah Presiden Kurmanbek Bakiyev dan Perdana Menteri Feliks Kulov.

Bagaimanapun, ketakstabilan politik nampaknya susah diatasi, dengan berbagai-bagai kumpulan dan puak yang dikatakan dikaitkan dengan jenayah terancang berebut-rebut untuk mendapatkan kuasa. Salah tiga daripada 75 ahli Parlimen yang dipilih pada Mac 2005 telah dibunuh sejak masa itu, dengan lagi seorang ahli dibunuh pada 10 Mei 2006, tidak lama selepas memenangi dalam sebuah pilihan raya kecil kerusi yang dikosongkan oleh abangnya yang telah dibunuh. Keempat-empat orang ini dikatakan terlibat secara langsung dalam usahaniaga-usahaniaga haram yang utama.

Tumpuan-tumpuan terkini di Kyrgyzstan termasuk: penswastaan syarikat-syarikat yang dimiliki oleh kerajaan, peluasan demokrasi dan kebebasan politik, hubungan kelompok etnik, dan terorisme.

Politik sunting

Pada tahun pertama kemerdekaan penuh Kyrgyzstan, Presiden Akayev kelihatannya begitu bersungguh-sungguh menyokong proses reformasi. Bagaimanapun, disebalik sokongan penderma Barat utama, termasuk Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Kyrgyzstan berhadapan dengan masalah ekonomi dari awal. Ini terutamanya akibat pemecahan blok perdagangan Soviet, yang mengekang peralihan licin Republik kepada ekonomi pasaran bebas.

Pentadbiran sunting

Kyrgyzstan dibahagikan kepada tujuh buah oblast (berasal daripada perkataan bahasa Rusia yang bermaksud kawasan, provinsi) dan dua buah bandar raya:

 
  1. Bandar raya Bishkek
  2. Batken
  3. Chui
  4. Jalalabad
  5. Naryn
  6. Osh
  7. Bandar raya Osh
  8. Talas
  9. Yssyk-Kul (Karakol)

Bahagian pentadbiran mempunyai nama yang sama dengan pusat pentadbiran masing-masing (kecualian mempunyai nama pusat pentadbiran yang berikutnya dalam tanda kurung).

Oblast-oblast dibahagikan lagi kepada raion (daerah) yang ditadbirkan oleh pegawai-pegawai yang dilantik oleh kerajaan pusat. Komuniti-komuniti luar bandar yang terdiri daripada hingga 20 petempatan kecil, ditadbirkan sendiri oleh datuk-datuk bandar dan majlis-majlis yang dipilih melalui pilihan raya.

Geografi sunting

Kyrgyzstan ialah sebuah negara dikelilingi daratan yang bersempadan dengan Kazakhstan, China, Tajikistan dan Uzbekistan.

Tasik Issyk-Kul di timur laut pergunungan Tian Shan ialah tasik terbesar Kyrgyzstan serta tasik gunung kedua terbesar dunia selepas Tasik Titicaca.

Ekonomi sunting

Kyrgyzstan ialah sebuah negara kecil, miskin dan bergunung-ganang, dengan ekonomi pertanian terutamanya. Gandum, ubi kentang, bit gula, kapas, bulu biri, tembakau, buah-buahan, daging lembu dan daging kambing ialah keluaran pertanian utama, dengan kapas, bulu biri dan daging merupakan eksport utama. Eksport perindustrian termasuk emas, raksa, uranium, dan elektrik.

