Minuman ringan(Tulisan Jawi: مينومن ريڠن ) ialah minuman yang tidak mengandungi alkohol. Ia seringnya berkarbonat dan juga biasanya diminum secara sejuk. Minuman ringan yang paling umum ialah kola, air berperisa, air membuih, teh ais, teh manis, lemonad, skuasy, dan punc buah.

Pelbagai minuman ringan di rak pasar raya.

Istilah "ringan" digunakan sebagai lawan kepada istilah "keras", iaitu minuman beralkohol. Umumnya, istilah itu juga membayangkan minuman yang tidak mengandungi susu atau hasil tenusu. Namun coklat panas, teh panas, kopi, air paip, jus, dan susu kocak juga tidak tergolong dalam minuman ringan.

Banyak minuman ringan berkarbonat kini disediakan dalam dua versi, iaitu dipermanis dengan gula atau dipermanis dengan pemanis tak berkalori.

Sejarah sunting

Minuman ringan dapat dikesani sejarahnya kepada air mineral yang ditemui di mata air. Masyarakat kuno percaya bahawa mandi di mata air dan/atau minum air mineral dapat menyembuhkan banyak penyakit. Ahli sains awal yang mengkaji air mineral termasuk Geber, Alkindus, Rhazes, Paracelsus, Robert Boyle, Friedrich Hoffmann, Antoine Laurent Lavoisier, Hermann Boerhaave, William Brownrigg, Gabriel F. Venel, Joseph Black, dan David Macbride.

Minuman ringan terawal ialah serbat yang dikembangkan oleh ahli kimia Arab dan pada asalnya dihidangkan di Timur Dekat Zaman Pertengahan. Ia merupakan minuman ringan yang diperbuat daripada buah-buahan, herba, atau bunga hancur.[1] Sejak sekitar 1265, suatu minuman popular yang dikenali sebagai Dandelion & Burdock muncul di England, diperbuat daripada bunga dandelion (Taraxacum officinale) dan akar burdok (Arctium Lappa) tertapai, dan secara semula jadi berkarbonat. Minuman itu (mirip dengan Sarsaparila) masih disediakan pada hari ini, tetapi ia kini diperbuat daripada perisa dan air berkarbonat kerana Safrol dalam resepinya yang asal didapati mengandungi karsinogen.[2]

Minuman ringan (tak berkarbonat) dipasarkan buat kali pertama di dunia Barat pada abad ke-17. Ia diperbuat daripada air dan jus lemon yang dipermanis dengan madu. Kemudian pada 1676, syarikat Compagnie des Limonadiers yang berpusat di Paris, Perancis diberikan monopoli untuk menjual minuman ringan lemonad. Penjual jalanannya memikul tangki lemonad dan menjual minuman itu dalam bentuk cawan kepada orang Paris.

Minuman berkarbonat sunting

Pada akhir abad ke-18, ahli sains mencapai suatu kemajuan yang penting dalam mereplikakan air mineral berkarbonat semula jadi. Pada 1767, Joseph Priestley dari England menemui satu kaedah untuk memasukkan karbon dioksida ke dalam air demi menghasilkan air berkarbonat [3] apabila beliau menggantungkan semangkuk air suling di atas setong bir di sebuah kilang bir tempatan di Leeds, England. Air berkarbonat (juga dikenali sebagai air soda) yang direkanya ialah komponen yang asas dan penting dalam kebanyakan minuman ringan. Priestley mendapati bahawa air yang diperlakukan sedemikian berasa harum lalu menghidangkannya kepada kawan-kawan sebagai minuman yang menyegarkan. Pada 1772, beliau menerbitkan sebuah kertas kerja yang berjudul Impregnating Water with Fixed Air (Mengisi tepu Air dengan Udara Tetap). Dalam karyanya itu, beliau menghuraikan bahawa beliau menitiskan minyak vitriol (kini dikenali sebagai asid sulfurik) pada kapur untuk menghasilkan gas karbon dioksida lalu menggalakkan gas itu melarut di dalam sebiji mangkuk air yang teraduk.[4]

John Mervin Nooth yang juga orang Inggeris kemudian memperbaik reka cipta Priestley dan menjual radasnya kepada farmasi untuk kegunaan komersil. Kemudian, Torbern Bergman, seorang ahli kimia Sweden, mereka sebuah radas yang dapat menghasilkan banyak air mineral tiruan daripada kapur dengan menggunakan asid sulfurik. Jöns Jacob Berzelius yang juga ahli kimia Sweden kemudian menambah perisa (rempah, jus, dan wain) pada air berkarbonat pada akhir abad ke-18.

