Margaret Munnerlyn Mitchell (8 November 190016 Ogos 1949) adalah pengarang Amerika Syarikat yang memenangi Hadiah Pulitzer pada tahun 1937 untuk novelnya yang amat berjaya, Lalu bersama Angin, yang diterbitkan pada tahun 1936. Novelnya merupakan salah satu buku yang paling popular, dengan jualan buku kulit tebal melebihi mana-mana satu buku yang lain, selain daripada kitab Bible. Bilangan jualan buku ini yang terkini dikatakan 200,000 naskhah setahun. Padanan filem Amerika yang diterbitkan pada tahun 1939 menjadi filem yang memperoleh hasil jualan yang tertinggi dalam sejarah Hollywood, dan menerima bilangan Anugerah Akademi yang memecahkan semua rekod.

Margaret Mitchell
Fail:Margaret Mitchell 3.jpg
Margaret Mitchell, dengan mesin taip mudah alih Remington yang digunakan untuk menulis "Lalu bersama Angin"
Kelahiran(1900-11-08)8 November 1900
Meninggal dunia16 Ogos 1949(1949-08-16) (umur 48)
Tandatangan
Untuk ahli politik Kanada, sila lihat Margaret Mitchell (ahli politik)


Masa awal sunting

Mitchell dilahirkan di Atlanta, Georgia, dan sering menggunakan nama samarannya, Peggy. Masa kanak-kanaknya dihabiskan dengan bekas-bekas perajurit dan saudara-saudara sebelah ibunya yang melalui masa Perang Saudara Amerika dan yang menceritakan kesemua tentang peperangan itu, kecuali kekalahan negeri-negeri Gabungan. Mitchell berumur sepuluh tahun sebelum mengetahui kenyataan ini.

Selepas memperoleh ijazah daripada Seminari Washington (kini Pusat Pengajian Westminster), Mitchell menyertai Kolej Smith, tetapi menarik diri selepas peperiksaan terakhirnya pada tahun 1918. Beliau kembali ke Atlanta untuk mengambil alih rumah tangga selepas kematian ibunya pada awal tahun itu, akibat wabak influenza (Mitchell menggunakan peristiwa penting ini dalam kehidupan diri untuk mendramakan penemuan Scarlett terhadap kematian ibunya, akibat tifoid, ketika Scarlett kembali ke Ladang Tara.

Tidak lama kemudian, Mitchell menjadi seorang kakitangan Jurnal Atlanta dan di sana, beliau menulis ruang mingguan untuk edisi Ahad akhbar itu. Mitchell berkahwin dengan Red Upshaw pada tahun 1922, tetapi mereka bercerai selepas beliau menemui bahawa suaminya adalah pembuat dan pengedar arak haram. Beliau berkahwin dengan John Marsh, kawan Upshaw, pada 4 Julai 1925; Marsh merupakan pengapit pengantin lelaki untuk perkahwinan pertama Mitchell, dan menurut legenda, kedua-dua orang lelaki itu telah mencuba memikat Mitchell pada tahun 1921 dan 1922, tetapi Upshaw melamar dahulu.

Lalu bersama Angin sunting

Mitchell dikatakan memulakan penulisan Lalu bersama Angin semasa terlantar di katil untuk memulihkan mata kakinya yang patah. Suaminya, John Marsh, meminjam buku-buku dari perpustakaan awam untuk menghiburkan hatinya semasa beliau berehat supaya sembuh. Akhirnya, selepas Mitchell dikatakan telah membaca semua buku sejarah di dalam perpustakaan, suaminya berkata kepadanya: "Peggy, kalau kamu hendak lagi sebuah buku, mengapa kamu tak nak menulis sendiri?" Mitchell mempergunakan pengetahuannya tentang Perang Saudara, dan detik-detik dramatik daripada kehidupan diri untuk menulis mahakaryanya, dan menaipnya dengan mesin taip Remington yang lama. Pada asalnya, Mitchell menggelarkan wirawatinya, "Pansy O'Hara", dan Tara sebagai "Dewan Fontenoy." Ketika menamakan novelnya, beliau mempertimbangkan nama "Menjulang Beban yang Meletihkan" (Tote The Weary Load) serta "Esok ialah Lagi Sehari" (Tomorrow Is Another Day).