Kyrgyzstan ialah salah satu negara bekas Kesatuan Soviet yang paling progresif dalam pelaksanaan pembaharuan pasaran. Selepas rancangan penstabilan yang berjaya dan yang mengurangkan inflasi dari 88% pada 1994 ke 15% pada 1997, perhatian telah berpaling kepada perangsangan pertumbuhan. Banyak daripada saham-saham kerajaan dalam syarikat-syarikat telah dijual. Kejatuhan pengeluaran adalah teruk sejak keruntuhan Kesatuan Soviet pada bulan Disember 1991 tetapi menjelang pertengahan tahun 1995, pengeluaran mula berpulih dan eksport mula bertambah. Pesara-pesara, penganggur-penganggur, dan pekerja-pekerja kerajaan dengan tunggakan gaji terus menderita. Bantuan luar negeri memainkan peranan yang penting dalam pemulihan ekonomi negara. Kerajaan telah mengamalkan satu siri langkah-langkah untuk membanteras masalah-masalah teruku seperti hutang luar negara yang berketerlaluan, inflasi, pemungutan hasil yang tidak mencukupi, dan limpahan daripada gangguan ekonomi Rusia. Kyrgyzstan telah mencapai pertumbuhan yang tegap setiap tahun sejak 1999.

Aliran pelancong adalah ketara jika dibandingkan dengan jumlah penduduk Kyrgyzstan; negara ini dikunjungi oleh kira-kira 3.076 juta orang pelancong pada 2013, kebanyakannya berasal daripada negara-negara Komanwel Negara-Negara Merdeka (2.9216 juta orang).[2]

Demografi sunting

Anggaran penduduk Kyrgyzstan ialah 6,389,500 orang setakat 2019.[3] Pada On 25 November 2015, jumlah penduduk Kyrgyzstan telah disahkan mencapai 6 juta orang.[4]

Agama sunting

Kyrgyzstan ialah negara sekular secara rasmi, meskipun pengaruh Islam semakin berkembang dalam bidang politik.[5] Islam ialah agama utama di Kyrgyzstan. Menurut perangkaan Jabatan Negara Amerika Syarikat pada 2001, peratusan penduduk Muslim di Kyrgyzstan ialah 88% manakala 9% penduduk Kyrgyzstan mengikuti Gereja Ortodoks Rusia dan selebihnya menganuti agama-agama lain.[6] Catatan oleh Pew Research Center pada 2009 pula menetapkan peratusan penduduk Muslim pada 90%.[7] Kebanyakan penduduk Muslim ialah ahli Sunni yang mengikuti mazhab Hanafi.[8]

Bahasa sunting

Kyrgyzstan merupakan satu daripada dua bekas republik Soviet di Asia Tengah yang menjadikan bahasa Rusia sebagai bahasa rasmi selain Kazakhstan. Bahasa Kyrgyz diterima sebagai bahasa rasmi pada tahun 1991. Setelah tekanan daripada minoriti Rusia di negara berkenaan, Kyrgyzstan menerima bahasa Rusia sebagai bahasa rasmi juga pada tahun 1997, menjadikan negara dwibahasa yang rasmi.

Bahasa Kyrgyz ialah sebuah bahasa Turkik daripada cabang Kipchak, berkait rapat dengan bahasa Kazakh, bahasa Karakalpak dan bahasa Tatar Nogay. Bahasa ini ditulis dalam abjad Arab sehingga abad ke-20. Tulisan Rumi telah diperkenal dan diterima pakai pada tahun 1928, dan kemudiannya diganti atas perintah Stalin dengan tulisan Cyril pada tahun 1941.

Menurut banci tahun 2009,[9] 4.1 juta orang bertutur dalam bahasa Kyrgyz sebagai bahasa asli atau bahasa kedua dan 2.5 juta bertutur dalam bahasa Rusia sebagai bahasa asli atau bahasa kedua. Bahasa Uzbek merupakan bahasa asli kedua yang ditutur secara meluas, diikuti oleh bahasa Rusia. Bahasa Rusia merupakan bahasa kedua yang ditutur secara meluas, diikuti oleh bahasa Kyrgyz dan bahasa Uzbek.

Banyak hal ehwal bisnes dan politik dijalankan dalam bahasa Rusia. Sehingga baru-baru ini, bahasa Kyrgyz kekal sebagai bahasa yang ditutur di rumah dan dulu jarang digunaan dalam mesyuarat atau acara-acara yang lain. Walau bagaimanapun, kebanyakan mesyuarat parlimen hari ini dikendlaikan dalam bahasa Kyrgyz, dengan tafsiran serentak disediakan bagi yang tidak berbahasa Kyrgyz.

