Nebula planet (Jawi: نيبولا ڤلانيت) merupakan sejenis nebula pancaran yang mengandungi cangkerang gas dan plasma yang berkilau oleh sesetengah jenis bintang apabila mereka mati. Namanya berasal dari abad ke-18 disebabkan oleh persamaan rupanya dengan planet gergasi apabila dilihat melalui teleskop optik yang kecil, dan tidak mempunyai kaitan dengan planet sistem suria.[1] Mereka juga secara relatifnya mempunyai jangka hayat yang pendek, iaitu bertahan selama puluhan ribu tahun, jika dibandingkan dengan jangka hayat najam yang biasa iaitu berbilion tahun.

NGC 6543, Nebula Cat's Eye

Pada penghujung hayat bintang, ketika fasa gergasi merah, lapisan luarnya akan terkeluar melalui denyutan dan angin najam yang kuat. Tanpa lapisan yang legap ini, teras baki bintang akan menyala dengan terang dan berada dalam keadaan yang sangat panas. Sinaran ultra ungu yang dipancarkan oleh teras ini mengionkan lapian luar yang terkeluar dari bintang yang bersinar sebagai nebula planet.

Nebula-nebula planet adalah objek yang sangat penting dalam astronomi kerana mereka memainkan peranan penting dalam perkembangan kimia galaksi, mengembalikan bahan kepada medium antara najam yang telah diperkayakan dengan unsur berat dan hasil nukleosintesis (seperti karbon, nitrogen, oksigen dan kalsium). Dalam galaksi lain, nebula planet mungkin satu-satunya objek yang mampu dicerap untuk mengetahui limpahan kimianya.

Dalam beberapa tahun kebelakangan, imej Teleskop Angkasa Hubble telah mendedahkan banyak nebula planet yang mempunyai bentuk yang rumit dan pelbagai. Hampir seperlimanya hampir sfera, tetapi kebanyakannya tidak simetri. Mekanisme yang menghasilkan pelbagai bentuk dan ciri ini tidak lagi difahami, tetapi bintang pusat dedua, angin najam dan medan magnet mungkin memainkan peranan.

Rujukan sunting

Pautan luar sunting