Mitchell menulis untuk hiburan diri, dengan sokongan yang kuat daripada suaminya, tetapi beliau merahsiakan usaha-usaha kesusasteraan itu daripada semua kawannya. Beliau menyembunyikan halaman-halaman yang amat banyak di bawah tuala-tuala, dalam almari, dan di bawah katil, atau membentuk dipan dengannya. Mitchell menulis karyanya dengan cara yang tidak teratur, menulis bab terakhir dahulu, dan melompat dari satu bab ke bab lain. Suaminya biasa membaca manuskripnya yang semakin bertambah untuk membantu kesinambungannya. Menjelang tahun 1929, ketika mata kakinya sembuh dan kebanyakan bukunya telah ditulis, Mitchell tidak berminat lagi dalam usaha-usaha kesusasteraan tersebut.

Sedangkan Mitchell selalu mengatakan bahawa watak-watak "Lalu bersama Angin" tidak berdasarkan orang-orang sebenar, penyelidik-penyelidik moden mendapati persamaan dengan sesetengah orang dalam kehidupannya, serta individu-individu yang beliau ketahui atau pernah beliau dengar. Rhett Butler dipercayai berdasarkan Red Upshaw, suami pertamanya. Lagi satu, sekurang-kurangnya sebahagian, sumber watak untuk Scarlett O'Hara mungkin merupakan Martha Bulloch Roosevelt, ibu Presiden Theodore Roosevelt.

Mitchell menghabiskan hidupnya sebagai seorang wartawan Atlanta yang sederhana sehingga lawatan bersejarah penerbit MacMillan, Howard Latham, pada tahun 1935. Latham sedang mencari penulis baru di seluruh Selatan, dan Mitchell bersetuju untuk menemaninya di sekitar Atlanta atas permintaan kawan Mitchell yang kini bertugas dengan Latham. Latham terpesona dengan Mitchell dan menanyakannya jika beliau pernah menulis sebuah buku. Mitchell tidak mengaku. "Kalau kamu menulis buku, tolong tunjukkannya kepadaku dahulu!" Latham merayu. Kemudian pada hari yang sama, seorang kawan Mitchell ketawa ketika terdengar perbualan ini. "Cuba bayangkan seorang yang serupa bodoh dengan Peggy menulis buku!" dia berkata. Mitchell berasa tidak senang terhadap komen ini, dan balik rumah untuk mencari sampul-sampul surat lama yang mengandungi manuskrip-manuskrip yang tidak berturutan yang telah disimpannya. Apabila beliau tiba di Hotel Georgian Terrace, Latham baru hendak bertolak dari Atlanta. "Sini," Mitchell berkata, "ambil ini sejurus sebelum saya mengubah fikiran saya!"

Latham membeli sebuah beg pakaian untuk menyimpan manuskrip raksasa Mitchell yang lebih tinggi daripada pengarangnya. Ketika Mitchell kembali ke rumahnya, beliau terkejut besar atas perbuatannya yang terburu-buru, dan menghantar telegram kepada Latham: "Telah mengubah fikiran. Hantar balik manuskrip." Perutusan itu terlalu lambat. Latham telah membaca sebahagian manuskrip yang mencukupi untuknya menyedari bahawa dia mempunyai sebuah blokbuster dalam tangannya. Bukan sahaja Latham tidak memulangkan manuskrip, dia menulis kepada Mitchell tentang fikirannya terhadap kejayaan berpotensi penerbitan manuskrip itu. Tidak lama kemudian, MacMillan mengirimkan sebuah cek bayaran pendahuluan kepada Mitchell untuk menggalakkannya menghabiskan novel itu — yang peliknya, Mitchell tidak pernah menulis bab pertama untuk manuskripnya. Mitchell menghabiskan karyanya pada Mac 1936.

