Masyarakat

sekelompok manusia yang berkaitan antara satu sama lain melalui hubungan yang berterusan, atau kelompok sosial yang besar yang berkongsi wilayah yang sama, tertakluk kepada pihak berkuasa dan budaya yang sama

Masyarakat ([ma.sya.ra.kat], Jawi: مشاركت; bahasa Inggeris: Society) merupakan istilah yang digunakan untuk menerangkan kelompok sebilangan manusia yang tinggal bersama-sama dan saling berinteraksi sesama mereka. Boleh juga dikatakan masyarakat itu merupakan jaringan perhubungan antara pelbagai individu. Dari segi pelaksanaan, ia bermaksud sesuatu yang dibuat - atau tidak dibuat - oleh kumpulan orang itu. Ia merupakan subjek utama dalam pengkajian sains sosial.

Oleh kerana sesebuah masyarakat yang inginkan kestabilan memerlukan ahli-ahli yang sanggup menolong antara satu sama lain, maka ia perlu kepada nilai-nilai murni seperti kerakyatan, hak dan etika. Ini merupakan perkara asas untuk mencapai keadilan. Jika nilai-nilai ini gagal dipatuhi, orang akan mengatakan sesebuah masyarakat tersebut sebagai tidak adil dan musibah akan berlaku.

Walaupun setiap masyarakat itu berbeza, namun cara ia musnah adalah selalunya sama: penipuan, pencurian, keganasan, peperangan dan juga kadangkala penghapusan etnik jika perasaan membenci terhadap kaum anggota kelompok itu timbul. Masyarakat yang baru akan muncul daripada sesiapa yang masih bersama, ataupun daripada sesiapa yang tinggal.

Etimologi sunting

"Masyarakat" merupakan serapan bahasa Arab (ejaan asal: مشاركة‎) berakar daripada kata kerja شَارَكsyāraka yang diertikan sebagai "berkongsi";[1] ia seakar dengan kata "syarikat".

Rujukan sunting

  1. ^ Abd. Rauf Dato' Haji Hassan; Abdul Halim Salleh; Khairul Amin Mohd Zain (2005). Kamus Bahasa Melayu-Bahasa Arab Bahasa Arab-Bahasa Melayu. Shah Alam: Oxford Fajar. m/s. 199. ISBN 967-65-7321-3.