Lukisan digital merupakan sejenis bentuk seni baru yang mempergunakan teknik lukisan tradisional, seperti cat air, cat minyak, impasto, dan sebagainya untuk pelukisan digital melalui komputer, perisian, serta tablet pendigitan, dan stilus. Lukisan digital berbeza daripada seni digital yang lain serta seni komputer terjana, khususnya kerana ia tidak memerlukan paparan komputer untuk mendapat lukisan realistik daripada suatu model. Seorang artis digital hanya perlu menggunakan teknik lukisan untuk mencipta lukisan digital secara langsung dalam komputer.

Lukisan digital
Lukisan digital Fall Sundance (1879 IV)

Perbezaan utama antara lukisan digital dan lukisan tradisional ialah prosesnya yang tidak linear. Seorang artis sering boleh menyusun lukisannya dalam bentuk lapisan yang dapat disunting secara berasingan. Keupayaan untuk menghapuskan coretan dan memberus semula juga membebaskan artis daripada proses linear. Bagaimanapun, seorang pelukis digital harus menggunakan banyak atau kesemua teknik dan kajian pelukis tradisional.

Artis digital mempunyai banyak alat yang tidak boleh didapati oleh pelukis tradisional. Sesetengah daripada ini termasuk:

  • palet maya yang mengandungi berjuta-juta warna;
  • kanvas atau media hampir semua saiz;
  • keupayaan mengembalikan kesilapan yang telah dibuat;
  • pemadaman; dan
  • pelbagai alat kesan 2D dan 3D.

Tablet grafik membenarkan artis membuat gerakan tangan yang amat tepat seolah-olah pen yang sebenar pada permukaan lukisan.

Lukisan digital berkembang maju khususnya dalam seni pengeluaran, dan banyaknya telah digunakan dalam reka bentuk konsepsi untuk filem, televisyen, dan permainan video. Terdapatnya juga pelbagai jenis lukisan digital, termasuk impresionisme, realisme, dan cat air.

Perisian pelukisan digital seperti Corel Painter, Studio Artist, Adobe Photoshop, Jasc Paint Shop Pro, ArtRage, dan openCanvas memberikan artis-artis digital suatu persekitaran yang sama dengan pelukis fizikal: kanvas, alat-alat lukisan, palet untuk mencampurkan warna, dan pilihan warna yang banyak.

Lihat juga sunting

Pautan luar sunting