Lalu bersama Angin diterbitkan pada 30 Jun 1936. Buku itu kemudian dipadankan oleh David O. Selznick, dan diterbitkan tiga tahun kemudian. Tayangan perdana rasmi filem itu diadakan di Atlanta pada 5 Disember 1939.

Rumah yang didiami oleh Michell semasa menulis manuskripnya kini digelarkan Rumah Margaret Mitchell. Terletak di Pusat Bandar Atlanta, rumahnya kini merupakan destinasi pelancong yang utama. Lagi satu destinasi pelancong yang utama ialah sebuah muzium yang didedikasikan kepada buku dan filem Lalu bersama Angin. Terletak di Marietta, Georgia, beberapa batu di utara Atlanta, muzium itu digelarkan "Scarlett Di Dataran" kerana bangunan ini terletak di Dataran Marietta yang bersejarah. Muzium ini mengandungi kostum-kostum daripada filem tersebut, skrip filem, dan banyak lagi artifak daripada Lalu bersama Angin, termasuk himpunan edisi asing Margaret Mitchell untuk bukunya.

Selain itu, Kaunti Clayton (kawasan di selatan Atlanta yang merupakan latar untuk Tara, ladang fiksyen O'Hara) mengendalikan Muzium "Jalan ke Tara" yang terletak di stesen kereta api lama di pusat bandar Jonesboro.

Laysen Hilang sunting

Fail:LostLaysen.jpg

Selama berdekad-dekad, Mitchell telah dianggap hanya menulis sebuah novel yang lengkap (dan, sebenarnya, dakwaan bahawa Mitchell bukannya pengarang Lalu Bersama Angin timbul sekali sekala, disebabkan ketiadaan bukti karya-karyanya yang lain). Bagaimanapun, pada dekad 1990-an, sebuah manuskrip novel pendek oleh Mitchell yang berjudul Laysen Hilang telah ditemui antara himpunan surat yang Mitchell mengirimkan kepada Henry Love Angel, pelamarnya, pada awal dekad 1920-an. Manuskrip itu ditulis dalam dua buah buku nota pada tahun 1916.

Pada dekad 1990-an, anak lelaki Angel menemui manuskrip Laysen Hilang dan menghantarnya ke Muzium Jalan ke Tara untuk mengesahkan ketulenan karya tersebut. Suata edisi khas untuk Laysen Hilang — sebuah cerita cinta yang berlaku di Pasifik Selatan — yang disunting oleh Debra Freer, dan ditambah dengan kisah cinta antara Mitchell dengan Angel serta sebilangan surat kepada Angel, telah diterbitkan dengan imprin Scriber Simon & Schuster pada tahun 1996.

Kematian sunting

Ketika berumur 48 tahun, Mitchell dilanggar oleh sebuah teksi yang laju ketika melintasi Peachtree Street di 13th Street bersama-sama dengan suaminya, John Marsh, pada Ogos 1949. Beliau meninggal dunia di Hospital Glady, lima hari selepas kemalangan itu. Pemandu teksi yang dilaporkan mabuk, kemudian disabitkan bersalah kerana pematian orang tidak sengaja, dan dihukum kerja keras selama empat puluh tahun. Bagaimanapun, sabitan itu masih merupakan suatu perkara yang penuh dengan perbalahan kerana saksi-saksi mengatakan bahawa Mitchell melintasi jalan raya tanpa melihat, dan kawan-kawan Mitchell mendakwa bahawa ini adalah tingkah laku yang sering ditunjukkan oleh Mitchell.

Mitchell dikebumikan di Perkuburan Oakland, Atlanta.

Pautan luar sunting