Mohammed Alim Khan

Amir Mohammed Alim Khan (1880 - 1944) ialah amir terakhir Dinasti Manghit serta amir terakhir Amiriah Bukhara di Asia Tengah. Baginda yang memerintah dari 3 Januari 1911 hingga 30 Ogos 1920 juga merupakan keturunan langsung Genghis Khan yang terakhir untuk menjadi raja sebuah negara. Selain itu, Alim Khan juga merupakan raja pertama serta raja Manghit yang tunggal untuk menggunakan gelaran Kalifah. Walaupun Bukhara merupakan sebuah negeri naungan Empayar Rusia sejak dari tahun 1873, amir-amirnya mengendalikan seluruh hal-ehwal dalam negeri sebagai raja mutlak.

Alim Khan diambil gambar oleh Prokudin-Gorskii pada 1911.

Biografi ringkas sunting

Pada usia 13 tahun, Alim Khan dihantar oleh bapanya, Amir Abdulahad Khan ke Santo Petersburg selama tiga tahun untuk mempelajari teknik-teknik kerajaan dan ketenteraan moden. Pada tahun 1896, selepas diiktiraf sebagai Putera Mahkota Bukhara oleh kerajaan Rusia, beliau pulang ke tempat asalnya.

Alim Khan membantu bapanya mentadbirkan Bukhara selama dua tahun dan kemudian dilantik sebagai gabenor daerah Nasef. Selepas memerintah di sana selama 12 tahun. beliau dipindahkan ke wilayah utara Karminah dan memerintah kawasan tersebut selama dua tahun lagi sehingga kemangkatan bapanya pada tahun 1910.

Pemerintahan Alim Khan bermula dengan banyak janji. Pada mula-mulanya, baginda mengumumkan bahawa baginda tidak akan mengharapkan atau menerima sebarang hadiah, dan mengharamkan pegawai-pegawainya mendapatkan rasuah daripada orang awam atau mengenakan cukai secara sendirian. Walaupun demikian, sikap Alim Kham terhadap rasuah, cukai, dan gaji kakitangan kerajaan mula berubah dengan berlalunya masa.

Pertikaian-pertikaian antara puak tradisionalis dan puak reformis tamat dengan kemenangan puak tradisionis serta pembuangan ahli-ahli puak reformis ke Moscow dan Kazan. Adalah dipercayai bahawa Alim Khan yang pada mula-mulanya lebih suka akan pemodenan dan puak reformis kemudian menyedari bahawa matlamat-matlamat mereka yang akhir tidak mempunyai tempat, baik untuknya mahupun untuk keturunan-keturunannya, menjadi raja. Sebagaimana dengan leluhur-leluhurnya, Alim Khan adalah seorang raja tradisional. Baginda berfikir-fikir tentang gagasan reformasi hanya sebagai alat untuk mengawal golongan imam, serta juga untuk mengukuhkan pemerintahan Manghit .

Aini Sadriddin, salah satu penulis bahasa Tajik yang penting, memberikan gambaran yang hidup tentang kehidupan di bawah pemerintahan Amir dalam karyanya, Pertanda Bukhara ("Jallodon-i Bukhara"). Beliau pernah disebat kerana menuturkan bahasa Tajik.

Apabila puak Bolshevik menakluki Bukhara pada tahun 1920 dan mengisytiharkan pembentukan Republik Rakyat Bukhara, Alim Khan melarikan diri ke Kabul di Afghanistan dan mangkat dalam buangan pada tahun 1944.

Media:Contoh.mp3