Perintis dispenser minuman sunting

Air mineral buatan, biasanya dikenali sebagai "air soda", serta dispenser minuman amat sangat popular sewaktu diperkenalkan di Amerika Syarikat. Mulai dari 1806, Benjamin Silliman, profesor kimia di Yale University, mempergunakan radas Nooth untuk mengeluarkan air soda dan menjual airnya di New Haven, Connecticut. Para ahli perniagaan di Philadelphia dan Bandaraya New York juga turut serta menjual air soda pada awal 1800-an. Kemudian pada 1830-an, John Matthews dari Bandaraya New York dan John Lippincott dari Philadelphia mula mengeluarkan dispenser minuman. Kedua-dua mereka itu amat berjaya dan membina banyak kilang besar untuk memasang siap dispenser minuman.

Dispenser minuman lwn minuman ringan berbotol sunting

 
Bekas Amerika Syarikat pada 2008. Pelbagai saiz daripada 8-67.6 auns bendalir Amerika Syarikat (237 ml -2 l) dalam bentuk tin, botol kaca, dan botol plastik.

Meminum air mineral, baik yang semula jadi mahupun tiruan, dianggap sebagai satu amalan yang sihat. Ahli farmasi Amerika yang menjual air mineral kemudian menambah herba dan bahan kimia pada air mineral tak berperisa dengan menggunakan kulit kayu birch (lihat bir birch), dandelion, sarsaparila, pati buah-buahan, dan bahan-bahan lain. Perisa juga ditambah untuk memperbaik rasanya.

Farmasi yang menyediakan dispenser minuman kemudian menjadi sebahagian budaya Amerika yang popular, dengan banyak orang Amerika sering mengunjungi kaunter minuman setiap hari. Minuman botol hanya merupakan sebahagian kecil pasaran Amerika pada abad ke-19, akibat masalah yang dihadapi oleh industri kacanya ketika itu. Namun kebanyakan minuman ringan sewaktu itu dijual dan diminum di kaunter minuman, biasanya di farmasi atau kedai ais krim. Pada awal abad ke-20, jualan minuman botol naik dengan ketara. Kemudian pada separuh kedua abad ke-20, minuman tin diperkenalkan dan menjadi sebahagian pasaran yang penting.

Industri pembotolan minuman ringan sunting

Botol minuman berkarbonat menghadapi banyak tekanan daripada kandungan gasnya, dengan para pereka gigih berusaha untuk mencegah karbon dioksida atau gelembung daripada ke luar. Melebihi 1,500 paten Amerika Syarikat difailkan, baik untuk gabus mahupun tutup botol, untuk botol minuman berkarbonat pada tempoh awal perkembangan industri pembotolan. Akhirnya pada tahun 1892, "Crown Cork Bottle Seal" (Materi Botol Gabus Crown) dipatenkan oleh William Painter, seorang pengendali bengkel mesin di Baltimore. Kaedahnya merupakan kaedah pertama yang paling berjaya untuk mengekalkan gelembung di dalam botol.

Pengeluaran automatik botol kaca sunting

Pada 1899, paten pertama untuk mesin peniup kaca bagi pengeluaran automatik botol kaca dikeluarkan. Botol kaca yang lebih awal kesemuanya ditiup secara insani. Empat tahun kemudian, mesin peniup kaca yang dipatenkan itu siap dibina dan digunakan buat kali pertama oleh perekanya, Michael Owens, yang juga pekerja Libby Glass Company. Dalam tempoh beberapa tahun, pengeluaran botol kaca meningkat daripada 1,400 botol sehari sehingga sekitar 58,000 botol sehari.

Home-Paks dan mesin layan diri sunting

Pada dekad 1920-an, "Home-Paks" pertama direka. "Home-Paks" ialah karton enam-pek yang umum yang diperbuat daripada kadbod. Mesin layan diri juga muncul pada dekad 1920-an.

Lihat juga sunting

Rujukan sunting

  1. ^ Juliette Rossant (2005), The World's First Soft Drink, Saudi Aramco World, September/October 2005, pp. 36-9
  2. ^ Chris Milliken (2007). British Soft Drinks Since 1960. University of Cambridge
  3. ^ Mary Bellis (2009-03-06). "Joseph Priestley - Soda Water - Joseph Priestly". Inventors.about.com. Dicapai pada 2009-06-08.
  4. ^ http://www.truetex.com/priestley-1772-impregnating_water_with_fixed_air.pdf

Pautan luar sunting