Nama bahasa Penutur asli Penutur bahasa kedua Jumlah penutur
Kyrgyz 3,830,556 271,187 4,121,743
Rusia 482,243 2,109,393 2,591,636
Uzbek 772,561 97,753 870,314
Inggeris 28,416 28,416
Perancis 641 641
Jerman 10 10
Lain-lain 277,433 31,411

Pendidikan sunting

 
Bangunan Universiti Negara Osh.

Pendidikan Kyrgyzstan diseliakan oleh Kementerian Pendidikan dan Sains Kyrgyzstan.[10] Setakat 2004, kadar celik huruf dalam kalangan rakyat Kyrgyzstan ialah 98.7%.

Pendidikan di Kyrgyzstan ialah wajib selama sembilan tahun, yakni empat tahun di sekolah rendah dan lima tahun di sekolah menengah. Pendidikan Kyrgyzstan juga merangkumi dua tahun pendidikan di sekolah tinggi yang tidak wajib, tetapi perlu bagi mendapatkan diploma sekolah yang disahkan oleh negara. Selain sekolah tinggi biasa, para murid di Kyrgyzstan berpeluang untuk memasuki sekolah tinggi khas atau sekolah vokasional.[11]

Kyrgyzstan memiliki 54 buah institut pengajian tinggi (IPT), yakni 33 buah IPT awam dan 21 buah IPT swasta.[12]

Budaya sunting

Artikel utama: Budaya Kyrgyzstan

Salah satu tradisi utama masyarakat Kyrgyzstan ialah Manas, sebuah sajak epik.

Lihat juga sunting

Rujukan sunting

  1. ^ Escobar, Pepe (26 March 2005). "The Tulip Revolution takes root". Asia Times Online. Diarkibkan daripada yang asal pada 2015-11-20. Dicapai pada 2019-12-21.
  2. ^ Sariyeva, S. K. (2015). "Перспективы развития внутреннего туризма в Кыргызстане: возможности и реальность". Наука, новые технологии и инновации (dalam bahasa Rusia). 3: 115.
  3. ^ "Население - Официальная статистика - Статистика Кыргызстана".
  4. ^ КНИА КАБАР. "6-миллионный гражданин Кыргызстана – девочка, родившаяся в Оше :: Информационное Агентство Кабар". old.kabar.kg. Diarkibkan daripada yang asal pada 2018-12-09. Dicapai pada 2018-12-08.
  5. ^ "ISN Security Watch – Islam exerts growing influence on Kyrgyz politics". Isn.ethz.ch. Dicapai pada 2 May 2010.
  6. ^ "Kyrgyzstan". State.gov. Dicapai pada 17 April 2010.
  7. ^ "MAPPING THE GLOBAL MUSLIM POPULATION – A Report on the Size and Distribution of the World's Muslim Population" (PDF). Pew Research Center. October 2009. Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 28 March 2010.
  8. ^ "The World's Muslims". Pew Forum on Religious & Public life. Pew Research Center. 9 August 2012. Dicapai pada 29 October 2013.
  9. ^ "Перепись населения и жилищного фонда Кыргызской Республики (Banci Populasi dan Perumahan Republik Kyrgyz), 2009". NSC Kyrgyzstan. Diarkibkan daripada yang asal pada 21 Januari 2013. Dicapai pada 9 Oktober 2012.
  10. ^ "World Data on Education: Kyrgyzstan" (PDF). UNESCO-IBE. August 2011. Dicapai pada 16 June 2014.
  11. ^ Kyrgyzstan country profile. Library of Congress Federal Research Division (January 2007). This article incorporates text from this source, which is in the public domain.
  12. ^ "Higher Education in Kyrgyzstan" (PDF). European Commission. 2012. Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 1 December 2014. Dicapai pada 16 June 2014.

Pautan luar sunting