Maharaja Jelai Perba merupakan seorang pemerintah Pahang yang sangat hebat. Beliau menguasai hampir separuh negeri Pahang dengan menjadikan ulu Pahang sebagai pusat pemerintahanya. Hulu Pahang berkerajaan sendiri dengan pusat pemerintahannya di Jelai (tidak termasuk daerah Tembeling). Pemerintahan ini adalah dari Raja Pagar Ruyung juga memegang teraju Orang Besar Berempat Pahang turun temurun.

Namun, kedatangan British telah menjadikan Maharaja Jelai Perba dan keluarganya berbalah sesama sendiri. Hasilnya, Maharaja Perba Jelai berjaya diceraikan adik-beradik dengan Orang Kaya Haji Wan Daud. Mereka itulah benteng dan tunggak kekuatan di Hulu Pahang. Pertalian kekeluargaan dan darah kini hancur berderai akibat permusuhan yang direkacipta oleh penjajah.

Rantau Hulu Pahang pernah suatu ketika terpisah dari pemerintahan Sultan Pahang di Pekan apabila tanah daerah tersebut dibeli olaeh Seri Maharaja Perba yang pertama itu daripada Sultan Abdul Ghafur Mohaidein Shah iaitu Sultan Pahang terakhir dari keturunan Melaka (1567-1614) dengan harga “ segantang ulang aling emas, satu dasar bali isi emas dan sesuku tangan baju isi emas” Disebabkan itulah Maharaja Perba Jelai sangat dihormati oleh rakyat Hulu Pahang suatu ketika dahulu sehingga terkenal dengan gelar “Raja Bukit Betong” atau Raja di Bukit “ kerana sememangnya beliau berasal dari keturunan raja Pagar Ruyung.

Ketika zaman pemerintahan Maharaja Perba Jelai Ke-6, Tok Raja Wan Idris dan Tok Raja Wan Muhamad (1776-1882), sekitar tahun 1830-an atau awal 1840-an dijemput pula sekelompuk keluarga pahlawan berdarah Raja Pagaruyung dari Minangkabau untuk menjadi panglima khusus bagi mempertahankan keluarga institusi Maharaja Perba Jelai di Bukit Betong. Rombongan tersebut diketuai seorang yang bergelar“pendekar mamat“ yang dipercayai salah seorang daripada kerabat diraja Pagaruyung yang membawa diri ke Tanah Semenanjung setelah kedaulatan yang dipertuan Rajo Alam Pagaruyung terakhir, Sultan Tunggal Alam Bagagar Shah Johan berdaulat dijatuhkan oleh penjajah Belanda pada tahun 1833. Gelar ‘pendekarnya” itu hanyalah untuk mengaburi mata orang ramai sahaja supaya jangan tahu asal usul beliau yang sebenarnya. Ketahui lagi baca buku Bingkisan Sejarah Raub.

Maharaja Perba Jelai merupakan salah seorang dari Orang Besar berempat Pahang, iaitu suatu jawatan yang amat tinggi dalam hirarki pemerintahan negeri. Kekuasaan serta pengaruhnya sangat besar di Ulu Pahang, khususnya di kawasan Jelai . Begitu tinggi penghormatan orang Jelai pada Maharaja perba atau Tok Raja bagi mereka orang jelai akan duduk menjunjung duli terlebih dahulu sebelum sebelum memulakan percakapan dengannya serta berbahasa ‘Engku’ pula pada tok Raja.

Maharaja sendiri mempunyai bendera dan meriam kebesaran. Kekuasaan Maharaja Perba begitu Besar sehingga boleh menjatuhkan hukuman bunuh tanpa merujukkannya terlebih dahulu kepada Bendahara di Pekan. Tok Raja dibantu oleh beberapa Panglima dikenali sebagai ‘Apit Limpang” dan menjadi orang yang sehidup semati dengan Tok Raja dan ‘ganti mata dan telinga’ baginya .